7.12.08

auTuMN 2008 (MaLTa)



Aku sebenarnya tidak pernah terlintas langsung untuk memijakkan kaki ke Malta. Kerana bagi aku, negara ini tidak begitu signifikan kerana saiznya yang teramat kecil. Walau bagaimanapun, disebabkan aku perlu melepaskan tekanan aku selepas tamat peperiksaan ulangan yang berlangsung pada bulan November, aku akhirnya mengambil keputusan untuk ke negara tersebut kerana Malta adalah antara beberapa buah sahaja lagi negara di benua Eropah yang belum aku jejaki. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Aku ke Malta seorang diri kerana tujuan aku ke sana pun sebenarnya untuk bersendirian melepaskan tekanan peperiksaan. Aku bertolak ke sana pada tarikh 4 Disember 2008 & pulang semula ke Dublin pada tarikh 6 Disember 2008. Lebih kurang 3 hari sahaja di sana. Aku bermalam di sebuah hostel yang harganya amat berpatutan. Aku membawa bersama buku ‘Europe On A Shoestring’ terbitan Lonely Planet untuk dijadikan panduan sewaktu berada di sana. Bandar-bandar di negara Malta yang aku kunjungi ialah Valletta, Victoria, Xaghra & Sliema.

Malta adalah sebuah negara kepulauan yang terletak di tengah-tengah Laut Mediterranean. Ia terdiri daripada 3 buah pulau utama yang berpenghuni, iaitu Malta, Gozo & Comino & beberapa buah lagi pulau kecil yang tidak berpenghuni. 2 buah negara jiran yang terletak berhampirannya ialah Itali di benua Eropah & Tunisia di benua Afrika. Negara yang mempunyai keluasan seluas 300 km persegi ini mempunyai jumlah penduduk seramai 400,000 orang. 98% daripada mereka adalah penganut setia agama Kristian Roman Katolik.


Peta kedudukan negara Malta


Peta negara Malta


Bendera Malta

Bahasa Itali merupakan bahasa rasmi Malta sehingga tahun 1934. Kemudian, ianya digantikan dengan Bahasa Malta & Bahasa Inggeris. Kedua-dua bahasa tersebut dijadikan bahasa rasmi negara ini mulai tahun 1934 sehingga sekarang. Disebabkan itu, penggunaan Bahasa Inggeris di kalangan penduduknya tersangatlah meluas. Aku tidak menghadapi apa-apa masalah pun untuk berkomunikasi dengan mereka kerana kesemuanya boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik.

Disebabkan kedudukannya yang terletak di tengah-tengah Laut Mediterranean, Malta mengalami iklim Mediterranean. Ia adalah anggota Kesatuan Eropah & mengamalkan sistem pemerintahan Republik yang diketuai oleh Presiden & dibantu oleh Perdana Menteri. Matawang yang digunakan adalah Euro. Waktu tempatannya pula sejam lebih awal berbanding waktu GMT. Mengikut beberapa teori sejarah, Malta dikatakan antara sebahagian daripada kerajaan Atlantis di Laut Mediterranean yang telah lenyap beratus-ratus tahun dahulu.

Kepulauan Malta dikatakan telah dihuni oleh manusia sejak tahun 5200 SM lagi. Kemudian, pada tahun 700 SM, ia didatangi oleh orang-orang Greek yang kemudiannya membuat penempatan di sini. Begitu juga dengan orang-orang Phoenician yang berhijrah ke sini seratus tahun kemudian. Seterusnya, Malta mula berada di bawah jajahan Empayar Carthage pada tahun 400 SM. Kemudian, ia ditawan pula oleh Empayar Rom sekitar tahun 218 SM & dijadikan kawasan jajahan yang istimewa oleh empayar tersebut. Menurut beberapa sumber, pada tahun 60 Masihi, penyebar ajaran Kristian yang masyhur bernama St Paul telah tersadai di kepulauan tersebut akibat kapal yang dinaikinya karam di tengah laut. Dia seterusnya tinggal di situ untuk 3 bulan & dikatakan telah menyebarkan ajaran Kristian di kepulauan tersebut dalam tempoh itu.

Apabila Empayar Rom berpecah kepada Empayar Rom Barat & Empayar Rom Timur pada akhir kurun ke-4, Malta diletakkan di bawah kekuasaan Empayar Rom Timur yang kemudiannya dikenali sebagai Empayar Byzantine. Ia kekal di bawah pemerintahan empayar tersebut sehingga tahun 870 M. Dalam tempoh tersebut, Malta pernah ditawan beberapa kali oleh orang-orang Goth & Vandal. Namun, Malta berjaya dirampas semula oleh empayar tersebut.

Tidak berapa lama kemudian, Malta berjaya ditawan oleh kerajaan Bani Abbasiyah bersama-sama dengan pulau Sicily dalam siri peperangan Arab-Byzantine yang berlangsung dari tahun 780 hingga 1180. Sewaktu di bawah pentadbiran orang-orang Arablah pelbagai pembaharuan diperkenalkan di kepulauan Malta. Antaranya ialah sistem pertanian & penggunaan Bahasa Arab sehingga terlahirnya Bahasa Malta yang banyak dipengaruhi oleh perkataan-perkataan Bahasa Arab. Dikategorikan dalam famili Bahasa Semitik, Bahasa Malta adalah satu-satunya Bahasa Semitik yang menggunakan sistem tulisan Rumi.

Malta kemudian ditawan pula oleh kerajaan Sicily pada tahun 1091. Seterusnya, Empayar Holy Rom pula mengambil alih pemerintahannya. Dan pada tahun 1224, sewaktu pemerintahan Maharaja Holy Rom yang bernama Frederick II, kesemua penduduk yang beragama Islam telah dihalau dari Malta. Tidak berapa lama selepas itu, Malta jatuh ke tangan kerajaan Sepanyol. Raja Sepanyol kemudiannya menyerahkan pentadbiran Malta kepada sebuah organisasi Kristian yang bernama Knights of St. John of Jerusalem pada tahun 1530. Empayar Turki Uthmaniyah pernah cuba menawan Malta pada tahun 1565, namun usahanya gagal.

Kemudiannya, pada tahun 1798, Napoleon Bonaparte yang merupakan Maharaja Perancis pada waktu itu berjaya menawan Malta sewaktu dia belayar ke Mesir. Penjajahan Perancis ke atas Malta tidak disukai oleh penduduknya. Mereka kemudian dibantu oleh Empayar British untuk menghalau penjajah-penjajah Perancis dari kepulauan itu. Dan kemudian, pada tahun 1814, Malta secara rasmi menjadi sebahagian daripada Empayar British. Malta kemudiannya menjadi rebutan antara Empayar British & Empayar Perancis sewaktu Perang Dunia Kedua. Serangan yang dilakukan oleh tentera Nazi Jerman & Fascisma Itali banyak membuat kerosakan di kepulauan tersebut sewaktu perang itu berlangsung.

Malta mencapai kemerdekaannya daripada United Kingdom pada bulan September 1964. Pada mulanya, ia mengekalkan Ratu England sebagai ketua negara. Namun, pada bulan Disember 1974, Malta diisytiharkan sebagai sebuah republik yang diketuai oleh seorang Presiden.

Hari 1: 4 DISEMBER 2008

Penerbangan Ryanair dari Dublin ke Malta berlepas pada hari ini pada pukul 7.15 pagi. Aku bertolak ke Lapangan Terbang Dublin malam sebelum penerbangan dengan menaiki bas. Sengaja aku berbuat demikian kerana bas terawal ke lapangan terbang itu adalah pada pukul 6.00 pagi. Sudah tentunya aku tidak akan sempat untuk mengejar kapal terbang jikalau aku bertolak dari rumah pada pukul 6.00 pagi. Oleh itu, seperti selalu, aku terpaksa bermalam di lapangan terbang tersebut walaupun dalam keadaan yang kurang selesa.

Aku mula mendaftar masuk pada pukul 5.15 pagi. Selepas melepasi zon pemeriksaan keselamatan, aku pun terus menuju ke balai perlepasan untuk menunggu ketibaan pesawat. Setelah pesawat sudah bersedia untuk berlepas, para penumpang dijemput masuk. Dan tidak berapa lama selepas itu, pesawat pun berlepas meninggalkan Dublin menuju ke Malta. Penerbangan memakan masa selama 3¾ jam. Lebih kurang pukul 12.00 tengah hari waktu tempatan Malta, aku pun tiba di Lapangan Terbang Malta Luqa.

Untuk ke Valletta, aku menggunakan perkhidmatan bas awam yang boleh dinaiki di bahagian luar lapangan terbang tersebut. Tambangnya teramatlah murah. Tidak berapa lama kemudian, aku pun tiba di kawasan terminal bas di Valletta yang terletak di sekeliling air pancut yang diberi nama Triton Fountain. Berhampiran dengannya adalah City Gate, yang merupakan pintu masuk utama kota lama Valletta. Sesampainya aku di terminal bas itu, aku terus menyusuri bawah City Gate untuk ke kota lama Valletta. Aku hendak mencari lokasi hostel termurah yang aku rujuk di dalam buku panduan aku. Setelah penat mencari, akhirnya aku berjaya menjumpainya. Pemiliknya adalah seorang wanita tua. Sewa biliknya teramatlah murah. Bilik itu pula boleh tahan selesanya. Cuma bilik airnya sahaja yang terletak di luar bilik & perlu dikongsi bersama-sama dengan penginap-penginap yang lain. Namun, menurut kata pemilik hostel tersebut, aku adalah satu-satunya penginap yang menginap pada waktu itu. Hahaha. Maka, bilik air itu secara tidak rasminya menjadi milik aku. Hehehe.


Terminal bas Valletta, Malta

Selepas berkemas-kemas, aku pun memulakan ekspedisi mengelilingi kota Valletta. Valletta adalah ibu negara Malta & mempunyai jumlah penduduk seramai 6,300 orang. Ia terletak di dalam pulau Malta, pulau yang terbesar dalam negara kepulauan itu. Bangunan-bangunan yang terdapat di kota ini mula dibina pada kurun ke-16 sewaktu Malta di bawah pentadbiran organisasi Knights of St. John of Jerusalem. Nama Valletta diambil bersempena dengan nama pengasas kota ini, iaitu Jean Parisot de Valette. Dia adalah ketua kepada organisasi Knights of St. John of Jerusalem yang telah berjaya mematahkan percubaan Empayar Turki Uthmaniyah untuk menawan Malta pada tahun 1565. Pada masa kini, kota Valletta telah tersenarai dalam salah satu ‘UNESCO World Heritage Sites’.


Kedudukan Valletta dalam peta Malta


Logo Organisasi Knights of St. John of Jerusalem

Lokasi pertama di Valletta yang aku jejaki ialah City Gate, yang terletak berhampiran dengan terminal bas tadi yang merupakan pintu masuk utama ke kota lama Valletta ini. Pintu gerbang yang dilihat pada hari ini dibina pada tahun 1970-an & merupakan pintu gerbang yang keempat dibina di situ. Pintu gerbang pertama dibina pada tahun 1566, setahun selepas serangan tentera Turki Uthmaniyah berjaya dipatahkan.


City Gate, Valletta, Malta

Destinasi seterusnya ialah Auberge de Castille et Lion yang dahulunya merupakan ibu pejabat organisasi Knights of St. John of Jerusalem. Pada masa kini ianya dijadikan pejabat Perdana Menteri Malta.


Auberge de Castille et Lion, Valletta, Malta

Selepas bergambar di hadapan bangunan tersebut, aku berjalan menuju ke sebuah kawasan yang terletak di pinggiran laut untuk melihat panorama Grand Harbour yang amat menakjubkan. Grand Harbour di Valletta ini adalah pelabuhan semulajadi yang telah digunakan sejak zaman Phoenician lagi. Di sinilah letaknya tapak pertahanan organisasi Knights of St. John of Jerusalem selama 270 tahun. Di sinilah berlakunya pertempuran antara tentera organisasi tersebut dengan tentera Turki Uthmaniyah pada tahun 1565. Pelabuhan ini kemudiannya menjadi tapak pertahanan tentera British pula selama 170 tahun sewaktu Malta di bawah pemerintahan Empayar British. Sewaktu Perang Dunia Kedua, kawasan ini menerima serangan bom daripada tentera Nazi Jerman & Itali yang telah menghancurkan sebahagian besar daripada kawasan ini. Selepas mendapat kemerdekaan, Grand Harbour ini mulai hilang kepentingannya setelah diganti dengan pelabuhan baru di Kalafrana yang terletak di tenggara Pulau Malta.


Grand Harbour, Valletta, Malta

Selepas puas menikmati panorama yang mengasyikkan di Grand Harbour, aku menyambung perjalanan aku ke Republic Street yang merupakan jalan yang paling utama di kota Valletta di mana terdapatnya banyak kedai-kedai untuk membeli-belah. Memandangkan perayaan Hari Krismas semakin hampir, jalan ini dihias dengan begitu cantik sekali. Aku menghabiskan masa yang agak lama di sepanjang jalan ini untuk membeli cenderahati-cenderahati untuk dibawa pulang.


Republic Street, Valletta, Malta


Republic Street, Valletta, Malta

Aku kemudiannya singgah di sebuah gereja Roman Katolik yang diberi nama St John’s Co-Cathedral yang dibina antara tahun 1573 & 1578 oleh organisasi Knights of St. John of Jerusalem untuk kegunaan mereka. Selepas itu, aku menuju ke Grandmaster’s Palace yang pada masa kini digunakan sebagai pejabat Presiden & juga parlimen Malta. Bangunan ini dahulunya adalah milik organisasi Knights of St. John of Jerusalem.


St John’s Co-Cathedral, Valletta, Malta


Grandmaster’s Palace, Valletta, Malta

Selepas itu, aku menyusuri sepanjang persisiran pantai Grand Harbour untuk menuju ke sebuah kawasan yang bernama Siege Bell War Memorial. Memorial tersebut yang terletak di kawasan Grand Harbour dibina sempena kejayaan British & tentera tempatan mengalahkan tentera Jerman & Itali yang telah cuba untuk menawan Malta sewaktu Perang Dunia Kedua. Panorama Grand Harbour yang dilihat di sini tidak kurang hebatnya. Banyak kepingan gambar yang telah aku ambil di sini.


Siege Bell War Memorial, Valletta, Malta


Sekitar Siege Bell War Memorial, Valletta, Malta


Sekitar Siege Bell War Memorial, Valletta, Malta


Sekitar Siege Bell War Memorial, Valletta, Malta


Sekitar Siege Bell War Memorial, Valletta, Malta

Seterusnya, aku meneruskan ekspedisi aku dengan singgah di Malta Experience, sebuah muzium audio-visual yang menceritakan tentang sejarah Malta. Aku kurang berminat untuk masuk ke dalamnya kerana bayaran yang dikenakan agak mahal. Aku sekadar bergambar di bahagian luarnya sahaja. Selepas itu, aku bergerak ke Fort St Elmo, sebuah kubu pertahanan yang terletak di Tanjung Sciberras yang memisahkan Grand Harbour dengan sebuah lagi pelabuhan utama di Valletta, iaitu Marsamxett Harbour. Kubu pertahanan ini mula digunakan oleh organisasi Knights of St. John of Jerusalem pada tahun 1533. Ia pernah diserang dengan menggunakan meriam oleh tentera Turki Uthmaniyah sewaktu mereka cuba menawan Malta pada tahun 1565. Kerosakan yang dialaminya amat teruk. Oleh itu, selepas sahaja serangan tentera Turki Uthmaniyah berjaya dipatahkan, kubu pertahanan ini diperbesarkan lagi sehingga seperti saiznya sekarang. Pada masa kini, Fort St Elmo ini digunakan sebagai pusat akademi polis. Bangunan ini kelihatan sangat nazak sekali. Disebabkan itu, ianya dimasukkan dalam senarai ‘Watch List of the 100 Most Endangered Sites in the World’.


Malta Experience, Valletta, Malta


Fort St Elmo, Valletta, Malta


Fort St Elmo, Valletta, Malta


Fort St Elmo, Valletta, Malta


Fort St Elmo, Valletta, Malta

Kemudian, aku meneruskan perjalanan untuk bergambar dengan gereja yang merupakan antara mercu tanda utama Valletta, iaitu Carmelite Church. Aku kurang pasti tentang sejarah bangunan gereja itu. Namun senibinanya agak menarik. Aku kemudiannya meneruskan perjalanan aku berjalan di persisiran laut untuk ke kawasan Marsamxett Harbour, pelabuhan yang terletak di seberang teluk yang memisahkan Valletta dengan Msida & Sliema. Di situ, terdapat marina kapal layar yang terletak di Msida. Terdapat juga perkhidmatan bot yang membawa penumpang-penumpang dari Sliema ke Valletta.


Carmelite Church, Valletta, Malta


Carmelite Church, Valletta, Malta


Carmelite Church, Valletta, Malta


Marsamxett Harbour, Valletta, Malta

Selepas bergambar di kawasan Marsamxett Harbour, aku kembali semula ke hostel untuk solat & berehat-rehat. Apabila hari mahu senja, aku pun keluar untuk menikmati suasana malam di Valletta. Aku bersiar-siar di sekitar Grand Harbour. Indah sekali panoramanya pada waktu malam. Seketika kemudian, aku mengambil angin di Republik Street sambil melihat-lihat barang untuk dibeli lagi. Apabila hampir semua kedai hendak ditutup, aku pun kembali semula ke hostel. Selepas mandi & solat, aku pun terus tidur.


Grand Harbour, Valletta, Malta


Republik Street, Valletta, Malta


Republik Street, Valletta, Malta

Hari 2: 15 DISEMBER 2008

Selepas menghabiskan satu hari suntuk di Valletta yang terletak di Pulau Malta semalam, hari ini aku akan ke Pulau Gozo pula yang merupakan pulau kedua terbesar di negara kepulauan ini. Aku bersarapan pagi dahulu di dalam hostel yang aku tumpangi. Sarapan pagi disediakan secara percuma oleh pihak hostel kepada penginap-penginapnya. Dan kebetulan pada waktu itu, aku adalah satu-satunya penginap yang ada. Maka, aku pun diberi layanan yang agak istimewa oleh pemilik hostel itu. Selain roti, jem & mentega, aku turut dijamu dengan kek yang dibuat oleh pemilik hostel itu sendiri. Terharu pula aku apabila mendapat layanan seperti itu. Hahaha. Selepas selesai bersarapan, aku pun mula bergerak untuk menuju ke Pulau Gozo.

Bandar utama yang terletak di Pulau Gozo ialah Victoria yang turut dikenali sebagai Rabat. Untuk ke sana, aku menaiki bas ke jeti Cirkewwa terlebih dahulu dari terminal bas Valletta. Perjalanan dengan menaiki bas ke jeti Cirkewwa tidak memakan masa yang lama. Tambangnya pula murah. Banyak bandar-bandar kecil yang dilalui oleh bas itu sewaktu dalam perjalanan ke jeti Cirkewwa. Menarik betul perjalanan aku ini.

Setibanya aku di jeti Cirkewwa, aku pun terus membeli tiket feri syarikat Gozo Channel Line untuk ke Pulau Gozo. Tidak berapa lama selepas membeli tiket, para penumpang pun dijemput masuk ke dalam feri. Selain penumpang-penumpang yang berjalan kaki, feri itu juga turut membawa kenderaan-kenderaan seperti motorsikal, kereta & lori. Agak besar juga saiz feri ini. Lebih kurang sama besar dengan saiz feri Pulau Pinang. Perjalanan feri dari Pulau Malta ke Pulau Gozo yang menyusuri Laut Mediterranean ini tidak sampai sejam. Feri tersebut juga melalui pulau ketiga terbesar di Malta, iaitu Pulau Comino yang terletak di antara Pulau Malta & Pulau Gozo. Panorama yang aku saksikan sepanjang perjalanan menaiki feri sangat-sangatlah menakjubkan.


Peta Malta yang menunjukkan kedudukan Victoria & Xaghra & Perjalanan Feri dari Cirkewwa ke Mgarr


Feri syarikat Gozo Channel Line


Di atas feri syarikat Gozo Channel Line


Di atas feri syarikat Gozo Channel Line


Feri syarikat Gozo Channel Line menyusuri Laut Mediterranean


Panorama Pulau Gozo & Pulau Comino dari atas feri syarikat Gozo Channel Line


Panorama Pulau Gozo dari atas feri syarikat Gozo Channel Line

Tidak berapa lama kemudian, feri Gozo Channel Line yang aku naiki ini pun tiba di jeti Mgarr yang terletak di Pulau Gozo. Setibanya aku di jeti itu, aku terus menaiki bas untuk ke Victoria, bandar yang terbesar di pulau tersebut. Perjalanan ke Victoria dari jeti Mgarr tidak memakan masa yang lama. Lebih kurang dalam tempoh masa 20 minit, aku pun tiba di stesen bas Victoria. Victoria mempunyai jumlah penduduk seramai 6,500 orang. Nama lama kota ini adalah Rabat. Nama Victoria diberikan kepada bandar ini pada tahun 1887 oleh British sempena ulangtahun ke-50 pemerintahan Ratu Victoria. Lokasi pertama yang aku jejaki selepas tibanya aku di kota ini, ialah sebuah dataran kecil bernama Enrico Mizzo di mana terdapatnya sebuah air pancut yang diberi nama Fountain PJ San Frangisk. Berdekatan dengannya terdapat sebuah gereja yang tidak kurang cantiknya.


Jeti Mgarr, Malta


Dataran Enrico Mizzo, Victoria, Malta


Dataran Enrico Mizzo, Victoria, Malta


Sebuah Gereja di Dataran Enrico Mizzo, Victoria, Malta

Selepas bergambar di dataran tersebut, aku berjalan menuju ke Citadel, sebuah kubu pertahanan lama yang terletak di atas sebuah bukit. Penat juga aku mendaki bukit itu. Kubu pertahanan yang juga berfungsi sebagai istana itu dikatakan telah lama digunakan. Sejak tahun 1500 SM lagi. Ia seterusnya dibangunkan oleh orang-orang Phoenician & kemudiannya oleh Empayar Rom sewaktu Malta berada di bawah jajahan empayar tersebut. Citadel ini seterusnya dijadikan kubu pertahanan oleh organisasi Knights of St. John of Jerusalem sewaktu era pentadbiran mereka. Sewaktu pentadbiran mereka, Citadel ini pernah diserang oleh tentera Empayar Turki Uthmaniyah pada tahun 1551, menyebabkan kubu ini mengalami kerosakan. Di dalam kawasan Citadel ini juga terdapat sebuah gereja yang dibina sekitar kurun ke-17. Dari atas kawasan Citadel, aku dapat melihat panorama kota Victoria yang luas terbentang di hadapan mata. Satu panorama yang begitu cantik. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.


Citadel, Victoria, Malta


Citadel, Victoria, Malta


Citadel, Victoria, Malta


Citadel, Victoria, Malta


Citadel, Victoria, Malta


Citadel, Victoria, Malta


Citadel, Victoria, Malta


Sebuah Gereja di Citadel, Victoria, Malta


Panorama kota Victoria dari atas Citadel, Victoria, Malta


Panorama kota Victoria dari atas Citadel, Victoria, Malta


Panorama kota Victoria dari atas Citadel, Victoria, Malta


Panorama kota Victoria dari atas Citadel, Victoria, Malta

Aku menghabiskan masa yang agak lama di kawasan Citadel tersebut. Apabila sudah puas, aku turun semula menuju ke pusat bandar Victoria. Aku menjumpai sebuah restoran halal. Aku lalu terus masuk ke dalamnya untuk makan tengah hari. Selepas itu, aku kembali semula ke stesen bas Victoria. Destinasi aku yang seterusnya di Pulau Gozo ini ialah sebuah kota kecil bernama Xaghra. Bas yang aku naiki ke Xaghra mengambil masa lebih kurang 20 minit dari Victoria. Apabila tiba di Xaghra, aku menuju ke sebuah tapak arkeologi yang menjadi tujuan utama aku ke kota ini. Ianya adalah tapak sebuah kompleks kuil lama yang diperbuat daripada batu-batan. Nama kuil tersebut ialah Ggantija. Ia dikatakan telah wujud sejak Zaman Neolitik lagi, iaitu sejak 5,500 tahun dahulu & merupakan kompleks kuil batu-batan yang tertua dijumpai di Malta. Kompleks kuil Ggantija ini adalah salah satu daripada beberapa kompleks kuil lama di negara Malta yang disenaraikan dalam ‘UNESCO World Heritage Sites’. Kompleks-kompleks kuil tersebut diberi nama ‘Megalithic Temples of Malta’.


Pintu masuk Kuil Ggantija, Xaghra, Malta


Kuil Ggantija, Xaghra, Malta


Kuil Ggantija, Xaghra, Malta

Selepas bergambar dengan kuil lama tersebut, aku kembali ke stesen bas Victoria dengan menaiki bas dari Xaghra. Setibanya aku di stesen bas Victoria, aku menaiki bas lain pula untuk ke jeti Mgarr. Apabila sudah tiba di jeti tersebut, aku menaiki feri dari situ untuk kembali ke jeti Cirkewwa di Pulau Malta. Sesudah tiba di jeti Cirkewwa, aku menaiki bas ke Sliema, sebuah bandar kecil yang terletak di seberang teluk yang memisahkan Sliema dengan Valletta.

Di Sliema terdapat banyak bangunan-bangunan moden seperti pusat membeli-belah, hotel, restoran & café yang sentiasa dipenuhi oleh manusia terutamanya anak-anak muda. Aku cuma menghabiskan masa di kawasan pantainya yang berbatu & menikmati suasana senja di sini. Cantik tak terkata. Subhanallah. Selepas itu, barulah aku kembali ke Valletta dengan menaiki perkhidmatan bot yang menghubungkan Sliema dengan Valletta. Sesampainya di Valletta, hari sudah pun malam. Aku terus kembali ke hostel. Selepas mandi & solat, aku keluar untuk mengambil angin malam. Kemudian, aku pulang semula ke hostel untuk tidur.


Di Tepi Pantai, Sliema, Malta


Di Tepi Pantai, Sliema, Malta


Di Tepi Pantai, Sliema, Malta


Sliema, Malta


Hari 3: 6 DISEMBER 2008

Awal-awal pagi lagi aku sudah bangun untuk bergambar di kawasan Freedom Square yang aku belum lagi bergambar. Kemudian, aku ke Upper Barraka Gardens untuk bergambar berlatar belakangkan panorama Grand Harbour. Selepas itu, aku ke bandar Sliema pula. Aku ke sana dengan menaiki bot sama yang aku naiki malam tadi. Tujuan ke sana adalah untuk mengambil gambar berlatarbelakangkan kota Valletta seperti yang seringkali aku lihat pada poskad-poskad yang dijual di sini. Aku tidak berkesempatan untuk berbuat demikian semalam kerana sewaktu aku berada di Sliema semalam, hari sudah pun gelap.


Freedom Square, Valletta, Malta


Upper Barraka Gardens, Valletta, Malta


Upper Barraka Gardens, Valletta, Malta


Sliema, Malta


Panorama Valletta dari Sliema, Malta


Panorama Valletta dari Sliema, Malta

Selepas bergambar berlatarbelakangkan Valletta, aku singgah di sebuah kedai untuk membeli roti pastri. Kemudian, aku menaiki semula bot untuk kembali ke Valletta. Selepas itu, aku kembali ke hostel untuk mengemaskan barang-barang aku. Aku akan pulang ke Dublin hari ini. Selesai sahaja mengemas barang, aku turun ke bawah untuk bersarapan pagi. Selepas itu, barulah aku berjalan menuju ke terminal bas untuk menaiki bas ke Lapangan Terbang Malta Luqa.

Setibanya aku di lapangan terbang tersebut, aku terus mendaftar masuk, melalui zon pemeriksaan sekuriti & kemudiannya menunggu masa untuk dipanggil masuk ke dalam pesawat. Selepas beberapa ketika menunggu, akhirnya semua penumpang dijemput masuk ke dalam pesawat. Penerbangan Ryanair itu pun berlepas meninggalkan Malta menuju ke Dublin tidak lama kemudian, iaitu lebih kurang pada pukul 11.45 pagi. Penerbangan memakan masa selama 3¾ jam. Lebih kurang pukul 2.30 petang waktu tempatan Ireland, aku pun tiba di Lapangan Terbang Dublin dengan selamat.

Pengalaman selama lebih kurang 3 hari di negara Malta sudah tentunya antara pengalaman yang tidak akan aku lupakan. Walaupun ekspedisi aku ini singkat sahaja, namun banyak yang telah aku pelajari. Malta sememangnya sebuah negara kepulauan yang amat cantik. Tidak pernah terlintas dalam pemikiran aku yang Malta merupakan negara yang kaya dengan sejarah & juga keindahan yang tersendiri. Tidak menyesal aku memijakkan kaki di negara itu. Jikalau boleh, aku ingin ke sana lagi.

TAMAT.

10 comments:

melayuangkat said...

Assalamualaikum anakku,

Mak Cik loves travelling too. Alhamdulillah been to many countries of the world (while they are still there) but now not being able to do so due to many personal reasons.

SO, for you young people out there, go...see the world while you can. I like Dublin, been there once a few years ago. Ireland is beautiful itself.

But I like your Istanbul picture at your other blog the most. Thanks for hopping at my blog. (Blog Mak Cik Mak Cik)

Take care!

Kak Long said...

terima kasih ziarah blog akak...Parit Buntar...orang kampung akak rupanya

Anonymous said...

tq coz sudi singgah di blog ....

WR said...

jaga diri di rantau orang. Pelihara agama dan tatasusila timur.. semoga berjaya

wafa said...

all the best there
tengs 4 da hopping

Unknown said...

Thanks for dropping by my blog..

seen that u travel a lot huh...

maybe u can help me someday...

thanks again

Sharifah Hamidah said...

Salam

I too love travelling, I have been to many countries. Maybe more than 30 countries and more than 50 cities I just cannot remember However aunty rasa aunty buang duit dan masa sebab aunty hanya pergi melawat tempat pelancongan and shopping, and I dont want u to be like Menafaat kan ziarah anda dengan penuh makna dan berkat. Singgah lah semua masjid2 di mana anda pergi baru berkat ziarah kita dan sentiasa mengingati kebesaran Allah. Insyallah aunty akan pergi ke negara syam di mana banyak sejarah islam di sana. Salam dari aunty.

Atikah Nur Dzulkhefli said...

wah,besnye travelling..n thanx jauh2 travel pon still travel to my blog jugak..hehehe..eyt,bg advice pasal personel statement..thanx,senior!

Matluthfi90 said...

walaweh best

Basil Hibiscus said...

wah, menariklah Malta!