4.6.09

SuMMeR 2009 (CYPRuS, JoRDaN, SYRia, LeBaNoN) (BHG II)



Bumi Syam atau dalam Bahasa Inggerisnya, ‘Levant’ merangkumi negara Jordan, Syria, Lubnan, Palestin (Tebing Barat & Gaza) & Israel. Ia terletak di rantau Timur Tengah. Bahagian baratnya adalah persisiran Laut Mediterranean. Bahagian timurnya adalah kawasan pergunungan Zagros. Bahagian selatannya adalah padang pasir Semenanjung Arab. Sementara bahagian utaranya pula adalah Semenanjung Anatolia atau Turki.


Kedudukan bumi Syam dalam peta Timur Tengah


Peta negara-negara di bumi Syam

Sudah agak lama sebenarnya aku menyimpan hasrat untuk menjejakkan kaki di bumi Syam. Ini adalah kerana keistimewaan & keberkatan muka buminya yang amat kaya dengan nilai sejarah, terutamanya sejarah agama yang diturunkan Allah SWT melalui nabi-nabi & rasul-rasul-Nya. Menurut satu sumber yang aku perolehi, bumi Syam adalah bumi yang paling ramai Nabi & Rasul diutuskan. Daripada kesemua jumlah Nabi & Rasul di muka bumi ini, separuh daripadanya sama ada dilahirkan, dibesarkan, menyampaikan seruan Allah SWT atau wafat di bumi Syam. Antara yang diketahui ialah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishaq, Nabi Lut, Nabi Ya’qub, Nabi Syu’ib, Nabi Musa, Nabi Ayyub, Nabi Zulkifli, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Zakaria, Nabi Yahya & Nabi Isa. Disebabkan itulah, bumi Syam ini layak dikenali dengan nama bumi Anbiya'. Keberkatan bumi Syam ini telah diakui sendiri oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Thabit:

Rasulullah SAW telah berkata, “Keberkatan ke atas Syam! Keberkatan ke atas Syam!” Para sahabat kemudian bertanya, “Kenapa begitu?” Rasulullah SAW menjawab, “Kerana para Malaikat telah mengembangkan sayap mereka ke atas Syam.”

Bumi Syam ini juga diberkati oleh Allah SWT kerana di sinilah letaknya rumah-Nya yang kedua di muka bumi ini, iaitu Masjidil Aqsa di tanah Palestin. Masjid tersebut adalah lokasi di mana berlakunya peristiwa Israk & Mi’raj & ia seterusnya menjadi kiblat pertama bagi umat Islam selama beberapa bulan sebelum ditukarkan ke Masjidil Haram. Disebabkan kedudukannya yang tinggi di sisi Allah SWT, Masjidil Aqsa adalah masjid yang ketiga tersuci bagi umat Islam selepas Masjidil Haram di Mekah & Masjid Nabawi di Madinah. Barangsiapa yang menunaikan solat di masjid tersebut bakal mendapat ganjaran pahala sebanyak 500 kali ganda. Allah SWT sendiri ada berfirman beberapa kali di dalam Al-Quran tentang keberkatan Masjidil Aqsa & tanah di sekelilingnya:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah Al-Isra’: Ayat 1)


وَنَجَّيْنَاهُ وَلُوطًا إِلَى الْأَرْضِ الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا لِلْعَالَمِينَ

Dan Kami selamatkan dia dan sepupunya Nabi Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia. (Surah Al-Anbiya’: Ayat 71)

وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ الْقُرَى الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا قُرًى ظَاهِرَةً وَقَدَّرْنَا فِيهَا السَّيْرَ سِيرُوا فِيهَا لَيَالِيَ وَأَيَّامًا آمِنِينَ

Dan di antara tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah negeri Syam) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran), Kami adakan beberapa buah bandar yang jelas kelihatan (kepada orang-orang yang melalui jalan itu), dan Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya (sekadar yang dapat dijadikan tempat-tempat persinggahan), (serta dikatakan kepada mereka): "Berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada bila-bila masa yang kamu suka, malam dan siang, dalam keadaan yang aman." (Surah Saba’: Ayat 18)

وَلِسُلَيْمَانَ الرِّيحَ عَاصِفَةً تَجْرِي بِأَمْرِهِ إِلَى الْأَرْضِ الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا وَكُنَّا بِكُلِّ شَيْءٍ عَالِمِينَ

Dan Kami mudahkan bagi Nabi Sulaiman angin yang kencang tiupannya, bertiup menurut kehendaknya ke bumi yang Kami limpahi berkat padanya; dan adalah Kami mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah Al-Anbiya’: Ayat 81)

وَأَوْرَثْنَا الْقَوْمَ الَّذِينَ كَانُواْ يُسْتَضْعَفُونَ مَشَارِقَ الأَرْضِ وَمَغَارِبَهَا الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا وَتَمَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ الْحُسْنَى عَلَى بَنِي إِسْرَآئِيلَ بِمَا صَبَرُواْ وَدَمَّرْنَا مَا كَانَ يَصْنَعُ فِرْعَوْنُ وَقَوْمُهُ وَمَا كَانُواْ يَعْرِشُونَ

Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israil) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi (Palestin) dan daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat padanya. Dan telah sempurnalah Kalimah Allah (janji-Nya) yang baik kepada kaum Bani Israil kerana kesabaran mereka (semasa mereka ditindas oleh Firaun), dan Kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka telah dirikan (dari bangunan-bangunan yang tinggi). (Surah Al-A’raf: Ayat 137)



Masjidil Aqsa

Keberkatan bumi Syam ini ditambah lagi dengan adanya makam-makam keluarga Rasulullah SAW, sahabat-sahabat baginda & juga pejuang-pejuang Islam yang terkemuka. Antaranya ialah Ruqayyah binti Muhammad, Hussin bin Ali, Zaid bin Harithah, Ja’far bin Abu Talib, Bilal bin Rabah, Khalid al-Walid, Abdullah bin Rawahah, Muawiyah bin Abu Sufyan, Umar bin Abdul Aziz, Salahuddin al-Ayyubi, Abu Hurairah & ramai lagi.

Menurut Rasulullah SAW, peristiwa akhir zaman nanti juga dikatakan banyak akan berlaku di bumi Syam. Bumi Syam dikatakan akan menjadi tempat turunnya Nabi Isa a.s. Pemerintahan Imam Mahdi & Nabi Isa a.s juga nanti akan berpusat di sini. Dan di sini jugalah akan berlakunya pertempuran besar antara umat Islam pimpinan Nabi Isa a.s & orang-orang Yahudi pimpinan Dajjal. Dajjal dikatakan akan dibunuh di sini. Selain itu, Rasulullah SAW juga ada mengatakan bahawa Padang Mahsyar, iaitu tempat di mana semua umat manusia akan dikumpulkan selepas Hari Kiamat terletak di bumi Syam. Wallahu ‘alam.

Menurut kajian sejarah, tamadun manusia di bumi Syam telah wujud sejak Zaman Paleolitik lagi, iaitu sejak 90,000 tahun dahulu. Disebabkan lokasinya yang terletak betul-betul di tengah-tengah pusat tamadun manusia, bumi Syam ini seringkali menjadi rebutan pelbagai kerajaan & empayar. Antaranya ialah Assyria, Babylon, Parsi, Greek, Rom, Byzantine, Bani Umayyah, Bani Abbasiyah & Turki Uthmaniyah. Oleh kerana itulah bumi Syam amat kaya dengan kesan-kesan tinggalan sejarah tamadun manusia sejak beribu-ribu tahun dahulu.

Aku bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana diberi kesempatan untuk menjejakkan kaki di bumi Syam pada bulan Mei 2009. Pada waktu itu, aku sebenarnya sedang kecewa dengan keputusan peperiksaan aku. Aku cuma lulus 2 buah modul sahaja daripada 4 buah modul yang aku ambil dalam peperiksaan ulangan pada bulan April 2009. Jikalau diikutkan hati yang kecewa, hendak sahaja aku batalkan rancangan aku untuk ke bumi Syam. Namun, aku tetap gagahkan diri. Aku bertekad untuk mengambil kesempatan & peluang yang ada di bumi Syam nanti untuk berdoa kepada Allah SWT agar aku akan dipermudahkan dalam menduduki peperiksaan ulangan yang seterusnya, iaitu pada bulan November 2009. Bumi Syam sememangnya adalah bumi yang diberkati. Besar kemungkinan doa-doa aku akan lebih mudah dimakbulkan oleh-Nya sewaktu aku di sana.

Pengembaraan aku di bumi Syam bermula pada tarikh 17 Mei 2009 & berakhir pada tarikh 3 Jun 2009, iaitu selama lebih kurang 18 hari lamanya. Perancangan untuk ke sana telah aku lakukan seawal bulan Januari 2009. Aku sengaja memilih untuk ke sana pada bulan Mei 2009 memandangkan aku mempunyai masa terluang yang agak lama pada waktu itu, iaitu selepas tamatnya peperiksaan ulangan aku pada akhir bulan April 2009 & sebelum Hari Graduasi yang dijadualkan berlangsung pada tarikh 4 Jun 2009. Lebih kurang sebulan lamanya masa terluang yang aku ada.

Sewaktu membuat perancangan, aku menghubungi salah seorang rakan cyber aku yang bernama Hariz melalui Yahoo Messenger. Hariz pada waktu itu adalah pelajar Perubatan Tahun Pertama di Jordan University of Science & Technology (JUST) di Irbid, Jordan. Aku menghubunginya untuk mengkhabarkan kepadanya yang aku akan ke Jordan pada bulan Mei 2009 & aku bertanyakan sama ada aku boleh menumpang di rumahnya untuk beberapa hari. Dia lalu menyatakan yang dia tidak mempunyai apa-apa masalah untuk menumpangkan aku di rumahnya. Menurutnya lagi, dia juga boleh membawa aku ke beberapa buah tempat tumpuan pelancong di bahagian utara Jordan. Alhamdulillah. Lega rasanya apabila dia memberi respon sebegitu. Kami berdua sebenarnya sudah hampir setahun berkenalan melalui alam cyber. Minat yang sama, iaitu mengembara menemukan kami berdua. Blog aku sering menjadi singgahannya. Blognya juga turut menjadi singgahan aku. Alam cyber sememangnya banyak manfaatnya sekiranya digunakan dengan cara & niat yang betul.

Selain Hariz, aku juga turut menghubungi seorang lagi rakan cyber aku, iaitu Zaid, siswazah kelulusan Mu’tah University di Mu’tah, Jordan. Zaid adalah anak sulung kepada Makcik Ina, rakan cyber aku yang telah bertahun-tahun berkenalan, tetapi masih belum pernah bersua muka. Menurut Zaid, dia boleh membawa aku menziarahi beberapa buah tempat yang ada di tengah-tengah Jordan jikalau tiada aral melintang. Alhamdulillah. Semakin lega rasanya. Selepas sahaja aku mendapat maklum balas yang positif daripada mereka berdua, barulah aku membeli tiket penerbangan dari Dublin, Ireland ke Amman, Jordan. Aku membelinya pada awal bulan Februari 2009, 3 bulan sebelum berlepas ke sana. Sengaja aku membeli tiket tersebut awal-awal supaya selepas itu, aku dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan ulangan aku pada akhir bulan April 2009. Lagipun, harga tiket pada waktu itu agak murah.

Di bumi Jordan, aku bermukim di 2 buah bandar, iaitu Irbid & Mu’tah. Di Irbid, aku menumpang di rumah Hariz, sementara di Mu’tah pula, aku menumpang di rumah sekumpulan pelajar Malaysia di sana yang diberi nama Bayt Dimasyq (Rumah Dimasyq). Dari kedua-dua buah bandar itu, aku dibawa berjalan-jalan mengelilingi Jordan. Antara tempat-tempat di Jordan yang aku sempat kunjungi selain Irbid & Mu’tah ialah Amman, Jerash, Ajlun, Umm Qays, Laut Mati, Mount Nebo, Karak, Bayt Ras & Petra.

Dari bumi Jordan, aku kemudiannya mengembara ke 2 buah lagi negara yang terletak di bumi Syam, iaitu Syria & Lubnan. Di Syria, aku menumpang di rumah kenalan Zaid yang bernama Ikhwan, pelajar Malaysia di sebuah universiti di Damsyik. Sementara di Lubnan pula, aku menginap di sebuah hostel di Beirut. Sewaktu di Syria, aku hanya berkesempatan untuk menjejakkan kaki di Damsyik & Bosra sahaja. Sementara di Lubnan pula, aku cuma mengembara di Beirut. Aku tidak berkunjung ke Palestin atas faktor keselamatan. Israel pula sudah tentunya warganegara Malaysia tidak digalakkan sama sekali untuk masuk kerana tiadanya hubungan diplomatik antara Malaysia & negara haram itu.

Hari 1: 17 MEI 2009

Lebih kurang pukul 11.30 pagi, aku pun bertolak dari rumah menuju ke Lapangan Terbang Dublin dengan menaiki bas. Sesampainya aku di lapangan terbang tersebut, aku terus mendaftar masuk. Setelah itu, aku melalui zon pemeriksaan sekuriti. Kemudian, barulah aku berjalan menuju ke balai berlepas. Aku menunggu masa sebelum dipanggil masuk ke dalam pesawat. Aku akan ke Istanbul terlebih dahulu dari Dublin. Kemudiannya, dari Istanbul barulah aku akan menaiki penerbangan seterusnya ke Amman, Jordan. Setelah beberapa minit menunggu, para penumpang pun dibenarkan masuk ke dalam pesawat. Pesawat Turkish Airlines yang aku naiki berlepas meninggalkan Dublin menuju ke Istanbul pada pukul 2.20 petang. Perjalanan ke Istanbul memakan masa selama 4½ jam. Lebih kurang pukul 8.50 malam waktu tempatan Turki, aku pun tiba di Lapangan Terbang Attaturk, Istanbul.

Sesampainya aku di lapangan terbang tersebut, aku terus mendaftar masuk untuk penerbangan seterusnya, iaitu penerbangan ke Amman. Ia dijadualkan berlepas pada pukul 11.40 malam ini. Disebabkan tempoh masa transit agak singkat, aku tidak ke mana-mana. Aku hanya berlegar-legar di dalam lapangan terbang itu sahaja sehingga tiba masa untuk ke balai berlepas. Apabila sudah berada di balai berlepas, para penumpang pun dijemput masuk ke dalam pesawat selepas beberapa lama menunggu. Lebih kurang pukul 11.40 malam, penerbangan Turkish Airlines itu pun mulai berlepas meninggalkan Istanbul menuju ke Amman, Jordan. Perjalanan ke Amman memakan masa selama 2¼ jam.


Peta Perjalanan Aku (Dublin-Istanbul-Amman)


Hari 2: 18 MEI 2009

Lebih kurang pukul 1.50 pagi waktu tempatan Jordan, aku pun tiba di Lapangan Terbang Queen Alia, Amman. Setibanya aku di situ, aku menyelesaikan dahulu urusan visa yang boleh diperolehi daripada kaunter-kaunter visa pelancong yang terdapat di dalam lapangan terbang itu. Para pelancong boleh mendapatkan terus visa mereka di situ tanpa perlu memohonnya sebelum memasuki negara Jordan. Selepas sudah mendapatkan visa & selesai dengan urusan imigresen, aku mendapatkan pula beg pakaian aku. Kemudian, barulah aku berjalan keluar menuju ke kawasan menunggu untuk berjumpa dengan Hariz.

Di kawasan menunggu, aku melihat Hariz & seorang rakannya sedang berdiri menunggu ketibaan aku. Ini sebenarnya adalah kali pertama aku & Hariz bersua muka. Sebelum ini, kami hanya melihat wajah masing-masing di blog masing-masing & juga di halaman Facebook masing-masing. Hahaha. Terima kasih kepada alam cyber yang telah menjadi medium perkenalan kami berdua. Hariz kemudiannya memperkenalkan rakannya yang bernama Ideris kepada aku. Ideris juga adalah pelajar Perubatan Tahun Pertama di JUST, sama sepertinya.

Selepas bersalaman dengan mereka berdua, mereka membawa aku keluar dari terminal lapangan terbang itu untuk mendapatkan teksi. Menurut Hariz, pada malam ini, kami akan bermalam di rumah pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Jordan yang bernama Encik Hasmat. Rumahnya terletak di pinggir bandar Amman. Perjalanan dari Lapangan Terbang Queen Alia ke rumah Encik Hasmat dengan menaiki teksi memakan masa lebih kurang sejam. Agak jauh juga lokasi lapangan terbang itu dari bandar Amman. Sepanjang dalam perjalanan, kami bertiga berbual-bual mengenai pelbagai perkara sehinggalah kami akhirnya tiba di kawasan berhampiran rumah Encik Hasmat.

Kami kemudiannya turun dari teksi itu & terus mencari lokasi rumah Encik Hasmat. Hariz agak ingat-ingat lupa akan lokasi rumah pegawai JPA itu. Namun, setelah dicari dengan betul, akhirnya kami berjaya juga menjumpainya. Rumahnya terletak betul-betul berdekatan dengan sebuah masjid besar yang berwarna putih. Besar sekali rumah Encik Hasmat ni. Entah berapalah sewanya. Sesampainya kami di rumah tersebut, kami dijemput masuk oleh Encik Hasmat yang kelihatannya baru bangun dari tidur & masih lagi dalam keadaan mamai. Aku berasa agak bersalah kerana mengganggunya pada awal-awal pagi ini. Waktu Subuh pun belum masuk. Aku, Hariz & Ideris kemudiannya dibawa ke bilik tetamu. Ternyata, rumahnya memang amat besar. Selesa pula tu. Selepas meninggalkan kami bertiga di bilik tetamu, Encik Hasmat kembali menyambung tidurnya di biliknya.

Aku sebenarnya tidak rasa mengantuk. Mungkin kerana aku telah puas tidur di dalam kapal terbang tadi. Oleh itu, aku hanya menunggu sahaja waktu Subuh. Sementara itu, Hariz & Ideris cuba-cuba untuk tidur, tetapi tidak berjaya. Akhirnya, kami mengisi masa yang ada dengan berbual-bual tentang perancangan kami di Jordan nanti. Hariz telah membantu aku merancang pengembaraan aku di utara negara Jordan. Terhutang budi aku padanya.

Apabila sudah masuk waktu Subuh, kami bertiga pun menunaikan solat. Kemudian, kami cuba melelapkan mata. Dapat juga kami melelapkan mata lebih kurang sejam. Kemudiannya, lebih kurang pukul 7.30 pagi, kami dikejut oleh Encik Hasmat kerana dia perlu keluar untuk bekerja. Dia menjemput kami untuk bersarapan pagi. Selepas bangun dari tidur, aku terus ke bilik air untuk mandi. Selepas itu, barulah aku, Hariz & Ideris ke meja makan untuk bersarapan pagi. Encik Hasmat tidak sempat untuk bersarapan pagi dengan kami kerana dia perlu segera ke pejabatnya. Sebelum dia keluar, aku meminta keizinannya untuk menumpangkan beg aku di rumahnya sehingga waktu petang nanti kerana kami bertiga akan berjalan-jalan di bandar Amman hari ini sebelum pulang ke Irbid. Dia tanpa rasa berat hati memberi keizinan kepada aku. Aku lalu mengucapkan terima kasih & dia kemudiannya terus mencapai kunci keretanya untuk ke pejabatnya.

Selepas bersarapan pagi, kami bertiga pun keluar untuk menahan teksi di jalanraya di hadapan rumah Encik Hasmat. Kami menuju ke pusat bandar Amman, Jordan. Hariz & Ideris sebenarnya mempunyai kuliah pada hari ini. Namun, mereka sanggup ponteng kuliah mereka semata-mata untuk membawa aku jalan-jalan di Amman. Hahaha. Aku berasa sangat bersalah.

Jordan atau nama rasminya Hashemite Kingdom of Jordan adalah negara pertama di bumi Syam yang aku jejaki. Negara ini disempadani oleh Syria di bahagian utara, Iraq di bahagian timur laut, Israel & Palestin (Tebing Barat) di bahagian barat & Arab Saudi di bahagian timur & selatannya. Persisiran pantainya cuma ada dua sahaja, iaitu pantai Laut Mati yang menjadi sempadannya dengan Palestin (Tebing Barat) & pantai Teluk Aqabah di bahagian selatannya. Jumlah panjang kedua-dua pantai tersebut hanya 26 kilometer sahaja. Hampir keseluruhan bentuk muka bumi Jordan merupakan padang pasir yang tandus. Cuma kawasan di sekitar Sungai Jordan di bahagian barat lautnya sahaja yang agak subur untuk bercucuk tanam.


Peta negara Jordan


Bendera negara Jordan


Peta Topografi negara Jordan

Penduduk Jordan berjumlah 6.3 juta orang kesemuanya. Mereka semua menggunakan Bahasa Arab dalam kehidupan seharian. Penggunaan Bahasa Inggeris agak terhad, menyebabkan aku menghadapi masalah untuk berkomunikasi dengan penduduk tempatan. Aku pula tidak tahu berbahasa Arab. Mujurlah rakan-rakan di Jordan banyak membantu. Jika tidak, aku sendiri tidak tahu bagaimana untuk 'hidup' di sini. Hampir kesemua penduduk Jordan berketurunan Arab. 92% daripada mereka beragama Islam. Yang selebihnya adalah penganut agama Kristian Greek Orthodox & Roman Katolik. Negara Jordan adalah antara negara di dunia yang menerima paling ramai mangsa pelarian. Pelarian utama yang diterima masuk di Jordan adalah pelarian dari Palestin. Pada masa kini, seramai hampir 2 juta orang pelarian Palestin tinggal di bumi Jordan, terutamanya di Amman.

Jordan mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan. Ketua negaranya adalah Raja. Ketua pentadbirannya pula adalah Perdana Menteri. Matawang yang digunakan di negara ini ialah Dinar. 1.00 Euro bersamaan dengan 1.00 Dinar. 1.00 Ringgit pula bersamaan dengan 0.20 Dinar. Jordan adalah sekutu kuat negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat, Perancis & United Kingdom. Ia juga adalah salah satu daripada 2 buah negara Arab yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara haram Israel. Yang satu lagi adalah Mesir.

Kawasan barat Jordan mengalami iklim Mediterranean, iaitu panas & kering sewaktu Musim Panas & sejuk & lembap sewaktu Musim Sejuk. Kebanyakan kawasan di barat laut negara ini, terutamanya Amman, menerima jumlah salji yang lebat sewaktu Musim Sejuk. Sementara itu, kawasan timurnya pula mengalami iklim padang pasir yang kering.

Menurut kajian sejarah, kerajaan pertama yang wujud di bumi Jordan ialah kerajaan Nabatean yang berpusat di Petra. Kemudian, bumi Jordan ini ditakluki pula oleh beberapa buah empayar. Antara empayar-empayar yang pernah berkuasa di sini sebelum kedatangan Islam mengikut turutan kronologi ialah Assyria, Babylon, Parsi, Rom & akhir sekali Byzantine. Selepas kebangkitan Islam di semenanjung Arab, bumi Jordan akhirnya berjaya ditawan oleh kerajaan Islam yang berpusat di Madinah daripada Empayar Byzantine pada kurun ke-7. Bumi Jordan kekal berada di bawah pemerintahan kerajaan-kerajaan Islam yang seterusnya, iaitu kerajaan Bani Umayyah & kemudiannya kerajaan Bani Abbasiyah. Apabila kerajaan Bani Abbasiyah dilenyapkan oleh serangan tentera Mongol pada kurun ke-13, bumi Jordan ditawan buat beberapa ketika oleh orang-orang Mongol. Mereka kemudian berjaya dihalau keluar. Bumi Jordan kemudiannya jatuh pula ke tangan kuasa tentera Salib. Setelah mereka berjaya dihalau oleh tentera Salahuddin al-Ayyubi dalam Perang Salib Ketiga, bumi Jordan berada di bawah pemerintahan kerajaan Ayyubiyah pula & kemudiannya kerajaan Mamluk. Akhirnya, pada kurun ke-16, bumi Jordan menjadi sebahagian daripada Empayar Turki Uthmaniyah.

Selepas kekalahan Empayar Turki Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama, seluruh bumi Syam jatuh ke tangan British & Perancis. Kedua-dua kerajaan tersebut kemudian membahagi-bahagikan kawasan yang ditakluki oleh mereka ini. Kawasan utara, iaitu Syria & Lubnan diserahkan kepada Perancis, sementara kawasan selatan, iaitu Palestin & Jordan diserahkan kepada British. Jordan pada waktu itu diberi nama Transjordan. Abdullah I dilantik sebagai ‘Emir’ Transjordan oleh British. Abdullah I sebenarnya adalah tali barut British sewaktu usaha untuk melemahkan Empayar Turki Uthmaniyah sebelum berlakunya Perang Dunia Pertama. Dia telah bekerjasama dengan Thomas Edward Lawrence atau lebih dikenali dengan nama Lawrence of Arabia untuk menimbulkan rusuhan & menaikkan semangat nasionalisma di kalangan orang-orang Arab untuk menentang pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah di tanah Arab. Dia telah dijanjikan takhta sebagai seorang 'Emir' oleh British sekiranya tanah Arab berjaya dibebaskan daripada empayar tersebut. Dan hajatnya tercapai selepas kekalahan Empayar Turki Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama.

Setahun selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, iaitu pada tahun 1946, Jordan telah mendapat kemerdekaan daripada British. Abdullah I secara automatik ditabalkan sebagai Raja Jordan. Walau bagaimanapun, disebabkan kebencian sesetengah pihak yang menganggapnya sebagai tali barut British & bertanggungjawab menghancurkan Empayar Turki Uthmaniyah, dia telah dibunuh sewaktu di Jerusalem pada tahun 1951.


Raja Abdullah I


Lawrence of Arabia

Jordan kemudiannya telah menyertai beberapa siri peperangan bersama negara-negara Arab yang lain bagi menentang kewujudan negara Israel. Antaranya ialah Perang Arab-Israel pada tahun 1948 & Perang 6 Hari pada tahun 1967. Walau bagaimanapun, satu perjanjian damai antara Jordan & Israel akhirnya ditandatangani pada tahun 1994 sewaktu Jordan di bawah pemerintahan Raja Hussein. Perkara ini mendapat tentangan yang hebat daripada rakyat Jordan, namun kuasa Raja tiada sesiapa yang dapat menghalang. Mulai dari hari itu, Jordan mengiktiraf kedaulatan negara Israel & menjalinkan hubungan diplomatik yang baik dengan negara haram itu sehinggalah ke hari ini.


Raja Hussein

Amman adalah ibu negara Jordan & bandar yang terbesar di negara ini. Jumlah penduduknya adalah seramai 2.5 juta orang. Ia juga adalah antara bandar yang tertua di dunia yang terus-menerus dihuni oleh manusia. Bandar ini terletak di kawasan tanah tinggi yang dikelilingi oleh 7 buah bukit di sekitarnya. Disebabkan itulah bandar ini mempunyai suhu yang agak rendah berbanding tempat-tempat lain di negara Jordan. Salji amat kerapkali turun di sini setiap kali tibanya Musim Sejuk. Kedudukan bandar Amman ini sebenarnya amat hampir dengan kota Jerusalem atau Al-Quds di mana terletaknya Masjidil Aqsa. Sekiranya bumi Palestin tidak bergolak seperti sekarang, sudah pasti aku akan menjejakkan kaki aku di masjid yang suci itu.


Kedudukan Amman dalam peta Jordan


Bandar Amman diselaputi salji sewaktu Musim Sejuk

Amman telah menjadi penempatan manusia sejak 10,500 tahun dahulu. Ia pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan Assyria yang wujud dari kurun ke-9 SM hingga kurun ke-6 SM. Selepas itu, Amman jatuh ke tangan kerajaan Parsi & kemudiannya kerajaan Greek. Di bawah kerajaan Greek yang ditadbir oleh Ptolemy II, kota ini mula diberi nama Philadelphia. Sesudah itu, kerajaan Nabatean pula mengambil alih pemerintahannya sehingga tahun 106 M. Pada tahun tersebut, kota ini telah jatuh ke bawah kekuasaan Empayar Rom. Di bawah pemerintahan Empayar Rom, kota ini dijadikan salah satu daripada Decapolis, iaitu sekumpulan 10 kota yang dibangunkan oleh empayar tersebut di bumi Syam. 6 daripada 10 kota tersebut terletak di Jordan pada masa kini, iaitu Philadephia (Amman), Gerasa (Jerash), Gadara (Umm Qays), Pella, Dion (Bayt Ras) & Raphana. 2 daripadanya terletak di Syria, iaitu Damascus (Damsyik) & Canatha (Qanawat). Dan 2 lagi pula terletak di Israel, iaitu Scythopolis (Beth-Shean) & Hippus (Sussita).


Peta lokasi kesemua Decapolis di bumi Syam ketika era pemerintahan Empayar Rom

Nama ‘Amman’ hanya diberi kepada kota ini sekitar kurun ke-5 sewaktu kota ini di bawah pemerintahan Empayar Byzantine. Pada kurun ke-7, sewaktu kebangkitan kuasa Islam di tanah Arab, Amman akhirnya jatuh ke bawah panji Islam yang berpusat di Madinah setelah ianya berjaya dirampas daripada Empayar Byzantine. Seterusnya, kota ini berada di bawah naungan kerajaan Bani Umayyah & kemudiannya kerajaan Bani Abbasiyah. Akhirnya, ia menjadi sebahagian daripada Empayar Turki Uthmaniyah. Selepas Jordan mendapat kemerdekaan daripada British pada tahun 1946, Amman secara rasminya dijadikan ibu negara Jordan. Populasi Amman yang pada mulanya sedikit secara tiba-tiba naik mendadak dengan kebanjiran pelarian Palestin ke sini pada tahun 1948 selepas penubuhan negara haram Israel di tanah Palestin. Pelarian-pelarian Palestin itu masih lagi tinggal di bumi Amman sehingga sekarang & telah beranak-pinak di sini.

Lokasi pertama di Amman yang aku, Hariz & Ideris jejaki ialah Citadel Hill atau dalam Bahasa Arabnya, Jabal Qala’ah. Kubu pertahanan yang terletak di atas sebuah bukit ini dikatakan telah wujud sebelum kedatangan kerajaan Greek & Rom ke sini lagi. Sewaktu ketibaan Empayar Rom, kubu pertahanan ini diperkukuhkan lagi. Ianya terus digunakan sewaktu pemerintahan kerajaan-kerajaan Islam di kota Amman. Terdapat 3 binaan utama di kawasan Citadel Hill ini, iaitu runtuhan Temple of Hercules, Umayyad Palace & tapak Byzantine Church. Temple of Hercules dikatakan telah dibina antara tahun 161 hingga 169 sewaktu di bawah pemerintahan Maharaja Rom yang bernama Marcus Aurelius. Yang tinggal kini hanyalah sisa runtuhannya. Umayyad Palace pula adalah bangunan lama yang dibina sewaktu pemerintahan kerajaan Bani Umayyah di Amman. Ianya dibina sekitar tahun 720. Fungsinya tidak diketahui. Bangunan tersebut juga hanya meninggalkan sisa-sisa runtuhannya sahaja. Dan Byzantine Church yang kini hanya meninggalkan tiang-tiangnya sahaja pula merupakan sebuah gereja yang dibina sekitar kurun ke-6 sewaktu pemerintahan Empayar Byzantine di sini.


Bersama Ideris di Citadel Hill, Amman, Jordan


Runtuhan Temple of Hercules di Citadel Hill, Amman, Jordan


Bersama Hariz di runtuhan Temple of Hercules di Citadel Hill, Amman, Jordan


Runtuhan Umayyad Palace di Citadel Hill, Amman, Jordan


Runtuhan Umayyad Palace di Citadel Hill, Amman, Jordan


Runtuhan Byzantine Church di Citadel Hill, Amman, Jordan

Dari kawasan Citadel Hill itu, aku dapat melihat panorama kota Amman yang sememangnya amat menakjubkan sekali. Aku seperti tidak percaya yang pemandangan yang terbentang luas di hadapan aku itu adalah sebuah kota lama yang telah wujud sejak beribu-ribu tahun dahulu. Seperti sebuah mimpi. Dari kawasan tersebut, Roman Theatre yang bakal menjadi destinasi aku yang seterusnya jelas kelihatan. Subhanallah. Begitu besar & agung sekali binaannya. Di kawasan Citadel Hill ini terdapat juga sebuah muzium, iaitu Jordan Archaeological Museum. Muzium ini mempamerkan khazanah-khazanah lama di Jordan sejak dari zaman prasejarah sehinggalah ke kurun ke-15. Salah satu khazanah berharga yang disimpan di sini ialah koleksi Dead Sea Scrolls yang merupakan manuskrip penting bagi agama Kristian & Yahudi yang dijumpai pada tahun 1952.


Panorama kota Amman dari Citadel Hill, Amman, Jordan


Panorama kota Amman dari Citadel Hill, Amman, Jordan


Panorama kota Amman & Roman Theatre dari Citadel Hill, Amman, Jordan


Panorama kota Amman & Roman Theatre dari Citadel Hill, Amman, Jordan


Jordan Archaeological Museum di Citadel Hill, Amman, Jordan


Jordan Archaeological Museum di Citadel Hill, Amman, Jordan


Dead Sea Scrolls

Tempat seterusnya yang kami bertiga jejaki ialah Roman Theatre, bangunan hebat yang berbentuk seperti stadium yang dibina antara tahun 138 hingga 161 sewaktu di bawah pemerintahan Maharaja Rom yang bernama Antonius Pius. Sewaktu era pemerintahan Empayar Rom dahulu, Roman Theatre ini boleh memuatkan seramai 6,000 orang penonton dalam suatu masa. Bangunan ini masih lagi digunakan sehingga kini untuk persembahan muzik atau teater. Aku benar-benar kagum melihat senibina Roman Theatre ini. Ia menggambarkan betapa hebatnya teknologi & kepakaran manusia pada zaman dahulu sehingga dapat membina bangunan sebesar & semegah ini yang masih lagi kukuh sehingga ke hari ini walaupun usianya sudah menjangkau hampir 2,000 tahun. MasyaAllah.


Bersama Hariz di Roman Theatre, Amman, Jordan


Roman Theatre, Amman, Jordan


Roman Theatre, Amman, Jordan


Roman Theatre, Amman, Jordan


Roman Theatre, Amman, Jordan

Selepas puas bergambar di Roman Theatre yang besar & mengagumkan itu, Hariz & Ideris membawa aku ke sebuah masjid di kota Amman. Hariz & Ideris sendiri tidak pasti apa namanya. Aku menunaikan solat Zohor di situ. Selepas solat, kami singgah di sebuah restoran untuk menikmati makan tengah hari. Mereka berdua belanja. Hahaha. Terima kasih Hariz & Ideris!!


Sebuah masjid di Amman, Jordan

Selesai sahaja makan tengah hari, aku, Hariz & Ideris menyambung semula ekspedisi kami menjelajahi bandar Amman. Destinasi kami yang seterusnya ialah Gua Ashabul Kahfi. Gua tersebut terletak jauh di pinggir bandar Amman. Untuk ke sana, kami bertiga terpaksa menaiki teksi. Apabila tiba di lokasi gua yang dimaksudkan, kami meminta pemandu teksi tadi menunggu kami di situ sementara kami menerokai kawasan gua tersebut. Kami akan pulang semula ke bandar Amman sebaik sahaja kami selesai menziarahi gua bersejarah itu. Di kawasan gua itu, terdapat sebuah masjid besar yang kelihatannya seperti baru dibina.

Sewaktu kami tiba di hadapan pintu gua itu, pintunya sedang ditutup & berkunci. Kami terpaksa menunggu beberapa minit sehingga penjaganya datang untuk membuka pintu itu. Apabila kami sudah dapat masuk ke dalamnya, penjaga gua itu pun menceritakan tentang sejarah Ashabul Kahfi mengikut sumber yang terdapat di dalam Al-Qur’an. Dia juga turut menunjukkan bukti-bukti yang dapat dilihat di dalam gua itu yang mengukuhkan lagi bukti bahawa gua tersebut adalah lokasi di mana berlakunya peristiwa itu. Penjaga gua itu memberi penerangan dalam Bahasa Arab. Terima kasih aku ucapkan kepada Hariz yang sudi menterjemahkan apa yang diterangkannya kepada aku dalam Bahasa Melayu.


Kawasan Gua Ashabul Kahfi, Amman, Jordan


Kawasan Gua Ashabul Kahfi, Amman, Jordan


Kawasan Gua Ashabul Kahfi, Amman, Jordan


Pintu Gua Ashabul Kahfi, Amman, Jordan


Pintu Gua Ashabul Kahfi, Amman, Jordan


Ruang dalam Gua Ashabul Kahfi, Amman, Jordan

Secara ringkasnya, menurut Al-Quran, kisah Ashabul Kahfi adalah kisah benar tentang beberapa orang pemuda yang melarikan diri daripada kekejaman raja yang memerintah kerajaan mereka pada waktu itu, di mana mereka dilarang daripada beriman kepada Allah SWT. Jumlah bilangan pemuda Ashabul Kahfi tidak disebut di dalam Al-Quran & hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui. Setelah berjaya melarikan diri, mereka bersembunyi di dalam sebuah gua. Dengan kuasa Allah SWT, mereka telah ditidurkan selama 309 tahun. Apabila mereka dibangunkan, salah seorang daripada mereka keluar untuk membeli makanan. Sewaktu hendak membayar makanan yang dibelinya, pemuda tersebut diberitahu bahawa syiling yang digunakannya sudah beratus tahun tidak digunakan di negeri itu. Ini sekaligus memeranjatkan pemuda itu, termasuklah mereka yang berada di sekeliling.

Rasulullah SAW ketika era awal penyebaran dakwahnya di Mekah telah dicabar oleh pembesar-pembesar Quraisy yang kafir untuk menceritakan tentang kisah beberapa orang pemuda yang pernah hilang pada suatu zaman dahulu & termasuk jumlah bilangannya sekali. Tiada sesiapa pun di kalangan orang-orang Arab tahu akan kisah Ashabul Kahfi pada waktu itu, termasuklah Rasulullah SAW sendiri. Pembesar-pembesar Quraisy itu hanya mengetahui tentang kisah tersebut setelah diberitahu oleh orang-orang Yahudi yang sudah sedia maklum mengenai kisah pemuda-pemuda tersebut. Orang-orang Yahudi itu telah berkata kepada pembesar-pembesar Quraisy, sekiranya Muhammad mengetahui tentang kisah pemuda-pemuda yang hilang itu, termasuk jumlah bilangannya sekali, maka benarlah dia seorang Rasul yang diutuskan Allah SWT. Setelah dicabar oleh pembesar-pembesar Quraisy tadi, Rasulullah SAW meminta tempoh satu hari untuk memberi jawapannya.

Tidak lama kemudian, turunlah Surah Al-Kahfi yang menceritakan tentang kisah pemuda-pemuda berkenaan. Keesokannya, Rasulullah SAW pun membacakan surah tersebut di hadapan pembesar-pembesar Quraisy yang telah mencabarnya & juga di hadapan orang-orang Yahudi yang berkomplot dengan mereka. Mereka semua terkejut mendengar bacaan Rasulullah SAW. Apa yang diceritakan oleh baginda melalui bacaan Surah Al-Kahfi itu sama seperti apa yang mereka ketahui. Cuma jumlah bilangan pemuda-pemuda tersebut sahaja yang tidak disebut kerana itu adalah rahsia Allah SWT. Terbuktilah bahawa Rasulullah SAW adalah sememangnya Rasul utusan Allah SWT untuk umat manusia sejagat. Untuk membaca kisah Ashabul Kahfi seperti mana yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW, sila baca terjemahan Surah Al-Kahfi dari ayat 9 hingga ayat 26. Berikut adalah petikan beberapa ayat daripada surah tersebut:

أَمْ حَسِبْتَ أَنَّ أَصْحَابَ الْكَهْفِ وَالرَّقِيمِ كَانُوا مِنْ آيَاتِنَا عَجَبًا ﴿٩﴾ إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا ﴿١٠﴾ فَضَرَبْنَا عَلَى آذَانِهِمْ فِي الْكَهْفِ سِنِينَ عَدَدًا ﴿١١﴾ ثُمَّ بَعَثْنَاهُمْ لِنَعْلَمَ أَيُّ الْحِزْبَيْنِ أَحْصَى لِمَا لَبِثُوا أَمَدًا ﴿١٢﴾ نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣

Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah Ashabul Kahfi dan Ar-Raqiim itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? (Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa, "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami." Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya. Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu). Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. (Surah Al-Kahfi: ayat 9-13)

Lokasi Gua Ashabul Kahfi sebenarnya mempunyai banyak pendapat. Ada pendapat yang mengatakan bahawa ia terletak di Amman, Jordan, iaitu gua yang kami ziarahi itu. Ada pula pendapat yang mengatakan bahawa ia terletak di Ephesus, Turki. Dan ada juga pendapat yang mengatakan bahawa ia terletak di Damsyik, Syria. Namun, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui. Walau bagaimanapun, lokasi gua di Amman, Jordan ini adalah lokasi gua yang mempunyai bukti-bukti yang paling kuat berdasarkan beberapa ciri gua Ashabul Kahfi seperti yang telah diceritakan oleh Rasulullah SAW. Ia juga adalah yang paling popular antara ketiga-tiga lokasi yang telah aku sebut di atas. Kisah tentang pemuda-pemuda Ashabul Kahfi ini juga sebenarnya turut diketahui oleh orang-orang Kristian Roman Katolik melalui kitab Bible mereka.

Setelah puas melihat ruang dalaman Gua Ashabul Kahfi itu, kami bertiga pun kembali semula ke pemandu teksi yang sedang menunggu kami di luar. Hariz lalu meminta pemandu teksi itu menurunkan kami di sebuah masjid di tengah-tengah kota Amman yang bernama Abu Darweesh Mosque. Masjid itu terletak di lokasi yang tertinggi di Amman, iaitu di atas bukit yang bernama Jabal Ashrafieh. Ianya adalah masjid yang mempunyai senibina yang paling unik di Amman & juga di Jordan kerana bercorakkan belang-belang hitam & putih. Kami pada mulanya berniat untuk berehat-rehat di dalamnya sementara menunggu masuknya waktu solat Asar. Namun, masjid tersebut sedang ditutup pula & hanya akan dibuka semula apabila masuk waktu solat Asar nanti. Disebabkan itu, kami terpaksa berehat-rehat di sebuah lagi masjid yang terletak berhampiran dengan Abu Darweesh Mosque itu. Apabila masuk waktu solat Asar, kami pun menunaikan solat di masjid tersebut.


Abu Darweesh Mosque, Amman, Jordan


Abu Darweesh Mosque, Amman, Jordan

Selepas menunaikan solat, kami menaiki teksi untuk kembali semula ke rumah Encik Hasmat. Dengan ini, maka tamatlah sudah ekspedisi aku, Hariz & Ideris di bandar Amman. Sesampainya kami di rumah Encik Hasmat, aku mengambil semula beg aku yang ditinggalkan di rumahnya itu. Kemudian, kami bertiga pun meminta diri untuk pulang ke Irbid. Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepadanya & keluarganya kerana sudi menumpangkan kami di rumahnya. Setelah bersalam-salaman dengan Encik Hasmat, kami bertiga pun terus menaiki teksi menuju ke stesen bas Abdali, Amman. Setibanya di stesen bas itu, kami pun menaiki bas untuk ke Irbid. Perjalanan dari Amman ke Irbid memakan masa lebih kurang 1½ jam. Kami bertiga tidur dengan nyenyaknya sepanjang perjalanan kerana terlampau penat.

1½ jam kemudian, kami bertiga pun tiba di stesen bas Irbid. Untuk ke flat sewa mereka berdua, kami bertiga menaiki teksi. Tidak berapa lama kemudian, kami pun tiba di flat tersebut. Hariz membawa aku ke apartmennya. Ideris yang tinggal di apartmen berlainan kembali ke apartmennya itu. Pada waktu itu, pintu apartmen Hariz sedang berkunci & kebetulan tiada sesiapa di dalamnya memandangkan salam & ketukan yang diberi tidak berjawab. Mungkin mereka semua ke masjid untuk solat Maghrib. Hariz pula telah kehilangan kuncinya sejak beberapa hari yang lalu. Oleh itu, sementara menunggu kepulangan ahli-ahli apartmennya, aku dibawa oleh Hariz untuk menunggu di sebuah apartmen pelajar-pelajar Malaysia yang terletak di tingkat bawah apartmennya. Di apartmen tersebut, aku diperkenalkan dengan penghuni-penghuninya, iaitu Ibrahim & Poey. Mereka juga adalah pelajar Perubatan Tahun Pertama di universiti yang sama dengan Hariz. Mereka membela seekor kucing betina yang comel yang baru sahaja melahirkan anak. Hahaha.

Selepas berbual-bual dengan mereka bertiga & menunaikan solat Maghrib, Hariz pun membawa aku pulang semula ke apartmennya. Syukurlah pada waktu itu, sudah ada orang di dalamnya. Pintu pun dibuka. Aku diperkenalkan dengan Hadi, yang juga merupakan salah seorang pembaca blog aku, sama seperti Hariz. Hahaha. Terasa popular pula diri aku. Selepas itu, aku diperkenalkan pula dengan 2 orang lagi penghuni apartmen itu, iaitu Mursyid & Hidayat. Mereka semua adalah pelajar Perubatan Tahun Pertama di JUST. Selepas meletakkan barang-barang aku di dalam bilik Hariz & berehat-rehat di dalamnya, aku dijemput untuk makan malam bersama mereka seiisi rumah. Malam itu adalah tugas Hadi untuk memasak. Boleh tahan sedap juga masakannya. Sambil makan, kami berlima berbual-bual mengenai pelbagai perkara.

Selepas makan, aku kembali semula ke dalam bilik Hariz untuk solat Isyak. Selepas solat Isyak, aku membaringkan diri di atas tilam yang dia sediakan. Tidak berapa lama selepas itu, Hariz mengajak aku keluar untuk merasa manisan Arab di sebuah restoran yang terletak di sebatang jalan yang bernama Syari’ Jami’ah, yang bermaksud University Street. Jalan ini amat popular di kalangan pelajar-pelajar di Irbid. Terdapat banyak restoran-restoran di tepi jalan ini yang sentiasa dipenuhi oleh mereka, tidak kira siang atau malam. Kami berdua berbual-bual sambil makan manisan. Setelah selesai makan, kami pun pulang semula ke apartmennya untuk tidur. Berakhirlah hari pertama aku di Jordan.

Hari 3: 19 MEI 2009

Pada hari ini, Hadi pula ditugaskan untuk membawa aku jalan-jalan kerana di dalam jadualnya, dia tidak perlu menghadiri apa-apa kuliah pada hari ini, sementara Hariz pula awal-awal pagi lagi sudah ke universiti untuk menghadirkan diri dalam kuliah-kuliahnya. Sebelum Hariz keluar dari apartmennya, aku meminta pertolongannya untuk membelikan aku kad SIM Jordan untuk aku gunakan sepanjang berkelana di bumi Syam ini. Tanpa perhubungan melalui telefon, susah untuk aku 'survive' di sini.

Hadi membawa aku ke 2 buah lokasi tarikan pelancong yang terletak di bahagian utara negara Jordan, tidak jauh dari Irbid, iaitu Jerash & Ajlun. Sewaktu sedang bersiap-siap untuk keluar, Hadi memberitahu aku yang ada seorang lagi rakannya yang hendak mengikut kami bersama. Dia tinggal di apartmen yang sama dengan Poey & Ibrahim, iaitu di apartmen bawah yang aku & Hariz singgah malam semalam. Apabila kami berdua sudah siap untuk bertolak, Hadi pun turun ke apartmen tersebut untuk memanggil rakannya itu keluar. Sementara aku pula tunggu di bahagian luar flat. Seketika kemudian, Hadi datang kepada aku & berkata yang rakannya itu belum habis bersiap. Menurutnya, dia akan jumpa kami di sebuah restoran di Syari’ Jami’ah nanti. Aku & Hadi kemudiannya pun berjalan menuju ke restoran yang dimaksudkan itu.

Sedang kami berdua menikmati sarapan pagi kami di restoran itu, datanglah orang yang hendak mengikut kami berdua ke Jerash & Ajlun itu. Dia memperkenalkan dirinya kepada aku sebagai Dziya. Dia juga adalah pelajar Perubatan Tahun Pertama di JUST, sama seperti Hadi, Hariz & yang lain-lain. Selepas memperkenalkan diri masing-masing, kami pun duduk makan bersama sambil berbual-bual. Selesai sahaja makan, kami bertiga menaiki teksi menuju ke stesen bas Irbid. Dari stesen bas tersebut, kami menaiki bas ke Jerash. Perjalanan ke sana memakan masa lebih kurang 45 minit. Agak lama juga.

Setelah 45 minit berada di dalam bas, kami akhirnya tiba di pintu masuk Jerash. Kami lalu turun dari bas tersebut & melangkah kaki ke pintu masuknya itu untuk membeli tiket. Setelah membeli tiket, kami bertiga pun memulakan penjelajahan kami di kota lama Jerash itu. Hadi menjadi penunjuk arah dengan menggunakan peta kota Jerash yang terdapat dalam buku panduan 'Middle East' terbitan Lonely Planet kepunyaan aku.

Kawasan Jerash sebenarnya telah menjadi penempatan manusia sejak 6,500 tahun dahulu lagi. Ia kemudiannya menjadi sebahagian daripada kerajaan Greek. Kota ini hanya mula membangun sewaktu kerajaan Greek berada di bawah pimpinan Alexander the Great. Seorang ahli matematik berbangsa Greek yang bernama Nicomachus dikatakan pernah tinggal di kota ini. Beliau amat masyhur di seluruh dunia kerana telah mencipta konsep Arithmatik. Beberapa lama kemudian, iaitu pada tahun 63 Masihi, Empayar Rom telah berjaya menawan Jerash.


Kedudukan kota Jerash dalam peta Jordan

Di bawah pemerintahan Empayar Rom, kota Jerash mencapai zaman kegemilangannya & dijadikan salah satu daripada 10 buah Dekopolis yang terletak di bumi Syam ini. Namun, pada tahun 614M, kota ini ditawan oleh Empayar Parsi & popularitinya kian menurun selepas itu. Walau bagaimanapun, zaman kegemilangannya berjaya dikembalikan semula apabila ia berada di bawah kerajaan Bani Umayyah mulai tahun 636M. Kejadian gempa bumi yang berlaku pada tahun 749M telah merosotkan kembali popularitinya akibat robohnya banyak binaan & terkorbannya ramai nyawa. Ini telah menyebabkan penduduk di Jerash semakin berkurangan dari sehari ke sehari kerana ramai yang telah berhijrah ke kota lain. Selepas hancurnya kerajaan Bani Umayyah pada tahun 750M, kerajaan Bani Abbasiyah pula mengambil alih pemerintahan Jerash. Seterusnya, kota ini ditakluk pula oleh kuasa-kuasa lain seperti tentera Salib, Ayyubiah, Mamluk & Turki Uthmaniyah.

Selepas ramai yang telah berhijrah keluar, kota Jerash ini akhirnya ditinggalkan begitu sahaja & seterusnya ditimbuni oleh pasir tiupan angin sehinggalah ianya dijumpai semula secara tidak sengaja oleh seorang pelancong Jerman pada tahun 1806. Kerja-kerja membaik pulih kawasan ini hanya dimulakan pada tahun 1920. Jerash kini merupakan runtuhan kota binaan Rom di luar Itali yang paling elok sekali keadaannya walaupun setelah beratus-ratus tahun lamanya masa berlalu. MasyaAllah. Aku berasa bangga kerana dapat memijakkan kaki di sini. Menurut statistik, Jerash adalah tempat kedua yang paling kerap dikunjungi pelancong di bumi Jordan, selepas Petra.

Antara binaan-binaan penting yang terdapat di dalam kota Jerash ialah Hippodrome, South Gate, Temple of Zeus, Oval Plaza (Forum), Cardo Maximus, Colonnaded Street, Nymphaeum, Temple of Artemis, North Theatre, Church of Bishop Isaiah, Umayyad Houses, South Decumanus, South Theatre, Hadrian’s Arch & North Gate. Hippodrome adalah gelanggang perlumbaan kereta berkuda atau 'chariot' yang boleh memuatkan seramai 16,000 penonton dalam suatu masa. Hadrian’s Arch dibina pada tahun 129M sebagai memberi penghormatan atas kunjungan Maharaja Hadrian ke sini. Temple of Zeus adalah kuil lama yang dibina pada tahun 162M. Oval Plaza (Forum) adalah tarikan yang paling utama di kota Jerash ini. Ianya adalah sebuah dataran berbentuk bujur di mana terdirinya 56 batang tiang yang mengelilinginya.


Peta runtuhan kota Jerash, Jordan


Bersama Dziya di Hippodrome, runtuhan kota Jerash, Jordan


Bersama Dziya di South Gate, runtuhan kota Jerash, Jordan


Temple of Zeus, runtuhan kota Jerash, Jordan


Oval Plaza (Forum), runtuhan kota Jerash, Jordan


Bersama Dziya di Oval Plaza (Forum), runtuhan kota Jerash, Jordan

Cardo Maximus & Colonnaded Street pula adalah 2 batang jalan sambung-menyambung yang terbentang sejauh 800 meter dari Forum ke North Gate di mana terdirinya tiang-tiang di kiri & kanannya. Panorama yang disaksikan di sepanjang jalan ini tersangatlah mengagumkan. Seolah-olah seperti berada di zaman Rom dahulu kala. North Theatre adalah sebuah bangunan berbentuk stadium yang dibina pada tahun 165M & sedang dalam proses pembaikan. South Theare juga dibina pada kurun yang sama dengan pembinaan North Theatre. Ia boleh memuatkan seramai 5,000 orang penonton dalam suatu masa. Dari sini, aku dapat melihat pemandangan keseluruhan Oval Plaza (Forum) dengan jelas.


Cardo Maximus, runtuhan kota Jerash, Jordan


Cardo Maximus, runtuhan kota Jerash, Jordan


Cardo Maximus, runtuhan kota Jerash, Jordan


Cardo Maximus, runtuhan kota Jerash, Jordan


Bersama Dziya di Colonnaded Street, runtuhan kota Jerash, Jordan


Colonnaded Street, runtuhan kota Jerash, Jordan


Colonnaded Street, runtuhan kota Jerash, Jordan


Temple of Artemis, runtuhan kota Jerash, Jordan


Bersama Dziya di Nymphaeum, runtuhan kota Jerash, Jordan


North Theare, runtuhan kota Jerash, Jordan


Bersama Hadi di Church of Bishop Isaiah, runtuhan kota Jerash, Jordan


Church of Bishop Isaiah, runtuhan kota Jerash, Jordan


Lukisan mozek pada lantai Church of Bishop Isaiah, runtuhan kota Jerash, Jordan


Di runtuhan kota Jerash, Jordan


Di runtuhan kota Jerash, Jordan


South Theatre, runtuhan kota Jerash, Jordan


South Theatre, runtuhan kota Jerash, Jordan


Panorama Oval Plaza (Forum) dari South Theatre, runtuhan kota Jerash, Jordan


Panorama Oval Plaza (Forum) dari South Theatre, runtuhan kota Jerash, Jordan

Setelah menghabiskan masa lebih kurang 2 jam di dalam runtuhan kota Jerash yang panas lagi kering itu, aku, Hadi & Dziya pun akhirnya berlalu keluar dari kota itu. Kami seterusnya mencari-cari kalau ada masjid di sekitar kawasan itu supaya kami dapat menunaikan solat Zohor. Akan tetapi, pencarian kami menemui kegagalan. Tiada satu masjid pun yang ada di situ. Surau yang terdekat pun terletak di stesen bas Jerash. Kami lantas terus ke sana dengan menaiki teksi. Sesampainya kami di stesen bas yang dimaksudkan, kami pun menunaikan solat Zohor di surau yang ada di situ.

Selesai sahaja bersolat, kami meneruskan perjalanan kami ke destinasi kedua kami pada hari ini, iaiti Ajlun. Kami bertanya kepada orang-orang di kawasan stesen bas Jerash jikalau ada perkhidmatan bas ke Ajlun dari situ. Menurut kata mereka, tiada perkhidmatan bas ke Ajlun dari Jerash. Yang ada cuma perkhidmatan teksi. Disebabkan tiada pilihan, kami pun menaiki teksi ke sana. Kami terpaksa berunding-runding dengan pemandu teksi yang kami naiki untuk mendapatkan harga tambang yang agak berpatutan. Beginilah yang selalu dilakukan oleh orang-orang tempatan & pelajar-pelajar Malaysia yang menaiki teksi di Jordan. Seringkali terpaksa berunding-runding dengan pemandu teksi untuk mendapatkan harga tambang yang semurah mungkin kerana ada antara teksi-teksi di sini tidak menggunakan meter. Mujurlah ada Hadi & Dziya yang fasih berbahasa Arab.

Perjalanan dari Jerash ke Ajlun memakan masa agak lama. Hampir sejam lamanya. Setibanya kami di Ajlun, kami pun terus dibawa ke lokasi tarikan utama yang terdapat di sini, iaitu Ajlun Castle. Kami membeli tiket terlebih dahulu. Kemudian, barulah kami masuk untuk melihat istana lama tersebut. Pemandu teksi itu menunggu kami di tempat letak kereta sehingga kami puas melihat-lihat istana tersebut. Dia akan membawa kami pulang ke Irbid semula seperti yang telah dirundingkan sewaktu di Jerash tadi.


Kedudukan Ajlun dalam peta Jordan

Ajlun Castle adalah sebuah istana lama yang terletak di atas sebuah bukit yang bernama Jabal Auf. Istana yang juga berfungsi sebagai kubu pertahanan ini dibina oleh Izzuddin Usama, anak saudara Salahuddin al-Ayyubi yang juga merupakan anggota tenteranya. Ia dibina sekitar tahun 1185. Ajlun Castle adalah antara beberapa buah kubu pertahanan yang dibina untuk melindungi kerajaan Ayyubiah daripada serangan tentera Salib dari Karak di bahagian selatan & dari Bisan di bahagian barat. Kubu pertahanan ini mulai hilang kepentingannya selepas Karak berjaya dirampas oleh tentera Salahuddin al-Ayyubi daripada tentera Salib pada tahun 1187. Selepas kematian Izzuddin Usama, Ajlun Castle diperbesarkan lagi oleh gabenor Mamluk yang bernama Aibak bin Abdullah antara tahun 1214 hingga 1215.

Ajlun Castle ini kemudiannya diserang oleh tentera Mongol pada tahun 1260 & sebahagian besar daripadanya termusnah. Namun, selepas kerajaan Mamluk berjaya menewaskan tentera Mongol dalam Perang Ain Jalut, kubu tersebut diperbaiki semula. Ianya terus digunakan sehingga era pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah. Dua kejadian gempa bumi yang berlaku pada tahun 1837 & 1927 telah merosakkan binaan kubu ini. Baru-baru ini, kerajaan Jordan telah mula melakukan kerja-kerja membaiki semula istana & kubu lama yang bersejarah ini.

Kami bertiga sebenarnya agak kebosanan di Ajlun Castle ini kerana senibinanya tidaklah begitu menarik perhatian kami & ianya tidaklah segah mana. Pemandangan yang dapat dilihat dari bahagian atasnya pun biasa-biasa sahaja bagi kami. Oleh itu, kami cuma menghabiskan masa beberapa minit sahaja di sini. Selepas itu, kami pun kembali semula ke teksi yang sedang menunggu kami di bawah. Setelah mendapatkan teksi itu, kami bertiga pun dibawa pulang ke Irbid.


Ajlun Castle di puncak Jabal Auf, Jordan


Ajlun Castle, Ajlun, Jordan


Bersama Dziya di Ajlun Castle, Ajlun, Jordan


Ruang dalam Ajlun Castle, Ajlun, Jordan


Bersama Dziya di bahagian atas Ajlun Castle, Ajlun, Jordan


Di bahagian atas Ajlun Castle, Ajlun, Jordan

Apabila sudah tiba di Irbid, kami pun membayar tambang kepada pemandu teksi itu. Kami rupa-rupanya telah tersalah faham sewaktu perbincangan berkenaan tentang harga tambang ketika di Jerash tadi. Kami sendiri tidak pasti sama ada kami yang tersalah dengar, atau pemandu teksi itu yang tersalah cakap. Kami diminta membayar harga tambang yang lebih mahal pula dari harga yang telah dibincangkan. Disebabkan malas untuk bergaduh-gaduh, kami pun membayar sahaja harga tambang seperti yang dimintanya. Pandai benar dia memutar belit. Wallahu 'alam.

Selepas itu, kami bertiga singgah di sebuah gerai makan yang terletak tidak jauh dari flat mereka untuk makan tengah hari. Kami makan sambil berbual mengenai pelbagai perkara. Selesai sahaja makan, kami pun kembali ke flat. Aku & Hadi kembali ke apartmen kami. Dziya pula kembali ke apartmennya. Sesampainya di apartmen, aku pun terus masuk ke dalam bilik Hariz yang pada waktu sedang mengulangkaji pelajarannya. Peperiksaan mereka tidak lama lagi. Aku terasa seperti menyusahkan mereka pula. Hariz kemudiannya memberikan aku kad SIM Jordan seperti yang telah aku pesan kepadanya pada awal pagi tadi. Aku lalu mengucapkan terima kasih kepadanya. Kemudian, aku pun memasukkan kad SIM itu ke dalam telefon bimbit aku.

Selepas solat Asar, aku melelapkan mata buat seketika sementara menunggu masuknya waktu Maghrib. Beberapa minit sebelum masuk waktu Maghrib, Hariz mengajak aku ke masjid untuk solat berjemaah. Dia juga berkata yang Munir, seorang lagi rakan cyber aku di Jordan yang merupakan pelajar Perubatan Tahun Keempat di JUST ingin berjumpa dengan aku di masjid untuk membincangkan tentang hal menyewa kereta untuk ke destinasi-destinasi lain di Jordan. Masjid yang dimaksudkan ialah masjid kepunyaan Yarmouk University yang terletak bersebelahan Syari’ Jami’ah.

Selepas selesai solat Maghrib, sementara menunggu Munir yang belum muncul-muncul lagi, aku sempat berkenalan dengan beberapa orang pelajar Malaysia di Irbid. Ada yang belajar di JUST. Ada juga yang belajar di Yarmouk University. Ramai kenalan baru yang aku perolehi. Mereka semua ternyata peramah-peramah belaka. Beberapa ketika kemudian, muncul juga Munir. Dia & Hariz lalu mengajak aku makan malam di sebuah restoran berdekatan. Di restoran itulah kami membincangkan tentang hal menyewa kereta. Menurutnya, dia akan ke syarikat sewa kereta itu pada petang esok untuk menyewa sebuah kereta bagi pihak aku. Kereta itu akan disewa untuk jangka masa 24 jam seperti yang telah dirancang oleh kami sewaktu ber’chatting’ di Yahoo Messenger beberapa minggu lalu. Dan menurutnya juga, dia akan membawa aku ke Umm Qays pada petang esok dengan menaiki kereta itu.

Selepas selesai makan & perbincangan, kami pun pulang ke flat masing-masing. Aku mengikut Hariz pulang ke flatnya. Selepas solat Isyak, aku pun berehat-rehat di dalam bilik Hariz sambil dikunjungi oleh beberapa orang rakannya. Ramai juga kenalan baru yang aku dapat di Irbid ini. Hendak mengingati nama-nama mereka sememangnya agak susah kerana aku tidak begitu mudah untuk mengingati nama-nama orang yang baru dikenali. Hehehe. Dziya juga turut singgah di bilik Hariz untuk mengambil gambar-gambar di Jerash & Ajlun daripada kamera aku. Apabila malam sudah larut, aku pun melelapkan mata, membiarkan Hariz mengulangkaji pelajaran bersendirian.

Hari 4: 20 MEI 2009

Pada hari ini, seorang lagi pelajar Perubatan yang sama tahun dengan Hariz, Ideris, Hadi, Dziya & yang lain-lain di JUST mengambil alih tugas untuk membawa aku berjalan-jalan. Namanya ialah Rozaili. Mereka yang lain masing-masing perlu menghadiri kuliah & awal-awal pagi lagi sudah ke universiti. Rozaili tiba di apartmen Hariz agak lewat daripada waktu yang telah dijanjikan, iaitu 9.00 pagi. Lebih kurang pukul 10.30 pagi baru dia muncul di hadapan pintu apartmen. Aku pada waktu itu sudah lama bersiap. Setibanya sahaja dia di apartmen tersebut, kami pun berkenalan. Rozaili ini juga adalah pembaca blog aku. Hahaha. Kami berdua kemudiannya terus bergerak ke Syari’ Jami’ah untuk menaiki teksi untuk ke pusat bandar Irbid.


Syari’ Jami’ah (University Street), Irbid, Jordan

Irbid terletak di bahagian barat laut negara Jordan, berhampiran sempadan negara Jordan, Syria & Israel. Ia adalah bandar kedua terbesar di negara ini, selepas Amman, dengan jumlah penduduk seramai 300,000 orang. Irbid terkenal di Jordan dengan jolokan 'bandar universiti' kerana terdapat banyak universiti di sini. Dua universiti yang paling utama ialah Jordan University Science & Technology (JUST) & Yarmouk University. Terdapat ramai pelajar Malaysia yang belajar di kedua-dua universiti tersebut. Pelajar-pelajar Malaysia yang mengambil kursus perubatan belajar JUST. Sementara pelajar-pelajar Malaysia di Yarmouk University pula kebanyakannya mengambil bidang keagamaan.


Kedudukan Irbid dalam peta Jordan

Sebelum kedatangan Islam ke Irbid, nama lamanya ialah Arabella. Ia merupakan pusat penghasilan wain yang terkenal pada masa itu. Selepas kedatangan Islam, barulah namanya ditukar menjadi Irbid. Sewaktu era pemerintahan Islam, perusahaan wain telah dihentikan. Ianya digantikan dengan perusahaan penghasilan minyak zaitun.

Setibanya aku & Rozaili di pusat bandar Irbid, dia membawa aku ke sebuah kedai makan yang menurutnya kedai makan yang amat popular di kalangan pelajar Malaysia di Irbid. Tidak sah lawatan seseorang warganegara Malaysia ke Irbid jikalau tidak berkunjung ke kedai makan itu. Terus terang aku katakan, kawasan di sekitar kedai makan itu amatlah kotor sekali. Risau pula aku jikalau terkena cirit-birit. Pengalaman aku sewaktu di Kaherah, Mesir 3 tahun lalu banyak mengajar aku agar lebih berhati-hati. Aku pada mulanya agak berat hati untuk makan di situ. Tetapi, terasa bersalah pula jikalau aku menolak pelawaaan Rozaili. Lagipun, dia yang hendak membelanja aku. Hahaha. Harap-harapnya kesihatan aku tidak akan terganggu. Selepas makan, kami pun beredar untuk berjalan-jalan di sekitar pusat bandar Irbid ini. Pada aku, tiada apa-apa yang menarik di sini. Sekadar bandar biasa sahaja. Disebabkan itulah aku tidak banyak bergambar di sini.

Rozaili membawa aku singgah di sebuah pasar borong. Menurutnya, pasar borong itu adalah tempat tumpuan utama pelajar-pelajar Malaysia di Irbid kerana terdapatnya banyak jenis barang-barang tiruan daripada pelbagai jenama yang terkenal di seluruh dunia. Kualitinya pun hampir sama dengan yang asli. Aku menjadi rambang mata & tidak tahu hendak membeli apa. Terlalu banyak barang dijual. Hahaha.


Pasar Borong di Irbid, Jordan

Apabila sudah tiada lagi tempat yang hendak dilawati di pusat bandar Irbid, Rozaili membawa aku ke kampus universitinya, iaitu Jordan University of Science & Technology (JUST). Untuk ke sana, kami menaiki bas mini. Jauh juga lokasi kampus universiti mereka ini. Lebih kurang 30 minit menaiki bas mini dari pusat bandar Irbid, barulah kami tiba di kampus itu. Rozaili kemudiannya membawa aku mengelilingi kampus universitinya itu. Cantik & moden juga rupanya kampus universiti itu. Senibina bangunan-bangunan yang terdapat di dalamya begitu unik sekali & belum pernah aku lihat sebelum ini. Menurut Rozaili, JUST & sebuah lagi universiti di Amman, iaitu University of Jordan adalah 2 buah universiti yang terbaik di Jordan dalam bidang perubatan & kejuruteraan. JUST yang mula dibuka pada tahun 1986 kini mempunyai 11 buah fakulti & mempunyai seramai 20,000 orang mahasiswa. Tidak kurang hebatnya.


Pintu masuk utama Kampus Jordan University of Science & Technology (JUST), Irbid, Jordan


Pintu masuk utama Kampus Jordan University of Science & Technology (JUST), Irbid, Jordan


Pintu masuk utama Kampus Jordan University of Science & Technology (JUST), Irbid, Jordan


Kampus Jordan University of Science & Technology (JUST), Irbid, Jordan


Kampus Jordan University of Science & Technology (JUST), Irbid, Jordan

Selepas berjalan-jalan di kawasan utama kampus, aku dibawa pula ke bangunan fakulti Perubatan yang terletak agak jauh daripada bangunan fakulti-fakulti lain. Kami melalui masjid universiti itu yang cantik senibinanya. Sempat aku bergambar di situ. Kemudian, kami pun meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki ke bangunan fakulti perubatan, tempat mereka semua ini belajar. Bangunan tersebut terletak berdekatan dengan King Abdullah University Hospital, yang bakal menjadi tempat mereka ini menjalani latihan klinikal sewaktu berada di Tahun Keempat & Kelima nanti. Hospital Universiti itu adalah hospital yang terbesar di bahagian utara negara Jordan. Bangunan hospital setinggi 15 tingkat itu mula dirasmikan pada tahun 2002. Baru lagi sebenarnya.


Masjid Universiti Kampus Jordan University of Science & Technology (JUST), Irbid, Jordan


Bangunan Fakulti Perubatan di kampus Jordan University of Science & Technology (JUST), Irbid, Jordan


King Abdullah University Hospital di Kampus Jordan University of Science & Technology (JUST), Irbid, Jordan


King Abdullah University Hospital di Kampus Jordan University of Science & Technology (JUST) , Irbid, Jordan

Selepas berlegar-legar di kawasan bangunan fakulti Perubatan, Rozaili kemudiannya menelefon Hariz untuk bertanya tentang kereta yang sepatutnya disewa pada petang nanti. Menurut kata Hariz, dia, Munir & Dziya akan ke syarikat sewa kereta sebentar lagi & akan datang menjemput kami di JUST dengan menaiki kereta tersebut pada pukul 5.00 petang nanti. Pada waktu itu, jam baru menunjukkan pukul 4.00 petang. Untuk mengisi masa yang ada, aku & Rozaili berjalan ke masjid universiti untuk menunaikan solat sambil berehat-rehat.

Apabila jam sudah menunjukkan pukul 5.00 petang, kelibat mereka bertiga masih belum kelihatan. Akhirnya, lebih kurang pukul 5.30 petang, barulah kami berdua dapat melihat batang hidung Hariz & Munir di masjid itu. Kereta yang dibawa diletakkan di luar. Dziya tidak ikut sekali kerana ada hal lain. Kereta yang disewa itu diletakkan atas nama Dziya kerana dia seorang sahaja yang mempunyai passport pada ketika itu. Passport mereka yang lain berada di kedutaan Arab Saudi untuk urusan visa. Mereka akan ke Mekah untuk menunaikan umrah pada bulan hadapan.

Dari kampus Jordan University of Science & Technology (JUST), aku, Rozaili, Munir & Hariz kemudiannya menuju ke Umm Qays & Medan Perang Yarmouk seperti yang telah dijanjikan oleh Munir semalam. Kereta sewa yang kami naiki dipandu oleh Munir yang sudah arif dengan selok-belok jalan raya di negara Jordan setelah hampir 4 tahun bermukim di negara ini. Sesampainya kami berempat di Umm Qays, waktu sudah pun hampir senja. Oleh itu, kami terpaksa bergegas-gegas sebelum matahari terbenam, sebelum hari menjadi gelap.

Lokasi Umm Qays terletak betul-betul di sempadan 3 buah negara, iaitu Jordan, Syria & Israel. Walau bagaimanapun, ianya terletak di dalam negara Jordan. Umm Qays atau nama lamanya Gadara adalah sebuah runtuhan kota Greek-Rom yang juga merupakan salah satu daripada 10 buah Decopolis di bumi Syam. Umm Qays pada mulanya ditawan oleh Maharaja Seleucid yang bernama Antiochus the Great pada tahun 218 SM ketika dia dalam usaha untuk menakluk bumi Palestin. Raja Judea yang bernama Alexander Jannaeus kemudiannya berjaya menceroboh masuk ke kota ini & menghancurkannya. Kota Umm Qays ini mula diperbaiki semula pada tahun 63 SM selepas ianya jatuh ke tangan Empayar Rom. Pentadbirannya kemudian dihadiahkan kepada Raja Herod, yang merupakan Raja Bani Israel pada waktu itu atas jasa-jasanya kepada Maharaja Rom. Walau bagaimanapun, Empayar Rom masih tetap berkuasa ke atas kota itu. Umm Qays akhirnya jatuh ke tangan orang-orang Islam Arab pada tahun 636 M selepas kemenangan besar mereka menewaskan tentera Byzantine dalam Perang Yarmouk.


Kedudukan Umm Qays, Bukit Golan & Tasik Tiberias dalam peta Jordan, Israel & Syria

Antara binaan-binaan yang terdapat di dalam runtuhan kota Umm Qays ini ialah 2 buah Roman Theatre & juga runtuhan kuil & gereja yang pada masa kini hanya tinggal tiang-tiang batu yang berwarna hitam & putih sahaja. Dari kawasan tersebut, kami dapat melihat panorama Bukit Golan, Sungai Yarmouk & Tasik Tiberias dengan agak jelas walaupun dalam keadaan sedikit berkabus, ditambah lagi dengan sinaran matahari senja yang samar-samar warnanya. Bukit Golan adalah sebuah bukit yang menjadi rebutan antara Israel & Syria sehingga kini. Dari tahun 1948 hingga 1967, Bukit Golan adalah milik Syria. Namun, selepas Perang Enam Hari pada tahun 1967, 2/3 daripada kawasan bukit itu berjaya ditakluk oleh Israel & kekal dibawah penaklukan Israel sehingga kini. Seramai 100,000 orang rakyat Syria telah dihalau dari rumah mereka sewaktu Israel menawan bukit tersebut pada tahun itu. Sehingga kini, mereka masih lagi tidak dibenarkan pulang ke rumah masing-masing di sana. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa belas ribu rakyat Syria yang kekal menetap di Bukit Golan kerana tidak berjaya dihalau keluar. Tasik Tiberias atau turut dikenali dengan nama Laut Galilee pula adalah sebuah tasik kepunyaan negara Israel yang merupakan tasik air tawar yang terbesar di negara itu. Dengan permukaan airnya serendah 209 meter di bawah paras air laut, Tasik Tiberias adalah tasik air tawar yang terendah sekali di dunia.


Runtuhan kuil & gereja di Umm Qays, Jordan


Bersama Hariz di runtuhan kuil & gereja di Umm Qays, Jordan


Bersama Munir & Hariz di runtuhan kuil & gereja di Umm Qays, Jordan


Roman Theatre di Umm Qays, Jordan


Bersama Munir & Hariz di Roman Theatre di Umm Qays, Jordan


Panorama Tasik Tiberias & Bukit Golan dari Umm Qays, Jordan


Panorama Tasik Tiberias & Bukit Golan dari Umm Qays, Jordan


Panorama Tasik Tiberias & Bukit Golan dari Umm Qays, Jordan


Panorama Tasik Tiberias & Bukit Golan dari Umm Qays, Jordan


Panorama Tasik Tiberias & Bukit Golan dari Umm Qays, Jordan

Sebelum matahari betul-betul terbenam, kami berempat dengan cepatnya menuju ke destinasi kami yang seterusnya yang terletak tidak jauh dari Umm Qays, iaitu Medan Perang Yarmouk. Sayangnya, sewaktu kami tiba di situ, matahari telah pun terbenam & suasana sekitar kawasan Medan Perang Yarmouk gelap gelita. Perang Yarmouk adalah siri peperangan selama 6 hari antara kerajaan Islam pimpinan Umar al-Khattab & Empayar Byzantine pimpinan Heraclius. Medan perang ini terletak di Lembah Sungai Yarmouk yang pada masa kini merupakan sungai yang menjadi sempadan antara Jordan & Syria. Perang Yarmouk adalah antara beberapa peperangan yang paling masyhur dalam sejarah Islam & juga sejarah dunia. Kejayaan besar yang dicapai oleh tentera Islam dalam perang tersebut adalah kejayaan besar yang pertama selepas pemergian Rasulullah SAW yang wafat 4 tahun sebelum itu. Reputasi Khalid al-Walid sebagai perancang taktik peperangan juga terserlah dengan kejayaan perang ini. Perang inilah yang menjadi batu asas kepada kemaraan pantas tentera Islam untuk menawan seluruh bumi Syam daripada pegangan Empayar Byzantine selepas kewafatan baginda Rasulullah SAW.


Medan Perang Yarmouk, Jordan & Syria


Bersama Hariz & Rozaili di Medan Perang Yarmouk, Jordan

Selepas melihat kawasan Medan Perang Yarmouk yang gelap gelita itu, aku, Munir, Hariz & Rozaili pun kembali ke kereta untuk pulang semula ke Irbid. Sewaktu dalam perjalanan pulang, kami singgah di sebuah masjid. Mereka bertiga pergi menunaikan solat Maghrib di masjid itu, sementara aku hanya duduk di dalam kereta. Aku akan menunaikan solat Jamak Ta’khir di apartmen Hariz nanti. Selesai sahaja solat, kami pun terus pulang. Sesampainya kami berempat di Irbid, Munir meletakkan kereta sewa itu di hadapan flat Hariz. Dia kemudian pulang ke rumahnya. Begitu juga dengan Rozaili. Sebelum itu, aku mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Munir atas pertolongannya mencari kereta sewa untuk aku & membawa aku ke Umm Qays & Medan Perang Yarmouk. Dia tidak dapat mengikut kami ke destinasi yang seterusnya esok, iaitu Laut Mati & Mount Nebo kerana dia perlu mengulangkaji pelajarannya.

Munir sebenarnya adalah orang yang sangat terkenal di sini kerana dia adalah antara orang yang paling banyak pengalaman mengembara di kalangan pelajar-pelajar Malaysia di Irbid mahupun di Jordan. Oleh itu, jikalau ada sesiapa warga Malaysia yang datang berkunjung ke utara Jordan, selalunya dialah yang akan menjadi pemandu pelancong. Aku juga mengucapkan terima kasih kepada Rozaili kerana sudi menghabiskan masanya membawa aku berjalan-jalan di pusat bandar Irbid, di JUST & juga menemani kami ke Umm Qays & Medan Perang Yarmouk. Selepas bersalam-salaman dengan Munir & Rozaili, aku & Hariz pun masuk ke dalam apartmen. Makanan yang dimasak oleh Hadi sudah terhidang di atas meja & aku dijemput untuk makan. Selepas makan, aku mandi & kemudian menunaikan solat jamak. Selepas itu, aku pun terus melelapkan mata. Hariz terpaksa bersengkang mata untuk mengulangkaji pelajaran.

Hari 5: 21 MEI 2009

Pada hari ini, aku dibawa ke Laut Mati & Mount Nebo. Selesai sahaja mandi & bersiap-siap, aku & Hariz pun terus keluar menuju ke kereta sewa kami yang diletakkan di luar flat. Trip pada hari ini disertai oleh 3 orang lagi, iaitu Dziya, Rozaili & seorang lagi kenalan baru aku, iaitu Muhamad. Apabila semua orang sudah sedia, kami berlima pun mula bergerak menuju ke Laut Mati. Dziya bertugas sebagai pemandu, sementara Hariz pula selaku pembaca peta. Ini sebenarnya adalah kali pertama mereka berempat mengembara sendiri dengan kereta tanpa bantuan senior. Ini juga adalah kali pertama Dziya memandu kereta di bumi Jordan & kali pertama Hariz menjadi pembaca peta. Hahaha. Harapan aku agar tiada apa-apa masalah besar yang akan timbul sepanjang trip kami ini.

Walau bagaimanapun, kami menghadapi beberapa halangan sewaktu dalam perjalanan ke Laut Mati. Antaranya ialah kereta yang kami naiki ditahan oleh polis sewaktu dipandu di lebuh raya kerana dikatakan telah melebihi had kelajuan yang ditetapkan, iaitu 120 km/jam. Menurut Dziya selaku pemandu, kelajuan yang paling tinggi dipandunya pun cuma 125 km/jam. Terlebih 5 unit sahaja. Begitu teliti sekali polis-polis di sini menjalankan tugas. Selepas mereka berempat puas memujuk pegawai-pegawai polis tersebut, akhirnya kami dilepaskan tanpa perlu membayar denda. Mereka melepaskan kami dengan alasan kami ini masih belajar & belum bekerja.

Tidak berapa lama selepas itu, kami ditahan lagi atas kesalahan yang sama. Hahaha. Inilah mata pencarian yang mudah & yang utama bagi polis-polis di Jordan, iaitu melalui denda yang dikenakan ke atas pemandu-pemandu yang memandu melebihi had kelajuan. Sekali lagi, mereka berempat terpaksa memujuk pegawai polis yang menahan kereta kami itu. Dan sekali lagi, mereka telah berjaya. Kami dilepaskan tanpa perlu membayar apa-apa denda.

Aku betul-betul kagum dengan mereka berempat ini. Baru tahun pertama di bumi Jordan sudah pandai memujuk-mujuk polis. Hebat sekali penguasaan Bahasa Arab mereka. Yang paling aku kagum sekali adalah dengan Dziya. Sebelum datang ke bumi Jordan, dia memang tidak ada asas Bahasa Arab langsung. Dia tidak pernah belajar Bahasa Arab di sekolah & dia tidak mengikuti kursus persediaan ke Jordan di INTEC seperti rakan-rakannya yang lain kerana dia adalah pelajar di bawah tajaan ibu-bapanya sendiri. Bahasa Arab yang dikuasainya kini pun semuanya hasil daripada apa yang dipelajarinya melalui perbualan & pengalamannya dengan orang-orang tempatan & juga melalui rakan-rakan Malaysia yang lain dalam masa setahun di sini. Hebat sungguh.

Halangan seterusnya yang kami hadapi ialah terlepas jauh dari tempat tujuan kami. Hampir 20 kilometer jauhnya kami terlepas. Ini menyebabkan kami terpaksa berpatah balik sejauh 20 kilometer. Mujurlah hanya 20 kilometer sahaja. Tidak berapa lama kemudian, barulah kami akhirnya tiba di persisiran pantai Laut Mati dengan selamatnya. Syukur kepada Allah SWT. Aku sememangnya sudah lama menyimpan keinginan untuk ke Laut Mati, salah satu ciptaan-Nya yang menakjubkan di bumi ini.

Laut Mati yang menjadi sempadan antara Jordan & Palestin (Tebing Barat) ini sebenarnya adalah sebuah tasik & bukannya laut. Ia dipanggil laut kerana kemasinan airnya. Sungai Jordan adalah satu-satunya sungai yang menjadi sumber airnya. Paras permukaan airnya adalah serendah 422 meter, menjadikannya permukaan air yang terendah sekali di muka bumi ini.


Kedudukan Laut Mati dalam peta Jordan

Laut Mati mempunyai kedalaman sedalam 378 meter. Peratus kandungan garamnya yang setinggi 31.5% menjadikannya 8.5 kali ganda lebih masin daripada air laut biasa. Kemasinannya yang melampau itu menyebabkan tiada hidupan laut yang boleh hidup di dalamnya. Dan sebab itulah ia digelar Laut Mati. Ketinggian peratusan kandungan garam dalam airnya juga menyebabkan air tasik ini mempunyai ketumpatan setinggi 1.24 kg/l. Inilah yang menyebabkan sesiapa sahaja boleh terapung di atas permukaan airnya tanpa perlu berenang. Subhanallah. Garam & mineral yang terkandung dalam airnya beserta selut-selut yang terdapat pinggir & dasarnya dikatakan bagus untuk kecantikan & kesihatan kulit. Ia dikatakan boleh menyembuh penyakit psoriasis. Pada masa kini, terdapat industri yang mengusahakan pengeluaran sabun & bahan-bahan kosmetik yang berasaskan air & selut Laut Mati.

Menurut Islam, Laut Mati ini dikatakan terbentuk hasil daripada kemurkaan Allah SWT terhadap kemungkaran kaum Nabi Lut a.s, iaitu kaum Sadum. Kaum Sadum dikatakan telah menghuni kawasan Laut Mati yang pada waktu itu merupakan sebuah dataran yang luas yang menjadi penempatan mereka. Kemungkaran terbesar yang dilakukan oleh mereka ialah amalan homoseksual, iaitu hubungan seks sejenis sesama lelaki & sesama perempuan. Nabi Lut a.s telah diutuskan oleh Allah SWT untuk berdakwah kepada mereka supaya kembali menyembah Allah SWT & meninggalkan amalan mereka yang terkutuk itu. Namun, setelah bertahun-tahun berdakwah, yang menjadi pengikutnya cuma beberapa orang sahaja.

Sebelum berlakunya bencana yang menimpa mereka, Allah SWT telah mengutuskan dua malaikat yang menjelma sebagai 2 orang lelaki kacak untuk bertemu dengan Nabi Lut a.s. Kedatangan kedua-dua malaikat yang menjelma sebagai lelaki-lelaki kacak itu akhirnya menjadi tumpuan lelaki-lelaki kaum Sadum & mereka memaksa Nabi Lut a.s untuk menyerahkan kedua-dua lelaki kacak itu kepada mereka. Itu sebenarnya adalah ujian terakhir yang Allah SWT berikan kepada kaum itu. Disebabkan kedegilan mereka, akhirnya Allah SWT memerintahkan Nabi Lut a.s & pengikutnya meninggalkan bumi Sadum. Selepas itu, Allah SWT pun mengangkat bumi Sadum, menerbalikkannya & kemudian meletakkannya semula ke atas permukaan bumi. Inilah yang menyebabkan terbentuknya permukaan tanah yang paling rendah sekali di muka bumi. Tidak lama selepas itu, mengalirlah air dari Sungai Jordan membentuk Laut Mati seperti yang kita lihat pada hari ini. Kemasinan airnya mungkin disebabkan oleh laknat Allah SWT ke atas bumi tersebut. MasyaAllah. Kisah tentang Nabi Lut a.s & kaum Sadum ada diceritakan di dalam Al-Quran:

فَلَمَّا جَاء آلَ لُوطٍ الْمُرْسَلُونَ ﴿٦١﴾ قَالَ إِنَّكُمْ قَوْمٌ مُّنكَرُونَ ﴿٦٢﴾ قَالُواْ بَلْ جِئْنَاكَ بِمَا كَانُواْ فِيهِ يَمْتَرُونَ ﴿٦٣﴾ وَأَتَيْنَاكَ بَالْحَقِّ وَإِنَّا لَصَادِقُونَ ﴿٦٤﴾ فَأَسْرِ بِأَهْلِكَ بِقِطْعٍ مِّنَ اللَّيْلِ وَاتَّبِعْ أَدْبَارَهُمْ وَلاَ يَلْتَفِتْ مِنكُمْ أَحَدٌ وَامْضُواْ حَيْثُ تُؤْمَرُونَ ﴿٦٥﴾ وَقَضَيْنَا إِلَيْهِ ذَلِكَ الأَمْرَ أَنَّ دَابِرَ هَؤُلاء مَقْطُوعٌ مُّصْبِحِينَ ﴿٦٦﴾ وَجَاء أَهْلُ الْمَدِينَةِ يَسْتَبْشِرُونَ ﴿٦٧﴾ قَالَ إِنَّ هَؤُلاء ضَيْفِي فَلاَ تَفْضَحُونِ ﴿٦٨﴾ وَاتَّقُوا اللّهَ وَلاَ تُخْزُونِ ﴿٦٩﴾ قَالُوا أَوَلَمْ نَنْهَكَ عَنِ الْعَالَمِينَ ﴿٧٠﴾ قَالَ هَؤُلاء بَنَاتِي إِن كُنتُمْ فَاعِلِينَ ﴿٧١﴾ لَعَمْرُكَ إِنَّهُمْ لَفِي سَكْرَتِهِمْ يَعْمَهُونَ ﴿٧٢﴾ فَأَخَذَتْهُمُ الصَّيْحَةُ مُشْرِقِينَ ﴿٧٣﴾ فَجَعَلْنَا عَالِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِمْ حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ ﴿٧٤﴾ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِّلْمُتَوَسِّمِينَ ﴿٧٥

Maka apabila (malaikat-malaikat) utusan itu datang kepada kaum Nabi Lut. Nabi Lut berkata, "Sesungguhnya kamu suatu kaum yang tidak dikenali (serta tidak diketahui baiknya kedatangan kamu)." Mereka menjawab, "(Kedatangan kami bukan untuk mendukacitakanmu) bahkan kami datang kepadamu untuk membawa azab yang mereka ragu-ragukan kebenarannya. Juga membawa kepadamu perkara yang benar (tentang kebinasaan mereka); dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang benar. Oleh itu, bawalah pergi keluargamu pada waktu malam serta ikutlah di belakang mereka; dan janganlah seseorang pun di antara kamu berpaling (ke belakang); serta pergilah terus ke arah yang diperintahkan kamu menujunya." Dan Kami wahyukan kepadanya tentang kesudahan perkara itu; iaitu mereka akan dibinasakan pada waktu pagi, sehingga mereka punah ranah dan terputus keturunannya. Dan (semasa kedatangan mereka) datanglah penduduk bandar itu dengan gembira. Nabi Lut berkata, "Sesungguhnya mereka ini tetamuku, maka janganlah kamu memberi malu kepadaku. Dan takutlah kamu kepada Allah serta janganlah kamu menghinakan daku." Mereka menjawab, "Bukankah kami telah melarangmu jangan menerima sebarang tetamu dari orang ramai (atau memberi perlindungan kepada mereka)?" Nabi Lut berkata, "Di sini ada anak-anak perempuanku, kalaulah kamu mahu melakukan (secara halal). Demi umurmu (wahai Muhammad), sesungguhnya mereka membuta tuli dalam kemabukan maksiat mereka. Akhirnya merekapun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. Maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya), dan kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar. Sesungguhnya balasan azab yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang kenalkan sesuatu serta memerhati dan memikirkannya. (Surah Al-Hijr: Ayat 61-75)

Setibanya aku, Hariz, Dziya, Rozaili & Muhamad di persisiran Laut Mati, kami pun menyalin pakaian. Kemudian, aku, Hariz & Rozaili berjalan mendekati air Laut Mati itu. Aku & Hariz lalu masuk ke dalamnya & mengapungkan diri kami. Hahaha. Tercapai juga cita-cita aku untuk mengapungkan diri aku di atas permukaan Laut Mati. Rozaili tidak mandi sekali. Dia cuma bermain-main air sambil menyapu mukanya dengan selut yang terdapat di persisiran pantai itu. Sementara Dziya & Muhamad pula hanya duduk di tepi pantai. Mereka tidak mandi sekali. Mungkin kerana sinaran matahari yang terlampau terik. Lagipun, ini bukanlah kali pertama mereka datang ke sini. Di seberang Laut Mati ini, aku dapat melihat bumi Palestin (Tebing Barat) dengan jelas. Untuk berenang ke sana, tidaklah sejauh mana. Namun, aku perlu lebih mengutamakan keselamatan aku.


Bersama Dziya, Hariz & Muhamad di Laut Mati, Jordan


Laut Mati, Jordan


Bersama Muhamad, Rozaili & Dziya di Laut Mati, Jordan


Laut Mati, Jordan


Laut Mati, Jordan


Laut Mati, Jordan


Laut Mati, Jordan


Laut Mati, Jordan


Laut Mati, Jordan


Laut Mati, Jordan


Laut Mati, Jordan


Laut Mati, Jordan

Agak lama juga aku mengapungkan diri aku. Apabila sudah puas, aku pun kembali ke darat. Kemudian, aku meminta pertolongan Rozaili untuk menyapukan selut-selut pada muka aku. Mungkin ianya boleh menghilangkan jerawat-jerawat pada muka aku. Di pinggir Laut Mati itu juga aku terjumpa beberapa buah batu yang diselaputi oleh kristal-kristal putih yang terbentuk daripada garam air laut. Cantik betul rupanya. Apabila selut-selut di muka sudah kering, aku & Hariz berjalan kaki ke bilik air untuk membersihkan badan dengan air paip. Selesai sahaja mandi, aku mengikut mereka berempat ke kedai cenderahati yang terdapat di situ. Kami membeli beberapa buku sabun berserta bahan-bahan kosmetik yang lain untuk dibawa pulang. Selepas membeli-belah, kami pun kembali ke kereta untuk meneruskan perjalanan kami ke destinasi yang seterusnya, iaitu Mount Nebo.


Menyapu selut di muka di Laut Mati, Jordan


Menyapu selut di muka di Laut Mati, Jordan


Kristal garam di Laut Mati, Jordan


Kristal garam di Laut Mati, Jordan

Perjalanan ke Mount Nebo sangatlah berliku-liku kerana kami melalui kawasan gunung-ganang yang kering kontang. Aku, Hariz, Dziya, Rozaili & Muhamad pada mulanya merasakan yang kami sudah sesat kerana keadaan di sekeliling sangat tandus & tiada penempatan manusia langsung. Namun, apabila kami bertanya dengan beberapa orang yang lalu-lalang di situ, mereka berkata yang kami melalui jalan yang betul. Kami pun meneruskan sahaja perjalanan kami. Akhirnya, kami jumpa juga sebuah papan tanda yang tertulis perkataan ‘Mount Nebo’. Lega rasanya. Alhamdulillah.


Dalam perjalanan ke Mount Nebo, Jordan


Kawasan gunung-ganang dalam perjalanan ke Mount Nebo, Jordan


Kawasan gunung-ganang dalam perjalanan ke Mount Nebo, Jordan

Mount Nebo adalah sebuah kawasan yang terletak di lereng bukit setinggi 817 meter dari paras laut. Jikalau cuaca baik, para pengunjung dapat melihat panorama Laut Mati, Sungai Jordan & Jerusalem atau Al-Quds yang letaknya berpuluh-puluh kilometer dari sini. Selain itu, tempat-tempat lain seperti Jericho, Hebron, Bethlehem, Ramallah & Tasik Tiberias juga dikatakan dapat dilihat jikalau cuaca betul-betul baik. Menurut sumber-sumber Kristian & Yahudi, Mount Nebo adalah tempatnya di mana Nabi Musa a.s telah dipertunjukkan lokasi tanah yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada orang-orang Bani Israel, iaitu tanah Palestin secara amnya & tanah Jerusalem secara khususnya. Walau bagaimanapun, Nabi Musa a.s dikatakan tidak sempat untuk ke tanah yang dijanjikan itu bersama-sama dengan kaumnya & wafat di Mount Nebo. Lokasi makamnya tiada siapa yang tahu.


Kedudukan Mount Nebo dalam peta Jordan


Bersama Muhamad, Hariz & Dziya di Mount Nebo, Jordan


Panorama dari atas Mount Nebo, Jordan


Bersama Dziya, Rozaili, Muhamad & Hariz di Mount Nebo, Jordan


Mount Nebo, Jordan


Mount Nebo, Jordan


Panorama dari atas Mount Nebo, Jordan


Panorama dari atas Mount Nebo, Jordan

Di kawasan Mount Nebo ini terdapat sebuah gereja lama yang dipercayai dibina pada kurun ke-4. Ianya dibina bagi menandakan kemungkinan letaknya lokasi makam Nabi Musa a.s. Pada masa kini, Mount Nebo merupakan sebuah kawasan yang suci & penting bagi orang-orang beragama Kristian. Setiap kali mereka menziarahi Church of the Holy Sepulchre di Jerusalem, mereka pasti akan datang menziarahi Mount Nebo, selain beberapa lagi tempat suci mereka di bumi Jordan. Pope John Paul II pernah ke sini pada tahun 2000. Begitu juga dengan Pope Benedict XVI yang berkunjung ke sini 2 minggu sebelum kedatangan kami. Di kawasan Mount Nebo ini juga terdapat sebuah monumen yang bernama Brazen Serpent yang direkabentuk oleh Giovanni Fantoni, seorang yang berbangsa Itali. Selain itu, terdapat juga sebuah muzium yang tidaklah begitu menarik.


Brazen Serpent di Mount Nebo, Jordan

Sewaktu berada di kawasan Mount Nebo, kami telah terserempak dengan sekumpulan wanita Arab yang agak peramah. Kami bertanyakan kepada mereka maklumat yang mereka tahu tentang Mount Nebo. Maklumat yang diberikan mereka rasanya kurang tepat berbanding dengan maklumat yang aku jumpa di internet. Hahaha. Wallahu ‘alam. Kemudian, kami terserempak pula dengan sekumpulan lelaki yang telah kami jumpa di Laut Mati tadi. Kami berbual-bual sebentar dengan mereka, bertanyakan destinasi mereka selepas ini. Mereka akan ke Madaba, yang kebetulannya akan menjadi destinasi kami berlima selepas ini. Hahaha. Jikalau ada jodoh, boleh bertemu dengan mereka yang peramah ini lagi di Madaba.

Setelah puas bergambar di sekeliling kawasan Mount Nebo, aku, Hariz, Dziya, Rozaili & Muhamad pun menuju ke destinasi kami yang seterusnya, iaitu Madaba. Tujuan kami ke sana adalah untuk makan tengah hari, kerana itu sahajalah bandar yang terdekat dengan Mount Nebo. Pada kali ini, Rozaili pula yang memandu, menggantikan Dziya yang sudah penat. Perjalanan ke Madaba tidak memakan masa yang lama.

Setibanya kami di Madaba, kami terus mencari restoran yang menepati citarasa kami. Kami cuma membeli kebab sahaja untuk dimakan di dalam kereta. Pada waktu itu, kami sedang risau akan kereta yang kami sewa. Kami perlu memulangkannya sebelum pukul 4.00 petang, sebelum kedai syarikat sewa kereta itu ditutup. Masalahnya, pada waktu itu, jam sudah pun menunjukkan pukul 2.30 petang. Perjalanan dari Madaba ke Irbid memakan masa lebih daripada 1½ jam. Semestinya kami tidak sempat untuk tiba di Irbid sebelum pukul 4.00 petang. Esok pula adalah hari Jumaat & semua kedai perniagaan di Jordan ditutup pada setiap hari Jumaat, termasuklah kedai syarikat sewa kereta itu. Jikalau kami tidak sempat untuk memulangkan kereta itu pada hari ini, kami cuma boleh memulangkannya pada hari Sabtu. Maka sudah pastinya kami akan dicaj menyewa selama 3 hari. Jika sempat untuk dipulangkan hari ini, kami cuma akan dicaj untuk sehari sahaja. Kami benar-benar bingung.

Muhamad kemudiannya menelefon syarikat kereta sewa itu, merayu supaya kami dapat memulangkan kereta sebelum pukul 5.00 petang & bukannya pukul 4.00 petang. Rayuan kami ditolak mentah-mentah. Malah dimarahinya pula. Beginilah perangai orang Arab. Pemikiran kami menjadi buntu. Kami akhirnya mendapat satu idea. Sudah alang-alang menyewa kereta selama 3 hari, apa kata kami menghabiskan waktu hujung minggu itu dengan ‘road trip’ ke pantai Aqabah yang terletak nun jauh di selatan negara Jordan. Setelah difikir masak-masak, akhirnya semua bersetuju. Cuma masalahnya, aku mungkin tidak dapat mengikut mereka ke Aqaba kerana aku akan ke Mu’tah pula esoknya untuk berjumpa dengan Zaid.

Aku kemudiannya memberi cadangan yang agak bernas. Aku mencadangkan supaya kami mula bertolak ke Aqabah dengan menaiki kereta itu tengah malam ini & singgah di Mu’tah untuk berehat-rehat, sebelum tiba di Aqabah. Dan setelah hilang penat, mereka boleh meninggalkan aku di Mu'tah & meneruskan perjalanan mereka ke Aqabah. Tanpa berfikir panjang, mereka terus bersetuju. Lagipun, Mu’tah memang terletak di tengah-tengah perjalanan di antara Irbid & Aqabah. Mereka juga mempunyai ramai kenalan di Mu’tah yang boleh mereka hubungi. Memandangkan 4 orang terlampau sedikit, Dziya kemudiannya menelefon seorang rakan mereka yang lain di Irbid untuk menyewa sebuah lagi kereta & mengajak 4 lagi orang untuk mengikut trip ke Aqabah itu. Lebih ramai lebih meriah.

Selepas berjaya menyelesaikan masalah itu, kami berlima pun meneruskan perjalanan pulang ke Irbid. Rozaili masih lagi memandu. Sebelum pulang ke Irbid, kami singgah dahulu di Amman, memandangkan hari masih panjang. Kami berhajat untuk singgah ke kompleks membeli-belah yang bernama City Mall. Untuk mencari bangunan City Mall, kami telah menghabiskan masa lebih daripada sejam kerana keempat-empat mereka ini tidak mahir lagi akan selok-belok jalan raya di Amman. Hahaha. Berbelas-belas orang di jalan raya yang kami tegur untuk bertanyakan arah jalan untuk ke City Mall. Ada juga beberapa orang yang berhati mulia yang sanggup menyuruh kami mengekori kereta mereka dari belakang untuk menunjukkan arah ke City Mall. Namun, City Mall yang kami cari masih belum ditemui juga. Hahaha.

Kami berasa seperti hendak berputus asa & pulang terus ke Irbid sahaja. Namun, entah bagaimana, akhirnya kami terserempak dengan satu papan tanda yang menunjukkan arah ke King Hussein Park. Dengan serta merta mereka teringat bahawa City Mall terletak berhampiran dengan King Hussein Park. Lantas, kami terus mengikut papan-papan tanda yang menunjukkan arah ke King Hussein Park. Dan akhirnya, kami tiba di taman tersebut. Dari situ, mereka berempat sudah tahu akan cara hendak ke City Mall yang terletak tidak jauh dari situ. Lega rasanya.

Di kawasan King Hussein Park itu terdapat sebuah masjid yang bercirikan senibina moden yang teramatlah cantik. Saiznya juga besar. Bangunan masjid berbentuk segiempat sama & terdapat 4 buah menara azan di setiap bucunya. Nama masjid itu adalah King Hussein Mosque, yang dibina bercirikan senibina Bani Umayyah. Masjid seluas 2,000 meter persegi itu boleh memuatkan seramai 2,500 orang jemaah dalam suatu masa. Di kawasan masjid ini juga terdapat sebuah muzium yang bernama Hashemite History Museum yang mempamerkan beberapa buah harta-harta peribadi Rasulullah SAW. Antaranya ialah surat yang dihantar oleh baginda kepada Maharaja Byzantine yang bernama Heraclius untuk menerima ajaran Islam. Memandangkan waktu Asar sudah pun masuk, kami berlima pun menunaikan solat jamak di King Hussein Mosque. Selesai sahaja solat, kami pun terus menaiki kereta & menuju ke City Mall.


King Hussein Mosque, Amman, Jordan

Sesampainya kami di City Mall, kami berasa teramat lega. Setelah lebih daripada sejam mencarinya, akhirnya kami berjaya juga menjumpai kompleks membeli belah yang merupakan antara yang terbesar di bumi Jordan itu. Tempat meletak keretanya sahaja boleh memuatkan sebanyak 2,400 buah kereta & merupakan tempat meletak kereta yang terbesar di negara itu. City Mall sememangnya syurga membeli-belah bagi penduduk Amman khususnya & penduduk Jordan amnya. Kami sebenarnya tidak tahu hendak membeli apa. Oleh itu, kami terus sahaja ke pawagam untuk melihat filem apa yang sedang dimainkan. Ada beberapa filem yang menarik. Namun, hati mereka berempat cuma tertarik untuk menonton filem X-Men Origins: Wolverine. Aku sebenarnya sudah pun menonton filem itu sewaktu di Dublin. Tetapi, memandangkan mereka berempat benar-benar berminat hendak menonton filem itu, aku ikut sahaja.


Ruang dalam City Mall, Amman, Jordan

Kami kemudiannya pun membeli tiket. Kami mempunyai masa 40 minit sebelum filem itu dimainkan. Oleh itu, kami mengisi masa lapang yang ada dengan singgah di ‘food hall’ untuk membasahkan tekak kami dengan meminum air yang dijual di situ. Kami tidak makan kerana masih belum lapar. 30 minit kemudian, kami pun kembali semula ke pawagam tadi. Kami mengambil tempat duduk masing-masing & menonton filem X-Men Origins: Wolverine yang dimainkan selama hampir 1½ jam itu. Seperti tidak percaya pula yang aku pada waktu itu sedang menonton filem di pawagam di Amman, Jordan. Hehehe.

Selesai sahaja menonton filem tadi yang sememangnya amat menarik, kami kembali semula ke ‘food hall’ tadi untuk makan malam. Agak banyak yang kami makan. Sampai terlebih kenyang dibuatnya. Sambil makan, kami berbincang mengenai trip ke Mu’tah & Aqabah. Rakan mereka yang telah dihubungi oleh Dziya sewaktu di Madaba tadi telah pun menyewa sebuah lagi kereta untuk mengikut trip ke Mu’tah & Aqabah. Akan tetapi, mereka kini perlu mencari lagi 4 orang untuk mengikut trip tersebut. Hariz tidak ikut sekali kerana dia perlu mengulangkaji pelajaran. Lagipun dia telah banyak menghabiskan masa melayan aku. Kasihan pula dia. Hahaha. Maka, yang akan ke Aqabah nanti cuma Dziya, Rozaili, Muhamad, rakan mereka yang telah menyewa kereta itu & 4 lagi orang yang sedang dicari. Aku akan mengikut mereka sampai ke Mu’tah sahaja. Mereka akan meneruskan perjalanan ke Aqabah kemudiannya. Kami bercadang untuk bertolak pada pukul 1.00 pagi nanti, supaya kami tiba awal di Mu’tah.

Selesai sahaja makan, kami kembali semula ke kereta untuk pulang terus ke Irbid. Perjalanan ke Irbid dari Amman memakan masa tidak sampai sejam. Setibanya kami di Irbid, kami bersolat & berehat di bilik masing-masing sebelum bertolak ke Mu’tah. Kami pada mulanya bercadang untuk bertolak pada pukul 1.00 pagi. Namun, trip kami terpaksa ditunda ke pukul 2.00 pagi kerana 4 orang lagi yang dicari itu hanya berjaya dijumpai selepas pukul 1.00 pagi. Maka, lebih kurang pukul 2.00 pagi, kami sembilan orang pun memulakan perjalanan kami ke Mu’tah. Aku, Dziya, Rozaili & Muhamad menaiki kereta yang kami sewa, sementara yang lagi 5 orang itu menaiki kereta yang mereka sewa. Kereta yang kami berempat naiki dipandu oleh Dziya. Muhamad pula adalah selaku pembaca peta. Sementara kereta yang satu lagi dipandu oleh Ideris. 4 orang rakan mereka yang menaiki kereta yang satu lagi itu ialah Hilmi, Luqman, Fazli & Fawwaz. Fazlilah orangnya yang dihubungi oleh Dziya sewaktu di Madaba petang tadi.

Aku membawa sekali beg galas aku bersama beberapa helai baju. Beg tarik aku yang besar aku tinggalkan di bilik Hariz buat sementara waktu. Aku mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Hariz kerana sudi menghabiskan masa bersama aku selama 4 hari aku di bumi Jordan. Aku akan meninggalkannya selama beberapa hari untuk ke Mu'tah, Syria & Lubnan. Aku akan kembali semula menemuinya sehari sebelum aku pulang ke Dublin. Perjalanan ke Mu’tah dari Irbid memakan masa lebih kurang 4-5 jam lamanya. Sewaktu dalam perjalanan, kami singgah di sebuah stesen minyak untuk solat Subuh. Kemudian, kami meneruskan perjalanan sehingga kami tiba di Mu'tah.


Peta perjalanan Irbid-Mu'tah-Aqabah

Hari 6: 22 MEI 2009

Aku, Dziya, Rozaili, Muhamad, Ideris, Fawwaz, Luqman, Hilmi & Fazli tiba di Mu’tah lebih kurang pukul 6.30 pagi. Kami berhenti bersebelahan sebuah masjid & Dziya kemudiannya menghubungi kenalan mereka yang bernama Taufiq untuk datang menjemput kami. Taufiq muncul tidak lama kemudian & membawa kami semua ke rumahnya yang diberi nama Bayt Dimasyq (Rumah Dimasyq) dengan menaiki kereta. Setibanya kami di rumahnya, kami dijemput masuk oleh ahli-ahli rumahnya yang rupa-rupanya berjumlah 12 orang semuanya. Hahaha. Ramai sungguh. Akan tetapi, tidak kesemua mereka berada di ruang tamu pada waktu itu. Cuma 2 orang sahaja, iaitu Taufiq & Hazmi. Yang lain mungkin masih tidur di dalam bilik masing-masing. Kami sembilan orang dilayan dengan mesra oleh ahli-ahli rumah tersebut. Kami dijamu dengan sarapan pagi sambil berbual-bual. Pelbagai topik perbualan dibincangkan. Kebanyakannya kelakar & membuatkan aku gelak tidak henti. Hahaha. Bahagia sungguh hidup dalam keadaan ukhwah yang sebegitu kuat & mesra.

Selepas bersarapan pagi, kami sembilan orang menumpang bilik-bilik yang ada untuk melelapkan mata buat seketika. Namun, tidak semua orang tidur. Aku sendiri tidak dapat tidur kerana telah tidur dengan nyenyaknya di dalam kereta sewaktu dalam perjalanan tadi. Dziya, Ideris & Muhamad tidur dengan nyenyak sekali kerana penat memandu & membaca peta dari Irbid ke Mu’tah. Kasihan mereka bertiga. Sepanjang malam terpaksa bersengkang mata membawa kami semua ke Mu’tah dengan selamat.

Tidak berapa lama kemudian, Taufiq mengajak kami yang tidak tidur untuk ke Karak, sebuah bandar besar yang terletak berdekatan dengan Mu’tah. Dia ingin membawa kami ke Karak Castle & Makam Nabi Nuh a.s yang terdapat di situ. Yang mengikut Taufiq cuma aku, Rozaili, Ideris, Hilmi, Fawwaz & Luqman. Ideris tiba-tiba sahaja terjaga & berhajat untuk ikut sekali. Sementara Dziya & Muhamad terus tidur nyenyak tanpa menghiraukan apa-apa. Fazli pula tidak ikut bersama kerana dia sudah banyak kali ke tempat-tempat tersebut.


Kedudukan Karak dalam peta Jordan

Kami tujuh orang menaiki 2 buah kereta untuk ke Karak Castle & Makam Nabi Nuh a.s. Tidak berapa lama kemudian, kami pun tiba di tempat tujuan pertama kami, iaitu Karak Castle. Karak Castle adalah sebuah kubu pertahanan yang dibina pada tahun 1140-an oleh seorang anggota tentera Salib yang bernama Pagan. Pembinaan kubu pertahanan tersebut bertujuan untuk mengawal lalu lintas di kawasan itu & juga untuk melindungi kota Karak daripada diserang oleh tentera Islam. Selang beberapa dekad kemudian, iaitu pada tahun 1176, pembesar kerajaan Kristian Jerusalem yang bernama Raynald de Chatillon telah memperoleh hak milik kubu pertahanan tersebut melalui perkahwinannya dengan adik kepada Raja Jerusalem pada waktu itu. Melalui Karak Castle inilah Raynald de Chatillon mengganggu rombongan-rombongan pedagang Arab yang lalu-lalang di sini. Tindakannya itu telah melanggar perjanjian antara kerajaan Kristian Jerusalem & kerajaan Islam pimpinan Salahuddin al-Ayyubi. Raynald de Chatillon juga pernah bercadang untuk menyerang Mekah.

Karak Castle akhirnya diserang oleh tentera Salahuddin al-Ayyubi pada tahun 1183 akibat pelanggaran perjanjian yang telah dilakukan oleh Raynald de Chatillon. Walau bagaimanapun, selepas berunding dengan Raja Jerusalem pada waktu itu yang bernama Baldwin IV, Salahuddin al-Ayyubi bersetuju untuk menghentikan serangannya. Namun, selepas Perang Hattin, iaitu perang yang berjaya membawa Jerusalem kembali ke pangkuan orang Islam, Karak Castle akhirnya ditawan oleh Salahuddin al-Ayyubi pada tahun 1189. Karak Castle kemudiannya digunakan oleh kerajaan-kerajaan yang seterusnya seperti kerajaan Mamluk & Empayar Turki Uthmaniyah. Begitulah serba sedikit sejarah berkenaan dengan Karak Castle ini yang pernah digunakan oleh tentera Salib & juga tentera Islam. Disebabkan itulah senibinanya pun terdapat percampuran antara senibina Kristian & senibina Islam.


Karak Castle, Karak, Jordan


Karak Castle, Karak, Jordan


Karak Castle, Karak, Jordan


Bersama Rozaili, Luqman, Hilmi & Fawwaz di Karak Castle, Karak, Jordan


Karak Castle, Karak, Jordan


Karak Castle, Karak, Jordan


Bersama Fawwaz, Rozaili, Taufiq & Ideris di Karak Castle, Karak, Jordan


Panorama kota Karak dari Karak Castle, Karak, Jordan


Panorama kota Karak dari Karak Castle, Karak, Jordan

Selepas beberapa ketika di Karak Castle, kami semua menuju ke destinasi seterusnya, iaitu Makam Nabi Nuh a.s. Terdapat banyak sebenarnya pendapat tentang lokasi Makam Nabi Nuh a.s. Salah satu daripadanya ialah di Karak. Makam seseorang Nabi sebenarnya bukan hanya bererti tempat mereka dikebumikan. Ia juga membawa maksud tempat persinggahan mereka. Makam Nabi Nuh a.s yang terletak di Karak ini mungkin sekadar tempat persinggahan baginda & bukannya kubur baginda. Wallahu ‘alam. Apa-apa pun, kami tetap menghadiahkan Al-Fatihah kepada baginda. Semoga baginda bahagia hendaknya di sisi Allah SWT. Seperti yang kita semua maklum, Nabi Nuh a.s adalah salah satu daripada Nabi Ulul ‘Azmi. Baginda telah berdakwah kepada kaumnya selama 950 tahun. Namun, yang terbuka hati untuk mengikut ajaran tauhid yang disampaikannya cuma beberapa orang sahaja. Isteri & anak lelakinya sendiri ingkar untuk mengikutinya. Akhirnya, Allah SWT telah memerintahkan baginda untuk membina bahtera besar. Apabila bahtera tersebut sudah siap dibina, maka diperintahkan semua pengikut Nabi Nuh a.s & semua jenis binatang berpasang-pasangan masuk ke dalam bahtera tersebut. Kemudian, turunlah azab Allah SWT terhadap kaum yang ingkar itu, iaitu dengan turunnya hujan lebat yang tidak henti-henti selama berhari-hari sehingga terjadinya banjir besar yang menenggelamkan seluruh kota mereka.


Makam Nabi Nuh a.s, Karak, Jordan

Berhampiran dengan Makam Nabi Nuh a.s yang kami jejaki di Karak ini, terdapat sebuah bukit kecil yang bentuknya seolah-olah seperti sebuah kapal. Menurut kata penduduk tempatan, itu mungkin merupakan bahtera Nabi Nuh a.s yang telah mendarat selepas surutnya banjir besar tersebut. Wallahu ‘alam.


Bukit kecil berbentuk kapal, Karak, Jordan

Selepas menziarahi Makam Nabi Nuh a.s, aku, Taufiq, Rozaili, Ideris, Fawwaz, Luqman & Hilmi menuju pulang ke Bayt Dimasyq di Mu’tah. Setibanya kami di Bayt Dimasyq, kami berehat-rehat buat seketika. Beberapa minit kemudian, kami bertujuh menaiki kereta semula untuk ke pekan Mu’tah. Rozaili, Ideris, Fawwaz, Luqman & Hilmi hendak membeli bahan-bahan untuk aktiviti barbeku mereka di Aqabah nanti. Aku & Taufiq sekadar menemani mereka berlima sebelum kami ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Selepas selesai membeli bahan-bahan yang diperlukan, mereka berlima pun pulang ke Bayt Dimasyq untuk bersiap-siap untuk ke Aqabah. Sementara aku & Taufiq pula terus berjalan kaki menuju ke rumah Zaid untuk mengajaknya bersama-sama ke masjid.

Setibanya kami berdua di rumah Zaid, dia pun turun untuk ke masjid bersama-sama dengan kami. Ini adalah kali pertama aku bertemu dengan Zaid. Sebelum ini, kami cuma berbual di alam maya sahaja. Hahaha. Zaid adalah siswazah kelulusan University of Mu’tah. Pada waktu itu, dia sedang menetap di Mu’tah untuk menguruskan syarikat pelancongannya yang dikongsi bersama dengan rakannya, Hazimin yang menetap di Malaysia. Nama syarikat mereka ialah HZ Travel & Tour. Syarikat mereka ini menawarkan banyak pakej pelancongan, bukan sahaja di sekitar rantau Timur Tengah, malah di rantau-rantau lain di seluruh dunia. Zaid ini juga adalah anak sulung kepada Makcik Ina, yang juga merupakan rakan alam maya aku. Aku telah mengenali Makcik Ina ini lebih dahulu sebelum aku mengenali anaknya, Zaid. Akan tetapi, aku dapat berjumpa dengan anaknya dahulu sebelum aku dapat berjumpa dengannya. Hehehe. InsyaAllah, satu hari nanti aku pasti akan dapat juga berjumpa dengan Ummu Zaid. Zaid kini sudah pun beristeri & beranak satu. Isterinya masih lagi belajar di University of Mu'tah pada waktu itu. Anak lelakinya, Umair pula baru berusia beberapa bulan.

Kami bertiga menunaikan solat fardhu Jumaat di masjid utama di Mu’tah. Selepas selesai solat, aku menunggu di luar. Tidak lama kemudian, muncullah Zaid & Taufiq. Mereka kemudiannya memperkenalkan aku kepada warga-warga Malaysia yang lain di Mu’tah di kawasan luar masjid itu. Ramai juga sebenarnya pelajar-pelajar Malaysia di Mu’tah ini. Aku juga sempat berkenalan dengan Syaheed, anak bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin. Syaheed juga adalah penuntut di University of Mu’tah.

Aku & Taufiq kemudiannya dipelawa oleh Zaid untuk ke rumahnya. Isterinya sedang menyediakan makan tengah hari untuk kami. Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, aku & Taufiq terus menerima sahaja pelawaannya. Sewaktu di rumah Zaid, kami berdua berbincang mengenai perancangan kami untuk ke Petra. Taufiq hanya mendengar sahaja. Menurut Zaid, jika tiada apa-apa halangan, dia akan membawa aku ke Petra esok. Waah. Tidak sabar rasanya aku hendak menjejakkan kaki aku di Petra, salah satu daripada 7 Keajaiban Dunia.

Selesai sahaja makan tengah hari di rumah Zaid, aku & Taufiq kembali semula ke Bayt Dimasyq dengan berjalan kaki. Aku pada mulanya merancang untuk menumpang di rumah Zaid. Tetapi, apabila memikirkan yang dia sudah berkeluarga, aku terus menukar perancangan aku untuk menumpang sahaja di Bayt Dimasyq bersama jejaka-jejaka bujang yang lain. Lebih selesa. Mujurlah aku dibawa oleh Dziya & rakan-rakannya ke rumah tersebut. Aku sebenarnya memang tidak pernah merancang langsung untuk menumpang di Bayt Dimasyq. Aku tidak pernah tahu akan kewujudan rumah tersebut & penghuni-penghuninya sebelum aku tiba di Mu'tah. Segala-galanya telah ditentukan Allah SWT yang telah memudahkan perjalanan aku. Syukur Alhamdulillah. Setibanya aku & Taufiq di Bayt Dimasyq, kami diberitahu bahawa Dziya, Muhamad, Rozaili, Ideris, Fazli, Fawwaz, Luqman & Hilmi sudah pun bertolak ke Aqabah. Aku doakan mereka lapan orang akan tiba di Aqabah dengan selamat.


Kedudukan Mu'tah dalam peta Jordan

Taufiq mempelawa aku menumpang di biliknya. Aku pun lalu membawa masuk kesemua barang-barang aku ke dalam biliknya. Dia menyediakan tilam untuk aku beradu. Pada petang tersebut, aku tidak melakukan apa-apa aktiviti. Sekadar berehat-rehat sahaja sambil membaca sedikit tentang Petra yang terdapat dalam buku panduan ‘Middle East’ terbitan Lonely Planet yang aku bawa. Kemudian, aku menunaikan solat Asar & selepas itu, aku menyambung kembali membaca.

Apabila malam sudah menjelma, aku dipelawa oleh seisi rumah tersebut untuk makan malam bersama mereka. Makan bertalam. Meriah sungguh suasana rumah yang dihuni oleh 12 orang itu. Masing-masing mempunyai ragam yang tersendiri. Selain Taufiq & Hazmi, penghuni-penghuni Bayt Dimasyq yang lain ialah Amer, Muzamir, Fadhli, Adi, Uwais, Arif, Syaheed, Said, Afiq & Hamzah. Bahagia sangat rasanya hidup dalam keadaan seperti itu. Ukhwah antara mereka semua benar-benar teguh. Setiap kali makan malam, beginilah suasana rumah mereka. Tidak pernah pula aku merasa semua itu sewaktu aku tinggal di Dublin bersama rakan-rakan serumah. Masing-masing makan di dalam bilik sendiri.

Sambil makan, mereka semua menujukan bermacam-macam pertanyaan kepada aku. Kebanyakannya berkenaan dengan Ireland & pengalaman aku di sana. Penat aku menjawab setiap satu soalan. Tetapi, aku rasa seronok. Kalau boleh, aku tidak mahu berhenti menjawab soalan-soalan mereka itu. Berminat betul mereka hendak mengetahui tentang bumi Ireland. Hehehe.

Selesai sahaja makan, aku pun menunaikan solat. Seketika kemudian, Zaid menelefon aku. Dia mengatakan bahawa dia tidak boleh membawa aku ke Petra esok kerana dia perlu ke Irbid untuk menguruskan sesuatu. Dia akan membawa aku ke Irbid bersama-samanya dengannya. Mungkin kami akan dapat melawat beberapa buah tempat yang terdapat di sepanjang perjalanan nanti. Menurutnya lagi, dia akan membawa aku ke Petra pada hari Ahad nanti. Aku bersetuju sahaja dengan rancangannya itu. Selepas itu, aku pun terus melelapkan mata.

Hari 7: 23 MEI 2009

Selepas bangun sahaja dari tidur, aku dijemput oleh beberapa orang penghuni Bayt Dimasyq untuk bersarapan pagi bersama-sama dengan mereka. Selesai bersarapan, aku terus mandi & kemudiannya berehat-rehat di dalam bilik Taufiq sementara menunggu ketibaan Zaid untuk mengikutnya ke Irbid. Sambil menunggu, aku menggunakan laptop Taufiq untuk melayari internet. Tidak lama kemudian, Zaid pun tiba dengan sebuah van sewa yang dipandu oleh seorang lelaki Arab yang berusia 40-an. Zaid tiba agak lewat sebenarnya. Dia sepatutnya tiba sejam lebih awal. Menurutnya, lelaki Arab itu yang lewat. Hampir sejam dia menunggu lelaki itu di tengah-tengah pekan Mu’tah. Hahaha. Kasihan pula aku dengan Zaid.

Kami kemudiannya terus menuju ke Irbid dengan menaiki van sewa kepunyaan lelaki Arab itu. Zaid & lelaki Arab itu begitu rancak berbual. Aku yang tidak fasih berbahasa Arab hanya diam membisu sahaja. Sesekali, Zaid mengajak aku berbual-bual untuk menghilangkan kebosanan aku. Hehehe. Beberapa jam kemudian, kami pun tiba di Irbid. Selepas Zaid selesai dengan urusannya, kami menuju ke sebuah runtuhan kota Rom yang terletak di sebuah tempat yang bernama Bayt Ras. Ia terletak tidak jauh dari Irbid. Runtuhan ini sebenarnya sedang dalam proses galian kerana ia baru sahaja dijumpai. Kami sempat mengambil beberapa keping gambar di sini. Selepas itu, kami kembali ke Irbid untuk makan tengah hari di Syari’ Jami’ah. Selepas makan, kami pun terus pulang semula ke Mu’tah. Dalam perjalanan ke Mu’tah, kami singgah di sebuah masjid untuk menunaikan solat. Selepas sahaja bersolat, kami pun meneruskan perjalanan pulang ke Mu’tah.


Runtuhan kota Rom di Bayt Ras, Jordan


Runtuhan kota Rom di Bayt Ras, Jordan


Runtuhan kota Rom di Bayt Ras, Jordan


Bersama Zaid di runtuhan kota Rom di Bayt Ras, Jordan


Runtuhan kota Rom di Bayt Ras, Jordan


Runtuhan kota Rom di Bayt Ras, Jordan

Sewaktu kami tiba di Bayt Dimasyq di Mu’tah, hari sudah pun gelap. Penghuni-penghuni rumah tersebut pada waktu itu sedang menikmati makan malam bersama-sama. Mereka menjemput Zaid untuk menyertai mereka. Tetapi, Zaid terpaksa menolak kerana dia perlu pulang ke rumah dengan segera. Aku kemudian mengucapkan terima kasih kepada Zaid kerana telah membawa aku menziarahi beberapa buah tempat tadi. Dia kemudian berkata yang dia akan datang menjemput aku dengan van sewa yang sama pada pukul 8.00 pagi esok untuk ke Petra. Tidak sabar pula rasanya hendak menjejakkan kaki di salah sebuah daripada 7 Keajaiban Dunia itu.

Selepas Zaid pulang ke rumahnya, aku masuk ke dalam bilik Taufiq untuk menukar pakaian. Kemudian, aku makan bersama-sama dengan penghuni-penghuni Bayt Dimasyq di ruang tamu rumah mereka. Selesai makan, aku kembali masuk ke dalam bilik Taufiq untuk bersolat. Selepas solat, aku pun terus melelapkan mata.

Hari 8: 24 MEI 2009

Tepat pukul 8.00 pagi hari ini, van sewa yang aku naiki semalam pun tiba di hadapan Bayt Dimasyq. Pemandu Arab itu menepati waktu pula pada hari ini. Hehehe. Zaid keluar dari van itu untuk menjemput aku. Pada mulanya, Arif, salah seorang penghuni Bayt Dimasyq berhajat untuk mengikut sekali kami ke Petra. Akan tetapi, dia membatalkan hajatnya beberapa minit sebelum bertolak. Aduh. Maka, tinggal aku & Zaid sahajalah yang akan ke Petra pada hari ini. Kami berdua lalu masuk ke dalam van tersebut. Aku memberi salam kepada pemandu Arab itu. Kami kemudiannya terus bertolak ke destinasi kami, Petra. Perjalanan dari Mu’tah ke Petra memakan masa lebih daripada sejam.

Setibanya kami di Petra, aku & Zaid pun terus membeli tiket. Aku menunjukkan kad pelajar Taufiq yang dipinjamkan olehnya untuk mendapatkan harga tiket yang murah. Warganegara Jordan termasuk pelajar-pelajar asing yang belajar di negara itu layak untuk mendapatkan harga tiket murah yang cuma berharga 1.00 Dinar. Pelancong-pelancong asing pula perlu membayar sebanyak 21.00 Dinar untuk tiket yang sama. Terlampau banyak bezanya. Mujurlah Taufiq sudi meminjamkan kad pelajarnya kepada aku. Dan mujurlah penjual tiket di kaunter tiket itu tidak mengecam perbezaan wajah aku & wajah Taufiq yang terdapat pada kad pelajar itu. Hehehe. Zaid pula terlupa membawa kad pelajarnya. Walau bagaimanapun, setelah dia berjaya meyakinkan penjual tiket itu bahawa dia adalah pelajar di Jordan, akhirnya, penjual tiket itu berlembut hati & meminta 1.00 Dinar sahaja daripadanya. Hebat betul. Hahaha.

Kami berdua pun kemudiannya menyusuri laluan ke dalam kawasan Petra yang luas itu. Petra terletak di kawasan pergunungan di Arabah. Ia amat terkenal di seluruh dunia kerana binaan-binaan yang terdapat di situ cukup mengagumkan. Begitu hebat sekali kemahiran umat manusia yang membina tamadun di situ pada zaman dahulu. Mereka mampu mengukir batu-batu gunung yang keras untuk membentuk sebuah kota yang besar di situ. Sehingga kini, ahli-ahli arkeologi masih belum ketemu teknologi apa yang digunakan oleh mereka. MasyaAllah. Disebabkan keajaiban inilah, Petra telah disenaraikan sebagai salah satu daripada 'UNESCO World Heritage Sites' pada tahun 1985 & kemudiannya diangkat menjadi salah satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia yang baru pada tahun 2007, setaraf dengan Tembok Besar di China, Taj Mahal di India, Colosseum di Itali, Chichen Itza di Mexico, Machu Picchu di Peru & Patung Christ the Redeemer di Brazil. Pada masa kini Petra adalah tempat tumpuan pelancong yang paling utama di bumi Jordan.


Kedudukan Petra dalam peta Jordan

Menurut sumber rujukan Barat, kota Petra ini dibina oleh orang-orang Nabatean sekitar tahun 100 SM. Kota ini kemudian dijadikan ibu kota kerajaan mereka & menjadi persimpangan jalan perdagangan sutera, rempah-ratus & pelbagai lagi yang menghubungkan China, India & Arab dengan Mesir, Syria, Greece & Rom. Petra akhirnya jatuh ke bawah pemerintahan Empayar Rom pada tahun 106 M. Mulai dari saat itu, Empayar Rom telah menambah beberapa buah lagi monumen di Petra untuk meninggalkan kesan jejak pemerintahannya. Apabila Empayar Rom menjadikan Kristian sebagai agama rasmi mereka, segala kuil-kuil Paganisma yang terdapat di Petra telah ditukar menjadi gereja. Petra kemudiannya jatuh pula ke tangan pemerintahan Islam mulai tahun 661. Sejak itu, Petra telah hilang kepentingannya & terus luput ditelan zaman beberapa lama selepas itu. Ia akhirnya dijumpai semula oleh seorang peneroka dari Switzerland yang bernama Johann Ludwig Burckhardt pada tahun 1812.

Menurut sumber rujukan Islam, kota Petra ini berkemungkinan merupakan kota kaum Tsamud, iaitu kaum di mana Nabi Saleh a.s diutuskan oleh Allah SWT. Kaum Tsamud amat terkenal dengan kemahiran mereka memahat gunung-ganang untuk dijadikan kota & penempatan mereka. Walau bagaimanapun, mereka kufur kepada Allah SWT. Nabi Saleh a.s diutuskan oleh Allah SWT untuk membawa mereka kembali ke jalan kebenaran. Namun, mereka tetap berdegil. Suatu hari, Nabi Saleh a.s telah menunjukkan mukjizatnya di hadapan kaum Tsamud dengan izin Allah SWT, iaitu dengan keluarnya seekor unta betina putih dari seketul batu. Dan mereka dilarang sama sekali untuk mengganggu unta tersebut, sebaliknya harus membiarkan unta itu bebas mencari makanan & minuman tanpa gangguan. Mereka walau bagaimanapun ingkar atas arahan yang diberi dengan menyembelih unta itu. Akhirnya, tibalah bala bencana daripada Allah SWT yang merupakan gempa bumi yang maha dahsyat yang melenyapkan sama sekali kaum itu dari muka bumi. Wallahu 'alam. Kisah tentang kaum Tsamud & kemahiran mereka memahat gunung-ganang ada diceritakan di dalam Al-Quran:

وَإِلَى ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُواْ اللّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ قَدْ جَاءتْكُم بَيِّنَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ هَذِهِ نَاقَةُ اللّهِ لَكُمْ آيَةً فَذَرُوهَا تَأْكُلْ فِي أَرْضِ اللّهِ وَلاَ تَمَسُّوهَا بِسُوَءٍ فَيَأْخُذَكُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ ﴿٧٣﴾ وَاذْكُرُواْ إِذْ جَعَلَكُمْ خُلَفَاء مِن بَعْدِ عَادٍ وَبَوَّأَكُمْ فِي الأَرْضِ تَتَّخِذُونَ مِن سُهُولِهَا قُصُورًا وَتَنْحِتُونَ الْجِبَالَ بُيُوتًا فَاذْكُرُواْ آلاء اللّهِ وَلاَ تَعْثَوْا فِي الأَرْضِ مُفْسِدِينَ ﴿٧٤﴾ قَالَ الْمَلأُ الَّذِينَ اسْتَكْبَرُواْ مِن قَوْمِهِ لِلَّذِينَ اسْتُضْعِفُواْ لِمَنْ آمَنَ مِنْهُمْ أَتَعْلَمُونَ أَنَّ صَالِحًا مُّرْسَلٌ مِّن رَّبِّهِ قَالُواْ إِنَّا بِمَا أُرْسِلَ بِهِ مُؤْمِنُونَ ﴿٧٥﴾ قَالَ الَّذِينَ اسْتَكْبَرُواْ إِنَّا بِالَّذِيَ آمَنتُمْ بِهِ كَافِرُونَ ﴿٧٦﴾ فَعَقَرُواْ النَّاقَةَ وَعَتَوْاْ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِمْ وَقَالُواْ يَا صَالِحُ ائْتِنَا بِمَا تَعِدُنَا إِن كُنتَ مِنَ الْمُرْسَلِينَ ﴿٧٧﴾ فَأَخَذَتْهُمُ الرَّجْفَةُ فَأَصْبَحُواْ فِي دَارِهِمْ جَاثِمِينَ ﴿٧٨﴾ فَتَوَلَّى عَنْهُمْ وَقَالَ يَا قَوْمِ لَقَدْ أَبْلَغْتُكُمْ رِسَالَةَ رَبِّي وَنَصَحْتُ لَكُمْ وَلَكِن لاَّ تُحِبُّونَ النَّاصِحِينَ ﴿٧٩﴾ وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّن الْعَالَمِينَ ﴿٨٠

Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka, Nabi Saleh; Dia berkata, "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya; Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata (mukjizat) dari Tuhan kamu; Ini adalah seekor unta betina (dari) Allah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku). Oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (Kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya". Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Aad, dan di tempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah; Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi. Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaumnya berkata kepada orang-orang yang dipandang lemah iaitu orang-orang yang telah beriman di antara mereka, "Tahukah kamu bahawa Saleh itu diutus dari Tuhannya?" Mereka menjawab, "Sesungguhnya kami beriman kepada apa yang dia diutus untuk menyampaikannya." Orang-orang yang sombong takbur itu berkata, "Sesungguhnya kami tetap ingkar akan orang yang kamu beriman kepadanya". Maka mereka pun menyembelih unta itu dan mereka menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka, sambil berkata, "Hai Saleh! Datangkanlah azab yang engkau telah janjikan kepada kami, jika betul engkau dari Rasul-rasul yang diutus (oleh Allah)". Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing. Maka Nabi Saleh pun meninggalkan mereka sambil berkata, "Wahai kaumku! Aku telah menyampaikan kepada kamu perutusan Tuhanku dan aku telah memberi nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang-orang yang memberi nasihat". Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing. (Surah Al-A'raf: Ayat 73-80)

Dari pintu masuk tadi untuk ke Treasury, iaitu binaan yang paling terkenal di Petra, kami perlu berjalan sejauh 1 km melalui sebatang jalan yang diberi nama Al-Siq. Kami sebenarnya mempunyai pilihan untuk menunggang kuda-kuda sewaan bermula dari pintu masuk hingga ke Treasury. Akan tetapi, kami memilih untuk berjalan kaki untuk menjimatkan wang. Sewaktu melalui Al-Siq, kami melintasi sebuah binaan yang bernama Obelisk Tomb yang merupakan salah sebuah makam kepunyaan orang-orang Nabatean yang terdapat di situ. Beberapa meter sebelum tiba di Treasury, kami melalui sebuah lorong kecil yang dihimpit oleh tebing-tebing batu yang tinggi di kiri & kanannya. Menakjubkan sungguh.


Pintu masuk Petra, Jordan


Jalan Al-Siq, Petra, Jordan


Jalan Al-Siq, Petra, Jordan


Kuda-kuda sewaan di Jalan Al-Siq, Petra, Jordan


Jalan Al-Siq, Petra, Jordan


Obelisk Tomb di Jalan Al-Siq, Petra, Jordan


Lorong kecil sebelum tiba di Treasury, Petra, Jordan


Lorong kecil sebelum tiba di Treasury, Petra, Jordan


Lorong kecil sebelum tiba di Treasury, Petra, Jordan

Setelah hampir 30 minit kami berjalan di sepanjang Al-Siq & lorong kecil itu, barulah kami berdua tiba di Treasury, binaan yang paling termasyhur yang menjadi mercu utama Petra. Tercapai juga hajat aku untuk melihat sendiri binaan itu dengan mata kepala aku sendiri. Sebelum ini, aku hanya dapat melihatnya di kaca televiyen & di dalam buku-buku sahaja. Kehalusan senibinanya betul-betul membuat aku kagum. Entah bagaimanalah orang-orang zaman dahulu boleh mengukir gunung dengan sebegini cantik sekali. Teknologi apa yang digunakan oleh mereka? Wallahu ‘alam. Yang penting sekarang, aku sudah berjaya menjejakkan kaki aku di situ.

Cuaca pagi dengan cahaya matahari yang memancar ke arah Treasury menyebabkannya kelihatan kekuning-kuningan, menambahkan lagi kecantikannya. Aku tidak melepaskan peluang yang ada untuk bergambar di situ. Binaan Treasury itu mempunyai pengaruh senibina Greek Purba. Menurut kajian yang dibuat, ada yang berpendapat bahawa binaan itu digunakan sebagai tempat menyimpan harta. Ada juga yang mengatakan ianya adalah sebuah makam raja-raja terdahulu. Dan ada juga yang merasakan ianya adalah tempat beribadat.


Treasury di Petra, Jordan


Treasury di Petra, Jordan


Treasury di Petra, Jordan


Bersama Zaid di Treasury di Petra, Jordan


Treasury di Petra, Jordan


Treasury di Petra, Jordan


Ruang dalam Treasury di Petra, Jordan


Ruang dalam Treasury di Petra, Jordan

Setelah puas bergambar di Treasury, aku & Zaid meneruskan perjalanan kami melihat binaan-binaan lain yang terdapat di dalam kawasan Petra ini. Kami melalui sebatang jalan yang bernama Street of Facades, yang menjadi penyambung kepada Al-Siq. Di sepanjang Street of Facades, terdapat banyak ukiran-ukiran yang menarik yang dipahat pada batu-batu gunung di sebelah kiri & kanannya. Di penghujung jalan tersebut pula terletak Theatre, sebuah binaan yang berbentuk seperti stadium. Ia dikatakan dibina oleh orang-orang Nabatean pada awal kurun pertama Masihi. Binaan ini kemudiannya diperbesarkan lagi sewaktu Petra berada di bawah kekusasaan Empayar Rom. Theatre ini boleh memuatkan seramai 3,000 orang penonton dalam suatu masa.


Street of Facades di Petra, Jordan


Street of Facades di Petra, Jordan


Theatre di Petra, Jordan


Bersama Zaid di Theatre di Petra, Jordan

Seterusnya, kami melalui beberapa makam diraja yang terletak di sebelah kanan laluan kami. Menakjubkan sungguh melihat bagaimana gunung di sebelah kanan kami yang diberi nama Jabal Al-Khubtha dipahat sedemikian rupa untuk dijadikan tempat pengebumian raja-raja pada zaman dahulu. Antara nama makam-makam tersebut ialah Aneisho Tomb, Urn Tomb, Silk Tomb, Corinthian Tomb, Palace Tomb & Sextus Florentinus Tomb.


Makam-makam Diraja di Petra, Jordan


Makam-makam Diraja di Petra, Jordan

Selepas melalui kawasan makam-makam diraja tersebut, kami tiba di sebuah kawasan yang dikatakan merupakan pusat kepada kota Petra ini. Di bahagian kiri kami terdapat tiang-tiang batu tinggalan Empayar Rom yang dahulunya merupakan sebahagian daripada Colonnaded Street. Kami meneruskan perjalanan kami untuk ke Monastery, yang terletak di kawasan yang agak tinggi di kota ini. Kami perlu mendaki untuk ke situ. Pendakian kami memakan masa lebih kurang 30 minit lamanya. Penat sungguh. Di suatu tahap, aku berasa seperti mahu berputus asa sahaja & turun semula. Tidak sanggup untuk terus menyambung pendakian yang teramat memenatkan & mencabar kesabaran. Hahaha. Mujurlah aku dapat menguatkan semangat aku.


Colonnaded Street di Petra, Jordan


Colonnaded Street di Petra, Jordan


Colonnaded Street di Petra, Jordan

Akhirnya, setelah berhempas pulas mendaki sambil beberapa kali berhenti rehat untuk mengambil nafas, kami berdua akhirnya tiba juga di Monastery yang kami hendak tujui itu. Memang tidak sia-sia aku menghabiskan tenaga aku untuk ke situ. Binaannya tersangatlah menakjubkan. Rupanya seakan-akan Treasury yang kami jejaki tadi. Akan tetapi, Monastery ini lebih besar saiznya. Aku benar-benar kagum dengan kehebatan teknologi orang-orang zaman dahulu yang mampu menghasilkan objek yang sebegini indah. Binaan ini dikatakan dibina oleh orang-orang Nabatean yang kemudiannya digunakan oleh Empayar Kristian Byzantine sebagai tempat beribadat mereka.


Monastery di Petra, Jordan


Monastery di Petra, Jordan


Bersama Zaid di Monastery di Petra, Jordan


Monastery di Petra, Jordan


Monastery di Petra, Jordan

Selepas menghabiskan masa yang agak lama di sekitar Monastery, kami pun turun semula ke bahagian bawah. Panorama yang kami nikmati sewaktu berjalan turun ke bahagian bawah kota Petra ini amatlah memukau hati kami & hati sesiapa sahaja yang melihatnya. Walaupun kawasan di sekeliling kering kontang, tidak berpokok & hanya dipenuhi dengan batu-batu gunung, namun ianya tetap mampu menambat hati aku. Hebat sungguh alam ciptaan Allah SWT. Subhanallah.


Panorama kawasan kota Petra, Jordan


Panorama kawasan kota Petra, Jordan


Panorama kawasan kota Petra, Jordan


Panorama kawasan kota Petra, Jordan

Apabila sudah tiba di bahagian bawah, kami mengambil lagi beberapa keping gambar di sekitar kawasan itu. Setelah puas bergambar di situ, kami berdua pun berjalan keluar dari kota Petra. Tamatlah sudah ekspedisi aku & Zaid mengelilingi kota Petra. Kami menghabiskan masa lebih kurang 4 jam untuk berjalan di seluruh kawasan kota itu. Begitu lama sekali. Itu pun masih ada beberapa tempat lagi yang tidak kami jejaki kerana terlampau penat.

Apabila kami sudah tiba di pintu keluar kota Petra, Zaid terus menelefon pemandu van sewa tadi. Seketika kemudian, van sewa tersebut pun tiba & kami lantas masuk ke dalamnya. Kami kemudian singgah di sebuah restoran berdekatan untuk makan tengah hari. Selesai sahaja makan, kami pun meneruskan perjalanan pulang ke Mu’tah. Dalam perjalanan pulang, kami singgah sebentar di sebuah masjid untuk solat. Di masjid tersebut terdapat makam seorang sahabat yang bernama Harith bin Umair. Selesai solat, kami pun meneruskan perjalanan pulang.


Masjid Harith bin Umair, Jordan


Makam Harith bin Umair, Jordan


Makam Harith bin Umair, Jordan

Tidak berapa lama kemudian, kami pun tiba di Bayt Dimasyq di Mu’tah. Aku mengucapkan terima kasih kepada Zaid kerana menemani aku ke Petra. Seketika kemudian, Hazmi & Taufiq datang menghampiri van sewa yang kami naiki. Mereka menjemput Zaid hadir ke jamuan yang akan mereka adakan waktu malam nanti di rumah mereka. Zaid berjanji akan hadir jika tiada halangan. Setelah Zaid pulang ke rumahnya dengan van sewa tadi, aku pun terus masuk ke dalam Bayt Dimasyq untuk membersihkan diri daripada debu-debu Petra yang melekat pada badan. Seterusnya, aku berehat-rehat di dalam bilik Taufiq sambil melayari internet dengan menggunakan laptop Taufiq. Pada waktu itu, semua penghuni Bayt Dimasyq sedang bertungkus-lumus membersihkan rumah & memasak makanan untuk jamuan yang akan diadakan pada waktu malam nanti. Jamuan tersebut adalah majlis jamuan perpisahan untuk salah seorang penghuni rumah mereka, iaitu Sa’id yang akan pulang terus ke Malaysia beberapa hari lagi. Aku menawarkan diri untuk membantu, namun mereka menyuruh aku berehat-rehat sahaja di dalam bilik. Hahaha. Terasa bersalah pula aku kerana tidak membantu mereka, sedangkan aku menumpang secara percuma.

Selepas solat Maghrib, majlis pun bermula. Pada waktu itu, Bayt Dimasyq dipenuhi dengan warga-warga Malaysia di Mu’tah termasuklah Zaid. Zaid turut membawa anaknya yang comel, iaitu Umair yang baru berusia beberapa bulan. Majlis itu sebenarnya adalah majlis ‘surprise’. Orang yang diraikan, iaitu Sa’id memang tidak tahu-menahu langsung yang majlis itu sebenarnya adalah majlis perpisahan yang diadakan untuknya. Pada fikirannya, ianya adalah majlis jamuan biasa sahaja. Hahaha. Terkejut benar dia apabila mendapat tahu perkara sebenar. Beberapa ‘slide’ gambar-gambarnya yang dahulu & terkini kemudiannya dimainkan dengan menggunakan ‘projector’. Selepas itu, Sa’id diminta untuk memberi ucapan. Terharu pula aku mendengar ucapan perpisahannya.

Aku seperti tidak percaya yang aku pada waktu itu sedang berada di dalam kelompok warga Malaysia di Mu'tah yang amat rapat hubungan ukhwah mereka. Walaupun aku baru 3 hari berkenalan dengan mereka, terasa seperti sudah bertahun-tahun menjalinkan hubungan persahabatan. Aku diberi layanan yang istimewa oleh mereka semua. Terharu rasanya. Selepas Sa'id selesai berucap, barulah kami semua dijamu dengan makanan-makanan yang sememangnya teramatlah banyak. Kenyang benar aku pada malam itu. Selesai sahaja majlis itu, aku & beberapa orang penghuni rumah itu menonton sebuah filem yang dimainkan dengan menggunakan ‘projector’ yang sama. Aku kemudiannya berasa mengantuk kerana terlalu banyak makan. Selepas menunaikan solat Isyak, aku pun terus melelapkan mata.


Sebelum bermula majlis perpisahan Sa'id di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Sebelum bermula majlis perpisahan Sa'id di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Sebelum bermula majlis perpisahan Sa'id di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Sebelum bermula majlis perpisahan Sa'id di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Sebelum bermula majlis perpisahan Sa'id di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Zaid & Umair sebelum bermula majlis perpisahan Sa'id di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Slide gambar-gambar Sa'id dimainkan sewaktu majlis perpisahannya di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Sa'id memberi ucapan sewaktu majlis perpisahannya di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Kek-kek di majlis perpisahan Sa'id di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Kek-kek di majlis perpisahan Sa'id di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Menikmati makanan-makanan di majlis perpisahan Sa'id di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Makanan-makanan di majlis perpisahan Sa'id di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Bersama warga-warga Malaysia di Mu'tah sewaktu majlis perpisahan Sa'id di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan

Hari 9: 25 MEI 2009

Pada waktu pagi hari ini, aku tidak ke mana-mana memandangkan kepenatan berjalan-jalan di Petra semalam masih belum lagi hilang. Zaid bercadang untuk membawa aku berjalan-jalan di sekitar Mu’tah pada waktu petang ini. Akan tetapi, dia terpaksa menunggu kepulangan isterinya dari kuliah terlebih dahulu untuk menjaga Umair di rumah. Hazmi yang kebetulannya tidak mempunyai apa-apa hal pada hari ini menawarkan diri untuk membawa aku berjalan-jalan di sekitar Mu’tah. Aku rasa lebih baik aku mengikut Hazmi sahaja. Zaid mungkin sudah penat membawa aku jalan-jalan di Petra semalam. Lagipun, dia mempunyai tanggungjawab lain. Aku tidak mahu menyusahkannya.

Selepas solat Zohor, aku & Hazmi pun keluar berjalan-jalan. Lokasi pertama yang dibawanya ialah University of Mu’tah, universiti di mana dia & penghuni-penghuni Bayt Dimasyq yang lain menuntut ilmu. Kami ke sana dengan menaiki bas mini. Besar & cantik juga kawasan universiti ini. University of Mu’tah yang mula dibuka pada tahun 1981 pada masa kini mempunyai 12 buah fakulti & seramai 17,000 orang mahasiswa. Dua buah fakulti yang menjadi tumpuan utama pelajar-pelajar Malaysia di sini ialah Fakulti Syari’ah & Fakulti Kesenian. Ustaz Hasrizal bin Abdul Jamil, penceramah bebas yang juga penulis blog terkenal adalah bekas pelajar Fakulti Syari’ah di sini. Blognya, Saifulislam.Com pada masa kini adalah antara blog-blog berunsur keagamaan yang termasyhur di kalangan warganegara Malaysia di seluruh dunia. Aku sempat bersua muka dengannya beberapa kali sewaktu dia menetap di Ireland dahulu.

Fakulti perubatan di University of Mu’tah baru sahaja dibuka pada tahun 2001. Menurut Hazmi, kerajaan Malaysia sedang dalam proses perbincangan untuk menghantar pelajar-pelajar Malaysia yang berminat untuk belajar ilmu perubatan ke universiti ini. Kos pengajiannya jauh lebih murah berbanding kos pengajian di JUST, Irbid.


Pintu masuk University of Mu'tah, Mu'tah, Jordan


University of Mu'tah, Mu'tah, Jordan


University of Mu'tah, Mu'tah, Jordan


Fakulti Syari'ah University of Mu'tah, Mu'tah, Jordan


Fakulti Syari'ah University of Mu'tah, Mu'tah, Jordan


Dewan kuliah Fakulti Syari'ah University of Mu'tah, Mu'tah, Jordan


Fakulti Kesenian University of Mu'tah, Mu'tah, Jordan


Fakulti Kesenian University of Mu'tah, Mu'tah, Jordan


Bersama Hazmi di Fakulti Perubatan University of Mu'tah, Mu'tah, Jordan


Bersama seorang pelajar Malaysia di Fakulti Perubatan University of Mu'tah, Mu'tah, Jordan

Sedang aku & Hazmi berjalan-jalan di dalam University of Mu’tah, kami bertemu dengan seorang pelajar Malaysia yang baru sahaja selesai kuliahnya. Memandangkan dia tidak mempunyai apa-apa hal, maka dia turut mengikut kami berdua ke destinasi yang seterusnya, iaitu Medan Perang Mu’tah yang terletak tidak jauh dari universiti tersebut. Perang Mu’tah berlaku pada tahun 629 yang melibatkan kerajaan Islam pimpinan Rasulullah SAW & Empayar Byzantine pimpinan Maharajanya, iaitu Heraclius. Jumlah tentera Islam dalam perang tersebut adalah seramai 3,000 orang, sementara jumlah tentera Empayar Byzantine pula adalah seramai 20,000 orang, 6 kali ganda lebih besar berbanding jumlah tentera Islam. Punca peperangan ini adalah disebabkan pembunuhan seorang utusan Rasulullah SAW ke wilayah Ghassan ketika baginda ingin menyebarkan dakwah Islam ke wilayah jajahan Empayar Byzantine itu.

Rasulullah SAW melantik anak angkatnya, Zaid bin Harithah sebagai ketua panglima Perang Mu'tah. Sekiranya dia syahid, Ja’far bin Abu Talib bakal menggantikannya. Dan jikalau dia juga syahid, Abdullah bin Rawahah pula yang bakal menjadi pengganti. Walau bagaimanapun, dalam perang tersebut, ketiga-tiga mereka terkorban. Dan akhirnya, ketika tentera Islam berada di saat yang genting itu, kesemua mereka bersepakat melantik Khalid al-Walid sebagai ketua panglima tentera. Dengan menggunakan taktik pengunduran yang bijak, Khalid al-Walid berjaya menyelamatkan sejumlah besar tentera Islam dalam perang tersebut.


Medan Perang Mu'tah, Mu'tah, Jordan


Medan Perang Mu'tah, Mu'tah, Jordan


Bersama seorang pelajar Malaysia di Medan Perang Mu'tah, Mu'tah, Jordan

Selepas melawat Medan Perang Mu’tah, kami bertiga menaiki teksi untuk ke pekan Mu’tah. Dari situ, aku & Hazmi ke destinasi kami yang seterusnya, iaitu kompleks makam Zaid bin Harithah & Ja’far bin Abu Talib dengan menaiki teksi lain. Sementara pelajar Malaysia yang bersama dengan kami tadi terus pulang ke rumahnya di pekan Mu'tah. Tidak berapa lama kemudian, kami berdua pun tiba di kompleks makam tersebut. Di situ, aku agak terkejut apabila terpandang papan-papan tanda yang ditulis dalam Bahasa Indonesia, Bahasa Arab & Bahasa Inggeris. Hahaha. Menurut Hazmi, terdapat ramai warga Indonesia yang menetap di sekeliling kompleks makam tersebut. Kompleks makam ini dibina bagi menempatkan makam 2 orang panglima Islam yang terkorban dalam Perang Mu’tah, iaitu Zaid bin Harithah & Ja’afar bin Abu Talib.

Zaid bin Harithah pada mulanya adalah hamba yang dihadiahkan kepada isteri pertama Rasulullah SAW, iaitu Khadijah binti Khuwailid. Rasulullah SAW kemudian mengambilnya sebagai anak angkat. Sewaktu ayah kandungnya hendak menuntutnya semula, dia berkata kepada ayahnya itu yang dia ingin tinggal terus bersama Rasulullah SAW. Kemudian, apabila baginda Rasulullah SAW mendapat wahyu pertama, Zaid bin Harithah adalah antara golongan pertama yang memeluk ajaran Islam. Namanya juga ada disebut di dalam Al-Quran, dalam surah Al-Ahzab, ayat 37. Ini menjadikan Zaid bin Harithah sebagai satu-satunya sahabat Rasulullah SAW yang disebut namanya oleh Allah SWT di dalam kitab suci tersebut:

وَإِذْ تَقُولُ لِلَّذِي أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَأَنْعَمْتَ عَلَيْهِ أَمْسِكْ عَلَيْكَ زَوْجَكَ وَاتَّقِ اللَّهَ وَتُخْفِي فِي نَفْسِكَ مَا اللَّهُ مُبْدِيهِ وَتَخْشَى النَّاسَ وَاللَّهُ أَحَقُّ أَن تَخْشَاهُ فَلَمَّا قَضَى زَيْدٌ مِّنْهَا وَطَرًا زَوَّجْنَاكَهَا لِكَيْ لَا يَكُونَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ حَرَجٌ فِي أَزْوَاجِ أَدْعِيَائِهِمْ إِذَا قَضَوْا مِنْهُنَّ وَطَرًا وَكَانَ أَمْرُ اللَّهِ مَفْعُولًا

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: Jangan ceraikan isterimu itu dan bertakwalah kepada Allah, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya) dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku. (Surah Al-Ahzab: Ayat 37)

Ja’afar bin Abu Talib pula adalah sepupu Rasulullah SAW. Dia adalah anak kepada bapa saudara baginda, iaitu Abu Talib. Dia dikatakan mempunyai wajah & perwatakan seperti Rasulullah SAW. Dia juga adalah antara golongan pertama yang memeluk Islam & dia adalah antara beberapa orang yang berhijrah ke Habsyah untuk berlindung di bawah pemerintahan Raja Najasyi yang terkenal dengan keadilannya. Raja tersebut kemudiannya memeluk Islam setelah mendengar hujah-hujah tentang Islam yang disampaikan olehnya. Dia tinggal selama 10 tahun di Habsyah sebelum berpindah ke Madinah.


Kompleks makam Zaid bin Harithah & Ja’far bin Abu Talib, Mu'tah, Jordan


Kompleks makam Zaid bin Harithah & Ja’far bin Abu Talib, Mu'tah, Jordan


Kompleks makam Zaid bin Harithah & Ja’far bin Abu Talib, Mu'tah, Jordan


Kompleks makam Zaid bin Harithah & Ja’far bin Abu Talib, Mu'tah, Jordan


Makam Ja’far bin Abu Talib di Kompleks makam Zaid bin Harithah & Ja’far bin Abu Talib, Mu'tah, Jordan


Makam Ja’far bin Abu Talib di Kompleks makam Zaid bin Harithah & Ja’far bin Abu Talib, Mu'tah, Jordan


Makam Zaid bin Harithah di Kompleks makam Zaid bin Harithah & Ja’far bin Abu Talib, Mu'tah, Jordan

Selepas melawat kompleks makam Zaid bin Harithah & Ja’afar bin Abu Talib, Hazmi membawa aku melawat sebuah lagi makam panglima Perang Mu’tah yang syahid dalam perang tersebut, iaitu makam Abdullah bin Rawahah. Beliau adalah pemuda golongan Ansar dari suku kaum Khazraj & merupakan salah seorang daripada 12 orang penduduk Madinah yang mula-mula sekali memeluk Islam sebelum berlakunya peristiwa penghijrahan umat Islam ke Madinah. Atas jasanya, Islam tersebar dengan begitu cepat di Madinah.


Makam Abdullah bin Rawahah, Mu'tah, Jordan


Makam Abdullah bin Rawahah, Mu'tah, Jordan

Selepas melawat ketiga-tiga makam syahidin Perang Mu’tah itu, aku & Hazmi kembali semula ke pekan Mu’tah dengan menaiki teksi. Hazmi kemudiannya membawa aku menziarahi beberapa rumah pelajar-pelajar Malaysia di Mu’tah. Antaranya ialah sebuah rumah bekas-bekas pelajar Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA). Mereka semua tersangatlah ramah. Seronok aku berbual dengan mereka. Lama juga aku menghabiskan masa di situ. Apabila sudah hampir senja, aku & Hazmi pun meminta diri untuk pulang ke Bayt Dimasyq.

Bayt Dimasyq pada waktu itu sebenarnya sedang mengalami masalah ketiadaan air kerana bekalan air tangki untuk tempoh seminggu mereka sudah pun habis. Ianya mungkin habis cepat kerana aktiviti memasak untuk majlis perpisahan Sa'id malam semalam. Disebabkan kehabisan bekalan air, mereka terpaksa menghubungi syarikat lori air untuk membeli air. Di negara Jordan, air adalah antara masalah utama mereka kerana ketiadaan sumber air seperti sungai. Yang ada cuma mata air atau wadi. Bekalan air selalunya akan dihantar dari rumah ke rumah seminggu sekali oleh lori-lori air.

Selepas solat Maghrib, Zaid datang ke Bayt Dimasyq untuk bertanyakan tentang Interrail, tiket pass keretapi tanpa had yang digunakan oleh pelancong-pelancong di benua Eropah. Aku telah dua kali menggunakan tiket pass itu. Menurut Zaid, dia hendak melihat-lihat benua Eropah supaya suatu hari nanti dia dapat mengembangkan sayap syarikat pelancongannya ke sana. Hahaha. Mudah-mudahan tercapailah hasratnya itu. Selepas hampir sejam menerangkan kepadanya tentang Interrail, dia pun meminta diri untuk pulang ke rumahnya. Secara kebetulan, Amer, salah seorang penghuni Bayt Dimasyq mengajak aku untuk menziarahi rumah rakan-rakannya yang tidak jauh dari situ. Hamzah pun berhajat untuk turut ikut sekali. Oleh itu, kami berempat pun bergerak keluar bersama-sama.

Di suatu simpang, kami terserempak dengan Taufiq. Kami mengajaknya sekali ke rumah yang hendak kami tujui. Di simpang itu jugalah Zaid meminta diri untuk pulang ke rumahnya. Aku mengucapkan jutaan terima kasih kepadanya kerana telah membantu sedikit sebanyak dalam pengembaraan aku di bumi Jordan ini. Aku mungkin tidak akan berjumpa dengannya lagi selepas ini kerana aku akan terus ke Damsyik, Syria esok pagi. Selepas bersalaman dengan Zaid, aku, Amer, Hamzah & Taufiq pun terus menuju ke rumah yang menjadi tujuan kami.

Sesampainya kami berempat di rumah yang dimaksudkan, kami pun dijemput masuk oleh penghuni-penghuni rumah tersebut yang berjumlah 4 orang kesemuanya. Kami dijamu makan malam & sambil-sambil itu, kami berbual panjang. Aku seolah-olah seperti tidak percaya yang pada waktu itu aku sedang berada di bumi Jordan di samping orang-orang yang baru sahaja aku kenali yang belum pernah aku jumpa sebelum ini. Layanan yang mereka beri tersangatlah mengharukan. Benarlah kata sesetengah orang. Adakalanya, orang yang kita baru kenal melayan kita dengan lebih baik daripada orang yang kita telah lama kenal.

Apabila sudah selesai makan, kami berempat pun meminta diri untuk pulang ke Bayt Dimasyq. Kami mengucapkan terima kasih kepada penghuni-penghuni rumah tersebut yang sudi menjamu kami dengan makanan-makanan yang enak. Setibanya di Bayt Dimasyq, aku pun masuk ke dalam bilik Taufiq untuk menunaikan solat. Kemudian, aku pun terus melelapkan mata.

Bersambung di SuMMeR 2009 (CYPRuS, JoRDaN, SYRia, LeBaNoN) (BHG III)

No comments: