4.6.09

SuMMeR 2009 (CYPRuS, JoRDaN, SYRia, LeBaNoN) (BHG III)



Hari 10: 26 MEI 2009

Aku bangun awal untuk mengemas barang-barang aku. Aku akan bertolak ke Damsyik, Syria pada pagi ini. Walau bagaimanapun, aku akan ke Amman terlebih dahulu bersama-sama dengan Sa’id, Hamzah & seorang lagi rakan mereka dengan menaiki van sewa. Mereka secara kebetulannya hendak ke Amman pada hari ini untuk membeli-belah. Oleh itu, mereka mengajak aku mengikut mereka sekali kerana dari Amman, aku boleh menaiki teksi terus ke Damsyik.

Setelah semuanya telah dimasukkan ke dalam beg, aku pun sudah bersedia untuk bertolak ke Amman dari Bayt Dimasyq, Mu'tah. Kami akan menaiki van sewa sama yang membawa aku & Zaid ke Irbid & Petra. Pemandu van sewa tersebut sememangnya amat baik dengan pelajar-pelajar Malaysia di Mu'tah ini. Sebelum bergerak untuk bertolak ke Amman, aku terlebih dahulu menyerahkan sebuah cenderahati dari Ireland untuk diletakkan di Bayt Dimasyq. Harap-harapnya, mereka akan sentiasa mengingati aku apabila melihat cenderahati yang aku beri itu. Hehehe. Aku juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada penghuni-penghuni Bayt Dimasyq, iaitu Taufiq, Hazmi, Sa'id, Hamzah, Amer, Muzamir, Fadhli, Adi, Uwais, Arif, Syaheed & Afiq atas layanan yang mereka beri sepanjang 4 hari 4 malam aku menumpang di rumah mereka. Jasa-jasa mereka itu akan sentiasa aku kenang & aku doakan kehidupan mereka di bumi Mu’tah ini akan sentiasa tenteram dengan rahmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.


Cenderahati untuk Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Bersama Sa'id & Taufiq di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan

Selepas bersalaman dengan penghuni-penghuni Bayt Dimasyq, aku, Sa’id & Hamzah pun terus menaiki van sewa yang sedang menunggu kami di luar. Kami menuju ke rumah rakan mereka yang hendak ikut sekali ke Amman untuk mengambilnya. Setelah itu, barulah kami terus bertolak ke Amman. Setibanya kami di sebuah stesen teksi di Amman, Sa’id & pemandu van sewa itu membantu aku untuk membeli tiket teksi untuk ke Damsyik, Syria. Keadaan agak kelam-kabut juga sebenarnya. Aku sendiri tidak pasti apa yang sedang berlaku kerana mereka semua bertutur dalam Bahasa Arab. Namun, aku akhirnya berjaya juga mendapatkan teksi. Disebabkan keadaan agak kelam-kabut & pemandu teksi itu tidak sabar-sabar lagi untuk bertolak, aku tidak sempat untuk mengucapkan selamat tinggal & terima kasih kepada Sa’id. Aku hanya mengucapkannya melalui sms ke telefon bimbitnya.

Teksi yang aku naiki itu turut membawa bersama sepasang warganegara Afrika Selatan yang berketurunan Arab. Mereka sebenarnya berasal dari Jordan, tetapi telah lama menetap di Afrika Selatan. Seronok juga berbual-bual dengan mereka. Mereka fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris. Apabila sudah tiba di pusat imigresen di sempadan Jordan-Syria, mereka berdua turun di pusat imigresen Syria. Menurut mereka, kawan mereka akan menjemput mereka di situ. Oleh itu, dari pusat imigresen Syria menuju ke Damsyik, aku hanya berseorangan sahaja bersama dengan pemandu teksi itu.

Aku tidak menghadapi apa-apa masalah sewaktu di pusat imigresen di sempadan Jordan-Syria. Urusan imigresen semuanya berjalan dengan lancar. Aku dikenakan bayaran untuk mendapatkan visa keluar sewaktu di pusat imigresen Jordan. Sewaktu di pusat imigresen Syria pula, aku tidak dikenakan apa-apa bayaran untuk mendapatkan visa masuk. Aku berasa agak pelik juga sebenarnya kerana menurut Sa'id, warganegara Malaysia perlu membayar untuk mendapatkan visa masuk ke Syria. Walau apa pun, aku hanya berserah pada Allah SWT. Semoga perjalanan aku dipermudahkan. Tidak berapa lama selepas melepasi pusat imigresen Syria, aku pun akhirnya tiba di Damsyik. Aku diturunkan di suatu lokasi yang bernama Nahar Aisyah, seperti yang telah diceritakan oleh Zaid sewaktu aku di Mu’tah. Ianya adalah sebuah stesen teksi.


Peta perjalanan Mu'tah-Amman-Damsyik

Zaid telah pun memberi nombor telefon rakannya di Damsyik yang bernama Ikhwan. Aku lalu terus cuba menghubungi Ikhwan setibanya aku di Nahar Aisyah, Damsyik dengan menggunakan kad SIM Jordan aku. Walau bagaimanapun, panggilan aku tidak diterima. Malah ianya dijawab oleh seorang operator yang mengatakan bahawa kad SIM aku tidak boleh digunakan di Syria. Aku menjadi panik. Aku kemudiannya cuba pula menghantar sms kepada Ikhwan. Tetapi tiada sebarang respon. Aku akhirnya mendapat satu ilham. Aku menghantar sms kepada Zaid menceritakan apa yang sedang berlaku & aku memintanya untuk menghantar sms kepada Ikhwan, memberitahunya yang aku sudah tiba di Nahar Aisyah. Seketika kemudian, Zaid membalas sms aku. Menurutnya, dia sudah menghubungi Ikhwan & Ikhwan meminta aku untuk menaiki teksi menuju ke Masjid Zaid bin Thabit. Ikhwan akan menjemput aku di situ.

Aku pada waktu itu sedang dikerumuni oleh pemandu-pemandu teksi yang menakutkan. Mereka sedaya upaya hendak menawarkan perkhidmatan mereka. Namun, aku tolak semuanya. Aku bercakap dalam Bahasa Inggeris, tetapi mereka menjawab dalam Bahasa Arab. Memang betullah kata rakan-rakan aku di Jordan, penduduk-penduduk Syria memang tidak tahu berbahasa Inggeris. Huhuhu. Melihatkan aku dalam keadaan panik & cemas, salah seorang pemandu teksi itu menawarkan diri untuk membantu. Dia seolah-olah tahu akan masalah yang aku sedang alami. Dia lalu meminta nombor telefon orang yang hendak aku hubungi, iaitu Ikhwan & dia kemudiannya mendail nombor tersebut dengan menggunakan telefon bimbitnya sendiri & bercakap sendiri dengan Ikhwan. Sesudah selesai bercakap dengan Ikhwan melalui telefon, dia menarik tangan aku ke teksinya & membawa aku terus ke masjid yang dimaksudkan, iaitu Masjid Zaid bin Thabit. Hahaha. Tak sangka pula ada orang yang sebaik & sepelik itu. Apa-apa pun, aku bersyukur kepada Allah SWT kerana telah memudahkan perjalanan aku. Selepas membayar tambang kepada pemandu teksi yang baik hati itu, aku mengucapkan terima kasih kepadanya. Kemudian, aku pun keluar dari teksinya & menunggu kemunculan Ikhwan di pintu hadapan masjid itu.

Tidak berapa lama kemudian, muncullah seorang lelaki Melayu berjalan menghampiri aku. Dia lalu memperkenalkan dirinya sebagai Ikhwan & dia bertanya sama ada aku adalah Jhaz. Hahaha. Ini adalah kali pertama kami berdua berkenalan & bersua muka. Selepas bersalam-salaman, dia terus membawa aku ke rumahnya. Sewaktu dalam perjalanan ke rumahnya, dia memberitahu aku bahawa kad SIM Jordan hanya boleh digunakan untuk menghantar SMS sahaja di Syria. Ianya tidak boleh digunakan untuk membuat penggilan. Barulah aku faham kenapa aku tidak boleh menghubunginya. Mengapalah Zaid & Sa'id tidak memaklumkan kepada aku awal-awal tentang hal itu. Aduh.

Apabila tiba di rumahnya, dia menjamu aku air. Menurutnya, dia tinggal bersama-sama dengan 3 orang lagi pelajar Malaysia di rumahnya itu. Akan tetapi, mereka bertiga tiada di rumah pada waktu itu kerana sedang menghadiri kuliah di universiti. Ikhwan kemudiannya meminta diri untuk ke universitinya kerana dia perlu menduduki satu peperiksaan pada petang itu. Aku terkejut mendengarnya. Tiba-tiba aku rasa bersalah kerana telah mengganggunya. Aku harap dia tidak kisah. Selepas Ikhwan sudah bertolak ke universiti, aku ditinggalkan keseorangan di dalam biliknya. Aku cuba-cuba untuk menggunakan laptopnya untuk melayari internet. Malang sekali, di rumahnya rupa-rupanya tiada kemudahan internet. Disebabkan terlampau bosan, aku akhirnya tertidur. Lebih kurang pukul 4.00 petang, Ikhwan kembali semula ke biliknya. Selepas solat Asar, dia membawa aku berjalan-jalan di sekitar kota Damsyik, Syria.

Syria adalah negara kedua di bumi Syam yang aku jejaki, selepas Jordan. Negara ini disempadani oleh Lubnan di bahagian barat, Turki di bahagian utara, Iraq di bahagian timur, Jordan di bahagian selatan & Israel di bahagian barat daya. Persisiran pantainya di bahagian barat pula menghadap Laut Mediterranean. Penduduk negara ini berjumlah 22 juta orang. 90% daripadanya adalah daripada bangsa Arab. Yang selebihnya adalah daripada bangsa-bangsa minoriti seperti Kurdish, Armenia, Turkmen & Assyria. 90% daripada penduduk Syria beragama Islam. Agama Islam terpelihara dengan begitu baik sekali di sini. Disebabkan itulah, Syria merupakan antara negara-negara utama yang menjadi tumpuan mereka yang ingin mendalami ilmu-ilmu Islam. Rakyat Malaysia juga tidak ketinggalan untuk menuntut ilmu-ilmu Islam di sini. 10% lagi daripada penduduk Syria adalah penganut agama Kristian, sama ada daripada mazhab Greek Orthodox ataupun mazhab Roman Katolik.


Kedudukan Syria dalam peta Timur Tengah


Peta negara Syria


Bendera negara Syria

Bahasa Arab adalah bahasa utama yang digunakan di negara Syria. Bahasa Arabnya hampir serupa dengan Bahasa Arab tulen seperti yang dipertuturkan oleh orang-orang Arab zaman dahulu & juga seperti yang terkandung di dalam kitab suci Al-Quran. Ianya kurang dicemari dengan bahasa-bahasa Arab pasar seperti di negara-negara Arab yang lain. Ini menyebabkan ramai orang datang ke Syria untuk mempelajari Bahasa Arab kerana keasliannya masih lagi terpelihara. Penggunaan Bahasa Inggeris di negara ini amatlah terhad. Boleh dikatakan hampir kesemua rakyat Syria tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Ini adalah akibat daripada pelbagai sekatan dari luar yang dikenakan oleh kerajaannya, yang menyebabkan rakyatnya hidup seperti katak di bawah tempurung. Walau apapun, orang-orang Syria terkenal dengan pertuturan mereka yang lembut & juga wajah-wajah mereka yang cantik & kacak. Ini bermungkinan besar hasil daripada percampuran darah antara pelbagai bangsa yang pernah menetap di muka bumi Syria suatu masa dahulu. Syria mengamalkan sistem pemerintahan Republik yang diketuai oleh Presiden & dibantu oleh Perdana Menteri. Matawang yang digunakan di sini ialah Pound. 1.00 Euro bersamaan dengan 65.00 Pound. 1.00 Ringgit pula bersamaan dengan 13.00 Pound.

Mengikut kajian sejarah, pada kurun kedua Sebelum Masihi, kawasan Syria yang wujud sekarang ini dikuasai secara berturut-turut oleh orang-orang Kanaan, Phoenicia & Aramean. Seterusnya, kuasa-kuasa seperti Mesir, Sumeria, Assyria, Babylon & Hittie pula mengambil alih pemerintahannya secara berturut-turut. Walau bagaimanapun, kawasan tersebut akhirnya jatuh ke tangan Empayar Parsi tidak berapa lama kemudian. Selepas itu, kerajaan Greek di bawah pemerintahan Alexander the Great pula mengambil alih. Dan kemudiannya, ia jatuh pula ke tangan Empayar Seleucid. Apabila Pompey berjaya menawan ibu kota Empayar Seleucis pada tahun 64 Masihi, kawasan Syria secara automatiknya menjadi sebahagian daripada Empayar Rom. Syria kemudiannya menjadi salah satu wilayah yang terpenting dalam Empayar Rom sewaktu kurun ke-2 & ke-3. Terdapat beberapa orang Maharaja Rom yang berasal dari Syria, seperti Alexander Severus, Elagabalus & Marcus Julius Philippus. Syria juga memainkan peranan penting dalam sejarah perkembangan agama Kristian yang akhirnya menjadi agama rasmi Empayar Rom & Byzantine.

Pada tahun 640, di bawah pimpinan Khaled al-Walid, Syria berjaya ditawan oleh tentera Islam daripada Empayar Byzantine. Ia kemudiannya menjadi sebahagian daripada kerajaan Bani Umayyah. Pada tahun 750, kerajaan Abbasiyah berjaya melenyapkan kerajaan Umayyah & secara tidak langsung, Syria jatuh ke bawah pemerintahan kerajaan tersebut. Kemudian, pada tahun 887, kerajaan Mesir di bawah Dinasti Tulunid telah berjaya merampas Syria daripada kerajaan Bani Abbasiyah.

Seterusnya, sebahagian daripada Syria telah ditawan oleh tentera Salib sewaktu kedatangan mereka ke sini sekitar kurun ke-12. Pada kurun ke-13, tentera Mongol telah tiba di Syria & menawannya. Syria kemudiannya dengan mudahnya ditawan oleh tentera Turki Uthmaniyah pada kurun ke-16. Ia kekal berada di bawah pemerintahan empayar tersebut sehinggalah empayar itu kalah dalam Perang Dunia Pertama. Setelah bebas daripada Empayar Turki Uthmaniyah, Syria membentuk kerajaannya sendiri pada tahun 1920. Faisal I ditabalkan menjadi Raja Syria. Beliau sebenarnya adalah tali barut British & telah bekerjasama dengan T.E Lawrence atau Lawrence of Arabia untuk membangkitkan semangat nasionalisma di kalangan orang-orang Arab dengan mengadakan rusuhan demi rusuhan dalam usaha untuk melemahkan kepimpinan Empayar Turki Uthmaniyah sebelum berlakunya Perang Dunia Pertama. Beliau juga adalah orang yang bertanggungjawab menandatangani perjanjian dengan Chaim Weizmann, iaitu Presiden Organisasi Zionis Sedunia untuk membuka penempatan orang-orang Yahudi di tanah Palestin. Pemerintahan Faisal I sebagai Raja Syria walau bagaimanapun hanya bertahan selama beberapa bulan sahaja sebelum Syria berjaya ditawan oleh Perancis. Faisal I kemudiannya ditabalkan sebagai Raja Iraq pula oleh British pada tahun 1921. Syria akhirnya mendapat kemerdekaan daripada Perancis pada tahun 1944 setelah beberapa kali percubaan & kemudiannya membentuk sebuah kerajaan republik.


Raja Faisal I


Chaim Weizmann

Pada tahun 1948, Syria bersama-sama dengan negara-negara Arab yang lain telah melibatkan diri dalam Perang Arab-Israel atas usaha untuk membantah penubuhan haram negara Israel. Beberapa tahun selepas itu, iaitu pada tahun 1958, Syria telah bersatu dengan Mesir & membentuk sebuah kerajaan yang bernama United Arab Republic. Walau bagaimanapun, republik itu hanya mampu bertahan hingga tahun 1961 sahaja. Pada tahun 1967, Syria telah bekerjasama dengan Jordan & Mesir untuk berperang dengan Israel dalam Perang Enam Hari. Akibat daripada perang tersebut, Syria telah kehilangan Bukit Golan yang berjaya ditakluki oleh Israel. Sehingga kini, isu Bukit Golan masih lagi menjadi konflik utama antara Syria & Israel.

Pada tahun 1966, telah berlaku rampasan kuasa di Syria oleh Parti Baath. Kemudian, pada tahun 1971, salah seorang anggota parti tersebut yang bernama Hafez al-Assad telah dilantik sebagai Presiden Syria & memerintah selama 30 tahun, sehingga tahun 2000. Terlampau banyak sekatan yang telah dikenakannya ke atas rakyat Syria sepanjang tempoh pemerintahannya itu. Kerajaan Syria di bawah pemerintahannya bersifat diktator & sekular. Pemerintahannya mendapat kritikan hebat daripada rakyat Syria terutamanya daripada golongan fundamentalis Islam. Mulai tahun 1976, satu persatuan yang bernama Ikhwan Muslimin telah bangun untuk menentang pemerintahan Hafez al-Assad itu. Akibat daripada kebangkitan menentang pemerintahan diktator kuku besi itu, bandar Hama yang menjadi pusat aktiviti Ikhwan Muslimin itu telah dimusnahkan oleh tentera Syria pada tahun 1982 atas arahan Hafez al-Assad sendiri. Kejadian tersebut telah mengakibatkan kematian & kecederaan seramai 10,000 hingga 25,000 orang.


Hafez al-Assad


Ikhwan Muslimin

Pemerintahan Hafez al-Assad kemudiannya diambil alih oleh anaknya, Bashar al-Assad selepas kematiannya pada tahun 2000. Polisi-polisi Bashar al-Assad tidak banyak berubah daripada polisi-polisi ayahnya. Namun, dia agak sedikit longgar berbanding ayahnya. Sekatan demi sekatan terhadap kegiatan ahli-ahli ulamak walau bagaimanapun masih lagi dilakukan. Pelajar-pelajar yang mempelajari ilmu agama di negara tersebut juga turut menerima nasib yang sama. Begitu juga dengan pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di sana. Kebanyakannya menerima pelbagai halangan untuk menuntut ilmu di bumi Anbiya' itu kerana dasar kerajaannya yang bersifat sekular. Ikhwan sendiri mengakuinya.


Bashar al-Assad

Damsyik atau dalam Bahasa Inggerisnya Damascus adalah ibu kota Syria & merupakan bandar yang terbesar di negara ini. Penduduknya pada masa kini berjumlah 1.7 juta orang. 75% daripadanya adalah penganut agama Islam, sementara yang selebihnya pula adalah penganut agama Kristian & Yahudi. Damsyik merupakan penempatan manusia yang tertua di dunia. Bandar ini telah dihuni oleh manusia sejak 12,000 tahun dahulu lagi. Pada tahun 1100 SM, kota ini menjadi sebahagian daripada kerajaan Aramea. Seterusnya, ia jatuh ke tangan Empayar Babylon di bawah pemerintahan Nebuchadnezzar II pada tahun 572 SM. Selepas itu, pada tahun 538 SM, Empayar Parsi di bawah pimpinan Cyrus the Great pula mengambil alih pemerintahan Damsyik.

Alexander the Great kemudiannya telah berjaya menjadikan kota Damsyik sebagai sebahagian daripada kerajaannya selepas berjaya mengalahkan tentera Parsi. Damsyik selepas itu menjadi jajahan Empayar Seleucid pula. Dan kota itu kemudiannya jatuh ke tangan Empayar Rom pada tahun 64 SM. Di bawah pemerintahan Empayar Rom, Damsyik mula menjadi kota metropolis yang penting pada kurun ke-2. Seterusnya, kota tersebut jatuh pula ke tangan kerajaan Islam selepas kejayaan tentera pimpinan Khaled al-Walid pada tahun 634. Kota itu kemudiannya dijadikan pusat pentadbiran kerajaan Bani Umayyah sewaktu ia berada di bawah pemerintahan kerajaan tersebut. Mulai dari saat itulah kota Damsyik mula mencapai puncak kegemilangannya. Walau bagaimanapun, pusat pentadbiran kerajaan itu akhirnya dipindahkan ke Harran oleh khalifah Bani Umayyah yang terakhir pada tahun 744. Sejak itu, kemasyhuran kota ini telah mulai menurun. Damsyik seterusnya berada di bawah pemerintahan kerajaan Bani Abbasiyah yang berpusat di Baghdad. Selepas itu, kerajaan Fatimiyah yang berpusat di Kaherah pula mengambil alih pemerintahannya.

Beberapa lama selepas itu, kota Damsyik berada pula di bawah pemerintahan Salahuddin al-Ayyubi yang menjadikannya sebagai pusat pentadbiran kerajaan Ayyubiyah. Kota tersebut kemudiannya jatuh ke tangan kerajaan Mamluk pula. Sewaktu berada di bawah pemerintahan kerajaan Mamluk, kota Damsyik telah diserang oleh tentera Timurlane, iaitu tentera Mongol yang berpusat di Samarkand. Mereka telah melakukan banyak kemusnahan & kekejaman di kota tersebut. Kota itu akhirnya telah berjaya dirampas & diselamatkan oleh kerajaan Mamluk. Segala kemusnahan dibina semula tidak lama kemudian. Beberapa lama selepas itu, kota Damsyik akhirnya menjadi sebahagian daripada Empayar Turki Uthmaniyah sehinggalah kejatuhan Empayar itu pada awal kurun ke-20.


Kedudukan Damsyik dalam peta Syria

Lokasi pertama di Damsyik yang dibawa oleh Ikhwan ialah Souq al-Hamidiyya, sebuah bazaar atau pasar tertutup yang amat terkenal di bumi Damsyik. Pasar tertutup sepanjang 422 meter itu juga merupakan pasar tertutup yang terbesar di Syria. Ianya terbentang dari At-Thawra Street sehingga ke Umayyad Mosque. Di dalamnya terdapat pelbagai jenis barangan yang dijual seperti pakaian, rempah-ratus & barang-barang kraftangan. Restoran-restoran juga banyak terdapat di situ. Antara yang terkenal ialah sebuah kedai menjual aiskrim tumbuk. Nama kedai tersebut ialah Bekdach. Tidak lengkap kunjungan ke Souq al-Hamidiyya sekiranya tidak singgah di kedai tersebut untuk merasai aiskrim tumbuknya yang unik lagi enak.


Bersama seorang kanak-kanak Syria sebelum tiba di Souq al-Hamidiyya, Damsyik, Syria


Pintu masuk Souq al-Hamidiyya di At-Thawra Street, Damsyik, Syria


Souq al-Hamidiyya, Damsyik, Syria


Souq al-Hamidiyya, Damsyik, Syria


Souq al-Hamidiyya, Damsyik, Syria


Aiskrim tumbuk kedai Bekdach di Souq al-Hamidiyya, Damsyik, Syria

Selepas menyusuri Souq al-Hamidiyya dari At-Thawra Street, kami berdua akhirnya tiba di penghujungnya di mana terletaknya Umayyad Mosque, antara masjid yang terbesar & tertua di dunia. Masjid tersebut juga adalah antara masjid yang terpenting dalam sejarah tamadun Islam. Tapak masjid itu dahulunya merupakan tapak Temple of Hadad sewaktu era pemerintahan kerajaan Aramea beribu-ribu tahun dahulu. Ia seterusnya menjadi tapak Temple of Jupiter sewaktu Damsyik berada di bawah pemerintahan Empayar Rom. Kuil tersebut kemudiannya telah diubahsuai menjadi sebuah gereja yang didedikasikan kepada John the Baptist atau Nabi Yahya a.s setelah Empayar Rom menjadikan agama Kristian sebagai agama rasminya.

Selepas kerajaan Islam di bawah pimpinan Umar al-Khattab berjaya menakluki kota Damsyik pada tahun 636, bangunan gereja tersebut telah dijadikan tempat ibadat bersama antara penduduk Kristian & penduduk Islam. Dinding pemisah telah dibina untuk memisahkan tempat beribadat Kristian & tempat beribadat Islam. Kemudiannya, ketika Damsyik berada di bawah pemerintahan khalifah Bani Umayyah yang bernama Al-Walid I, gereja tersebut telah dibeli oleh kerajaan Bani Umayyah untuk dijadikan masjid sepenuhnya kerana jumlah bilangan penduduk Islam yang semakin bertambah. Sebagai balasan, kerajaan Bani Umayyah berjanji akan menjaga keselamatan gereja-gereja yang lain & juga membina gereja yang baru bagi menggantikan gereja yang dibeli itu.

Kerja-kerja pengubahsuaian gereja tersebut mengambil masa selama lebih kurang 9 tahun, iaitu dari tahun 706 hingga 715, agar ianya dapat disesuaikan dengan fungsi barunya sebagai sebuah masjid. Senibinanya dikatakan dibina mengikut senibina rumah Rasulullah SAW di Madinah. Tiga menara azan turut dibina di masjid tersebut. Gereja yang telah diubahsuai menjadi masjid itu kemudiannya dinamakan Umayyad Mosque & merupakan antara senibina yang terunggul di dunia pada waktu itu.

Pengubahsuaian demi pengubuahsuaian yang telah dilakukan mengikut peredaran masa & agama menjadikan Umayyad Mosque sebuah bangunan yang amat unik sekali. Daripada sebuah kuil Pagan, ia kemudiannya dijadikan sebuah gereja. Dan daripada sebuah gereja, ianya bertukar menjadi sebuah masjid pula. Umayyad Mosque adalah satu-satunya masjid di dunia yang menggabungkan ciri-ciri senibina Paganisma Rom, Kristian Byzantine & Muslim Umawi. Menarik betul.


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria

Menara azan berwarna putih yang terdapat di sudut timur Umayyad Mosque diberi nama Menara Nabi Isa kerana ianya dikatakan bakal menjadi tempat turunnya Nabi Isa a.s pada akhir zaman nanti. Wallahu 'alam. Ianya mungkin benar kerana Rasulullah SAW sendiri pernah mengatakan bahawa Nabi Isa a.s akan turun di bumi Damsyik berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dari Al-Nawas bin Sam’an:

Bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda, "Isa a.s akan turun berdekatan dengan menara putih di timur Damsyik, dengan memakai pakaian kuning. Dua telapak tangannya terletak di atas sayap dua malaikat. Apabila dia menundukkan kepalanya menitislah air. Apabila dia mengangkat kepalanya lagi, turunlah daripadanya seperti untaian mutiara."


Menara Nabi Isa di Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Menara Nabi Isa di Umayyad Mosque, Damsyik, Syria

Di dalam Umayyad Mosque itu terletak makam Nabi Allah yang bernama Yahya a.s. Di dalam makam tersebut terdapat satu tengkorak yang dikatakan tengkorak milik baginda. Wallahu 'alam. Ianya dikatakan dijumpai sewaktu kerja-kerja pengubahsuaian ketika era pemerintahan kerajaan Bani Umayyah. Nabi Yahya a.s turut dikenali oleh orang-orang Kristian dengan nama John the Baptist. Oleh itu, makam tersebut bukan sahaja tempat suci bagi penganut agama Islam, tetapi ianya juga adalah tempat suci bagi penganut agama Kristian. Pope John Paul II pernah melakukan kunjungan rasmi ke Umayyad Mosque pada tahun 2001 untuk menziarahi makam tersebut. Itu adalah kali pertama seorang Pope mengunjungi sebuah masjid.


Ruang dalam Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Ruang dalam Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Ruang dalam Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Ruang dalam Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Ruang dalam Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Ruang dalam Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Makam Nabi Yahya a.s di dalam Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Makam Nabi Yahya a.s di dalam Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Makam Nabi Yahya a.s di dalam Umayyad Mosque, Damsyik, Syria

Aku sememangnya sudah lama berhajat untuk memijakkan kaki di Umayyad Mosque yang menyimpan sejuta sejarah itu. Kecantikan senibinanya benar-benar membuatkan aku ingin terus berada di dalamnya. Sewaktu aku & Ikhwan berada di dalam masjid tersebut, kami telah bertemu dengan seorang rakan Ikhwan. Dia sudah lama belajar di bumi Damsyik. Hampir 5 tahun lamanya. Ketika kami berdua berada di perkarangan luar masjid tersebut pula, kami terserempak dengan pasangan dari Afrika Selatan yang menaiki teksi yang sama dengan aku dari Amman pagi tadi. Hahahah. Tidak sangka pula yang aku akan bertemu lagi dengan mereka berdua. Mereka bertanya kepada aku & Ikhwan jikalau ada tempat-tempat menarik & bersejarah lain yang terdapat di sekitar Umayyad Mosque itu. Aku lalu membuka buku panduan aku & menunjukkan kepada mereka beberapa buah lagi tempat lain yang ada di sekeliling masjid itu. Selepas mengucapkan terima kasih, mereka berdua pun beredar meninggalkan aku & Ikhwan.

Ikhwan kemudiannya membawa aku ke Makam Saidina Hussin yang terletak di dalam kawasan Umayyad Mosque. Makam itu dikatakan menempatkan kepala Saidina Hussin, cucu Rasulullah SAW yang telah terkorban dalam Perang Karbala. Seperti biasa, tempat-tempat sebegini sudah pastinya menjadi tumpuan utama orang-orang Syi’ah untuk meratap, meraung & sebagainya. Seram pula aku melihat gelagat mereka. Selepas menziarahi Makan Saidina Hussin, kami ke Makam Salahuddin al-Ayyubi pula yang terletak berhampiran dengan masjid tadi. Salahuddin al-Ayyubi sememangnya seorang individu yang amat terkenal dalam sejarah Islam. Beliau adalah seorang lelaki berbangsa Kurdish yang kemudiannya menjadi Sultan Mesir & Syria & membentuk sebuah kerajaan yang diberi nama kerajaan Ayyubiyah. Dia kemudiannya berjuang bersama tenteranya menentang tentera Salib yang bertapak di bumi Syam sewaktu awal kurun ke-12. Kejayaan terbesarnya adalah sewaktu dia berjaya menewaskan tentera Salib dalam Perang Hattin pada tahun 1187 & seterusnya menawan semula Jerusalem daripada tangan orang-orang Kristian. Dia adalah panglima perang yang bukan sahaja dihormati oleh orang-orang Islam, malah turut dihormati oleh pihak musuh, iaitu orang-orang Kristian.


Makam Saidina Hussin, Damsyik, Syria


Makam Saidina Hussin, Damsyik, Syria


Lakaran animasi wajah Salahuddin al-Ayyubi


Peta kerajaan Ayyubiyah


Makam Salahuddin al-Ayyubi, Damsyik, Syria


Makam Salahuddin al-Ayyubi, Damsyik, Syria


Makam Salahuddin al-Ayyubi, Damsyik, Syria

Selepas selesai menziarahi Makam Salahuddin al-Ayyubi, kami berdua menuju pula ke Sayyidah Ruqayyah Mosque, masjid yang dibina bersempena dengan Ruqayyah binti Hussin, cicit perempuan Rasulullah SAW. Di dalam masjid tersebut ditempatkan makam cicit Rasulullah SAW itu. Masjid itu dibina oleh orang-orang Syi’ah sebagai tanda penghormatan & juga untuk berkongsi penderitaan Ruqayyah selepas ayahnya, Hussin terkorban dalam Perang Karbala. Masjid ini dihias dengan begitu cantik & berkilauan sekali. Belum pernah aku melihat mana-mana masjid yang mempunyai ruang dalaman yang dihias dengan sebegitu melampau. Memang benarlah orang-orang Syi’ah ini adakalanya melampaui batas. Di dalam masjid tersebut, kelihatan ramai yang menangis-nangis & meraung-raung. Seram aku melihatnya.


Sayyidah Ruqayyah Mosque, Damsyik, Syria


Sayyidah Ruqayyah Mosque, Damsyik, Syria


Sayyidah Ruqayyah Mosque, Damsyik, Syria


Sayyidah Ruqayyah Mosque, Damsyik, Syria


Sayyidah Ruqayyah Mosque, Damsyik, Syria

Setelah itu, aku & Ikhwan singgah pula di Abu Darda’ Mosque di mana makam Abu Darda' ditempatkan. Abu Darda’ adalah salah seorang sahabat Rasulullah SAW. Beliau pada mulanya adalah seorang ahli perniagaan dari puak Khazraj di Madinah yang menyembah berhala. Beliau kemudiannya memeluk Islam selepas mendengar ceramah Rasulullah SAW. Selepas memeluk Islam, beliau telah dijadikan saudara kepada Salman Al-Farisi, seorang lelaki bangsa Parsi yang berhijrah ke tanah Arab untuk mencari Rasulullah SAW & memeluk Islam. Beberapa lama selepas itu, Abu Darda' ditugaskan sebagai hakim & guru agama di Syria ketika era kepimpinan khalifah Usman bin Affan.


Abu Darda’ Mosque, Damsyik, Syria


Abu Darda’ Mosque, Damsyik, Syria


Makam Abu Darda’ di dalam Abu Darda’ Mosque, Damsyik, Syria

Selepas menziarahi Makam Abu Darda’, kami berdua kembali semula ke Umayyad Mosque untuk menunaikan solat Maghrib. Selepas solat Maghrib, terdapat satu ceramah agama yang disampaikan oleh seorang penceramah agama berbangsa Kurdish yang bernama Sheikh Dr. Mohamed Sa'id Ramadan Al Bouti. Menurut Ikhwan, beliau adalah antara penceramah-penceramah agama yang hebat bukan sahaja di bumi Syria, malah di seluruh dunia. Beliau dilahirkan di Turki & telah berhijrah ke Syria bersama-sama ayahnya ketika umurnya 4 tahun. Beliau adalah sarjana kelulusan Al-Azhar University di Kaherah, Mesir & telah menulis lebih kurang 40 buah buku berkenaan dengan agama, kesusasteraan, falsafah, sosiologi, tamadun & banyak lagi. Ceramahnya pada hari tersebut disampaikan dalam Bahasa Arab. Sayang sekali kerana aku tidak tahu berbahasa Arab. Jika ianya disampaikan dalam Bahasa Inggeris, sudah pasti aku akan menghabiskan masa di dalam masjid itu untuk mendengar kata-kata emasnya.


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Sheikh Dr. Mohamed Sa'id Ramadan Al Bouti


Ceramah Sheikh Dr. Mohamed Sa'id Ramadan Al Bouti di dalam Umayyad Mosque, Damsyik, Syria

Kami kemudiannya pun pulang semula ke rumah. Tidak berapa lama kemudian, kami menerima seorang tetamu, iaitu kawan Ikhwan yang kami jumpa di dalam Umayyad Mosque siang tadi. Selepas beberapa lama berbual, dia akhirnya meminta diri untuk pulang. Ikhwan kemudiannya menyediakan makan malam. Apabila sudah siap, kami berdua pun makan bersama-sama. Sedap juga masakannya. Selepas makan, kami menunaikan solat Isyak & kemudian, kami pun terus melelapkan mata.

Hari 11: 27 MEI 2009

Pada pagi hari ini, aku sepatutnya dibawa oleh rakan Ikhwan yang bernama Syazwan untuk ke beberapa buah lagi lokasi yang bersejarah & menarik di kota Damsyik. Akan tetapi, memandangkan Syazwan mempunyai hal yang perlu diuruskan pada waktu pagi & hanya boleh membawa aku jalan-jalan pada waktu petang nanti, aku akhirnya mengambil keputusan untuk berjalan-jalan bersendirian. Lagipun Ikhwan agak sibuk pada pagi ini.

Lokasi pertama di Damsyik yang aku jejaki pada hari ini ialah Hijaz Train Station yang terletak berhampiran dengan sebuah dataran yang bernama Marjeh Square. Stesen keretapi tersebut dibina pada tahun 1908 sewaktu era pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah. Stesen ini adalah penghujung kepada landasan keretapi Hijaz di bahagian utara. Penghujungnya di bahagian selatan pula adalah stesen keretapi di Madinah. Matlamat utama landasan keretapi Hijaz dibina oleh Empayar Turki Uthmaniyah adalah untuk menyambungkan Damsyik dengan Mekah untuk memudahkan & mempercepatkan perjalanan untuk menunaikan Umrah & Haji. Akan tetapi, disebabkan tercetusnya Perang Dunia Pertama pada tahun 1914, kerja-kerja pembinaan landasan kererapi tersebut terhenti setakat di Madinah sahaja. Hijaz Train Station pada masa kini tidak lagi berfungsi sebagai stesen keretapi di kota Damsyik. Fungsinya telah diambil alih oleh stesen keretapi baru yang bernama Qaddam Train Station. Hijaz Train Station pada masa kini hanya berfungsi sebagai sebuah muzium. Marjeh Square yang terletak berhampirannya pula adalah antara dataran utama yang menjadi tumpuan penduduk di kota Damsyik. Di sinilah pemerintah Turki Uthmaniyah dikatakan telah menghukum bunuh seorang nasionalis Syria pada bulan Mei 1916 yang seterusnya menyebabkan kebangkitan orang-orang Arab menentang pemerintahan empayar tersebut di bumi Syria.


Peta landasan keretapi Hijaz yang menghubungkan Damsyik & Madinah


Hijaz Train Station, Damsyik, Syria

Lokasi seterusnya yang aku jejaki ialah Takiyya Suleymaniye Mosque. Ianya adalah sebuah kompleks masjid yang dibina antara tahun 1544 & 1559 sewaktu era pemerintahan Sultan Suleyman. Arkiteknya ialah arkitek diraja Empayar Turki Uthmaniyah yang terkenal iaitu Mimar Sinan. Madrasah & hospital turut dibina di kawasan kompleks masjid tersebut. Ia juga turut dilengkapi dengan taman & dapur. Masjid itu adalah contoh terbaik kesenian Turki Uthmaniyah di bumi Damsyik. Sayang sekali, masjid tersebut berada dalam proses pembaikan sewaktu aku di situ.


Takiyya Suleymaniye Mosque, Damsyik, Syria


Takiyya Suleymaniye Mosque, Damsyik, Syria

Aku seterusnya pergi semula ke Souq al-Hamidiyya untuk melihat-lihat semula barang-barang yang dijual di situ. Kemudiannya, aku ke Umayyad Mosque pula untuk bergambar lagi di situ. Belum puas lagi rasanya bergambar semalam. Aku juga turut mengambil gambar runtuhan pintu masuk Temple of Jupiter yang masih lagi kukuh berdiri di kawasan masjid tersebut.


Runtuhan Temple of Jupiter, Damsyik, Syria


Runtuhan Temple of Jupiter, Damsyik, Syria


Runtuhan Temple of Jupiter, Damsyik, Syria

Selepas puas bergambar di dalam & di luar Umayyad Mosque, aku meneruskan perjalanan ke Azem Palace. Istana ini dibina pada tahun 1750 untuk dijadikan kediaman gabenor Empayar Turki Uthmaniyah di Damsyik. Nama gabenor yang membina istana tersebut ialah As’ad Pasha al-Azem. Senibinanya adalah contoh senibina tradisional kota Damsyik. Istana ini terbahagi kepada 2 sayap, iaitu Harem & Salamlik. Harem ialah bahagian peribadi gabenor bersama-sama dengan keluarganya di mana di dalamnya terdapat dapur, ruang mandi, bilik tidur & sebagainya. Salamlik pula adalah bahagian yang disediakan buat tetamu. Di sini terdapat ruang tamu & taman di bahagian luarnya. Pada tahun 1925, istana ini telah mengalami kerosakan yang teruk akibat diserang oleh tentera Perancis sewaktu Revolusi Syria. Ia kemudiannya diperbaiki & pada masa kini, Azem Palace berfungsi sebagai muzium yang mempamerkan kesenian & kebudayaan masyarakat tempatan. Di tengah-tengah taman yang terdapat di dalam kawasan istana ini terdapat sebuah air pancut yang tidak kurang cantiknya.


Azem Palace, Damsyik, Syria


Azem Palace, Damsyik, Syria


Azem Palace, Damsyik, Syria


Azem Palace, Damsyik, Syria


Azem Palace, Damsyik, Syria

Selepas menghabiskan hampir setengah jam di dalam Azem Palace, aku kembali semula ke rumah Ikhwan untuk berehat-rehat sementara menanti kedatangan kawannya yang bernama Syazwan itu. Sewaktu aku tiba di rumahnya, Ikhwan sudah pun berada di dalam bilik. Dia kemudiannya memberitahu aku bahawa Syazwan akan menunggu kami berdua di sebuah masjid tidak jauh dari rumahnya selepas solat Asar. Oleh itu, selepas menunaikan solat Asar di dalam biliknya, Ikhwan pun membawa aku ke masjid yang dimaksudkan untuk berjumpa dengan Syazwan. Tidak berapa lama selepas menunggu, Syazwan pun tiba bersama seorang rakannya yang bernama Ridhuan. Syazwan adalah pelajar di University Abu Nour, antara universiti yang terkemuka di kota Damsyik. Sementara Ridhuan pula adalah pelajar di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak. Tujuannya datang ke bumi Damsyik adalah untuk belajar agama selama beberapa bulan untuk mengisi waktu cuti panjangnya. Bagus betul. Dia datang bersama-sama beberapa orang kawannya & menumpang di rumah Syazwan. Selepas bersalaman dengan mereka berdua, Ikhwan pun meninggalkan aku bersama mereka berdua & terus pulang ke rumah. Aku akan kembali ke rumahnya selepas selesai menjejajah kota Damsyik bersama-sama dengan Syazwan & Ridhuan.

Lokasi pertama yang aku, Syazwan & Ridhuan jejaki ialah Abu Nour University. Kami ke sana dengan menaiki bas mini. Besar & cantik juga universiti itu. Dari kawasan universiti tersebut, kami bertiga menaiki sebuah trak untuk ke destinasi seterusnya, iaitu puncak Jabal Qasiyun. Dalam perjalanan ke puncak bukit tersebut, kami singgah di Makam Nabi Zulkifli a.s yang terletak di situ. Nabi Zulkifli a.s adalah salah seorang daripada nabi-nabi yang disebut di dalam Al-Quran & merupakan antara 25 orang Nabi yang wajib diketahui oleh umat Islam.


Abu Nour University, Damsyik, Syria


Bersama Ridhuan di Makam Nabi Zulkifli, Damsyik, Syria


Bersama Ridhuan di Makam Nabi Zulkifli, Damsyik, Syria


Makam Nabi Zulkifli, Damsyik, Syria

Selepas menziarahi makam Nabi Allah tersebut, kami pun meneruskan perjalanan kami ke puncak Jabal Qasiyun. Perjalanan menaiki trak menuju ke puncak bukit itu agak mengerikan kerana jalan yang kami lalui tersangatlah curam. Kami pula berdiri di belakang trak, menambah lagi kengerian. Setelah beberapa minit melalui kawasan-kawasan perumahan di kawasan bukit itu, kami bertiga akhirnya tiba di anak-anak tangga untuk menuju ke puncak Jabal Qasiyun. Trak yang kami naiki berhenti di situ. Kami kemudiannya terpaksa menaiki anak-anak tangga tersebut yang beratus-ratus jumlahnya untuk menuju ke puncak bukit itu. Hampir pitam aku dibuatnya. Namun, aku gagahkan diri untuk tiba di puncak. Sewaktu mendaki menaiki anak-anak tangga itu, kami sempat berjumpa dengan beberapa orang kanak-kanak tempatan yang sedang bermain-main. Comel-comel kesemuanya.


Perjalanan ke puncak Jabal Qasiyun dengan menaiki trak, Damsyik, Syria


Perjalanan ke puncak Jabal Qasiyun dengan menaiki trak, Damsyik, Syria


Perjalanan ke puncak Jabal Qasiyun, Damsyik, Syria


Kanak-kanak sewaktu perjalanan ke puncak Jabal Qasiyun, Damsyik, Syria


Kanak-kanak sewaktu perjalanan ke puncak Jabal Qasiyun, Damsyik, Syria

Setelah berpeluh-peluh memanjat anak-anak tangga, kami bertiga akhirnya tiba juga di puncak Jabal Qasiyun. Alhamdulillah. Di sini terdapat sebuah masjid yang didirikan bagi mengingati lokasi di mana berlakunya peristiwa pertama pembunuhan manusia di muka bumi, iaitu peristiwa pembunuhan Habil oleh Qabil. Di dalam masjid tersebut terdapat sebuah gua kecil yang dikatakan tempat berlakunya peristiwa hitam itu. Pada bahagian bumbung gua tersebut terdapat seperti suatu bekas tapak tangan. Ianya dikatakan tapak tangan Malaikat Jibril yang cuba menghalang gua itu yang cuba untuk meruntuhkan dirinya untuk membunuh si Qabil yang jahat itu. Wallahu ‘alam. Di dalam masjid itu juga terdapat 40 mihrab yang mewakili 40 orang alim ulamak yang pernah menunaikan solat di sini setiap malam suatu masa dahulu.


Masjid di puncak Jabal Qasiyun, Damsyik, Syria


Gua di dalam masjid di puncak Jabal Qasiyun, Damsyik, Syria


Tapak tangan Jibril di dalam gua di dalam masjid di puncak Jabal Qasiyun, Damsyik, Syria


40 mihrab di dalam masjid di puncak Jabal Qasiyun, Damsyik, Syria

Dari kawasan masjid tersebut yang terletak di puncak Jabal Qasiyun, kami dapat menikmati panorama kota Damsyik yang tersangat menakjubkan. Panorama kota yang tertua sekali di dunia. Panorama kota yang pernah menjadi ibu kota kerajaan Bani Abbasiyah & kerajaan Ayyubiah. Panorama kota yang menyimpan sejarah peradaban manusia sejak beribu-ribu tahun dahulu. Panorama kota yang bakal menjadi lokasi turunnya Nabi Isa a.s di akhir zaman kelak bagi menuntut keadilan untuk seluruh umat Islam. Aku seperti tidak percaya bahawa kota yang berada di hadapan mata aku pada waktu itu adalah kota Damsyik yang selama ini hanya mampu aku lihat di dalam buku-buku & di kaca televisyen. Alhamdulillah. Aku bersyukur kepada Allah SWT kerana telah memberi aku peluang & pengalaman keemasan itu. Aku, Syazwan & Ridhuan menghabiskan masa yang agak lama di Jabal Qasiyun kerana itu adalah destinasi terakhir kami pada hari ini. Kami menunggu sehingga masuknya waktu Maghrib untuk mendengar laungan azan yang bersahut-sahutan di seluruh kota Damsyik. Suasananya sungguh menenangkan. MasyaAllah.


Panorama kota Damsyik dari puncak Jabal Qasiyun, Damsyik, Syria


Panorama kota Damsyik dari puncak Jabal Qasiyun, Damsyik, Syria


Panorama kota Damsyik dari puncak Jabal Qasiyun, Damsyik, Syria


Panorama kota Damsyik dari puncak Jabal Qasiyun, Damsyik, Syria


Panorama kota Damsyik dari puncak Jabal Qasiyun, Damsyik, Syria

Setelah itu, barulah kami bertiga turun semula melalui anak-anak tangga yang kami naiki tadi. Apabila sudah tiba di anak tangga yang terakhir, kami pun terus menaiki trak untuk kembali semula ke kaki bukit. Sekali lagi aku melalui minit-minit yang mengerikan. Aku tidak mampu untuk membuka mata sewaktu menuruni bukit itu dengan menaiki trak tersebut. Hahaha. Tidak berapa lama kemudian, kami pun akhirnya tiba di kaki bukit itu, di kawasan berhampiran dengan Abu Nour University. Kami singgah di masjid universiti itu untuk menunaikan solat Maghrib. Selesai sahaja solat, kami bertiga menaiki teksi untuk pulang. Kami berhenti di suatu lokasi untuk menunggu kehadiran Ikhwan yang akan datang untuk membawa aku pulang ke rumahnya. Setelah beberapa minit menunggu, Ikhwan pun muncul. Aku mengucapkan terima kasih kepada Syazwan kerana sudi membawa aku berjalan-jalan di kota Damsyik petang tadi. InsyaAllah, aku akan mengikuti trip ke Bosra bersamanya lusa. Setelah bersalaman dengan Syazwan & Ridhuan, aku pun mengikut Ikhwan pulang ke rumahnya.

Sesampainya aku di rumahnya, dia menjemput aku makan masakan yang baru sahaja dimasaknya. Kebetulan pada waktu itu, salah seorang penghuni rumahnya yang bernama Amni & seorang lagi rakan mereka, iaitu Nasa’i sedang berada di dalam biliknya. Ikhwan menjemput mereka makan sekali. Dia kemudian terpaksa meninggalkan kami bertiga untuk ke rumah rakannya yang lain untuk menyaksikan perlawanan bola sepak di televisyen. Aku, Amni & Nasa’i pun makan dengan lahapnya sambil berbual mengenai pelbagai perkara. Selesai sahaja makan, aku pun menunaikan solat, lalu terus tidur.

Hari 12: 28 MEI 2009

Pada pagi hari ini, aku sekali lagi mengembara bersendirian di kota Damsyik kerana aku tidak mahu menyusahkan Ikhwan yang sedang sibuk dengan urusan peperiksaannya. Tempat pertama yang aku jejaki hari ini ialah Citadel of Damascus, yang terletak bersebelahan Souq al-Hamidiyya. Kubu pertahanan ini dibina oleh saudara kandung Salahuddin al-Ayyubi, iaitu al-Malik al-Adil pada kurun ke-13 untuk mempertahankan kota Damsyik daripada serangan tentera Salib & juga tentera Mongol. Walau bagaimanapun, ia telah berjaya dimusnahkan ketika serangan tentera Mongol pada tahun 1260. Kubu ini seterusnya dibina semula oleh Sultan Mamluk yang bernama Baybars. Walau bagaimanapun, ia sekali lagi dimusnahkan oleh serangan tentera Mongol kedua yang dipimpin oleh Timurlane pada tahun 1400.

Sewaktu Damsyik berada di bawah pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah, Citadel of Damascus ini tidak lagi memainkan apa-apa peranan. Maka, ianya dibiarkan begitu sahaja. Kawasan dalaman Citadel of Damascus buat masa sekarang ditutup untuk proses pembaikan. Di hadapannya pula terdapat tugu patung berkuda Salahuddin al-Ayyubi yang diperbuat daripada gangsa. Ianya dirasmikan pada tahun 1993 oleh Presiden Syria yang terdahulu, iaitu Hafez al-Assad bagi menandakan ulangtahun ke-800 kematian pahlawan terkenal, Salahuddin al-Ayyubi. Selain watak Salahuddin al-Ayyubi, terdapat beberapa lagi watak yang terdapat pada tugu tersebut, iaitu 2 orang askarnya, seorang ahli Sufi & 2 orang pemimpin tentera Salib yang terkenal, iaitu Guy of Lusignan & Raynald of Chatillon.


Tugu berkuda Salahuddin al-Ayyubi di hadapan Citadel of Damascus, Damsyik, Syria

Selepas bergambar dengan ukiran patung tersebut, aku melalui Souq al-Hamidiyya untuk ke destinasi seterusnya, iaitu Bimaristan an-Nuri. Bangunan yang mempunyai pengaruh senibina Seljuk ini dahulunya merupakan sebuah hospital & juga sekolah perubatan. Ianya berfungsi sehingga kurun ke-20 sebelum dipindahkan ke Universiti Hospital yang moden di kota ini. Bangunan ini dibina pada tahun 1154 oleh Sultan Nuruddin bin al-Zangi & diperluaskan pada tahun 1242 oleh seorang doktor yang bernama Badaruddin. Di tengah-tengah kawasan bekas hospital ini terdapat sebuah taman mini di mana terdapatnya juga sebuah kolam kecil. Pada masa kini, ianya adalah sebuah muzium yang menyimpan pelbagai khazanah-khazanah berharga dalam ilmu perubatan.


Bimaristan an-Nuri, Damsyik, Syria


Bimaristan an-Nuri, Damsyik, Syria


Bimaristan an-Nuri, Damsyik, Syria


Bimaristan an-Nuri, Damsyik, Syria

Selepas menziarahi Bimaristan an-Nuri, aku berjalan menuju ke kawasan penempatan penduduk Kristian di kota Damsyik. Di sini terdapat sebuah monumen yang bernama Roman Arch. Juga terdapat beberapa buah gereja yang telah berusia beratus-ratus tahun & masih lagi digunakan sehingga sekarang. Ini menandakan betapa adilnya pemerintah Islam di kota ini yang membenarkan penganut-penganut agama Kristian mengamalkan agama mereka tanpa sebarang halangan.


Penempatan penduduk Kristian di kota Damsyik, Damsyik, Syria


Penempatan penduduk Kristian di kota Damsyik, Damsyik, Syria, Damsyik, Syria

Selepas melalui kawasan penempatan penduduk Kristian, aku berjalan kembali ke rumah Ikhwan. Ikhwan pada waktu itu sedang mengulangkaji pelajarannya. Selepas solat Asar, dia membawa aku ke Bab Saghir dengan menaiki teksi. Bab Saghir adalah antara 9 buah pintu masuk ke dalam kota Damsyik yang dikelilingi oleh benteng pertahanan pada zaman dahulu. Di kawasan ini juga terdapat sebuah kawasan perkuburan yang terkenal di kota Damsyik kerana di sinilah terletaknya makam-makam beberapa orang ahli keluarga Rasulullah SAW & juga beberapa orang sahabat-sahabat baginda. Antaranya ialah Umm Kalsum (cucu Rasulullah), Umm Kalthoum (cucu Rasulullah), Asma binti Umays (isteri Ja’afar bin Abu Talib), Sakina (cicit Rasulullah), Fatimah (cicit Rasulullah), Ubay bin Ka’ab (suami ibu susuan Rasulullah, iaitu Halimatul Saadiah) & Bilal bin Rabah, Auf bin Auf Ath-Thaqofi, Mu’awiyah bin Abu Sufyan & Abdullah Umm Makhtum. Berdekatan dengan Bab Saghir juga terdapat sebuah makam yang merupakan bekas tempat persemadian kepala-kepala mangsa Perang Karbala yang telah dipancung.


Bab Saghir, Damsyik, Syria


Bab Saghir, Damsyik, Syria


Bab Saghir, Damsyik, Syria


Bab Saghir, Damsyik, Syria


Bab Saghir, Damsyik, Syria


Bab Saghir, Damsyik, Syria


Bab Saghir, Damsyik, Syria


Bab Saghir, Damsyik, Syria


Bab Saghir, Damsyik, Syria


Bab Saghir, Damsyik, Syria


Bab Saghir, Damsyik, Syria


Bab Saghir, Damsyik, Syria


Makam kepala-kepala mangsa Perang Karbala, Damsyik, Syria


Makam kepala-kepala mangsa Perang Karbala, Damsyik, Syria


Makam kepala-kepala mangsa Perang Karbala, Damsyik, Syria


Makam kepala-kepala mangsa Perang Karbala, Damsyik, Syria

Selepas menziarahi kawasan perkuburan di Bab Saghir, aku dibawa oleh Ikhwan ke Souq al-Hamidiyya untuk menziarahi makam Abu Hurairah r.a. Beliau merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW & juga perawi hadis yang terkenal. Beliau berasal dari Yaman & telah memeluk Islam sewaktu era awal dakwah Rasulullah SAW. Setelah menziarahi makam Abu Hurairah yang terletak di dalam sebuah masjid, kami berdua menunaikan solat Maghrib di situ.


Makam Abu Hurairah, Damsyik, Syria


Makam Abu Hurairah, Damsyik, Syria


Makam Abu Hurairah, Damsyik, Syria

Selepas solat Maghrib aku meminta Ikhwan untuk pulang dahulu. Aku hendak ke Umayyad Mosque untuk berehat-rehat di sana. Entah mengapa, aku sudah jatuh cinta dengan masjid tersebut. Sewaktu di dalam masjid itu, aku telah berjumpa dengan 2 orang anak-beranak dari Malaysia. Kami berbual-bual selama beberapa minit. Kemudian, mereka meminta diri untuk pulang ke hostel mereka. Mereka adalah antara beberapa orang rombongan warganegara Malaysia yang berkunjung ke bumi Syam. Setelah solat Isyak, aku pun kembali ke rumah Ikhwan. Ikhwan pada masa itu sedang menerima kehadiran seorang tetamu, iaitu rakannya yang bernama Hafiz. Selepas Hafiz pulang, aku pun terus melelapkan mata. Aku perlu tidur awal kerana aku akan ke Bosra bersama-sama dengan Syazwan awal pagi esok.

Hari 13: 29 MEI 2009

Awal-awal pagi lagi aku sudah bangun. Selepas selesai mandi & bersiap, Ikhwan membawa aku ke Abu Nour University untuk bertemu dengan Syazwan & 8 orang lagi peserta trip ke Bosra. Kami ke universiti itu dengan menaiki bas mini. Setibanya kami di hadapan universiti itu, kami menunggu ketibaan mereka semua. Tidak berapa lama kemudian, mereka pun muncul. Syazwan adalah selaku ketua trip. 3 orang lagi adalah pelajar-pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia iaitu Asyraf, Shahrul & Ridhuan yang aku jumpa 2 hari lalu. Sementara 5 orang lagi pula adalah sepasang suami isteri dari Malaysia bersama seorang anak lelaki & 2 orang anak perempuan mereka.

Kami sepuluh orang ke Bosra dengan menaiki van yang telah pun ditempah. Tidak berapa lama selepas menunggu, van yang dinantikan pun tiba. Pemandunya adalah orang Arab tempatan. Aku kemudiannya bersalaman dengan Ikhwan. Aku akan kembali semula ke rumahnya selepas pulang dari Bosra petang nanti. Apabila van kami mulai bergerak meninggalkan Damsyik menuju ke Bosra, Ikhwan pun pulang semula ke rumahnya. Perjalanan kami 10 orang ke Bosra dari Damsyik memakan masa lebih daripada sejam lamanya.

Bosra adalah salah sebuah bandar yang bersejarah di negara Syria & telah tersenarai sebagai salah satu daripada ‘UNESCO World Heritage Sites’. Kota ini pernah diduduki oleh orang-orang Nabatean pada kurun ke-2 SM. Seterusnya, ia ditawan oleh Empayar Rom pada tahun 106 M. Sejak itu, Bosra mula menjadi antara kota Rom yang terpenting & antara pusat perdagangan yang utama di bumi Syam. Rasulullah SAW sendiri pernah menjejakkan kaki di bumi Bosra untuk berniaga. Baginda pernah ke sini mengikuti bapa saudaranya, Abu Talib sewaktu baginda masih kecil. Kemudian, ketika umurnya lebih kurang 25 tahun, baginda sekali lagi menjejakkan kaki di bumi Bosra untuk membantu perniagaan Khadijah binti Khuwailid yang kemudiannya menjadi isteri baginda.


Kedudukan Bosra dalam peta Syria

Pada kurun ke-7 ketika era dakwah Rasulullah SAW sedang giat dijalankan, kota Bosra telah jatuh ke tangan Empayar Parsi selepas kekalahan Empayar Rom Timur (Byzantine) dalam satu siri peperangan antara kedua-dua empayar besar itu. Walau bagaimanapun, kurang daripada 10 tahun kemudian, Bosra telah berjaya ditawan semula oleh Empayar Rom Timur (Byzantine). Kejayaan Empayar Rom Timur (Byzantine) menawan semula tanah jajahannya yang dirampas oleh Empayar Parsi telah diramalkan oleh Allah SWT dalam beberapa potongan ayat Al-Quran. Ayat-ayat ini diwahyukan kepada Rasulullah SAW sewaktu Empayar Rom Timur (Byzantine) baru sahaja dikalahkan oleh Empayar Parsi:

Orang-orang Rom telah dikalahkan; di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya; dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira; dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dialah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. (Surah Ar-Rum: ayat 2-5)


Peta Empayar Rom Timur (Byzantine) & Empayar Parsi

Tidak berapa lama selepas Empayar Rom Timur (Byzantine) berjaya menawan semula Bosra, kota tersebut ditawan pula oleh kerajaan Islam pada tahun 634 yang pada waktu itu di bawah pimpinan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq. Tentera Islam yang berjaya menawan kota tersebut adalah dibawah pimpinan Khalid al-Walid. Empayar Rom Timur (Byzantine) pada waktu itu diperintah oleh Maharajanya yang bernama Heraclius. Sejak dari hari itu, Bosra kekal berada di bawah pemerintahan kerajaan Islam sehinggalah ke hari ini. Walau bagaimanapun, kegemilangan yang dimilikinya sebagai pusat perdagangan yang utama di bumi Syam sudah pun tamat. Pada masa kini, kota ini seolah-olah seperti sebuah bandar mati. Yang ada cuma kesan-kesan tinggalan Empayar Rom, Byzantine & Islam yang kebanyakannya masih kukuh berdiri hingga ke hari ini.

Setibanya kami sepuluh orang di Bosra, lokasi pertama yang kami jejaki ialah sebuah masjid yang dikatakan terdapatnya bekas tapak kaki unta Rasulullah SAW sewaktu baginda & untanya itu datang berdagang di sini. Aku sendiri kurang pasti akan kesahihan perkara ini. Wallahu ‘alam. Nama masjid tersebut ialah Masjid Mabrak Annaqah. Seterusnya, kami ke kawasan arkeologi yang terpenting sekali di kota ini, iaitu Bosra Citadel. Ia pada mulanya merupakan sebuah kota besar yang dibina oleh Empayar Rom. Kemudian, ketika berada di bawah pentadbiran kerajaan-kerajaan Islam, kubu pertahanan telah didirikan di sekelilingnya. Antara tinggalan Empayar Rom yang terdapat di dalam kawasan Bosra Citadel ini ialah Roman Theatre yang besar saiznya. Ianya dibina pada kurun ke-2 M sewaktu era kegemilangan Bosra sebagai salah sebuah kota Rom yang terpenting di bumi Syam. Roman Theatre ini boleh menampung seramai 15,000 orang penonton dalam suatu masa.


Masjid Mabrak Annaqah, Bosra, Syria


Bersama Asyraf & Shahrul di Masjid Mabrak Annaqah, Bosra, Syria


Bekas tapak kaki unta Rasulullah SAW dalam Masjid Mabrak Annaqah, Bosra, Syria


Bosra Citadel, Bosra, Syria


Roman Theatre di dalam Bosra Citadel, Bosra, Syria


Roman Theatre di dalam Bosra Citadel, Bosra, Syria


Roman Theatre di dalam Bosra Citadel, Bosra, Syria


Roman Theatre di dalam Bosra Citadel, Bosra, Syria


Roman Theatre di dalam Bosra Citadel, Bosra, Syria

Selepas menghabiskan masa yang agak lama bergambar di dalam Roman Theatre itu, kami ke sebuah kawasan di mana kami dapat melihat runtuhan-runtuhan kota yang pada suatu masa dahulu merupakan antara kota Rom yang teragung sekali di bumi Syam. Yang tinggal kini hanyalah tiang-tiang batu yang masih tegak berdiri. Kemudian, kami ke Al-Umari Mosque yang juga terletak di kawasan Bosra Citadel ini. Ianya adalah antara masjid-masjid yang tertua dalam sejarah Islam. Masjid ini mula dibina sewaktu kerajaan Islam di bawah pimpinan Umar al-Khattab. Walau bagaimanapun, masjid ini hanya siap dibina sepenuhnya pada tahun 721, sewaktu era pemerintahan kerajaan Bani Umayyah yang dipimpin oleh Yazid bin Abdul Malik. Masjid tersebut kemudiannya diubahsuai & diperbesarkan lagi pada kurun ke-12 & ke-13 sewaktu di bawah pemerintahan kerajaan Ayyubiah.


Runtuhan Bosra Citadel, Bosra, Syria


Runtuhan Bosra Citadel, Bosra, Syria


Runtuhan Bosra Citadel, Bosra, Syria


Runtuhan Bosra Citadel, Bosra, Syria


Al-Umari Mosque di dalam runtuhan Bosra Citadel, Bosra, Syria

Kami sepuluh orang kemudiannya berjalan ke sebuah runtuhan gereja yang bernama Buheira Cathedral. Di gereja inilah Rasulullah SAW telah bertemu dengan paderi Kristian bernama Buheira sewaktu baginda berusia 10 tahun. Pada waktu itu, baginda bersama-sama dengan bapa saudaranya, Abu Talib & juga pedagang-pedagang Quraisy lain dari Mekah berkunjung ke bumi Bosra untuk urusan perniagaan. Mereka seterusnya dijemput oleh paderi Buheira kerana dia ingin sekali bertemu dengan bakal pesuruh Allah yang dikatakan akan muncul dari bumi Mekah. Apabila dia bersua muka dengan Rasulullah SAW, dia dapat melihat tanda-tanda kerasulan baginda seperti yang telah dikatakan dalam kitab Injil yang asli. Paderi itu kemudiannya menceritakan hal itu kepada Abu Talib & menyuruhnya melindungi Rasulullah SAW daripada orang-orang Yahudi yang berkemungkinan akan membunuh baginda jika diketahui akan kerasulan baginda.


Buheira Cathedral, Bosra, Syria


Bersama Pakcik & Shahrul di Buheira Cathedral, Bosra, Syria

Selepas melawat Buheira Cathedral yang pernah dijejaki oleh Rasulullah SAW itu, kami kemudiannya berjalan keluar dari kawasan Bosra Citadel. Kami seterusnya singgah di restoran yang berhampiran dengannya untuk makan tengah hari. Bekalan makanan tengah hari telah pun disediakan oleh Syazwan & ketiga-tiga pelajar UIA itu. Disebabkan pemilik kedai pada mulanya enggan menerima kedatangan kami yang membawa bekalan sendiri, akhirnya, kami terpaksa membayar upah kepadanya. Kami juga terpaksa memesan air teh sekadar untuk menjaga hatinya.

Selesai sahaja makan, kami ke destinasi kami yang seterusnya dengan menaiki van. Destinasi seterusnya ialah Makam Nabi Ayub a.s yang terletak di dalam sebuah masjid. Nabi Ayub a.s adalah antara nama-nama Nabi yang disebut di dalam Al-Quran. Oleh itu, baginda juga adalah antara 25 orang Nabi yang wajib diketahui oleh setiap umat Islam. Nabi Ayub a.s pada mulanya hidup dalam keadaan yang penuh kesenangan dengan kekayaannya & dengan jumlah anaknya yang ramai. Namun, baginda kemudiannya diuji oleh Allah SWT dengan penyakit yang pelik, dengan kegagalan perniagaannya & dengan kematian anak-anaknya selama beberapa tahun. Walau diuji dengan hebat oleh Allah SWT, baginda tetap bersabar & tidak pernah mengeluh. Allah SWT akhirnya mengembalikan kesihatannya & juga kekayaannya berkat daripada kesabarannya menerima ujian Allah dengan tenang & tidak pernah berhenti mengingati Allah SWT.


Makam Nabi Ayub, Bosra, Syria


Makam Nabi Ayub, Bosra, Syria

Kami menunaikan solat di masjid tersebut sebelum bergerak menuju ke tempat yang seterusnya, iaitu telaga Nabi Ayub. Di telaga inilah Nabi Ayub dikatakan menyapu kepalanya untuk menyembuhkan penyakitnya. Wallahu ‘alam. Kami semua pada mulanya bercadang untuk mengambil air telaga tersebut untuk dibuat minuman. Mana tahu, mungkin air telaga itu berkhasiat. Tetapi, setibanya kami di telaga itu, kelihatan kanak-kanak tempatan sedang bermandi-manda dengan rakus sekali. Air yang terkandung dalam telaga itu pun agak kotor. Kawasan di sekitarnya juga agak terbiar & tidak terjaga. Sedih kami melihatnya. Kami serta-merta terpaksa membatalkan niat kami untuk mengambil air telaga tersebut. Kanak-kanak yang ada di situ agak ramai. Kami menjadi tumpuan mereka kerana mungkin tidak ramai pengunjung luar datang menziarahi telaga tersebut. Kanak-kanak itu mengikut kami sehingga ke van. Agak nakal juga mereka ini. Mujurlah mereka tidak melakukan apa-apa yang boleh mencederakan kami.


Telaga Nabi Ayub, Bosra, Syria


Telaga Nabi Ayub, Bosra, Syria


Bersama Asyraf di Telaga Nabi Ayub, Bosra, Syria

Kami seterusnya menuju ke sebuah bandar kecil yang bernama Nawa. Di sini, terdapat sebuah masjid di mana terdapatnya Makam Imam Nawawi. Imam Nawawi adalah antara perawi hadis yang terkenal. Dia juga adalah antara skolar yang penting dalam Mazhab Syafi’e. Dia dilahirkan pada tahun 1234 di Nawa & meninggal dunia pada tahun 1278 di tempat yang sama ketika usianya 44 tahun. Sepanjang hidupnya, dia telah banyak menulis buku berkenaan dengan ajaran Islam yang kebanyakannya menjadi sumber utama pelajar-pelajar pengajian Islam di seluruh dunia. Di kawasan makamnya terdapat sepohon pokok yang dikatakan satu-satunya spesis yang ada di muka bumi ini. Wallahu ‘alam.


Makam Imam Nawawi, Bosra, Syria


Makam Imam Nawawi, Bosra, Syria


Makam Imam Nawawi, Bosra, Syria

Selepas selesai sahaja menziarahi Makam Imam Nawawi, kami semua pun menuju jalan pulang semula ke Damsyik. Lebih kurang 1½ jam kemudian, kami pun tiba semula di hadapan Abu Nour University. Pasangan suami isteri & 3 orang anaknya itu mengucapkan selamat tinggal kepada kami & pulang semula ke rumah mereka. Aku, Syazwan, Ridhuan, Asyraf & Shahrul kemudiannya menaiki teksi untuk pulang ke rumah. Mereka berempat meninggalkan aku berhampiran kawasan rumah Ikhwan. Aku mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana sudi membawa & menemani aku ke Bosra. InsyaAllah jika tiada apa-apa halangan, esok aku akan mengikut trip Syazwan ke Aleppo pula. Dia akan menghubungi Ikhwan malam ini untuk memberitahu perkembangan tentang trip tersebut.

Selepas itu, aku pun berjalan pulang ke rumah Ikhwan. Ikhwan pada waktu itu tiada di rumah. Mujurlah seorang rakan serumahnya ada untuk membuka pintu rumah. Dan mujurlah biliknya tidak berkunci. Aku lalu masuk ke dalam biliknya untuk tidur sementara menunggu waktu Maghrib. Penat sungguh rasanya. Beberapa jam selepas aku tidur, tiba-tiba ada seseorang mengetuk pintu bilik Ikhwan. Dia lalu membuka pintu & bertanyakan tentang Ikhwan. Aku pun lalu memberitahunya yang Ikhwan tiada di bilik & aku tidak tahu dia di mana. Orang itu lalu masuk ke dalam bilik & mula mengajak aku berbual-bual. Dia memang seorang yang peramah. Namanya Burhanuddin. Aku dalam keadaan yang masih mamai terpaksa juga melayannya. Heheh.

Dia menceritakan tentang masalah yang sedang dialaminya, iaitu tentang pengajiannya di bumi Damsyik. Terlalu banyak masalah yang timbul akibat tekanan daripada kerajaan Syria yang banyak menghalang aktiviti-aktiviti & pengajian-pengajian agama. Ini memaksa dia untuk memikirkan akan kemungkinan untuk bertukar ke Jordan pula yang lebih bersifat terbuka. Sedih pula aku mendengar ceritanya. Bumi Damsyik sememangnya amat terkenal sebagai pusat pengajian ilmu Islam sejak berkurun-kurun lamanya. Namun, kerajaan Syria & pemimpinnya yang bersifat sekular telah banyak membawa kerosakan. Diharapkan suatu hari nanti akan lahir kerajaan & pemimpin yang lebih adil & mampu membangkitkan semula syiar Islam di kota Damsyik ini.

Agak lama juga aku & Burhanuddin berbual sambil menunggu kepulangan Ikhwan. Namun, Ikhwan masih belum pulang-pulang lagi. Dia kemudian akhirnya meminta diri dahulu kerana sudah terlalu lama menunggu. Aku kemudiannya keseorangan semula. Ikhwan pulang ke rumah agak lewat. Kemudian, Syazwan menelefonnya & memberitahu bahawa trip ke Aleppo esok terpaksa dibatalkan. Oleh itu, aku mengambil keputusan untuk ke Beirut, Lubnan pada keesokan hari.

Hari 14: 30 MEI 2009

Selepas mandi & bersiap, aku mengejut Ikhwan untuk menemani aku ke stesen bas. Aku akan ke Beirut, Lubnan pada hari ini. Akan tetapi, Ikhwan cuma dapat membawa aku hingga ke tempat menunggu bas mini berhampiran rumahnya sahaja kerana dia tidak berdaya untuk menemani aku ke stesen bas yang agak jauh lokasinya. Setibanya kami berdua di tempat yang dimaksudkan, dia pun menahan bas mini yang menuju ke stesen bas tersebut. Dia kemudiannya memberitahu pemandu bas mini itu untuk menurunkan aku di stesen bas untuk ke Beirut. Aku kemudian melambaikan tangan aku pada Ikhwan. Aku sebenarnya berada dalam ketakutan kerana ini adalah kali pertama aku ditinggalkan bersendirian dalam sebuah kenderaan awam dalam trip aku di bumi Syam ini. Aku harap pemandu itu akan ingat akan pesanan Ikhwan. Akhirnya, pemandu itu pun menurunkan aku di stesen bas yang dimaksudkan. Syukur Alhamdulillah. Selepas mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas berkenaan, aku pun terus masuk ke dalam kawasan stesen bas itu.

Setibanya aku di dalam kawasan stesen itu, aku dikerumuni oleh beberapa orang kakitangan syarikat-syarikat bas yang ada di situ. Mereka bertanyakan destinasi yang ingin aku tujui. Aku pun lalu mengatakan yang aku hendak ke Beirut. Salah seorang daripada mereka lalu membawa aku ke sebuah bas yang menuju ke Beirut. Aku pun lalu masuk ke dalamnya. Tiket dibeli di dalam bas itu. Tidak berapa lama kemudian, bas itu pun mula bergerak meninggalkan Damsyik menuju ke Beirut. Perjalanan dengan bas itu mengambil masa lebih kurang 3½ jam. Aku tidak menghadapi apa-apa masalah sewaktu di kawasan imigresen Syria & Lubnan. Untuk masuk ke Lubnan, aku perlu membayar visa.


Peta perjalanan dari Damsyik ke Beirut

Selepas hampir 3½ jam di dalam bas tersebut, aku pun akhirnya tiba di kota Beirut. Tetapi, yang peliknya, aku diturunkan di suatu tempat yang tiada di dalam peta dalam buku panduan aku. Aku lalu meminta pemandu bas itu menurunkan aku di stesen bas, namun pemandu itu berkata-kata dalam Bahasa Arab yang aku sendiri tidak tahu akan maksudnya. Aku lalu terus turun dari bas itu dalam keadaan bingung. Aku mula menjadi panik kerana aku tidak tahu di mana aku berada pada waktu itu. Sepatutnya, bas stesen terletak di tepi pantai. Namun, daripada pemerhatian aku, pantai terletak berbelas-belas kilometer jauhnya dari situ.

Mujurlah ada seorang pemuda Arab yang kemudiannya membawa aku ke tempat menunggu teksi. Sedang kami berjalan ke tempat tersebut, tiba-tiba datang beberapa orang anggota polis menghampiri kami berdua. Mereka bertanyakan hubungan kami berdua. Pemuda Arab itu pun lalu menceritakan apa yang berlaku. Anggota-anggota polis itu kemudiannya menyuruh aku membuka beg yang aku bawa untuk diperiksa. Passport aku pun turut diperiksa. Selepas itu, barulah mereka melepaskan kami berdua. Hanya Allah SWT sahajalah yang tahu bagaimana perasaan aku pada waktu itu. Aku sudahlah tidak tahu di mana aku berada. Yang ada dengan aku pula adalah seorang pemuda yang tak dikenali yang tidak boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris. Tiba-tiba pula datang polis-polis untuk memeriksa aku. Bayangkanlah kalau anda berada di dalam situasi demikian.

Kami berdua kemudiannya menahan sebuah teksi yang lalu di situ. Aku lalu memberitahu pemandu teksi tersebut akan nama hostel yang hendak aku tujui. Mujurlah pemandu teksi itu tahu lokasi hostel itu & mujurlah dia boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan agak baik. Kami berdua berbual-bual sedikit sewaktu berada di dalam teksi yang dipandunya. Seketika kemudian, barulah aku tiba di hostel yang dimaksudkan. Agak jauh juga sebenarnya dari tempat tadi. Bodoh betul pemandu bas itu. Selepas ini, aku akan lebih berhati-hati dalam memilih bas yang aku naiki.

Setibanya aku di hostel tersebut, aku mengucapkan terima kasih kepada pemandu teksi itu & juga pemuda Arab yang membantu aku tadi. Aku seterusnya terus melangkah ke pintu masuk hostel itu. Akan tetapi, lokasi hostel itu rupa-rupanya telah dipindahkan ke kawasan berdekatan. Dengan berpandukan notis yang ditampal, aku berjaya menjumpainya. Sesampainya aku di kaunter pendaftaran hostel itu, aku diberitahu bahawa aku hanya boleh memasuki bilik aku pada pukul 2.00 petang nanti. Oleh itu, aku mengambil keputusan untuk meletakkan barang-barang aku di situ dahulu & kemudiannya aku keluar untuk berjalan-jalan. Aku akan kembali semula ke hostel itu pada waktu petang nanti.

Lubnan adalah negara ketiga & terakhir di bumi Syam yang aku jejaki dalam pengembaraan aku kali ini. Negara ini disempadani oleh Israel di bahagian selatan & Syria di bahagian utara & timur. Bahagian baratnya pula adalah persisiran pantai Laut Mediterranean. Lubnan mempunyai jumlah penduduk seramai 4.2 juta orang, di mana 95% daripada mereka adalah berbangsa Arab. 56% daripada penduduknya beragama Islam, 34% beragama Kristian & yang selebihnya beragama Druza atau lain-lain. Penduduk Arab Islam terbahagi kepada dua. Separuh daripada mereka berfahaman Islam Sunnah & separuh lagi berfahaman Islam Syi’ah. 65% daripada penduduk Arab Kristian pula mengikuti mazhab Maronite & yang selebihnya adalah pengikut mazhab Greek Orthodox. Bahasa Arab adalah bahasa rasmi negara ini. Bahasa kedua yang digunakan ialah Bahasa Perancis. Penggunaan Bahasa Inggeris agak meluas, terutamanya di Beirut.

Sistem pemerintahan yang diamalkan di Lubnan ialah sistem pemerintahan Republik yang diketuai oleh seorang Presiden yang dipilih daripada mereka yang beragama Kristian Maronite. Perdana Menterinya adalah selaku ketua pentadbiran & dipilih daripada mereka yang beragama Islam Sunnah. Speaker Parlimen dilantik daripada mereka yang beragama Islam Syiah. Dan timbalan speaker Parlimen pula dilantik daripada mereka yang beragama Kristian Greek Orthodox. Pembahagian kerusi Parlimen dibahagikan sama rata antara penduduk Islam & Kristian. Mata wang yang digunakan di Lubnan ialah Pound. 1.00 Euro bersamaan dengan 2,200.00 Pound. 1.00 Ringgit pula bersamaan dengan 430.00 Pound.


Kedudukan Lubnan dalam peta Timur Tengah


Peta negara Lubnan


Bendera negara Lubnan


Peta demografi penduduk negara Lubnan mengikut agama

Mengikut kajian sejarah, Lubnan adalah penempatan asal orang-orang Phoenician. Ia kemudiannya menjadi sebahagian daripada beberapa buah empayar besar di rantau Mediterranean seperti Parsi, Greek, Armenia, Assyria, Rom, Byzantine, Arab, Seljuk, Mamluk, tentera Salib & akhir sekali Turki Uthmaniyah. Lubnan berada di bawah pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah selama lebih kurang 400 tahun lamanya sehingga kekalahan empayar tersebut dalam Perang Dunia Pertama. Pada tahun 1918, selepas tamatnya perang tersebut, Lubnan disatukan dengan Syria & ditadbir oleh Perancis. Pada waktu itu, penduduk Lubnan kebanyakannya adalah Arab Kristian.

Pada tahun 1926, kerajaan Perancis telah memisahkan Lubnan daripada Syria dengan penubuhan Republik Lubnan yang pada masa itu masih lagi di bawah pentadbiran Perancis. Lubnan hanya berjaya mendapatkan kemerdekaannya daripada Perancis pada tahun 1943, sewaktu Perancis ditawan oleh tentera Nazi Jerman dalam Perang Dunia Kedua. Pada tahun 1948, Lubnan telah menyertai negara-negara Arab yang lain untuk memerangi Israel dalam Perang Arab-Israel. Seramai 100,000 pelarian Palestin telah melarikan diri ke Lubnan pada waktu itu. Selepas tamatnya perang, mereka tidak dibenarkan oleh Israel untuk pulang ke tempat asal mereka. Kerajaan Lubnan juga tidak menerima mereka sebagai warganegara Lubnan. Pada masa kini, terdapat lebih kurang 400,000 pelarian Palestin yang masih hidup terawang-awang di bumi Lubnan yang tidak diterima oleh kedua-dua negara Israel & Lubnan.

Pada tahun 1975, perang saudara telah meletus di Lubnan & berlangsung selama 15 tahun. Ianya telah menghancurkan ekonomi negara ini & mengorbankan ramai nyawa penduduknya. Perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1990 akhirnya menamatkan perang tersebut. Sebuah lagi perang walau bagaimanapun telah tercetus baru-baru ini, iaitu pada pertengahan tahun 2006 antara tentera Hezbollah yang berpangkalan di selatan Lubnan & tentera Israel. Perang selama sebulan itu telah menyebabkan banyak kerosakan di bumi Lubnan & telah mengorbankan nyawa hampir 1,000 orang penduduknya. Suasana di Lubnan kembali aman selepas tahun 2006. Mujurlah tiada apa-apa perkara buruk yang berlaku sepanjang aku berada di bumi Lubnan.


Perang Saudara di Lubnan 1975-1990


Perang Lubnan-Israel pada tahun 2006

Beirut adalah ibu negara Lubnan. Ia juga merupakan bandar yang terbesar & bandar pelabuhan yang utama di negara ini. Bandar ini terletak di pinggiran Laut Mediterranean. Penduduknya berjumlah 1.25 juta orang. Menurut sejarah, Beirut pada mulanya berada di bawah pemerintahan Parsi, Greek, Armenia, Assyria, Rom & seterusnya Byzantine sehinggalah ia akhirnya jatuh ke tangan orang-orang Islam pada tahun 635. Beirut kemudiannya dirampas oleh kerajaan tentera Salib pada tahun 1110 yang kekal memerintah di sini sehingga tahun 1291. Beirut seterusnya ditadbir pula oleh Empayar Turki Uthmaniyah sehingga kejatuhan empayar tersebut pada awal kurun ke-20. Sewaktu berada di bawah pemerintahan empayar itu, Beirut telah dijadikan ibu kota wilayah Syria pada tahun 1888. Pada waktu itu, kota ini sudah pun membangun & mempunyai hubungan perdagangan yang rapat dengan negara-negara Eropah & Amerika Syarikat.

Selepas tamatnya riwayat Empayar Turki Uthmaniyah, Beirut bersama-sama dengan bumi Lubnan jatuh ke bawah pentadbiran Perancis sehinggalah negara Lubnan mencapai kemerdekaannya pada tahun 1943. Beirut kemudiannya dijadikan ibu kota negara yang baru dibentuk itu. Ia seterusnya menjadi pusat intelektual yang utama dalam dunia Arab. Bandar ini juga merupakan pusat kewangan, komersil & pelancongan utama di rantau tersebut sehinggalah tercetusnya Perang Saudara di Lubnan pada tahun 1975. Sewaktu Perang Saudara yang berlangsung sehingga tahun 1990, bandar Beirut seolah-olah terbahagi kepada dua. Penduduk Islam berkumpul di sebelah barat & penduduk Kristian berkumpul di sebelah timur. Di tengah-tengah bandar pula yang sebelum itu merupakan pusat komersil & aktiviti yang sibuk dibiarkan lengang tidak berpenghuni.

Selepas tamatnya Perang Saudara pada tahun 1990, barulah Beirut dibangunkan semula. Perang antara tentera Hezbollah Lubnan & Israel pada tahun 2006 sekali lagi membawa kehancuran kepada kota Beirut. Mujurlah perang tersebut hanya berlangsung selama sebulan sahaja. Selepas itu, Beirut mulai aman & kembali menjadi pusat pelancongan, kebudayaan, intelektual, perniagaan, fesyen & media yang utama di rantau Arab.


Peta kedudukan Beirut dalam negara Lubnan

Selepas sahaja aku keluar dari hostel tersebut, aku terus menahan teksi di tepi jalan raya. Aku hendak menuju ke sebuah kawasan tarikan pelancong yang bernama Jeita Grotto. Aku bertanyakan harga tambang kepada pemandu teksi itu. Pemandu teksi itu malangnya kurang fasih berbahasa Inggeris. Oleh itu, kami terpaksa meminta pertolongan 2 orang penumpang di tempat duduk belakang teksi itu untuk menjadi perantara. Daripada apa yang penumpang itu katakan, harga tambangnya agak murah. Cuma 200.00 Pound yang bersamaan dengan 3.00 Euro. Aku lantas terus masuk ke dalam teksi itu & duduk di kerusi bersebelahan pemandu. 2 orang penumpang di belakang turun keluar beberapa minit kemudian. Tinggallah aku berdua dengan pemandu teksi itu.

Setibanya kami di Jeita Grotto yang mengambil masa setengah jam perjalanan dari pusat bandar Beirut, aku pun mengeluarkan wang dari dompet aku untuk diberikan kepada pemandu teksi itu. Akan tetapi, rupa-rupanya telah berlaku salah faham. 2 orang penumpang tadi berkata yang pemandu teksi itu meletakkan harga 200.00 Pound, yang bersamaan dengan 3.00 Euro. Akan tetapi, pemandu teksi itu berkata yang dia telah meletakkan harga 20.00 Euro (bersamaan dengan 1,200.00 Pound) & bukannya 200.00 Pound. Aku sendiri menjadi keliru. Aku rasa mungkin pemandu itu sengaja hendak mengenakan aku. Aku sudah masak dengan perangai orang-orang Arab. Kebanyakannya sama sahaja. Kaki penipu.

Aku akhirnya berkata kepadanya yang aku hanya akan membayar 20.00 Euro sekiranya dia sanggup menunggu aku di situ sehingga aku habis melawat & membawa aku pulang semula ke pusat bandar Beirut. Tetapi, dia tidak faham apa yang aku cuba katakan. Dia lalu memanggil salah seorang lelaki yang sedang berlalu di situ untuk menjadi perantara. Setelah penat berbincang, pemandu itu berkata yang dia tidak mahu menunggu aku & dia tetap mendesak aku untuk membayarnya 20.00 Euro. Aku betul-betul berasa bengang. Akhirnya, aku menyerah kalah. Aku membalingkan wang 20.00 Euro aku ke mukanya & terus keluar dari teksi itu. Aku haramkan wang 20.00 Euro itu sekiranya dia menipu aku. Allah SWT menjadi saksi aku.

Dalam keadaan yang masih marah, aku berjalan menuju ke kaunter tiket untuk membeli tiket masuk ke Jeita Grotto. Setelah membeli tiket, aku menaiki kereta kabel untuk ke tempat itu. Jeita Grotto adalah sebuah kompleks gua batu kapur yang terletak di Lembah Nahr al-Kalb. Ianya adalah antara tempat pelancongan yang utama di negara Lubnan. Kompleks gua tersebut terbahagi kepada 2 bahagian gua yang berasingan, iaitu gua bahagian atas & gua bahagian bawah.


Jeita Grotto, Lubnan


Kereta kabel di Jeita Grotto, Lubnan


Kereta kabel di Jeita Grotto, Lubnan


Jeita Grotto, Lubnan

Gua bahagian atas dijumpai pada tahun 1958 & terletak 60 meter di atas gua bahagian bawah. Gua bahagian atas ini boleh dilawati dengan melalui laluan yang telah disediakan di dalamnya. Panjangnya ialah 2.1 km. Namun, hanya 0.75 km sahaja yang dibenarkan untuk dilalui oleh pelancong. Terdapat beberapa ruang di dalam gua bahagian atas ini. Ruang yang terbesar adalah setinggi 120 meter. Di dalamnya juga terdapat stalaktit yang terbesar di dunia.


Gua bahagian atas di Jeita Grotto, Lubnan


Gua bahagian atas di Jeita Grotto, Lubnan


Gua bahagian atas di Jeita Grotto, Lubnan


Gua bahagian atas di Jeita Grotto, Lubnan

Gua bahagian bawah dipercayai pernah didiami oleh manusia sewaktu zaman pra-sejarah. Ianya dijumpai oleh Reverand William Thompson pada tahun 1836. Gua bahagian bawah ini hanya boleh dilawati dengan menaiki kemudahan bot yang disediakan kerana ia dipenuhi dengan air sungai bawah tanah. Sungai tersebut merupakan antara sumber air utama penduduk Beirut pada masa kini. Panjang gua bahagian bawah ini adalah sejauh 6.2 km. Di bahagian luar gua bahagian bawah, terdapat sebuah monumen aneh yang diberi nama The Guardian of Time.


Gua bahagian bawah di Jeita Grotto, Lubnan


Gua bahagian bawah di Jeita Grotto, Lubnan


Monumen The Guardian of Time di Gua bahagian bawah di Jeita Grotto, Lubnan


Gua bahagian bawah di Jeita Grotto, Lubnan


Gua bahagian bawah di Jeita Grotto, Lubnan

Kompleks Jeita Grotto kini terpilih sebagai salah satu daripada 28 finalis untuk mendapat pengiktirafan sebagai ‘New 7 Wonders of Nature’. Keputusan akhir hanya akan diketahui pada tahun 2011 nanti. Kecantikan & keajaiban yang terdapat dalam kedua-dua gua tersebut benar-benar membuatkan aku insaf. Begitu besar sekali kuasa Allah SWT sehingga boleh mencipta gua yang sebegitu indah. Aku berasa seperti hendak terus berada di dalam gua-gua tersebut.

Pelancong-pelancong tidak dibenarkan membawa kamera masuk ke dalam gua. Kamera-kamera perlu ditinggalkan di dalam loker-loker yang disediakan di bahagian luar. Ini kerana ditakuti cahaya dari kamera boleh meruntuhkan stalaktit-stalaktit yang terdapat pada bumbung gua-gua tersebut. Selain kereta kabel, para pelancong juga turut boleh menggunakan keretapi kecil yang menghubungkan kawasan kaunter tiket, gua bahagian bawah & gua bahagian atas. Pelancong juga sebenarnya boleh berjalan kaki melalui jalan yang disediakan.


Keretapi kecil di Jeita Grotto, Lubnan

Selepas puas menyaksikan keindahan kedua-dua gua tersebut, aku pun kembali ke kawasan bawah. Aku tercari-cari teksi yang kosong. Namun, semuanya berpenumpang. Aku akhirnya meminta pertolongan pekerja yang berkerja di pejabat pelancong untuk menelefon syarikat teksi untuk menghantar sebuah teksi ke situ. Tidak berapa lama kemudian, teksi yang dimaksudkan pun tiba. Aku lantas terus masuk ke dalamnya. Aku memintanya menghantar aku kembali ke hostel aku. Bayaran yang dikenakan ialah 30,000 Pound. Agak mahal. Namun, lebih murah daripada teksi yang aku naiki untuk ke Jeita Grotto sebelum itu. Sesampainya aku di hostel aku, aku terus membawa beg aku masuk ke dalam bilik yang sudah boleh dimasuki. Aku berkongsi bilik dengan 2 lagi orang. Namun, kedua-dua mereka tiada di dalam bilik pada waktu itu. Setelah meletakkan beg-beg aku di situ, aku berehat-rehat sebentar menghilangkan lelah.

Setelah hilang lelah, aku pun keluar untuk menghabiskan sisa hari yang ada dengan berjalan-jalan di sekitar kota Beirut. Lokasi pertama yang aku tujui ialah Martyr’s Square. Di tengah-tengah kawasan dataran ini terdapat sebuah monumen patung yang diberi nama Monument of the Martyrs. Monumen tersebut dibina sempena memperingati nasionalis-nasionalis Lubnan yang telah digantung mati oleh tentera Turki Uthmaniyah di sini pada tarikh 6 Mei 1916 sewaktu kehangatan Perang Dunia Pertama. Para nasionalis tersebut berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan daripada empayar itu. Kesan-kesan peluru & kecacatan yang terdapat pada monumen tersebut pada masa kini adalah kesan daripada Perang Saudara di Lubnan yang berlaku antara tahun 1975 hingga 1990.


Martyr’s Square, Beirut, Lubnan

Berhampiran dengan Martyr’s Square, terletak sebuah masjid yang merupakan masjid yang paling utama di kota Beirut. Nama masjid tersebut ialah Mohammad Al-Amin Mosque. Masjid ini dibina antara tahun 2002 hingga 2007 oleh bekas Perdana Menteri Lubnan yang bernama Rafik Hariri. Walau bagaimanapun, beliau meninggal dunia sebelum masjid ini sempat disiapkan. Jenazah beliau dikebumikan di sebelah masjid ini. Mohammad Al-Amin Mosque yang mempunyai cirri-ciri senibina Turki Uthmaniyah ini telah dirasmikan pada bulan Oktober 2008 oleh anak kepada Rafik Hariri, iaitu Saad Hariri. Kubahnya yang berwarna biru laut sangat-sangat mengagumkan. Aku menunaikan solat jamak Asar & Zohor di dalam masjid tersebut.


Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan


Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan


Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan


Ruang dalam Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan


Ruang dalam Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan


Ruang dalam Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan


Ruang dalam Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan

Selesai sahaja solat & berehat-rehat di dalam Mohammad Al-Amin Mosque tadi, aku menyambung perjalanan aku ke destinasi seterusnya, iaitu Nejmeh Square atau nama lainnya Place d’Etoile yang terletak di dalam kawasan tengah-tengah bandar yang diberi nama Solidere. Kawasan ini merupakan tumpuan utama penduduk-penduduk tempatan & juga pelancong-pelancong luar. Sewaktu Perang Saudara Lubnan, kawasan ini merupakan pusat kepada perang tersebut. Ia kemudiannya dibangunkan semula selepas tamat sahaja perang. Aku bersiar-siar sambil mengambil beberapa keping gambar di Nejmeh Square. Di tengah-tengah dataran ini terdapat sebuah menara jam yang agak unik bentuknya kerana ianya mempunyai ciri-ciri senibina Perancis.


Nejmeh Square, Beirut, Lubnan


Nejmeh Square, Beirut, Lubnan


Nejmeh Square, Beirut, Lubnan


Bersama seorang kanak-kanak tempatan di Nejmeh Square, Beirut, Lubnan

Berhampiran dengan Nejmeh Square tadi, terdapat juga sebuah lagi masjid yang agak penting di kota Lubnan. Nama masjid tersebut ialah Al-Omari Mosque. Bangunan masjid ini pada mulanya merupakan sebuah gereja bernama Church of John the Baptist of the Knights Hospitaler yang dibina pada kurun ke-12 sewaktu Beirut berada di bawah pemerintahan Tentera Salib. Fungsinya hanya ditukar menjadi masjid pada tahun 1291 selepas kota ini ditawan oleh Empayar Turki Uthmaniyah. Selain Al-Omari Mosque, terdapat sebuah lagi monumen penting di kawasan sekitar Nejmeh Square, iaitu Roman Baths & Cardo Maximus yang dibina sewaktu era pemerintahan Empayar Rom. Yang tinggal kini hanyalah runtuhan-runtuhannya sahaja.


Al-Omari Mosque, Beirut, Lubnan


Roman Baths & Cardo Maximus, Beirut, Lubnan

Tidak jauh dari Nejmeh Square, terletak gereja yang merupakan gereja yang paling utama di Beirut, iaitu St George’s Orthodox Cathedral. Ia dibina sekitar tahun 1715 & mengalami kerosakan yang teruk sewaktu kejadian gempa bumi pada tahun 1759. Ia kemudian diperbaiki semula. Sewaktu berlakunya perang saudara di Lubnan, gereja ini turut menerima kesannya. Gereja ini terletak betul-betul bersebelahan dengan Mohammad Al-Amin Mosque yang aku ziarah mula-mula tadi. Kedudukan kedua-dua rumah ibadat ini secara bersebelahan melambangkan kedamaian yang terpupuk antara penduduk-penduduk beragama Kristian & penduduk-penduduk beragama Islam di kota Beirut secara khasnya & di seluruh Lubnan secara amnya. Kagum benar aku melihatnya.


St George’s Orthodox Cathedral bersebelahan Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan


St George’s Orthodox Cathedral, Beirut, Lubnan

Aku kemudiannya berjalan-jalan di sekitar kawasan Solidere yang sememangnya agak luas. Sedang aku berjalan-jalan, aku ditahan oleh 2 orang polis yang sedang meronda-ronda di kawasan tersebut. Mereka meminta aku membuka beg aku untuk melihat isi di dalamnya. Aku menurut sahaja arahan mereka. Setelah beg aku digeledah, mereka mengucapkan terima kasih. Sebenarnya, sewaktu aku berada di Beirut, seluruh kota itu sedang dikawal oleh polis. Mungkin kerana kota ini sering menjadi serangan pengganas, ditambah lagi selepas berlakunya Perang Hezbollah Lubnan-Israel pada tahun 2006. Di mana-mana sahaja ada polis. Aku yang berjalan berseorangan sambil membawa tripod yang besar sentiasa menjadi perhatian mereka, takut-takut jikalau aku membawa senjata atau bom. Hahaha. Bukan sekali dua aku ditahan oleh mereka, malah berkali-kali sehingga aku berasa meluat & tidak sabar untuk meninggalkan kota ini.

Sesudah penat mengelilingi kawasan Solidere, aku kembali semula ke hostel untuk berehat-rehat sementara menunggu masuknya waktu Maghrib. Kedua-dua orang yang menginap di bilik sama dengan aku masih belum pulang. Apabila keadaan di luar sudah hampir senja, aku berjalan menuju ke Mohammad Al-Amin Mosque untuk solat Maghrib berjemaah bersama-sama dengan jemaah tempatan & seterusnya aku menyambung solat Isyak dijamakkan sekali dengan solat Maghrib tadi. Selesai solat, aku mengambil gambar bersama-sama dengan masjid ini dalam suasana malam pula. Setelah itu, aku ke sebuah kedai untuk membeli sesuatu untuk dijadikan makan malam. Tidak ada restoran murah yang aku jumpai di sini. Semuanya restoran-restoran mewah.


Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan


Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan

Setelah itu, aku pun pulang semula ke hostel. Aku mandi membersihkan diri & kemudiannya terus melelapkan mata. Aku menyedari kepulangan kedua-dua orang yang menumpang bilik tersebut, namun aku terlalu penat untuk berbual-bual dengan mereka. Mungkin esok sahaja.

Hari 15: 31 MEI 2009

Hari ini adalah hari kedua aku di Beirut, Lubnan. Lebih kurang pukul 8.00 pagi, aku bangun untuk mandi membersihkan diri. Kemudian, aku berbual-bual sebentar dengan kedua-dua orang yang menumpang di bilik hostel yang sama. Seorang dari Korea Selatan & seorang lagi pula dari Belanda. Ramah juga mereka berdua. Mereka sempat menceritakan kepada aku pengalaman-pengalaman mereka di Beirut. Selepas berbual-bual dengan mereka, aku meminta diri untuk mendaftar keluar. Aku kemudiannya meletakkan beg aku di tepi kaunter untuk dijaga oleh pemilik hostel. Selepas itu, barulah aku memulakan pengembaraan aku di hari kedua kota Beirut ini.

Lokasi pertama aku pada hari ini adalah restoran Starbucks yang terletak di Nejmeh Square. Aku bersarapan pagi di sini. Ini sahajalah restoran yang aku mampu. Yang lain semuanya mahal. Sedang aku menikmati sarapan pagi aku di meja luar restoran ini, aku terlihat 3 orang yang mempunyai rupa paras orang Melayu sedang sakan bergambar di Nejmeh Square. Apabila mereka lalu bersebelahan aku, aku menegur mereka dengan memberi salam & kemudian bertanyakan sama ada mereka berasal dari Malaysia. Mereka terus menjawab salam & mengangguk sambil bersalam-salaman dengan aku. Hahaha. Tak sangka aku dapat berjumpa dengan orang-orang Malaysia di Beirut. Menurut mereka, mereka adalah pelajar Perubatan Tahun Akhir di Universiti Islam Antarabangsa. Mereka ke sini untuk melakukan elektif mereka di kem pelarian Palestin. Wah. Murni sungguh kerja mereka itu. Terharu aku. Selepas berbual-bual untuk beberapa minit, mereka meminta diri untuk menyambung perjalanan mereka.


Bersama pelajar-pelajar UIA di Beirut, Lubnan


Bersama pelajar-pelajar UIA di Beirut, Lubnan

Setelah selesai bersarapan pagi, aku pun memulakan pengembaraan aku. Aku berjalan menuju ke kawasan Hamra & Ras Beirut yang terletak agak jauh dari kawasan Solidere. Hampir sejam lamanya aku berjalan kaki di bawah terik cahaya matahari untuk menuju ke kawasan tersebut. Setelah penat berjalan, akhirnya aku tiba juga ke destinasi tujuan aku. Aku cuba bergambar dengan sebuah bangunan yang menerima kesan daripada Perang Lubnan-Israel 2006. Namun, aku dilarang berbuat demikian oleh seorang polis yang lalu di situ. Dia juga melarang aku daripada mengambil apa-apa gambar di sekeliling kawasan tersebut. Huhuhu. Seram pula rasanya aku. Aku mengangguk tanda patuh & kemudian, aku berjalan menyambung perjalanan aku.

Aku seterusnya menuju ke sebatang jalan raya yang terletak di pinggiran pantai yang menghadap Laut Mediterranean. Nama jalan tersebut ialah Avenue de Paris. Kawasan di sekeliling ini dinamakan Corniche Beirut. Panorama di kawasan ini tersangatlah menakjubkan dengan keindahan pantainya & juga pohon-pohon palma yang terdapat di sepanjang jalan tersebut. Aku tidak menyangkakan bahawa Beirut rupa-rupanya adalah sebuah kota yang amat cantik di sebalik stigma buruk yang diberi oleh masyarakat dunia akibat peperangan yang sering tercetus di sini. Kagum benar aku. Kawasan pinggiran pantai berbatu ini menjadi tumpuan penduduk tempatan untuk berjogging, bermandi-manda & juga memancing ikan. Air lautnya benar-benar jernih.


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan

Sedang aku leka mengambil gambar di kawasan pinggiran pantai itu, aku secara tidak sengaja terambil gambar sekumpulan remaja lelaki tempatan yang sedang bermandi-manda di situ. Mereka lalu menjerit-jerit kepada aku & terus datang menyerbu aku. Aku cuba melarikan diri, namun mereka sempat mengepung aku & aku tidak dapat lari ke mana-mana. Mereka lalu memarahi & memaki-maki aku dalam Bahasa Arab & menunjuk-nunjukkan isyarat mengarahkan aku supaya membuang gambar-gambar mereka yang aku ambil. Aku tiada pilihan lain terpaksa membuang gambar-gambar tersebut di hadapan mereka. Selepas itu barulah mereka melepaskan aku. Sempat juga salah seorang daripada mereka menghentak belakang aku dengan tangan. Sial betul. Mujurlah mereka ramai. Dalam hati, aku menyumpah-nyumpah mereka semua.

Aku sudah tiada mood lagi untuk mengambil gambar selepas kejadian yang berlaku tadi. Terasa trauma pula. Aku lantas terus ke restoran MacDonald’s berhampiran untuk makan tengah hari. Agak lama juga aku berlepak-lepak di dalam restoran itu sambil terkenang kembali kejadian tadi. Hahaha.

Selepas hampir sejam aku di dalam restoran tersebut, aku berjalan menuju ke destinasi terakhir aku sebelum aku pulang semula ke hostel. Destinasi terakhir aku ialah Hamra Street. Jalan ini merupakan antara jalan-jalan yang terpenting di kota Beirut kerana peranannya sebagai antara hab ekonomi & politik di kota ini. Ketika era 1960-an & 1970-an, sebelum berlakunya perang saudara di Lubnan, jalan ini merupakan pusat aktiviti intelektual yang paling utama di Beirut kerana terdapatnya banyak kafe & teater di sepanjang jalan ini. Namun, setelah tamat perang, popularitinya kian menurun selepas terdapatnya banyak jalan-jalan lain yang lebih hidup.


Hamra Street, Beirut, Lubnan

Selepas menjejakkan kaki di Hamra Street, aku pun berjalan pulang kembali ke hostel. Perjalanan ke hostel juga turut memakan masa selama lebih kurang sejam. Setelah penat berjalan, aku akhirnya tiba juga di hostel. Selepas mendapatkan kembali beg yang aku letak di tepi kaunter, aku terus berjalan menuju ke stesen bas untuk mendapatkan bas ke Damsyik, Syria. Namun, nasib aku agak malang. Pada waktu itu, iaitu lebih kurang pukul 4.00 petang, bas ke Damsyik sudah tiada. Bas terakhir bertolak pada waktu tengah hari tadi. Aku mula menjadi panik. Aku sudah tiada jalan lain melainkan menaiki teksi.

Mujurlah ada seorang pemandu teksi datang menghampiri aku bertanyakan destinasi aku. Bahasa Inggerisnya agak baik, sama seperti penduduk-penduduk Lubnan yang lain. Aku lantas memberitahunya yang aku hendak ke Damsyik. Dia kemudian menyatakan yang dia perlu menunggu 2-3 orang lagi penumpang ke Damsyik sebelum dia boleh bertolak supaya tambang ke sana boleh dikurangkan setelah dibahagikan sama rata. Aku mengangguk tanda bersetuju. Dia kemudian memasukkan beg aku ke dalam boot keretanya. Setelah agak lama menunggu, masih belum ada penumpang yang mahu ke Damsyik dengan teksi kepunyaan pemandu itu.

Akhirnya, pemandu teksi itu bertanya kepada aku sama ada aku hendak terus bertolak sahaja ke Damsyik seorang diri. Harga tambang agak mahal, namun aku masih mampu. Aku lantas terus meminta pemandu teksi itu untuk terus sahaja bertolak ke Damsyik tanpa perlu menunggu penumpang lain. Pemandu teksi itu mengikut sahaja permintaan aku & terus menggerakkan teksinya. Walau bagaimanapun, di suatu tempat, terdapat seorang lelaki menahan teksi itu. Kebetulan dia juga mahu ke Damsyik. Alhamdulillah. Lelaki itu kemudiannya masuk & duduk di sebelah aku. Kami tidak berbual apa-apa kerana dia tidak tahu berbahasa Inggeris. Perjalanan ke Damsyik dengan teksi itu memakan masa lebih daripada 2 jam.

Apabila tiba di sempadan Lubnan-Syria, aku terpaksa menguruskan hal imigresen & visa pula. Aku tidak perlu membayar apa-apa untuk keluar dari Lubnan & untuk masuk semula ke Syria. Namun, sewaktu di pusat imigresen Syria, aku perlu mengisi borang perakuan kesihatan kerana pada waktu itu, wabak H1N1 sedang hangat melanda dunia. Aku perlu meminta pengesahan daripada seorang doktor yang bertugas di situ. Bilangan orang yang hendak meminta pengesahan berpuluh-puluh jumlahnya. Namun, doktor yang bertugas cuma seorang sahaja. Sangatlah tidak bersistem. Aku terpaksa berebut-rebut dengan mereka yang ada di situ kerana mereka tidak tahu beratur. Huhuhuh. Setelah bersungguh-sungguh berebut, aku akhirnya berjaya mendapatkan pengesahan daripada doktor itu & aku lantas terus menyerahkan borang tersebut kepada pegawai imigresen yang bertugas. Setelah itu, pemandu teksi yang turut membantu aku berebut-rebut tadi membawa aku semula ke teksinya untuk meneruskan perjalanan ke Damsyik.


Peta perjalanan dari Beirut ke Damsyik

Di suatu tempat yang tidak diketahui lokasinya, yang terletak di pinggir sebatang lebuhraya, pemandu teksi itu menurunkan aku & penumpang lelaki tadi. Penumpang lelaki itu kemudiannya memarahi pemandu teksi itu. Aku sendiri tidak tahu apa sebabnya. Kemudian, aku bertanya kepada pemandu teksi itu mengapa dia menurunkan kami di situ. Dia menjawab yang dia hanya dapat menurunkan aku di pinggir kota Damsyik sahaja. Dia tidak dapat membawa aku masuk ke dalam kota itu. Dia meminta aku menahan teksi lain untuk masuk ke sana. Aku menjadi bingung & marah. Aku lalu mendesaknya supaya membawa juga aku ke dalam kota Damsyik. Dia akhirnya bersetuju dengan syarat aku perlu membayar tambang lebih sedikit. Aku tanpa berfikir panjang bersetuju sahaja. Aku lebih rela membayar lebih daripada ditinggalkan terkontang-kanting di pinggir lebuhraya. Beginilah perangai kebanyakan orang Arab yang aku temui. Kalau cakap, bukan main pandai putar belit. Awal-awal tadi, dia seolah-olah begitu yakin akan membawa aku terus ke destinasi tujuan aku di Damsyik. Alih-alih, bila sudah tiba di pinggir kota itu, dia hendak tinggalkan aku begitu sahaja di pinggir sebatang lebuhraya. Aku berasa sangat-sangat bengang.

Apabila sudah tiba di dalam kota Damsyik, aku memintanya menurunkan aku di Masjid Zaid bin Thabit yang terletak berdekatan dengan rumah Ikhwan. Itu sahaja landmark terdekat yang aku tahu. Aku pun terus dibawanya ke lokasi berhampiran dengan masjid tersebut. Selepas membayar tambang, aku keluar dari teksi itu & terus berjalan menuju ke rumah Ikhwan. Ikhwan pada waktu itu sedang mengulangkaji pelajarannya. Mujurlah dia ada di rumah. Selepas mandi & solat Maghrib & Isyak, aku berbual-bual dengan Ikhwan. Ini adalah malam terakhir aku menumpang di rumahnya. Aku akan pulang semula ke Irbid, Jordan tengah hari esok. Aku bercerita tentang pengalaman aku di Beirut. Dia tekun mendengar. Apabila sudah mengantuk, kami berdua pun terus melelapkan mata.

Hari 16: 1 JUN 2009

Hari ini adalah hari terakhir aku di Damsyik, Syria. Aku akan pulang ke Irbid, Jordan waktu tengah hari nanti. Pada waktu pagi, aku hanya berlepak-lepak di rumah Ikhwan sahaja. Ikhwan awal-awal pagi lagi sudah keluar ke kuliahnya. Kemudiannya, sebelum masuk waktu Zohor, dia pun pulang semula. Selepas menunaikan solat, aku pun bersedia untuk meninggalkan rumah Ikhwan. Sebelum keluar dari rumahnya, aku sempat mengambil gambar bersamanya & juga ahli rumahnya, Amni.


Bersama Amni & Ikhwan di rumah mereka di Damsyik, Syria

Selepas itu, Ikhwan membawa aku ke stesen bas. Aku akan menaiki bas mini untuk ke sebuah bandar kecil di dalam Syria yang bernama Dar’a yang terletak di sempadan Syria-Jordan. Kemudian, dari Dar’a barulah aku akan menaiki teksi untuk melintasi sempadan Syria-Jordan untuk ke Irbid. Cara itu adalah lebih murah daripada terus mengambil teksi dari Damsyik ke Irbid. Sebelum menaiki bas mini itu, aku bersalam-salaman dahulu dengan Ikhwan. Aku mengucapkan terima kasih kepadanya kerana sudi menumpangkan aku di rumahnya selama berhari-hari. InsyaAllah kami akan berjumpa lagi suatu hari nanti.

Perjalanan dari Damsyik ke Dar’a dengan bas mini tersebut memakan masa lebih kurang sejam. Apabila tiba di Dar’a, konduktor tiket bas mini itu membawa aku berjumpa pemandu teksi yang akan membawa aku melintasi sempadan Syria-Jordan untuk ke Irbid. Aku seorang sahaja yang hendak ke Irbid. Bas mini yang aku naiki tadi kemudiannya meneruskan perjalanannya ke destinasinya. Pemandu teksi itu membawa aku ke teksinya & kami terus bergerak. Tidak lama kemudian, kami pun tiba di sempadan Syria-Jordan. Aku terpaksa menyelesaikan urusan imigresen & visa. Untuk keluar dari Syria, aku tidak perlu membayar apa-apa. Untuk masuk ke Jordan, aku terpaksa membayar sekali lagi visa masuk. Sewaktu di pusat imigresen Syria, aku berjumpa lagi dengan pakcik & anaknya yang aku jumpa di Umayyad Mosque tempoh hari. Hahaha. Tak sangka kami akan bertemu lagi. Pakcik itu rupa-rupanya adalah ketua satu rombongan dari Malaysia yang menjelajah bumi Jordan & Syria.

Selepas selesai semua urusan imigresen & visa, aku & pemandu teksi itu akhirnya memasuki negara Jordan. Lega rasanya kerana aku berjaya kembali semula ke Jordan tanpa apa-apa masalah sewaktu di sempadan. Walau bagaimanapun, beberapa minit kemudian, pemandu teksi itu menurunkan aku di suatu tempat yang aku tidak ketahui. Menurutnya, aku sudah tiba di Irbid. Aku dengan rasa bingung terus keluar dari teksinya & membayar tambang. Aku sebenarnya amat yakin yang aku belum lagi tiba di Irbid. Pemandu teksi tadi terus memecut teksinya meninggalkan aku dalam kebingungan.

Dalam keadaan terdesak, aku bertanya kepada seorang pemandu teksi di situ, sama ada aku sedang berada di Irbid. Pemandu teksi itu menjawab yang Irbid terletak lebih kurang 30 minit dari tempat tersebut. Aku dengan rasa marahnya menyumpah-nyumpah pemandu teksi yang membawa aku dari Dar’a tadi. Sekali lagi aku telah ditipu oleh pemandu teksi. Beginilah rencah hidup pemandu-pemandu teksi di negara-negara Arab yang mundur, terutamanya Syria. Sanggup menipu untuk wang. Aku sebenarnya berasa lega apabila aku tiba di Jordan kerana menurut pelajar-pelajar Malaysia di sini, pemandu-pemandu teksi di Jordan kebanyakannya bukan kaki penipu.

Aku seterusnya meminta pemandu teksi itu membawa aku ke Irbid. Aku terus masuk ke dalam teksinya & kemudiannya dia terus membawa aku ke destinasi tujuan aku. Setibanya aku di Irbid, aku memintanya menurunkan aku di Syari’ Jami'ah yang terletak berdekatan dengan flat Hariz. Selepas membayar tambang yang agak murah, aku pun terus berjalan menuju ke flat tersebut. Dalam masa lebih kurang 20 minit sahaja, aku sudah tiba di hadapan pintu apartmen Hariz. Aku lantas terus memberi salam & mengetuk pintu apartmennya itu dengan harapan salah seorang daripada penghuninya ada di dalam. Alhamdulillah. Yang menjawab salam & membuka pintu adalah Hariz sendiri. Dia pada waktu itu sedang mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan esok hari. Penghuni-penghuni yang lain masih belum pulang dari universiti. Hariz agak terkejut melihat aku yang berjaya pulang ke rumahnya tanpa pertolongan sesiapa. Hahaha. Aku kan pengembara hebat. Hehehe.


Peta perjalanan Damsyik-Dar'a-Irbid

Sambil berehat-rehat di dalam biliknya, aku bercerita tentang semua pengalaman aku di Syria, di Lubnan & perjalanan aku dari Damsyik ke Irbid. Dia begitu tekun mendengar sambil mengulangkaji pelajarannya. Apabila sudah puas bercerita, aku melelapkan mata buat seketika kerana terlalu penat & hendak memberi peluang kepada Hariz untuk mengulangkaji pelajarannya untuk peperiksaan esok.

Apabila sudah hampir tiba waktu Maghrib, Hariz mengejut aku untuk ke masjid di Yarmouk University. Sebelum ke masjid, aku mandi membersihkan diri dulu. Kemudian, barulah kami berdua bergerak bersama-sama menuju ke masjid tersebut. Di masjid itu, aku bertemu semula dengan mereka-mereka yang sudah berkenalan dengan aku sepanjang aku berada di bumi Irbid dahulu. Antaranya ialah Azam, rakan sekelas Hariz. Selepas solat Maghrib, mereka berdua membawa aku ke sebuah restoran untuk makan malam. Mereka membelanja aku makan. Hahaha. Terharu sungguh. Kami menghabiskan masa yang agak lama di situ, berbual-bual mengenai banyak perkara. Malam ini sebenarnya adalah malam terakhir aku di Irbid. Aku akan ke Amman esok harinya untuk menaiki pesawat pulang ke Dublin.

Setelah puas berbual-bual, kami bertiga kembali semula ke flat Hariz. Sebelum masuk ke dalam apartmennya, kami singgah dahulu di apartmen Dziya & penghuni-penghuninya yang lain, iaitu Poey & Ibrahim. Lagipun, Hariz terlupa membawa kunci apartmennya & pada waktu itu tiada sesiapa di dalamnya. Kami bertiga lepak-lepak di dalam bilik Dziya yang kebetulannya baru bangun dari tidur sewaktu kami tiba. Dia baru sahaja hendak menyambung semula mengulangi pelajarannya untuk peperiksaan esok. Hariz, Dziya & Azam berbincang-bincang mengenai pelajaran mereka. Aku turut menyampuk sedikit-sedikit. Namun, apabila mata aku sudah mula layu, aku meminta diri untuk pulang ke apartmen Hariz. Hariz tidak pulang bersama kerana hendak meneruskan perbincangan mereka. Aku pulang seorang diri. Mujurlah Hadi ada di dalam apartmen untuk membuka pintunya. Aku berbual-bual sebentar dengannnya sebelum aku menunaikan solat Isyak & terus tidur.

Hari 17: 2 JUN 2009

Hari ini adalah hari terakhir aku di Irbid. Aku akan meninggalkan bumi Irbid untuk ke Amman pada waktu petang nanti. Hariz & penghuni-penghuni apartmennya yang lain awal-awal pagi lagi sudah ke universiti untuk menduduki peperiksaan mereka. Tinggallah aku keseorangan di dalam apartmennya itu. Aku kemudiannya mendapat SMS daripada Hariz. Dia menyatakan yang dia sudah pun tamat menduduki peperiksaannya & sedang dalam perjalanan pulang. Dia meminta aku berjumpanya di Yarmouk Mall yang terletak tidak jauh dari Syari’ Jami’ah untuk makan tengah hari bersama-sama dengannya & beberapa orang lagi rakan sekelasnya.

Selepas bersiap-siap, aku pun berjalan keluar menuju ke Yarmouk Mall. Tidak lama selepas menunggu di situ, muncullah Hariz bersama-sama dengan Azam, Ibrahim & Malik. Ini adalah pertama kali aku berjumpa dengan Malik. Aku baru tahu yang dia juga sebenarnya tinggal di apartmen yang sama dengan Dziya, Poey & Ibrahim. Hahaha. Pada mulanya aku fikirkan apartmen itu dihuni oleh tiga orang itu sahaja. Mereka berempat membawa aku ke sebuah restoran. Kami makan-makan sambil berbual-bual. Selesai sahaja makan, kami pun pulang ke flat.

Di bilik Hariz, aku mengemas barang-barang aku, bersiap-siap untuk ke Amman. Lebih kurang pukul 5.00 petang, Hariz & Hadi membawa aku ke stesen bas Irbid. Namun, sebelum bertolak, aku menghadiahkan cenderahati-cenderahati dari Ireland kepada setiap penghuni apartmen Hariz, termasuklah Hidayat & Mursyid. Aku juga turut meminta pertolongan Hariz untuk menyampaikan cenderahati aku kepada Munir & Rozaili. Aku, Hariz & Hadi kemudian singgah pula di apartmen Dziya untuk bersalam-salaman dengannnya & juga dengan penghuni-penghuni apartmennya yang lain, iaitu Poey, Ibrahim & Malik. Aku turut menghadiahkan cenderahati sama kepada Dziya. Cenderahati-cenderahati tersebut aku hadiahkan buat kesemua penghuni apartmen Hariz kerana kesudian mereka menerima kedatangan aku untuk menumpang di apartmen mereka & juga buat mereka yang turut menjayakan misi aku mengelilingi bumi Jordan seperti Dziya, Munir & Rozaili. Buat mereka yang tidak mendapat cenderahati dari aku, jangan kecil hati. Kalian tetap akan aku kenang selalu.


Bersama Hariz, Hidayat & Hadi di apartmen mereka di Irbid, Jordan


Bersama Hariz, Hidayat & Murshid di apartmen mereka di Irbid, Jordan

Setelah bersalam-salaman dengan Dziya, Poey, Ibrahim & Malik, kami bertiga terus menaiki teksi menuju ke stesen bas Irbid. Sesampainya di stesen bas tersebut, aku meminta pertolongan Hadi untuk membeli tiket kerana aku tidak fasih berbahasa Arab. Sesudah mendapatkan tiket, aku pun bersalam-salaman & berpeluk-pelukan dengan Hariz & Hadi. Aku mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka berdua, terutamanya Hariz yang telah banyak membantu aku menjayakan misi pengembaraan aku di bumi Syam. Tanpa bantuannya, mungkin amat sukar untuk aku menjelajah di bumi Anbiya’ ini.

Aku kemudiannya dengan perasaan sedih & berat hati terpaksa meninggalkan mereka berdua & masuk ke dalam bas. InsyaAllah kami akan bersua lagi suatu hari nanti. Lebih kurang pukul 6.00 petang, bas yang aku naiki pun mula meninggalkan Irbid menuju ke Amman. Perjalanan dengan bas itu mengambil masa selama lebih kurang 1½ jam. Lebih kurang puku 7.30 petang, aku pun tiba di stesen bas Amman. Dari stesen bas itu, aku menaiki bas lain pula untuk ke Lapangan Terbang Queen Alia. Perjalanan ke lapangan terbang itu memakan masa lebih kurang sejam. Bas yang aku naiki bertolak lebih kurang pukul 8.00 malam & lebih kurang pukul 9.00 malam, aku pun tiba di lapangan terbang tersebut.

Setibanya aku di Lapangan Terbang Queen Alia, aku menjadi agak buntu kerana tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Penerbangan Turkish Airlines aku ke Istanbul dijadualkan berlepas pada pukul 3.30 pagi nanti. Aku cuma dibenarkan masuk ke dalam terminal 3 jam sebelum penerbangan, iaitu lebih kurang pukul 12.30 tengah malam nanti. Itu adalah peraturan yang perlu diikuti di lapangan terbang ini. Disebabkan itu, aku terpaksa menghabiskan sisa baki 3½ jam yang ada di luar kawasan terminal. Bosan betul.

Hari 18: 3 JUN 2009

Lebih kurang pukul 12.30 tengah malam, aku pun mula dibenarkan untuk masuk ke dalam terminal. Aku terus ke kaunter pendaftaran untuk mendaftar masuk. Selepas mendaftar masuk, aku terus menunggu di balai perlepasan. Setelah lama menunggu, para penumpang pun dibenarkan masuk ke dalam pesawat. Aku menaiki pesawat Turkish Airlines ke Istanbul terlebih dahulu. Dari Istanbul, barulah aku akan menaiki pesawat seterusnya untuk pulang ke Dublin. Penerbangan aku ke Dublin dari Istanbul dijadualkan berlepas pada pukul 10.45 pagi nanti.

Penerbangan dari Amman ke Istanbul berlepas pada pukul 3.30 pagi waktu tempatan Jordan. Perjalanan ke Istanbul memakan masa lebih kurang 2¼ jam. Lebih kurang pukul 5.45 pagi waktu tempatan Turki, aku pun tiba di Lapangan Terbang Attaturk, Istanbul. Sesampainya sahaja di situ, aku terus mendapatkan pas naik untuk menaiki pesawat yang seterusnya. Memandangkan penerbangan aku ke Dublin dijadualkan akan berlepas pada pukul 10.45 pagi nanti, aku mengisi kelapangan masa yang ada dengan tidur di atas sebuah kerusi di dalam terminal lapangan terbang itu. Aku tidak puas tidur di dalam pesawat tadi.

Lebih kurang pukul 9.30 pagi, aku mulai bangun & berjalan menuju ke balai perlepasan untuk menunggu panggilan masuk. Tidak berapa lama selepas menunggu, para penumpang pun mula dijemput masuk ke dalam pesawat. Penerbangan Turkish Airlines dari Istanbul ke Dublin mula berlepas pada pukul 10.45 waktu tempatan Turki, seperti yang telah dijadualkan. Perjalanan memakan masa selama 4½ jam. Lebih kurang pukul 1.15 tengah hari waktu tempatan Ireland, aku pun selamat tiba di Lapangan Terbang Dublin.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah SWT kerana dengan izin-Nya aku berjaya menjejaki & berkelana di bumi Syam selama lebih kurang 18 hari lamanya. Tercapai juga hasrat aku untuk memijakkan kaki di bumi Anbiya’ itu. Terlalu banyak pengalaman suka duka yang telah aku lalui sepanjang aku berada di sana. Syam sememangnya bumi barakah. Tidak rugi rasanya aku menghabiskan wang, tenaga & masa di sana kerana aku yakin ianya pasti dibalas dengan rahmat daripada Allah SWT. Walau bagaimanapun, aku berasa sedikit kesal dengan sikap sesetengah warga Arab tempatan yang gemar melakukan penipuan terhadap para pelancong walaupun sesama pelancong Islam seperti aku. Mereka mungkin terpaksa berbuat demikian atas faktor desakan hidup. Wallahu ‘alam.

Aku juga bersyukur kerana telah dikurniakan dengan ramai kenalan baru di kalangan pelajar-pelajar Malaysia di Irbid, Mu’tah & Damsyik yang telah begitu banyak menghulurkan bantuan ikhlas kepada aku. Jasa kalian semua sememangnya tidak dapat aku balas. Buat Hadi, Dziya, Munir, Rozaili, Hazmi, Taufiq, Ikhwan & Syazwan, terima kasih aku ucapkan kerana sudi membawa & menemani aku dalam pengembaraan aku ini. Buat Mursyid, Hidayat, Amni & penghuni-penghuni Bayt Dimasyq, terima kasih kerana sudi menerima kehadiran aku di rumah-rumah kalian. Dan akhir sekali, ucapan terima kasih khas aku tujukan buat Hariz & Zaid. Kalian berdualah yang menjadi tulang belakang kepada misi pengembaraan aku di Syam, bumi Anbiya' ini. Tanpa kalian berdua, amat mustahil untuk aku menjayakan misi ini. Terima kasih sekali lagi aku ucapkan.

TAMAT.

No comments: