21.12.07

WiNTeR 2007 (eSToNia, LiTHuaNia, LaTVia, eNGLaND, MoRoCCo, FRaNCe, MoNaCo) (BHG II)



Morocco adalah negara kedua di benua Afrika & juga di rantau negara-negara di mana penduduknya bertutur dalam Bahasa Arab yang aku jejaki selepas Mesir. Sudah lama sebenarnya aku menyimpan hasrat untuk ke negara ini yang kaya dengan sejarah Islam & juga senibina yang mengagumkan. Mujurlah syarikat penerbangan Ryanair telah mengembangkan sayapnya ke negara Morocco ini yang memudahkan pelancong-pelancong dari benua Eropah untuk menjejakkan kaki ke sana. Aku mengambil masa lebih kurang 2 bulan untuk merancang perjalanan aku di bumi Morocco. Warganegara Malaysia wajib memohon visa untuk masuk ke negara ini. Segala urusan visa telah aku selesaikan 2 minggu sebelum bertolak. Mujurlah tiada sebarang masalah timbul.

Aku bertolak ke Morocco sehari selepas aku tiba di Dublin setelah 5 hari berkelana di Newcastle & Nottingham. Penat pun belum hilang lagi, sudah perlu berkemas-kemas untuk ke tempat lain pula. Bagi pengembara seperti aku, perkara sebegini sudah menjadi kebiasaan. Aku mengembara seorang diri lagi pada kali ini. Pelajar-pelajar Malaysia di Dublin yang lain masing-masing mempunyai perancangan tersendiri. Puas aku memujuk, malangnya tiada siapa yang ingin ke Morocco. Mungkin ramai yang beranggapan Morocco tidak selamat & sebagainya. Entahlah. Aku pada mulanya agak takut juga untuk ke sana seorang diri. Orang-orang bangsa Arab ni kelakuannya agak kasar sedikit. Pengalaman di Mesir banyak mengajar aku. Walau apapun, aku perlu beranikan diri. Kalau nak seribu daya, kalau taknak seribu dalih.

Pengembaraan aku di bumi Morocco bermula pada tarikh 4 Disember 2007 & berakhir pada tarikh 15 Disember 2007. Lebih kurang 12 hari lamanya. Aku menjejakkan kaki di 6 buah bandar di dalam negara itu, iaitu Marrakech, Casablanca, Rabat, Tangier, Meknes & Fes. Aku bermalam di hostel-hostel yang aku rujuk di dalam buku ‘Morocco’ keluaran Lonely Planet yang menjadi sumber rujukan utama aku mengenai Morocco. Selain buku tersebut, aku juga membawa bersama sebuah lagi buku yang amat berguna, iaitu buku ‘Morocco’ keluaran DK Eyewitness Travel Guides. Tanpa kedua-dua buku tersebut, agak mustahil untuk aku menerokai bumi Morocco ini. Untuk bergerak dari satu bandar ke bandar yang lain, aku menggunakan perkhidmatan keretapi. Sistem keretapi di Morocco sememangnya sistematik & lebih kurang sama seperti di benua Eropah. Aku sendiri berasa kagum. Ini semestinya dapat memudahkan pengembaraan aku di sana.

Morocco atau dalam Bahasa Arabnya Al-Maghrib adalah sebuah negara yang terletak di bahagian barat laut benua Afrika yang mempunyai keluasan seluas 446,550 km persegi & jumlah penduduk seramai 30,000,000 orang. Negara ini disempadani oleh Algeria di bahagian timur & Mauritania di bahagian selatan. Di bahagian utaranya pula adalah persisiran pantai yang menghadap Laut Mediterranean & juga Selat Gibraltar yang memisahkan benua Afrika dengan benua Eropah secara amnya & Morocco dengan Sepanyol secara khususnya. Bahagian barat negara ini pula adalah persisiran pantai yang menghadap Lautan Atlantik. Morocco adalah anggota Liga Arab & Organisation of the Islamic Conference (OIC). Ianya adalah satu-satunya negara di benua Afrika yang tidak menganggotai Kesatuan Afrika. Ia mengundur diri daripada kesatuan tersebut pada tahun 1984 & tidak menunjukkan minat untuk kembali semula menjadi ahli.


Peta kedudukan Morocco di dalam benua Afrika


Peta Morocco

Matawang yang digunakan di Morocco ialah Dirham. 1.00 Euro bersamaan dengan 11.00 Dirham, sementara 1.00 Ringgit pula bersamaan dengan 2.20 Dirham. Bahasa Arab merupakan bahasa rasmi negara ini. Bahasa kedua yang utama di sini selepas Bahasa Arab ialah Bahasa Perancis. Ini kerana Morocco merupakan tanah jajahan Perancis sebelum ia mendapat kemerdekaannya pada tahun 1956. Boleh dikatakan hampir kesemua penduduk Morocco boleh berbahasa Perancis, terutamanya penduduk di bandar-bandar besar. Bahasa Perancis juga adalah bahasa utama yang digunakan dalam perdagangan, ekonomi, di sekolah-sekolah & di badan-badan kerajaan di negara ini. Papan tanda dalam dwibahasa, iaitu Bahasa Arab & Bahasa Perancis pun boleh didapati di mana-mana sahaja. Penggunaan Bahasa Inggeris teramatlah kurang.

Dialek Bahasa Arab yang dipertuturkan oleh penduduk-penduduk Morocco agak berbeza daripada negara-negara Arab yang lain kerana ia dicampur aduk dengan Bahasa Perancis. Aku menghadapi banyak juga masalah untuk berkomunikasi dengan mereka. Mujurlah aku mempunyai pengetahuan sedikit dalam Bahasa Perancis & Bahasa Arab. Selain kedua-dua bahasa tersebut, Bahasa Berber juga turut dipertuturkan oleh sebilangan penduduknya yang berbangsa Berber. Morocco mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan. Ketua negaranya adalah Raja & dibantu oleh Perdana Menteri. Raja yang memerintah di Morocco sekarang bernama Muhammad VI.

Morocco terletak di dalam zon waktu yang sama seperti United Kingdom & Ireland. Oleh itu, aku tidak perlu memperbetulkan jam tangan aku. Negara ini mempunyai struktur geografi yang pelbagai dari gunung-ganang sehinggalah ke padang pasir. Banjaran Atlas merentang dari bahagian barat daya ke timur laut negara ini. Hampir keseluruhan bahagian tenggaranya pula adalah Gurun Sahara, iaitu gurun yang terbesar di dunia yang merentasi beberapa buah negara di bahagian utara benua Afrika. Kawasan yang mendatar di Morocco mengalami iklim Mediterranean, sama seperti negara-negara Eropah seperti Sepanyol, Itali, Greece & sebagainya. Lebih kurang 66 peratus penduduk Morocco berbangsa Arab. Yang selebihnya pula adalah bangsa Berber, iaitu bangsa yang mula-mula sekali menghuni bumi Morocco, sebelum kedatangan orang-orang Arab yang menyebarkan Islam dari Semenanjung Arab pada kurun ke-7. 98 peratus daripada penduduk Morocco kini beragama Islam.


Keluarga bangsa Berber di Morocco

Menurut sejarah, bumi Morocco ini sudah menjadi penempatan manusia sejak tahun 8000 SM lagi. Kemudiannya, sekitar kurun pertama Masihi, iaitu ketika Empayar Rom sedang menikmati zaman kegemilangannya, tanah Morocco berada di bawah jajahan empayar tersebut. Selepas kejatuhan Empayar Rom pada kurun ke-5, bumi Morocco ini jatuh pula ke tangan orang-orang Vandal & Visigoth yang berasal dari bahagian utara benua Eropah yang bertanggungjawab meruntuhkan Empayar Rom. Tidak lama kemudian, orang-orang Vandal & Visigoth ini berjaya diusir setelah Empayar Rom Timur atau Byzantine yang berpusat di Constantinople & mengambil alih pemerintahan di sini.


Peta Empayar Rom sewaktu era kegemilangannya

Islam akhirnya tiba di bumi Morocco ini pada tahun 680, sewaktu usaha penyebaran Islam begitu giat dijalankan oleh penduduk-penduduk di tanah Arab yang pada waktu itu diketuai oleh Khalifah Bani Umayyah yang pertama iaitu Muawiyah bin Abu Sufyan. Jeneral Bani Umayyah yang bertanggungjawab membawa tentera-tenteranya menegakkan syiar Islam di bumi Morocco ini ialah Uqba ibn Nafi. Beliau adalah anak saudara kepada ‘Amr ibn al-‘As, sahabat rapat junjungan besar Rasulullah SAW yang merupakan komander tentera yang bertanggungjawab menawan & menyebarkan Islam di bumi Mesir 40 tahun sebelumnya. Uqba ibn Nafi ini adalah seorang jeneral yang tegas, cerdik & berani. Beliau dilantik menjadi komander tentera pada tahun 670.

Sejurus selepas perlantikan Uqba ibn Nafi, bermulalah usaha penyebaran Islam yang dilakukannya bersama tentera-tenteranya yang mulai bergerak dari Damsyik, ibu kota kerajaan Islam pada waktu itu hingga tiba di Libya, Algeria, Tunisia & akhirnya di Morocco pada tahun 680. Mereka lantas menggelarkan tanah-tanah jajahan Islam baru di bahagian barat laut Afrika ini dengan nama al-Maghreb yang bermaksud Barat Jauh. Menurut seorang sejarahwan Islam, sewaktu Uqba ibn Nafi pertama kali melihat Lautan Atlantik di persisiran pantai Morocco, beliau berkata, “Oh Tuhan. Jikalau tiada lautan yang menjadi penghalang, akan ku teruskan pergerakanku sehingga ke nafas terakhir seperti Iskandar Zulkarnain bagi menegakkan agama-Mu & menumpaskan golongan kafir”. Jikalau tidak ada Lautan Atlantik yang memisahkan benua Afrika & benua Amerika, sudah pasti Islam telah tiba di benua Amerika yang pada waktu itu dihuni oleh penduduk asli benua Amerika iaitu orang-orang bangsa Red Indian yang turut mempunyai tamadun-tamadun yang tersendiri seperti Inca, Aztec, Maya & sebagainya.

Dengan tertawannya tanah-tanah di rantau al-Maghreb ini, tersebarlah syiar Islam di bumi ini sehingga hampir kesemua penduduk asal di sini, iaitu orang-orang bangsa Berber memeluk agama syumul tersebut. Ini adalah satu kejayaan besar Islam yang sudah pastinya tidak boleh dilupakan. Uqba ibn Nafi ini juga turut digelar ‘Conquerer of Africa’ kerana kejayaannya itu.


Peta kerajaan Bani Umayyah

Selepas penerimaan Islam & pengaruh kebudayaan Arab di bumi Morocco, muncullah pula pelbagai kerajaan-kerajaan kecil di sini seperti Nekor, Barghawata & sebagainya yang kadangkalanya bermusuhan antara satu sama lain. Di bawah Idris ibn Abdullah yang menjadi pengasas Dinasti Idris, muncul satu kerajaan besar di sini yang diasaskan pada tahun 788 yang bebas daripada pengaruh empayar Bani Abbasiyah yang berpusat di Baghdad & juga empayar Bani Umayyah yang berpusat di Cordoba. Idris ibn Abdullah ini adalah cicit kepada Saidina Hassan, cucu Rasulullah SAW. Beliau melarikan diri dari Damsyik ke sini selepas terdapatnya satu usaha untuk membunuhnya di sana. Ibu kota kerajaan di bawah Dinasti Idris ini adalah kota Fes. Kerajaan ini kemudiannya menjadi pusat ilmu yang sangat masyhur & menjadi kuasa yang kuat di rantau barat Mediterranean.


Peta kerajaan Dinasti Idris

Pada kurun ke-11 selepas kemerosotan kerajaan di bawah Dinasti Idris yang merupakan orang-orang Arab, pengaruh orang-orang Arab di bumi Morocco semakin pudar. Ditambah lagi dengan kemunculan kerajaan-kerajaan dinasti dari bangsa Berber yang semakin hari semakin bertambah kuat. Antara dinasti-dinasti yang terpenting & terkuat ialah Almoravid, Almohad, Marinid & kemudiannya Saadi. Morocco mencapai zaman kegemilangannya di bawah dinasti-dinasti tersebut. Di bawah dinasti-dinasti tersebut, hampir seluruh kawasan di rantau barat laut Afrika & sebahagian daripada selatan Sepanyol atau turut dikenali dengan nama Andalusia berada di bawah jajahan kerajaan-kerajaan tersebut.


Peta kerajaan Dinasti Almoravid


Peta kerajaan Dinasti Almohad


Peta kerajaan Dinasti Marinid

Selepas kejatuhan Dinasti Saadi, orang-orang bangsa Arab kembali berpengaruh di bumi Morocco dengan pengasasan Dinasti Alaowiyah pada pertengahan kurun ke-17 & dinasti tersebut terus memerintah Morocco sehingga kini. Sekitar awal era pemerintahan Dinasti Alaowiyah, Morocco menghadapi ancaman daripada kerajaan Sepanyol & juga empayar Turki Uthmaniyah yang pada waktu itu sedang dalam usaha untuk meluaskan empayarnya hingga ke utara Afrika. Sewaktu pengisytiharan kemerdekaan Amerika Syarikat pada tahun 1776, kerajaan Dinasti Alaowiyah adalah yang pertama mengiktiraf kemerdekaan negara tersebut. Hubungan baik antara kedua-duanya sebenarnya sudah terjalin sejak Perang Kemerdekaan Amerika lagi. Hubungan baik antara Morocco & Amerika Syarikat masih lagi kekal sehingga ke hari ini.

Morocco pernah menjadi rebutan antara kuasa Eropah terutamanya Perancis, Portugis & Sepanyol kerana kekayaaannya. Walau bagaimanapun, hanya Perancis yang berjaya bertapak di sini, iaitu pada tahun 1904. Sepanyol hanya berjaya menawan ‘Sahara Barat’ sahaja, iaitu kawasan di selatan Morocco yang tidak mempunyai apa-apa sumber kekayaan. Selain Morocco, Perancis juga berjaya meluaskan empayarnya ke Algeria & Tunisia. Usaha untuk menuntut kemerdekaan daripada Perancis di Morocco bermula tidak lama kemudian, iaitu sewaktu tamatnya Perang Dunia Kedua. Pada tahun 1953, Sultan Morocco yang memerintah pada waktu itu, iaitu Muhammad V, dibuang negeri ke pulau Madagascar bersama keluarganya. Baginda digantikan dengan saudaranya, Muhammad bin Arafah yang menjadi sultan boneka Perancis. Peristiwa ini menyemarakkan lagi kemarahan rakyat Morocco terhadap kerajaan Perancis. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh mereka untuk meminta agar Sultan mereka dikembalikan semula.


Peta Empayar Perancis sewaktu zaman kolonialisma Barat

Akhirnya, kerajaan Perancis membawa pulang Sultan mereka itu & pada tahun 1956, perundingan telah diadakan antara Sultan dengan kerajaan Perancis bagi menuntut kemerdekaan Morocco. Pada tahun yang sama juga, Morocco telah berjaya mendapatkan kemerdekaan seperti yang diharapkan. Gelaran Sultan kemudian ditukar menjadi Raja & kekal sedemikian sehingga kini. Walaupun Morocco telah mencapai kemerdekaannya, kawasan ‘Sahara Barat’ di bahagian selatannya sehingga kini masih menjadi rebutan antara kerajaan Morocco & Sepanyol.


Peta Sahara Barat


Bendera Morocco

Hari 1: 4 DISEMBER 2007

Penerbangan Ryanair ke London akan bertolak pada pukul 6.00 petang nanti dari Lapangan Terbang Dublin. Aku terpaksa ke London kerana tiada penerbangan terus dari Dublin ke Morocco. Walaupun penat semalam masih belum hilang lagi, aku terpaksa gagahkan diri untuk ke Lapangan Terbang Dublin seawal pukul 3.00 petang. Selepas mendaftar masuk & sebagainya, aku pun menunggu masa untuk dipanggil masuk ke dalam pesawat. Tidak berapa lama kemudian, penumpang-penumpang pun dipanggil masuk & tidak lama kemudian, pesawat pun berlepas meninggalkan bumi Dublin menuju ke London. Penerbangan mengambil masa lebih kurang sejam lamanya. Lebih kurang pukul 7.00 malam, pesawat pun mendarat di Lapangan Terbang London Luton.

Memandangkan penerbangan aku ke Morocco adalah pada awal pagi esok, aku terpaksa bermalam di Lapangan Terbang London Luton. Walaupun dalam keadaan yang tidak selesa, aku dapat juga melelapkan mata buat beberapa jam.

Hari 2: 5 DISEMBER 2007

Penerbangan aku ke Marrakech, Morocco akan berlepas pada pukul 6.00 pagi ini. Selepas mencuci muka & sebagainya, aku pun terus mendaftar masuk seawal pukul 4.00 pagi. Selepas menunggu beberapa lama, penumpang-penumpang pun dijemput masuk ke dalam pesawat yang kemudiannya berlepas meninggalkan bumi London menuju ke Marrakech. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 3½ jam. Lebih kurang pukul 9.30 pagi, aku pun tiba di Lapangan Terbang Menara, Marrakech.

Setibanya aku di lapangan terbang tersebut, aku pun terus ke kaunter imigresen untuk menyelesaikan urusan passport & visa. Mujurlah tiada apa-apa masalah. Selepas itu, aku pun berjalan keluar untuk mencari pengangkutan awam untuk ke pusat bandar Marrakech. Malangnya, tiada kemudahan pengangkutan awam seperti bas untuk ke pusat bandar. Jikalau ada pun, aku mungkin kurang faham akan sistemnya. Lebih baik aku mengambil teksi. Aku pada waktu itu sebenarnya sudah pun dikerumuni oleh beberapa orang pemandu teksi yang ingin menawarkan perkhidmatan mereka. Aku bertanyakan harga. Harga yang ditawarkan agak mahal & tidak berpatutan bagi aku. Aku yang tidak pandai tawar-menawar ini pun terpaksa bersetuju dengan harga yang ditawarkan. Ditambah pula mereka ini kurang fasih berbahasa Inggeris. Susah untuk berkomunikasi. Aku mengikut salah seorang daripada pemandu-pemandu teksi ke teksinya. Lantas, aku memintanya menghantar aku ke stesen keretapi. Sewaktu berada di dalam teksinya, pemandu tersebut cuba untuk menjadi peramah & mengajak aku berbual-bual. Malangnya disebabkan ketidakfasihannya berbahasa Inggeris & penguasaan Bahasa Arab aku yang begitu lemah, kami saling tidak memahami. Hahaha. Akhirnya kami berdua senyap sahaja melayan diri masing-masing.

20 minit kemudian, kami pun tiba di stesen keretapi Marrakech. Aku terus mengeluarkan dompet aku untuk mengeluarkan wang Dirham yang aku sudah tukar sewaktu di lapangan terbang tadi. Aku tiada wang kecil. Oleh itu, aku terpaksa memberi wang besar. Pemandu teksi itu kemudiannya berkata yang dia juga tidak mempunyai wang kecil & meminta supaya aku menghalalkan baki wang yang dia hutang aku. Dalam hati aku menyumpah-nyumpah pemandu teksi itu. Apakan daya, aku hanya bersendirian. Tidak mampu berbuat apa-apa. Nak taknak, terpaksa juga aku halalkan. Mujurlah jumlahnya tidak banyak.

Di dalam stesen keretapi tersebut, aku menunjukkan jadual perjalanan keretapi mengelilingi Morocco yang telah aku rancang kepada penjual tiket di kaunter tiket. Aku telah merancang jadual perjalanan tersebut sewaktu di Dublin lagi dengan merujuk halaman web syarikat keretapi Morocco yang agak sistematik. Sengaja aku membeli kesemua tiket bagi perjalanan keretapi aku di Morocco agar aku tidak perlu lagi membeli tiket-tiket di stesen-stesen keretapi yang lain di Morocco. Memudahkan kerja aku & menjimatkan masa.

Aku akan bertolak ke Casablanca pada waktu malam nanti selepas mengelilingi kota Marrakech pada siang hari ini. Oleh itu, aku perlu mencari tempat untuk menyimpan beg sementara aku berjalan-jalan di sekitar kota ini. Takkanlah aku hendak mengusung beg aku mengelilingi kota Marrakech ini. Beg aku bukannya ringan.

Aku pada mulanya mencari-cari di mana tempat untuk menyimpan beg di dalam stesen keretapi tersebut, malangnya stesen keretapi tersebut tidak mempunyai kemudahan itu. Oleh itu, aku terpaksa mencari idea lain untuk menyimpan beg aku. Aku berjalan membawa beg aku yang berat itu menuju ke pusat bandar yang terletak agak jauh dari stesen keretapi. Lebih kurang 2 km jauhnya. Aku tidak mahu menaiki teksi kerana tidak ingin ditipu lagi. Cuaca yang panas menyebabkan aku menjadi seperti hendak pitam. Mujurlah ada restoran McDonald’s dalam perjalanan aku ke pusat bandar. Aku mengisi perut aku di situ dahulu sebelum meneruskan perjalanan. Kali ini aku boleh memilih apa sahaja memandangkan segala apa yang dijual di restoran tersebut adalah dijamin halal.

Selepas mengisi perut yang lapar, aku pun meneruskan perjalanan ke pusat bandar. Beberapa minit kemudian, aku pun tiba di pusat bandar. Aku tercari-cari jikalau ada tempat menyimpan beg bagi pelancong. Malangnya tidak ada. Aku kemudian secara tiba-tiba mendapat idea yang agak bernas. Aku mencari hostel yang harganya agak berpatutan. Di hostel tersebut, aku memberitahu pemiliknya yang aku ingin menempah sebuah bilik di hostel tersebut untuk minggu hadapan, hari terakhir aku di Morocco, sebelum aku pulang ke Dublin. Pemilik hostel itu memberitahu aku yang itu semua boleh diuruskan. Kemudian, aku meminta jasa baiknya supaya aku dapat menumpangkan beg aku di hostelnya buat sementara waktu pada hari ini. Mujurlah pemilik hostel itu tidak teragak-agak membenarkan aku menumpangkan beg aku di situ. Lega rasanya. Selepas mengucapkan terima kasih kepadanya, aku pun terus memulakan ekspedisi pengembaraan di kota Marrakech ini.

Marrakech atau turut dikenali dengan nama ‘Red City’ adalah antara bandar-bandar yang terpenting di Morocco & pernah menjadi pusat pentadbiran kerajaan di sini. Dengan jumlah penduduk seramai 1,036,000 orang, ianya adalah bandar ke-3 terbesar di negara ini selepas Casablanca & Rabat. Marrakech juga adalah bandar yang paling utama di bahagian barat daya negara ini & ianya terletak di kaki pergunungan Atlas yang sentiasa diselaputi salji. Dari jauh, pemandangan bandar Marrakech ini sangatlah menakjubkan, dengan berlatar belakangkan banjaran Atlas.


Peta kedudukan Marrakech di dalam Morocco


Banjaran Atlas berhampiran Marrakech, Morocco

Seperti yang telah disebut, Marrakech pernah menjadi pusat pentadbiran kerajaan. Sultan dari Dinasti Almoravid yang bernama Abu Bakar ibn Umar adalah orang yang bertanggung jawab memindahkan pusat pentadbiran kerajaan tersebut dari Aghmat ke Marrakech pada kurun ke-11. Antara sebab utama perpindahan pusat pentadbiran adalah kerana kesesakan penduduk yang agak melampau di Aghmat. Kerja-kerja pembinaan bangunan-bangunan kerajaan bermula pada tahun 1070 & berakhir sewaktu pemerintahan sultan Dinasti Almoravid yang baru, iaitu Yusuf ibn Tashfin.

Marrakech melalui waktu kegemilangannya pada awal kurun ke-12 sewaktu pemerintahan sultan dari Dinasti Almohad yang bernama Yakub al-Mansor. Ramai sasterawan & ilmuwan telah berhijrah ke sini sewaktu pemerintahannya. Ia juga pernah penjadi tempat yang terkenal dengan kegiatan ahli-ahli sufi sewaktu sultan dari Dinasti Alaowiyah yang bernama Moulay Ismail ibn Sharif memerintah sekitar akhir kurun ke-17. Terdapat satu festival yang dirayakan di sini, iaitu ‘Tujuh Ulamak’ yang diasaskan oleh ahli sufi terkenal yang bernama Abu Ali al-Hassan al-Yusi atas kehendak sultan.

Tempat pertama di Marrakech yang aku singgahi ialah Koutoubia Mosque, masjid yang terbesar di kota ini. Bangunan masjid ini beserta menaza azannya mulai dibina sewaktu pemerintahan sultan Dinasti Almohad yang pertama iaitu Abdul Mukmin sempena kejayaannya menamatkan riwayat pemerintahan Dinasti Almoravid. Masjid ini hanya siap dibina sepenuhnya pada awal kurun ke-12 sewaktu di bawah pemerintahan cucunya, Yakub al-Mansor, iaitu sultan yang memerintah sewaktu kerajaan ini melalui zaman kegemilangannya sebagai pusat ahli-ahli ilmuwan & sasterawan. Struktur menara azan masjid setinggi 69 meter ini adalah bangunan yang tertinggi di kota Marrakech & boleh dilihat dari jarak berbelas-belas kilometer. Ianya pernah dijadikan model untuk pembinaan menara Giralda di Seville, Sepanyol & juga Hassan Tower di Rabat. Masjid ini adalah antara senibina Almohad yang termasyhur di bumi Morocco.

Sewaktu aku berjalan mengelilingi masjid usang yang mempunyai senibina yang begitu mengagumkan ini, aku didatangi oleh seorang lelaki remaja yang menawarkan dirinya untuk menceritakan tentang sejarah masjid ini. Aku pun mendengar dia bercerita, sambil kami berdua berjalan-jalan menawafi masjid ini. Agak lama juga dia bercerita. Lebih kurang 20 minit lamanya. Setelah habis sahaja bercerita, secara tiba-tiba dia meminta aku membayar wang kepadanya. Aku terkejut & tidak tahu hendak berkata apa. Aku ingatkan dia secara sukarela ingin membantu aku, rupa-rupanya ada udang di sebalik batu. Aku lantas menyeluk saku aku & memberikan beberapa keping syiling yang ada. Namun, lelaki belasan tahun itu tidak berpuas hati & meminta lebih lagi. Aku memarahinya kembali & mengatakan yang aku tidak mempunyai wang yang banyak. Kemudian, aku berjalan cepat-cepat meninggalkannya yang masih tidak berpuas hati & dalam keadaan marah itu. Aku tidak berani menoleh ke belakang. Aku terus beredar dari kawasan masjid itu.


Koutoubia Mosque, Marrakech, Morocco


Koutoubia Mosque, Marrakech, Morocco


Koutoubia Mosque, Marrakech, Morocco


Ruang dalaman Koutoubia Mosque, Marrakech, Morocco

Setelah aku pasti yang lelaki itu tidak mengekori aku, aku pun terus melangkah ke destinasi seterusnya, iaitu Bab Agnaou, salah satu daripada 9 pintu gerbang yang terdapat di Marrakech. Struktur yang menyerupai kasut kuda ini dibina sekitar kurun ke-12 sewaktu di bawah kerajaan Dinasti Almohad. Namanya, Agnaou dalam Bahasa Berber merujuk kepada bangsa kulit hitam. Terdapat ukiran ayat-ayat suci al-Quran pada dinding pintu gerbang ini yang diukir menggunakan kesenian kaligrafi Kufic yang digunakan di Morocco & juga di Andalusia. Bab Agnaou ini adalah pintu masuk untuk ke Kasbah yang merupakan kota lama.


Bab Agnaou, Marrakech, Morocco

Selepas bergambar di hadapan Bab Agnaou, aku pun masuk ke dalam Kasbah. Ianya adalah kota lama yang dibina sewaktu pemerintahan kerajaan Dinasti Almohad. Terdapat banyak senibina Almohad di dalam kota lama ini. Senibina pertama yang aku kunjungi ialah Kasbah Mosque. Masjid ini dibina pada awal kurun ke-12 sewaktu pemerintahan Yakub al-Mansur. Senibinanya agak serupa dengan Koutoubia Mosque, tetapi saiznya agak kecil sedikit. Penambahan yang dibuat pada masjid ini sekitar abad ke-16 & ke-17 sedikit sebanyak telah mencacatkan senibina asal masjid ini. Walau bagaimanapun, bagi aku ianya tetap kelihatan menawan.


Kasbah, Marrakech, Morocco


Kasbah Mosque, Marrakech, Morocco

Selepas puas meneliti keindahan Kasbah Mosque, aku meneruskan perjalanan ke Saadian Tombs, sebuah kawasan yang memuatkan makam-makam 60 ahli keluarga Dinasti Saadi yang pernah memerintah Morocco dari tahun 1554 hingga tahun 1659. Dinasti Saadi ini percaya bahawa mereka adalah daripada keturunan Rasulullah SAW. Kesahihannya hanya Allah sahaja yang tahu. Sultan daripada Dinasti Saadi yang termasyhur adalah Ahmad al-Mansur, yang berjaya menghalau Portugis dari Morocco & juga mempertahankan Morocco daripada ditakluki Empayar Turki Uthmaniyah. Kawasan makam-makam ini sebenarnya tersembunyi & terbiar selama hampir 200 tahun & hanya ditemui pada tahun 1917. Keindahan senibina yang terdapat di sini menjadikan kawasan ini sebagai salah satu kawasan tarikan pelancong di bumi Marrakech. Untuk melawat makam-makam ini, pelancong dikenakan bayaran yang agak murah.


Saadian Tombs, Marrakech, Morocco


Saadian Tombs, Marrakech, Morocco


Saadian Tombs, Marrakech, Morocco


Saadian Tombs, Marrakech, Morocco


Saadian Tombs, Marrakech, Morocco


Saadian Tombs, Marrakech, Morocco

Setelah puas menikmati kecantikan senibina Saadi di Saadian Tombs, aku berjalan pula ke sebuah lagi tarikan yang ada di kawasan Kasbah, iaitu Al-Badi Palace. Ianya adalah kesan tinggalan istana kerajaan Dinasti Saadi yang dibina sewaktu pemerintahan Ahmad al-Mansur sekitar tahun 1570-an. Kawasan istana yang luas ini mempunyai 360 buah bilik & mengambil masa selama 25 tahun untuk disiapkan sepenuhnya. Ia merupakan antara senibina Islam yang termasyhur pada waktu itu. Senibina istana ini dikatakan dipengaruhi oleh senibina Alhambra di Granada, Sepanyol. Sayangnya, selepas tamatnya era pemerintahan Dinasti Saadi, bangunan-bangunan yang terdapat di dalam kawasan istana ini diruntuhkan oleh pemerintah pertama Dinasti Alaowiyah, iaitu Moulay Ismail ibn Sharif & batu-batu hasil runtuhan itu digunakan untuk membina istana barunya di Meknes.


Kasbah, Marrakech, Morocco


Kasbah, Marrakech, Morocco


Al-Badi Palace, Marrakech, Morocco


Al-Badi Palace, Marrakech, Morocco


Al-Badi Palace, Marrakech, Morocco


Al-Badi Palace, Marrakech, Morocco


Pemandangan kota Marrakech dari Al-Badi Palace, Marrakech, Morocco

Destinasi aku yang seterusnya ialah sebuah lagi istana lama yang terdapat di Marrakech, iaitu Bahia Palace. Istana ini dibina pada kurun ke-19 & dibina bertujuan untuk menjadi istana yang teragung pada waktu itu. Senibina istana ini merupakan campuran senibina Islam beserta senibina Morocco. Terdapat taman-taman bunga yang cantik di dalam kawasan istana ini. Kompleks istana ini terbahagi kepada 2 bahagian yang dibina oleh 2 orang yang berlainan & pada waktu yang berlainan. Kedua-duanya adalah pembantu Sultan, iaitu Si Musa & Ba Ahmad.


Bahia Palace, Marrakech, Morocco


Bahia Palace, Marrakech, Morocco


Bahia Palace, Marrakech, Morocco


Bahia Palace, Marrakech, Morocco


Bahia Palace, Marrakech, Morocco


Bahia Palace, Marrakech, Morocco

Bahia Palace adalah tempat terakhir yang aku jejaki di kota Marrakech. Sebenarnya terdapat banyak lagi tempat yang perlu dilawati. Aku akan ke tempat-tempat tersebut pada hari terakhir aku di Morocco nanti, sebelum pulang ke Dublin. Pada pukul 7.00 malam ini, aku akan menaiki keretapi untuk ke Casablanca. Oleh itu, selepas selesai sahaja aku melawat Bahia Palace, aku terus ke hostel di mana aku menyimpan beg galas aku. Aku kemudian mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada pemilik hostel itu kerana sudi membenarkan aku menyimpan beg aku di situ. Aku berjanji aku akan kembali ke hostelnya minggu hadapan. Selepas mengambil beg, aku terus menuju ke stesen keretapi dengan berjalan kaki sejauh 2 km. Aku serik menaiki teksi di sini.

Sesampainya aku di stesen keretapi, aku pun menunggu di dalam bangunan stesen tersebut. 10 minit sebelum keretapi bergerak, aku pun terus bergegas masuk ke dalamnya. Tidak lama kemudian, ianya pun bergerak meninggalkan Marrakech. Perjalanan ke Casablanca mengambil masa selama 3 jam 10 minit. Aku duduk di dalam satu kabin bersama-sama dengan 2 orang lelaki Morocco. Mereka mempelawa aku makan bersama mereka, tetapi aku menolak & mengatakan bahawa aku sudah kenyang. Mereka mengatakan mempelawa orang yang tidak dikenali untuk makan sekali adalah antara adat resam mereka. Aku berasa agak kagum. Lain sekali dengan di Malaysia mahupun di Ireland. Kami bertiga kemudian berbual panjang. Mereka boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan agak baik. Salah seorang daripada mereka adalah seorang doktor. Rancak kami berbual.

Lebih kurang pukul 10.10 malam, aku pun tiba di Casablanca. Setibanya aku di stesen keretapi Casablanca, aku mengucapkan selamat tinggal kepada mereka berdua. Mereka tidak turun sekali kerana mereka akan turun di destinasi yang seterusnya. Selepas turun daripada keretapi, aku terus mencari teksi untuk membawa aku ke hostel yang sudah pun aku rujuk di dalam buku panduan aku. Aku terpaksa menggunakan khidmat teksi kerana kedudukan stesen keretapi ini yang agak jauh daripada pusat bandar. Bayaran yang dikenakan agak berpatutan. Mujurlah. Setibanya aku di hostel yang aku berkenan, aku pun terus mendaftar masuk. Selepas mandi & menunaikan solat, aku pun terus melelapkan mata sementara menanti hari esok.

Hari 3: 6 DISEMBER 2007

Selepas mandi & bersiap-siap, aku pun keluar untuk menimba pengalaman baru di bandar kedua di Morocco yang aku jejaki, iaitu Casablanca. Bandar Casablanca terletak di pinggir Lautan Atlantik. Ianya adalah bandar yang terbesar di Morocco. Ia juga merupakan bandar yang terbesar di rantau al-Maghreb & juga bandar ke-6 terbesar di benua Afrika. Penduduknya berjumlah 3,600,000 orang. Casablanca memainkan peranan sebagai tulang belakang kepada ekonomi Morocco kerana di sinilah segala kegiatan urus niaga & perindustrian tertumpu. Ia juga adalah pelabuhan utama negara ini & merupakan pelabuhan yang terbesar di Afrika Utara.


Peta kedudukan Casablanca di dalam Morocco

Casablanca mempunyai iklim Mediterranean beserta subtropika. Iklimnya juga banyak dipengaruhi oleh arus sejuk Lautan Atlantik yang menyebabkan suhunya pada Musim Panas & Musim Sejuk tidak terlampau ekstrim. Pada Musim Sejuk, purata suhunya ialah 12 darjah celcius. Pada Musim Panas pula, purata suhunya pula ialah 23 darjah celcius.

Menurut sejarah, kawasan Casablanca ini telah mula diduduki oleh orang-orang bangsa Berber sejak kurun ke-7 lagi. Nama asalnya adalah Anfa & sebuah kerajaan yang bebas telah wujud di sini. Kemudiannya, pada awal kurun ke-11, ianya berada di bawah pemerintahan kerajaan Dinasti Almoravid. Seterusnya, Casablanca jatuh pula ke bawah jajahan kerajaan Dinasti Merinid mulai kurun ke-14 & mula menjadi pelabuhan yang penting pada waktu itu. Selepas itu, pada kurun ke-15, bandar ini sekali lagi bebas daripada mana-mana kerajaan & merupakan bandar pelabuhan yang termasyhur di sekitar rantau tersebut. Kemasyhurannya ini menyebabkan kedatangan Portugis untuk menawannya pada tahun 1468. Portugis telah menghancurkan bandar ini pada tahun tersebut & sisa-sisa kehancuran bandar ini kemudiannya digunakan untuk membina kubu ketenteraan di sini pada tahun 1515. Namanya kemudian ditukar menjadi ‘Casa Branca’ yang bermaksud rumah putih dalam Bahasa Portugis.

Dari tahun 1580 hingga 1640, Casa Branca jatuh pula ke tangan Sepanyol. Namanya ditukar menjadi Casablanca & namanya kekal begitu sehingga ke hari ini. Pada tahun 1640, Casablanca sekali lagi menjadi tanah jajahan Portugis. Dan akhirnya, pada tahun 1755, kedua-dua kuasa penjajah tersebut meninggalkan bumi Casablanca ini akibat kejadian gempa bumi dahsyat yang berlaku pada tahun tersebut yang mengakibatkan kerosakan teruk di seluruh bandar ini. Bandar Casablanca ini kemudiannya dibina semula selepas kejadian gempa bumi itu oleh Sultan Morocco yang bernama Muhammad ibn Abdullah yang memerintah sekitar akhir kurun ke-18. Dia adalah anak kepada Moulay Ismail ibn Sharif & merupakan sekutu kuat Presiden Amerika Syarikat pada waktu itu, iaitu George Washington. Mulai kurun ke-19, populasi penduduk di Casablanca semakin bertambah & fungsinya sebagai kawasan perdagangan & perindustrian semakin meningkat. Pada tahun 1910, Casablanca secara rasmi jatuh pula ke tangan Perancis.

Sewaktu Perang Dunia Kedua, Casablanca turut merasai serpihan daripada perang tersebut. Sebuah filem romantik tahun 1942 yang bertajuk ‘Casablanca’ menceritakan tentang suasana politik di Casablanca sewaktu permulaan Perang Dunia Kedua selain daripada isu percintaan. Filem yang amat popular ini telah memenangi 3 kategori termasuk Filem Terbaik dalam anugerah Academy Awards. Selepas Perang Dunia Kedua, bandar Casablanca ini kemudiannya menjadi medan utama rusuhan anti-Perancis di Morocco. Satu kejadian pengeboman telah berlaku di sini sewaktu perayaan Krismas pada tahun 1953 yang telah menyebabkan banyak kecederaan & kematian. Pada tahun 1956, Casablanca akhirnya bebas daripada jajahan Perancis & berada di bawah pentadbiran kerajaan Morocco yang turut merdeka pada tahun itu.


Filem Casablanca

Beberapa kejadian pengeboman berani mati telah berlaku di Casablanca pada bulan Mei 2003 yang menyebabkan 33 orang awam terkorban & lebih daripada 100 orang cedera parah. Kejadian ini dikatakan mempunyai hubung kait dengan pergerakan Al-Qaeda. Wallahu ‘alam. Beberapa kejadian pengeboman sekali lagi berlaku pada awal tahun 2007. Salah satunya berlaku di sebuah kafe internet pada bulan Mac tahun tersebut. Pada bulan April tahun yang sama, berlaku lagi kejadian pengeboman berdekatan dengan kedutaan Amerika Syarikat yang menyebabkan bangunan kedutaan tersebut terpaksa ditutup untuk sebulan. Mujurlah tiada apa-apa kejadian buruk berlaku sewaktu aku di sana. Alhamdulillah.

Tempat pertama di Casablanca yang aku kunjungi ialah Place des Nations Unies, sebuah kawasan di tengah-tengah bandar Casablanca yang sibuk dengan kenderaan & dikelilingi oleh bangunan-bangunan yang mempunyai banyak signifikasi & sejarah. Pada awal kurun ke-20, kawasan ini hanyalah merupakan sebuah dataran yang menjadi tempat tumpuan penglipurlara & pemain ular. Kawasan ini mulai dibangunkan oleh Perancis pada tahun 1920 & dinamakan Place de France sebelum ditukar menjadi Place des Nations Unies. Di sekeliling kawasan ini terdapat banyak kedai-kedai cenderamata, restoran & juga hotel-hotel ternama. Antara hotel yang terdapat di sini ialah Hyatt Regency Hotel yang menjadi lokasi penggambaran filem Casablanca. Di bahagian timur laut kawasan ini terdapat sebuah menara jam yang mempunyai senibina yang agak menarik. Ia pada mulanya dibina pada tahun 1920. Namun, ia kemudian dirobohkan pada tahun 1940 & selepas itu, ianya dibina semula dengan berpandukan senibina asal. Menara jam ini adalah simbol penjajahan Perancis di kota ini.


Place des Nations Unies, Casablanca, Morocco


Menara jam di Place des Nations Unies, Casablanca, Morocco

Selepas bergambar di kawasan Place des Nations Unies, aku mengatur langkah pula ke Place Muhammad V, sebuah dataran yang turut dikelilingi oleh bangunan-bangunan yang mempunyai siknifikasi & sejarah. Kawasan ini adalah kawasan pusat pentadbiran bandar Casablanca. Bangunan-bangunan di sekelilingya mempunyai percampuran senibina Perancis & Morocco. Antara bangunan-bangunan penting yang terdapat di sekeliling Place Muhammad V ini ialah Prefecture, Palais de Justice, Consulate de France, Post Office & juga air pancut. Prefecture yang mempunyai sebuah menara setinggi 50 m ini siap dibina pada tahun 1937. Kompleks bangunan ini mempunyai 3 buah taman tropika kecil di tengah-tengahnya. Palais de Justice pula adalah bangunan mahkamah yang siap dibina pada tahun 1922. Senibinanya begitu unik sekali. Bertentangan dengan Palais de Justice terdapat sebuah air pancut yang kawasan di sekitarnya dipenuhi oleh burung-burung merpati.


Place Muhammad V, Casablanca, Morocco


Place Muhammad V, Casablanca, Morocco


Prefecture di Place Muhammad V, Casablanca, Morocco


Palais de Justice di Place Muhammad V, Casablanca, Morocco


Palais de Justice di Place Muhammad V, Casablanca, Morocco


Air pancut di Place Muhammad V, Casablanca, Morocco

Selepas puas bergambar di sekitar Place Muhammad V, aku meneruskan perjalanan ke Old Medina pula yang merupakan kota lama di bandar Casablanca yang dipenuhi dengan kedai-kedai yang menjual beraneka jenis barangan & juga rumah-rumah lama. Sewaktu permulaan abad ke-20, kawasan ini merupakan tumpuan utama penduduk di bandar ini. Ianya dikelilingi oleh tembok besar yang mempunyai 4 pintu masuk. Hanya 2 sahaja yang kekal sehingga ke hari ini, iaitu Bab Marrakech & Bab al-Jadid. Di bahagian luar tembok ini terdapat juga sederetan gerai-gerai yang menjual bermacam-macam jenis barang.

Aku masuk ke dalam Old Medina ini untuk merasai suasana di dalamnya yang sibuk dengan kegiatan menjual beli barang. Gaya aku sebagai seorang pelancong menarik perhatian ramai orang termasuk mereka yang menawarkan diri untuk menjadi pemandu pelancong untuk membawa aku menyusuri kawasan Old Medina yang luas ini. Kawasan ini sememangnya amat luas & sesiapa sahaja yang tidak mempunyai peta mudah sesat di dalamnya. Mujurlah aku mempunyai peta yang terkandung di dalam buku panduan aku. Oleh itu, aku menolak segala bantuan yang ditawarkan kepada aku kerana aku yakin mereka akhirnya akan meminta wang sebagai balasan. Aku tidak akan terpedaya lagi.


Old Medina, Casablanca, Morocco


Old Medina, Casablanca, Morocco

Dengan menggunakan peta di dalam buku panduan, aku berjaya menyusuri Old Medina yang sibuk & luas itu & aku akhirnya tiba di kawasan pelabuhan. Seperti yang telah diperkatakan, pelabuhan Casablanca ini adalah antara pelabuhan yang terbesar di dunia. Walau bagaimanapun, ia bukanlah pelabuhan semulajadi, tetapi sebuah pelabuhan buatan. Keluasannya menjangkau 1.8 km persegi.


Pelabuhan Casablanca, Morocco

Aku hanya melalui bahagian tepi kawasan pelabuhan tersebut untuk menuju ke destinasi aku yang seterusnya, iaitu Hassan II Mosque. Masjid yang terletak di pinggiran Lautan Atlantik ini adalah masjid yang terbesar di Morocco & ketiga terbesar di dunia selepas Masjidil Haram di Mekah & Masjid Nabawi di Madinah. Menara azannya adalah menara azan yang tertinggi di dunia, dengan ketinggian 210 meter. Senibina masjid yang berunsurkan senibina Morocco ini direka oleh seorang arkitek dari Perancis yang bernama Michel Pinseau. Usaha pembinaannya juga turut dilakukan oleh syarikat pembinaan dari Perancis yang bernama Bouygues.

Masjid yang boleh memuatkan seramai 25,000 jemaah ini mula dibina pada tahun 1986 & siap sepenuhnya pada tahun 1993. Ianya dibina di atas tapak bahagian laut yang ditambak & separuh daripada keluasan masjid ini berada di atas air Lautan Atlantik. Ianya dibina sebegitu atas kehendak Raja Morocco sendiri, iaitu Hassan II yang mengatakan baginda mahu membina masjid tersebut di atas air kerana terdapat satu petikan ayat di dalam Al-Quran yang menyebut bahawa ‘singgahsana Allah terletak di atas air’. Aku sendiri tidak pasti dari surah mana ayat tersebut dipetik. Walau apapun, keindahan senibina masjid ini membuatkan aku kaku seketika. Ianya adalah antara masjid yang paling cantik yang pernah aku kunjungi seumur hidup aku. Subhanallah. Senibina Morocco sememangnya antara senibina Islam yang sangat mengagumkan. Kecantikan senibinanya mengingatkan aku kepada kecantikan senibina Alhambra di Sepanyol yang turut berunsurkan senibina Morocco. Hassan II Mosque ini adalah satu daripada 2 buah masjid di Morocco di mana orang-orang bukan Islam dibenarkan masuk ke dalamnya. Sebuah lagi masjid terletak di sebuah bandar yang bernama Tin Mal.


Sampah sarap yang mencemarkan pemandangan Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco (Masjid ke-3 terbesar di dunia)


Menara azan Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco (Menara azan tertinggi di dunia)


Perkarangan Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Perkarangan Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Perkarangan Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Perkarangan Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Perkarangan Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Hassan II Mosque di pinggiran Lautan Atlantik, Casablanca, Morocco


Perkarangan Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Ruang dalaman Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Ruang dalaman Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Ruang dalaman Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Ruang dalaman Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Ruang dalaman Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Ruang dalaman Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Ruang dalaman Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Ruang dalaman Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco

Selepas menunaikan solat Zuhur & bergambar di dalam & di kawasan luar Hassan II Mosque, aku berjalan kembali ke hostel aku. Sebelum sampai di hostel, aku singgah di restoran Kentucky Fried Chicken untuk makan petang. Lapar pula rasanya. Setelah itu, aku pun mengatur langkah menuju ke hostel untuk mengemas barang-barang aku. Pada malam ini, aku akan ke destinasi ketiga aku di Morocco, iaitu Rabat.

Setelah selesai berkemas & sebagainya, aku pun meninggalkan hostel yang aku tumpang untuk semalam itu. Aku terus mencari teksi untuk ke stesen keretapi yang terletak agak jauh dari pusat bandar. Setibanya aku di stesen keretapi, aku berehat-rehat dahulu sementara menunggu ketibaan keretapi. Keretapi yang dijangka akan tiba pada pukul 8.00 malam sampai tepat pada waktunya. Aku pun terus masuk ke dalamnya & beberapa minit kemudian, ianya pun bergerak meninggalkan Casablanca. Perjalanan ke Rabat mengambil masa sejam sahaja. Jarak antara Casablanca & Rabat tidaklah sejauh mana.

Lebih kurang pukul 9.00 malam, aku pun tiba di stesen keretapi Rabat Ville. Sesampainya aku di stesen tersebut, aku terus keluar mencari hostel yang telah pun aku rujuk di dalam buku panduan aku. Lokasinya terletak amat berdekatan dengan stesen keretapi tersebut. Aku hanya mengambil masa 5 minit sahaja untuk ke hostel itu. Mujurlah terdapat kekosongan. Selepas mendaftar masuk, aku pun terus masuk ke dalam bilik aku untuk berehat-rehat & bersolat. Selepas selesai menunaikan solat, aku keluar untuk menikmati angin malam di Rabat. Aku tidak berjalan sejauh mana. Hanya kawasan di hadapan hostel tersebut sahaja. Lagipun, malam sudah pun larut.

Sedang aku duduk di atas sebuah kerusi di hadapan hostel, tiba-tiba datang seorang lelaki berusia 20-an ingin berbual dengan aku. Dia bertutur dalam Bahasa Arab pada mulanya. Aku kemudiannya pun mengatakan yang aku tidak fasih berbahasa Arab. Kemudian, dia bertanya sama ada aku boleh berbahasa Perancis. Aku sekali lagi terpaksa mengecewakannya. Huhuhu. Sedih pula rasanya. Orang-orang Morocco ini sebenarnya peramah, tetapi malangnya ramai antara mereka tidak boleh berbahasa Inggeris & aku pula tidak tahu berbahasa Arab ataupun Perancis. Pemuda itu kemudiannya hanya diam sahaja. Aku pula yang berasa kekok. Lalu, aku pun terus meminta diri untuk kembali ke hostel. Setibanya di hostel, aku pun terus melelapkan mata.

Hari 4: 7 DISEMBER 2007

Selepas selesai mandi & bersiap-siap, aku pun keluar untuk memulakan pengembaraan aku di kota Rabat. Rabat yang mempunyai jumlah penduduk seramai 1,700,000 orang ini adalah ibu negara Morocco & merupakan bandar kedua terbesar di negara ini selepas Casablanca. Ianya terletak di muara Sungai Bou Regreg yang mengalir ke Lautan Atlantik. Kedudukannya di pinggiran Lautan Atlantik seperti Casablanca menyebabkan iklimnya turut sama seperti Casablanca.


Peta kedudukan Rabat di dalam Morocco

Sejarah Rabat bermula dengan pembukaannya pada kurun ke-3 SM. Namanya pada waktu itu ialah Chellah. Pada tahun 40, penempatan di Chellah ini ditawan oleh Empayar Rom & kemudiannya menjadi kawasan penempatan orang-orang Rom & diberi nama baru iaitu Sala Colonia. Orang-orang Rom hanya menetap di sini sehingga tahun 250 sahaja, di mana kemudiannya kota ini ditinggalkan untuk ditadbir oleh orang-orang tempatan. Pada tahun 1146 sewaktu berada di bawah kerajaan Dinasti Almohad yang pada waktu itu diperintah oleh Abdul Mukmin, kota ini dijadikan kota pertahanan untuk berlindung daripada serangan Sepanyol. Nama ‘Rabat’ mulai digunakan pada tahun 1170 selepas kejayaan kota ini sebagai kota pertahanan yang kuat. Rabat kemudiannya dijadikan ibu kota kepada kerajaan Dinasti Almohad sewaktu di bawah pemerintahan Yakub al-Mansur. Baginda kemudiannya membina kubu pertahanan di sekeliling kota ini yang diberi nama Kasbah of the Udayas.

Selepas kemangkatan Yakub al-Mansur, kerajaan Dinasti Almohad menjadi semakin lemah. Kebanyakan tanah jajahannya di Sepanyol & Afrika terlepas ke tangan pihak musuh sehinggalah ke hari kehancuran Dinasti tersebut. Pada kurun ke-13, Rabat semakin hilang kepentingannya & pada waktu yang sama, bandar Fes menjadi semakin berpengaruh. Pada tahun 1627, sebuah kerajaan baru yang menyatukan Rabat & Sale dibentuk & diberi nama Republik of Bour Regreg. Republik ini ditadbir oleh para lanun yang menggunakan kedua-dua bandar ini sebagai tempat untuk menyerang & merompak kapal-kapal yang lalu-lalang. Pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan Dinasti Alaowiyah pada waktu itu untuk menghentikan kegiatan lanun-lanun tersebut. Bantuan dari Eropah juga diminta, namun republik itu hanya berjaya dilenyapkan pada tahun 1818. Walaupun Republic of Bour Regreg ini telah lenyap, namun kegiatan lanun masih lagi berleluasa pada waktu itu sehinggalah ianya berjaya diselesaikan beberapa tahun kemudian.

Sewaktu Morocco jatuh ke tangan Perancis secara rasminya pada tahun 1912, ibu kota Morocco pada waktu itu ialah Fes. Selepas kedatangan Perancis, Rabat dijadikan sebagai ibu kota baru, menggantikan Fes kerana ketidakstabilan Fes yang sering berlakunya rusuhan. Sultan yang memerintah pada waktu itu, iaitu Moulay Yusuf ibn Hassan terpaksa juga berpindah ke Rabat mengikut arahan Perancis. Selepas Morocco mendapat kemerdekaannya daripada Perancis pada tahun 1956, Sultan yang memerintah pada waktu itu, iaitu Muhammad V mengambil keputusan untuk mengekalkan Rabat sebagai ibu kota kerajaan Morocco.

Tempat pertama di Rabat yang aku jejaki ialah jalan di mana letaknya hostel yang aku duduki iaitu Avenue Muhammad V. Jalan ini adalah antara jalan-jalan yang utama & terpenting di kota Rabat. Jalan ini menyusur dari kawasan medina hingga ke Sunna Mosque. Pohon-pohon palma yang ditanam di tengah-tengah jalan ini membuatkannya kelihatan cantik. Bangunan-bangunan yang terdapat di sepanjang Avenue Muhammad V ini juga menarik senibinanya. Antara bangunan-bangunan yang terdapat di sepanjang jalan ini adalah seperti Bank of Morocco, pejabat pos, bangunan parlimen & juga stesen keretapi.


Avenue Muhammad V, Rabat, Morocco

Selepas bergambar di Avenue Muhammad V, aku berjalan pula menuju ke Bab Ar-Rouah. Ianya adalah pintu gerbang kubu pertahanan yang dibina sewaktu era kerajaan Dinasti Almohad. Senibinanya kelihatan seakan-akan kasut kuda. Ianya juga dihiasi dengan ukiran kaligrafi Kufic. Di dalam Bab Ar-Rouah ini terdapat beberapa buah bilik yang pada masa kini dijadikan muzium pameran.


Berhampiran Bab Ar-Rouah, Rabat, Morocco


Berhampiran Bab Ar-Rouah, Rabat, Morocco


Bab Ar-Rouah, Rabat, Morocco


Bab Ar-Rouah, Rabat, Morocco

Seterusnya, aku berjalan menuju ke Sunna Mosque. Dalam perjalanan ke sana, aku melalui tepi istana raja atau di dalam Bahasa Arabnya dipanggil Darul Makhzan. Kompleks istana ini siap dibina sepenuhnya pada tahun 1864 & pada masa kini terdapat 2,000 orang bekerja di dalamnya. Di dalam kompleks ini terdapat pejabat-pejabat kerajaan, mahkamah agung & pejabat Perdana Menteri. Ia juga merupakan kediaman utama Raja Morocco. Akan tetapi, orang-orang awam & para pelancong tidak dibenarkan mengambil gambar kompleks istana ini walaupun dari kawasan luar. Terdapat beberapa orang pengawal yang mengawal di bahagian luar kompleks ini.


Pintu masuk Darul Makhzan, Rabat, Morocco(curi-curi ambil)

Selepas melihat-lihat kompleks istana Darul Makhzan dari luar, aku pun meneruskan perjalanan aku ke Sunna Mosque yang terletak tidak jauh dari situ. Masjid ini dibina pada kurun ke-18 oleh sultan yang memerintah pada waktu itu, iaitu Sidi Muhammad ibn Abdullah. Ianya adalah salah sebuah masjid yang terpenting di kota Rabat. Selepas bergambar di hadapan Sunna Mosque, aku meneruskan langkah ke Andalusian Wall, tembok pertahanan yang agak panjang jaraknya, iaitu sejauh 1,500 meter, dari Bab Ahad hinggalah ke Small Fort of Sidi Makhlouf. Tembok ini dibina oleh pelarian-pelarian Islam dari Andalusia selepas mereka dihalau oleh Raja & Permaisuri Sepanyol sewaktu era Inquisicion. Bab Ahad yang terletak di penghujung Andalusian Wall adalah salah satu senibina Almohad yang mengagumkan. Ianya adalah antara pintu masuk utama ke medina. Pintu gerbang ini dibina pada tahun 1814 sewaktu era pemerintahan Moulay Sliman.


Sunna Mosque, Rabat, Morocco


Andalusian Wall, Rabat, Morocco


Andalusian Wall, Rabat, Morocco


Berhampiran Bab Ahad, Rabat, Morocco


Bab Ahad, Rabat, Morocco


Bab Ahad, Rabat, Morocco


Berhampiran Bab Ahad, Rabat, Morocco

Aku seterusnya masuk ke dalam kawasan medina yang merupakan sebuah kota lama di mana terdapat banyak kedai-kedai yang menjual pelbagai jenis barangan. Untuk berjalan di dalam medina ini, aku memerlukan kepakaran membaca peta. Jikalau tidak, pasti sesat. Dengan berpandukan peta di dalam buku panduan, aku berjaya merentasi medina ini untuk ke tempat yang seterusnya, iaitu Oudaia Kasbah, sebuah kawasan kecil yang dikelilingi oleh City Walls. City Walls yang terletak di muara Sungai Bou Regreg ini adalah tembok pertahanan yang dibina oleh kerajaan Dinasti Almohad pada kurun ke-12 & telah diperbaiki semula pada kurun ke-17 & ke-18 oleh pelarian-pelarian dari Andalusia & seterusnya oleh kerajaan Dinasti Alaowiyah. Pintu masuk ke Oudaia Kasbah ini adalah sebuah pintu gerbang yang bernama Bab Oudaia yang merupakan satu lagi senibina terulung Dinasti Almohad. Ianya dibina sewaktu pemerintahan Yakub al-Mansur. Pada masa kini, pintu gerbang ini berfungsi sebagai muzium pameran. Di dalam Oudaia Kasbah ini terdapat pelbagai tarikan seperti Andalusian Garden & Al-Atika Mosque.


Medina, Rabat, Morocco


Medina, Rabat, Morocco


City Walls, Rabat, Morocco


Bab Oudaia, Rabat, Morocco

Selepas puas bergambar di kawasan Oudaia Kasbah, aku meneruskan pengembaraan aku ke sebuah kompleks di mana terdapatnya Makam Muhammad V & Hassan Tower. Kompleks ini agak jauh dari Oudaia Kasbah. Hampir 30 minit berjalan kaki. Pada waktu ini waktu Zuhur sudah pun masuk & hari ini adalah hari Jumaat. Disebabkan aku adalah musafir, aku mengambil keputusan untuk menjamakkan sahaja solat Zuhur & Asar. Setibanya aku di kompleks tersebut, para jemaah solat Jumaat sudah pun beredar dari masjid yang terdapat di dalam kompleks itu. Aku lalu masuk ke dalam masjid itu untuk menunaikan solat jamak. Kemudian, baru aku keluar untuk menikmati khazanah yang terdapat di kompleks ini.

Hassan Tower adalah sebuah menara azan kepada masjid yang tidak siap dibina. Menara azan itu sendiri tidak siap dibina sebenarnya. Pembinaan masjid ini dimulakan pada tahun 1195 sewaktu pemerintahan Yakub al-Mansur. Baginda bercadang ingin membina masjid yang terbesar di Hemisfera Barat bagi mengalahkan Masjid di Cordoba yang pada waktu itu adalah masjid yang terbesar di Hemisfera Barat. Baginda juga ingin membina menara azan yang tertinggi di dunia, mengalahkan menara azan Giralda di Seville yang pada waktu itu adalah menara azan yang tertinggi di dunia. Malangnya, baginda mangkat pada tahun 1199. Ini menyebabkan operasi pembinaan masjid & menara azan ini terhenti. Menara azan yang sepatutnya dibina dengan ketinggian 86 meter, hanya berjaya dibina setinggi 44 meter sahaja.

Bahagian lain masjid juga hanya berjaya disiapkan sedikit sahaja, iaitu hanya 200 batang tiang berjaya didirikan. Kejadian gempa bumi yang berlaku di sini pada tahun 1755 mengakibatkan kerosakan yang agak teruk. Hassan Tower adalah antara simbol terpenting bagi bandar Rabat. Di kawasan inilah Solat Jumaat pertama diadakan selepas kemerdekaan Morocco daripada Perancis dengan berimamkan Sultan Morocco sendiri, iaitu Muhammad V. Kawasan ini kini merupakan salah satu daripada ‘UNESCO World Heritage Sites’.


Hassan Tower, Rabat, Morocco


Hassan Tower, Rabat, Morocco


Hassan Tower, Rabat, Morocco


Hassan Tower, Rabat, Morocco

Selain Hassan Tower & runtuhan masjid yang tidak siap sepenuhnya itu, terdapat juga Mausoleum Muhammad V di dalam kompleks ini. Selain makam Muhammad V, Bapa Kemerdekaan Morocco, terdapat juga makam anak-anaknya di dalam mausoleum ini, iaitu Hassan II & Abdullah. Bangunan mausoleum ini adalah antara senibina Alaowiyah yang termasyhur yang siap sepenuhnya pada tahun 1971 sewaktu era pemerintahan Hassan II. Bersebelahan dengan mausoleum ini terletak masjid di mana aku menunaikan solat tadi. Selepas puas bergambar di dalam kompleks ini, aku pun kembali semula ke hostel untuk berehat-rehat. Aku tidak ke mana-mana malam ini kerana kepenatan.


Mausoleum Muhammad V, Rabat, Morocco


Mausoleum Muhammad V & masjid, Rabat, Morocco


Mausoleum Muhammad V, Rabat, Morocco


Ruang dalaman Mausoleum Muhammad V, Rabat, Morocco


Ruang dalaman Mausoleum Muhammad V, Rabat, Morocco

Hari 5: 8 DISEMBER 2007

Hari ini adalah hari kedua aku di bumi Rabat. Destinasi pertama aku pada hari ini adalah Chellah Necropolis. Selepas bersiap-siap, aku pun bergerak menuju ke destinasi tujuan dengan berjalan kaki. Jarak tempat tersebut agak jauh dari hostel penginapan aku. Chellah Necropolis ini adalah runtuhan sebuah kompleks kota Rom & merupakan tempat penempatan terawal di muara Sungai Regreg. Kota ini ditinggalkan tidak berpenghuni mulai tahun 1154 kerana munculnya sebuah kota baru berhampirannya, iaitu Sale. Kerajaan Dinasti Almohad mengabaikan kota ini. Hanya sewaktu pemerintahan sultan-sultan Dinasti Merinid pada kurun ke-14, kota ini digunakan semula dengan pembinaan pelbagai monumen, termasuk masjid, sekolah, makam & sebagainya. Abu al-Hassan adalah sultan yang bertanggung jawab membina benteng pertahanan di sekeliling kota ini & ianya masih kukuh sehingga ke hari ini.

Walau bagaimanapun, kota ini sekali lagi ditinggalkan selepas kejadian gempa bumi pada tahun 1755. Makam-makam sultan Dinasti Merinid yang ada di dalam runtuhan kota ini adalah Abu Yakub Yusuf, Abu Thabit, Abu al-Hassan. Berhampiran dengan Chellah Necropolis, terdapat sebuah pintu gerbang besar yang bernama Bab Zaer yang dibina sewaktu era pemerintahan Almohad.


Chellah Necropolis, Rabat, Morocco


Pintu masuk Chellah Necropolis, Rabat, Morocco


Di dalam Chellah Necropolis, Rabat, Morocco


Runtuhan masjid di dalam Chellah Necropolis, Rabat, Morocco


Runtuhan masjid di dalam Chellah Necropolis, Rabat, Morocco


Khazanah peninggalan Rom di dalam Chellah Necropolis, Rabat, Morocco


Berhampiran Chellah Necropolis, Rabat, Morocco

Chellah Necropolis adalah destinasi terakhir aku di Rabat. Selepas puas bergambar di dalam Chellah Necropolis, aku menuju ke Avenue Muhammad V untuk bersiar-siar. Lebih kurang pukul 4.30 petang, aku pun kembali semula ke hostel untuk berkemas-kemas. Tepat pukul 5.45 petang nanti, aku akan menaiki keretapi ke destinasi aku yang seterusnya di negara Morocco, iaitu Tangier. Lebih kurang pukul 5.15 petang, aku pun bergerak menuju ke stesen keretapi Rabat Ville untuk menunggu ketibaan keretapi.

Sedang aku menunggu berseorangan, tiba-tiba seorang lelaki remaja berusia belasan tahun menegur aku dalam Bahasa Arab. Aku kemudian memberitahunya yang aku tidak boleh berbahasa Arab. Dia kemudian mengulangi soalannya di dalam Bahasa Inggeris. Rupa-rupanya dia ingin bertanyakan waktu. Aku pun memberitahunya yang waktu sekarang adalah pukul 5.30 petang. Dia kemudiannya mengajak aku untuk berbual-bual. Fasih benar Bahasa Inggerisnya. Belum lagi aku menjumpai orang Morocco yang boleh berbahasa Inggeris sefasihnya. Pelbagai soalan ditanya tentang negara Malaysia & tentang Bahasa Melayu. Dia nampak sungguh-sungguh berminat untuk mendalami kedua-dua perkara tersebut. Dia meminta aku menterjemah pelbagai perkataan Bahasa Inggeris ke dalam Bahasa Melayu. Dia agak terkejut kerana kebanyakan perkataan-perkataan dalam Bahasa Melayu sama seperti Bahasa Arab. Hahah. Itu sememangnya benar. Banyak perkataan-perkataan Bahasa Melayu dipinjam daripada Bahasa Arab sejak pengislaman Empayar Melaka pada kurun ke-15 dahulu.

Satu soalan daripadanya yang benar-benar mengejutkan aku adalah apabila dia bertanya adakah aku mempraktiskan ajaran Islam. Aku menjawab ya. Kemudian dia berkata yang dia mengaku bahawa dia beragama Islam, tetapi dia tertarik dengan ajaran Kristian & dia mengatakan mungkin ajaran Kristian itu benar. Selepas itu dia bertanya kepada aku, adakah aku benar-benar memahami ajaran Islam & juga isi kandungan al-Quran kerana aku tidak boleh berbahasa Arab, sedangkan isi kandungan al-Quran itu adalah dalam Bahasa Arab. Lidah aku agak kelu untuk berkata-kata kerana aku belum pernah berhadapan dengan kes sebegini. Aku hanya memberitahunya bahawa aku hanya mengamalkan apa yang aku belajar daripada pembelajaran di sekolah, di majlis-majlis agama & juga melalui pembacaan & aku tidak layak untuk berkata lebih-lebih kerana ilmu yang aku ada tidaklah sehebat ahli-ahli ulamak untuk berhujah dengannya. Itu sahaja yang aku mampu katakan. Kalau hendak diikutkan hati, hendak sahaja aku berdebat dengannya. Akan tetapi, faktor masa menjadi masalahnya. Keretapi yang aku tunggu akan tiba 5 minit sahaja lagi & lelaki itu pula tidak menuju ke destinasi yang sama.

Beberapa minit kemudian, keretapi yang aku nantikan pun tiba. Aku mengucapkan selamat tinggal kepada lelaki remaja tadi & berterima kasih kepadanya kerana telah mengisi masa aku dengan perbualan yang menarik. Aku juga memujinya kerana kefasihan Bahasa Inggerisnya. Dia mengucapkan terima kasih & selamat jalan kepada aku. Entah bilalah lagi aku akan menjumpai seseorang yang seperti itu. Hahaha. Perjalanan untuk ke Tangier dari Rabat mengambil masa lebih kurang 4¾ jam. Di dalam keretapi itu, aku memikirkan apa hujah-hujah yang boleh & perlu aku akan katakan kepada lelaki remaja tadi jikalau aku diberi kesempatan masa yang panjang. Hmmmm. Pengalaman bersama lelaki tadi sedikit sebanyak telah menginsafkan aku. Aku perlu mendalami Islam dengan lebih mendalam lagi bagi menyediakan diri aku untuk menghadapi situasi seperti yang aku lalui tadi. Sesungguhnya, ilmu agama tak akan pernah habis untuk dipelajari.

Aku tiba di stesen keretapi Tangier Ville pada pukul 10.30 malam. Sesampainya aku di situ, aku menaiki teksi untuk ke hostel yang aku sudah rujuk di dalam buku panduan. Malangnya, hostel tersebut sudah penuh. Mujurlah ada hostel berdekatan yang masih kosong. Selepas mendaftar masuk, aku pun terus masuk ke bilik untuk mandi, solat & kemudiannya melelapkan mata.

Hari 6: 9 DISEMBER 2007

Selepas mandi & menyiapkan diri, aku pun terus keluar untuk menikmati keindahan kota Tangier. Tangier adalah sebuah bandar yang terletak di bahagian utara negara Morocco, di pinggiran Selat Gibraltar yang menjadi penyambung Laut Mediterranean & Lautan Atlantik. Penduduknya adalah seramai 700,000 orang. Bandar ini memainkan peranan sebagai pusat perindustrian kedua terpenting di Morocco selepas Casablanca. Tangier juga adalah antara tempat tumpuan utama pelancong di negara ini kerana ia adalah pintu masuk utama pelancong-pelancong dari Eropah ke Morocco bagi yang menaiki feri dari Sepanyol. Disebabkan kedudukannya yang hampir dengan Sepanyol, kebanyakan penduduk di sini boleh berbahasa Sepanyol. Tangier juga merupakan tempat lahir pelayar Islam yang teragung, iaitu Ibnu Battuta yang dilahirkan di sini pada tahun 1304. Beliau memulakan pengembaraannya dari bumi Tangier pada tahun 1325 sewaktu usianya baru mencecah 21 tahun & hanya kembali ke bumi Morocco semula 24 tahun kemudiannya. Antara tempat-tempat yang disinggahinya sepanjang 24 tahun pengembaraannya ialah Algeria, Tunisia, Mesir, Syria, Semenanjung Arab, Turki, Libya, Asia Tengah, India, Kepulauan Melayu & China.


Peta Kedudukan Tangier di dalam Morocco


Ibnu Battuta


Peta Pengembaraan Ibnu Battuta Mengelilingi Dunia

Bandar Tangier ini telah lama dihuni oleh orang-orang Berber & Phoenicia. Ia kemudiannya berada di bawah Empayar Carthage mulai awal kurun ke-5 SM. Kemudian, ia jatuh ke tangan Empayar Rom pada kurun pertama Masihi. Selepas kehancuran Empayar Rom pada kurun ke-5, Tangier berada pula di bawah jajahan orang-orang Vandal. Selepas itu, Tangier menjadi sebahagian daripada Empayar Byzantine sehinggalah tibanya orang-orang Arab ke sini pada tahun 702 yang menyebarkan Islam ke sini & mengambil alih pentadbirannya.

Pada tahun 1437, Portugis cuba untuk menawan Tangier selepas kejayaan mereka menawan Ceuta, namun usaha mereka menemui kegagalan. Walau bagaimanapun, percubaan kedua mereka pada tahun 1471 menemui kejayaan & Tangier berjaya menjadi sebahagian daripada Empayar Portugis. Raja Portugis kemudiannya menyerahkan Tangier kepada Raja England yang bernama Charles II pada tahun 1661 sebagai sebahagian daripada ‘dowry’ sempena perkahwinan puterinya dengan putera diraja England. Tidak berapa lama kemudian, Sultan Morocco yang bernama Moulay Ismail mencuba untuk menawan kembali Tangier pada tahun 1679, tetapi usahanya gagal. Orang-orang Inggeris akhirnya meninggalkan Tangier pada tahun 1684. Akan tetapi, sebelum mereka meninggalkan bandar ini, mereka menghacurkan dahulu kota & pelabuhannya. Bandar ini kemudiannya dibangunkan semula oleh Moulay Ismail, namun usahanya tidak membuahkan hasil. Malah, prestasi Tangier semakin merosot.

Hanya sewaktu akhir tahun ke-19 & awal tahun ke-20, bandar Tangier mulai menjadi penting & kembali menjadi rebutan kuasa-kuasa besar Eropah kerana kedudukannya yang strategik di Selat Gibraltar. Penduduknya terdiri daripada pelbagai jenis bangsa seperti Arab, Berber, Yahudi & Eropah, terutamanya Sepanyol. Tangier akhirnya jatuh ke tangan Sepanyol pada tahun 1912. Walau bagaimanapun, pada tahun 1923, Tangier diberi taraf bandar antarabangsa yang ditadbir oleh beberapa negara, iaitu Perancis, Sepanyol & United Kingdom. Kemudian, ianya dituruti oleh Itali, Portugal & Belgium pada tahun 1928. Tangier kemudiannya jatuh kembali di bawah tawanan Sepanyol antara tahun 1940-1945, sewaktu Perang Dunia Kedua. Tidak berapa lama selepas itu, iaitu sewaktu Morocco mendapat kemerdekaannya, Tangier diserahkan kembali kepada kerajaan Morocco.

Tempat pertama di Tangier yang aku lawati adalah kawasan di sekitar Avenue Muhammad VI, jalan di mana terletaknya hostel aku. Berhampirannya terletak pelabuhan Tangier. Di situ terdapat jeti feri untuk ke Sepanyol, Perancis & Itali. Seterusnya, aku bergerak menuju ke dalam kawasan Medina, kota lama di mana terdapatnya lorong-lorong kecil & juga rumah-rumah lama. Terdapat sebuah masjid di sini, iaitu Grand Mosque yang merupakan sebuah masjid yang agak penting di Tangier. Ia dibina di atas tapak bekas gereja Portugis. Ianya dibina sewaktu pemerintahan Moulay Ismail & diperbesarkan pada tahun 1815 sewaktu pemerintahan Moulay Sliman. Aku kemudiannya berjalan pula ke tengah-tengah kawasan Medina ini di mana terletaknya sebuah dataran kecil yang diberi nama Petit Socco. Ianya pernah menjadi kawasan yang terpenting di dalam medina ini di mana terdapatnya pelbagai kedai-kedai ternama, tempat pertemuan ahli-ahli perniagaan & sebagainya. Selepas itu, aku mengatur langkah ke Grand Socco, yang turut memainkan peranan seperti Petit Socco. Cuma kawasannya lebih besar daripada Petit Socco & terdapat sebuah masjid di sini. Di tengah-tengah kawasan Grand Socco ini pula terdapat sebuah air pancut.


Avenue Muhammad VI, Tangier, Morocco


Pelabuhan Tangier, Morocco


Jeti Feri di Tangier, Morocco


Grand Mosque, Tangier, Morocco


Grand Mosque, Tangier, Morocco


Petit Socco, Tangier, Morocco


Grand Socco, Tangier, Morocco


Sebuah Masjid di Grand Socco, Tangier, Morocco

Selepas bergambar di Grand Socco, aku meneruskan perjalanan ke sebuah tebing tinggi di pinggiran Selat Gibraltar. Nasib aku kurang baik hari ini kerana cuaca agak berkabus. Jikalau cuaca cerah, aku mungkin dapat melihat bumi Sepanyol di seberang Selat Gibraltar ini. Melalui Selat Gibraltar inilah jeneral Bani Umayyah yang berbangsa Berber, iaitu Tariq bin Ziyad & tenteranya menyeberang ke bumi Sepanyol dari bumi Morocco pada tahun 711. Kejayaan tenteranya menewaskan tentera Visigoth di Sepanyol telah mengharumkan namanya & seterusnya berjaya menegakkan syiar Islam di bumi Sepanyol atau turut dikenali sebagai Andalusia. Selepas puas mengimbau sejarah Tariq bin Ziyad & tenteranya, aku berjalan menuju ke kawasan Kasbah. Kawasan penempatan ini dibina di atas tapak penempatan zaman Rom dahulu. Ianya dibina sewaktu zaman penjajahan Portugis & juga sewaktu di bawah pemerintahan Moulay Ismail. Di kawasan kasbah ini terdapat sebuah muzium yang bernama Musee de la Kasbah. Muzium ini mempamerkan hasil-hasil kesenian Morocco. Ianya pada zaman dahulunya merupakan sebuah istana yang dibina pada kurun ke-17 sewaktu pemerintahan Moulay Ismail.


Selat Gibraltar di Tangier, Morocco


Selat Gibraltar di Tangier, Morocco


Musee de la Kasbah, Tangier, Morocco


Di dalam Musee de la Kasbah, Tangier, Morocco


Di dalam Musee de la Kasbah, Tangier, Morocco


Berhampiran Musee de la Kasbah, Tangier, Morocco

Selepas puas menikmati keindahan kesenian Morocco, aku berjalan pula menuju ke kawasan pantai berpasir yang terletak berdekatan dengan hostel aku. Ianya merupakan antara kawasan rekreasi utama penduduk di sini & juga pelancong-pelancong dari luar. Aku menghabiskan masa yang agak lama di sini kerana ini adalah tempat terakhir yang aku jejaki di bumi Tangier ini. Selepas puas menikmati keindahan Selat Gibraltar di pantai berpasir itu, aku pun kembali ke hostel untuk berkemas-kemas. Kemudian, aku menaiki teksi ke stesen keretapi Tangier Ville untuk ke destinasi yang seterusnya, iaitu Meknes. Untuk ke Meknes, aku perlu menukar keretapi di sebuah bandar yang bernama Sidi Kacem. Oleh itu, dari Tangier, aku perlu menaiki keretapi ke Sidi Kacem terlebih dahulu.


Persisiran pantai Selat Gibraltar di Tangier, Morocco


Persisiran pantai Selat Gibraltar di Tangier, Morocco


Stesen keretapi Tangier Ville, Tangier, Morocco

Sesampainya aku di stesen keretapi Tangier Ville, aku terus masuk ke dalam keretapi yang sudah sedia ada di situ. Lebih kurang pukul 5.15 petang, ianya pun mulai bergerak meninggalkan Tangier. Sesampainya di stesen keretapi Sidi Kacem, kebanyakan penumpang termasuk aku turun dari keretapi untuk menukar keretapi lain. Ketibaan keretapi untuk ke Meknes agak lewat. Lebih kurang sejam lewatnya. Penat juga aku & penumpang-penumpang lain menunggu. Mujurlah aku boleh memahami sedikit pengumuman Bahasa Perancis yang dibuat di stesen keretapi tersebut. Setelah penat menunggu, akhirnya tiba pun keretapi yang dinantikan. Kami semua pun terus masuk ke dalamnya & tidak lama kemudian ia pun bergerak meninggalkan Sidi Kacem. Aku tiba di Meknes lebih kurang pukul 10.30 malam. Kemudian, aku terus mencari hostel yang telah pun aku rujuk di dalam buku panduan aku. Mujurlah ianya senang dicari & agak berdekatan dengan stesen keretapi tersebut. Selepas mendaftar masuk, aku pun terus mandi, menunaikan solat & kemudiannya melelapkan mata.

Hari 7: 10 DISEMBER 2007

Selepas mandi & mengemas diri, aku pun terus memulakan pengembaraan aku di kota Meknes. Meknes terletak di bahagian utara Morocco & mempunyai jumlah penduduk seramai 950,000 orang. Ia pernah berada di bawah jajahan Empayar Rom mulai tahun 117 sehingga kejatuhan empayar tersebut pada kurun ke-5. Meknes kemudiannya berada di bawah pemerintahan kerajaan Dinasti Almohad & seterusnya di bawah kerajaan Dinasti Merinid. Ia pernah menjadi ibu kota Morocco sewaktu di bawah pemerintahan Moulay Ismail yang berasal dari Dinasti Alaowiyah dari tahun 1672 hingga tahun 1727 sebelum ibu kota Morocco dipindahkan ke Marrakech. Sewaktu era pemerintahan Moulay Ismaillah kota ini mengecapi zaman kegemilangannya. Selepas kemangkatan Moulay Ismail, ibu kota Morocco dipindahkan ke Marrakech oleh penggantinya, iaitu Muhammad III & populariti kota Meknes terus pudar ditelan waktu. Gempa bumi dahsyat yang berlaku di Lisbon, Portugal pada tahun 1755 turut memberi impak kepada kota Meknes yang menyebabkan banyak bangunan di sini mengalami kerosakan yang teruk. Usaha baik pulih hanya dijalankan beberapa dekad yang lalu sebelum kota ini menjadi tumpuan pelancong.


Peta Kedudukan Meknes di dalam Morocco

Hostel yang aku tumpangi terletak agak jauh dari Old Medina, iaitu kota lama Meknes yang menjadi tumpuan utama pelancong di sini. Kota lama ini turut tersenarai dalam 'UNESCO World Heritage Sites'. Aku perlu berjalan kaki sejauh 2 km untuk ke Old Medina itu. Sesampainya aku di situ, aku didatangi oleh seorang budak lelaki berusia belasan tahun yang menawarkan khidmat untuk membawa aku mengelilingi kota lama itu. Menurut katanya, aku boleh sesat jikalau tiada orang yang sanggup membawa aku mengelilingi tempat itu. Dia nampak ikhlas hendak menolong, tetapi aku ni bukan mudah hendak mempercayai orang yang tidak dikenali. Ditambah-tambah lagi dengan situasi aku yang bersendirian. Lebih baik aku menolak tawarannya supaya tiada kejadian buruk yang bakal menimpa diri aku. Lagipun aku tahu bahawa budak itu sudah pasti inginkan balasan wang. Aku tidak akan tertipu lagi. Aku tanpa berfikir panjang terus menolak tawarannya dengan cara yang baik. Tetapi, budak lelaki itu tetap mendesak. Aku akhirnya berjalan cepat-cepat meninggalkan budak itu dalam keadaan terpinga-pinga. Mujurlah dia tidak mengekori aku. Aku kemudiannya menggunakan peta yang terdapat di dalam buku panduan aku untuk dijadikan panduan menyusuri Old Medina itu. Peta itu boleh tahan lengkapnya.


Old Medina dari jauh, Meknes, Morocco

Tempat pertama di Meknes yang aku jejaki ialah Place al-Hadim, sebuah dataran yang terletak di tengah-tengah Old Medina ini. Dataran ini dibuka sewaktu era pemerintahan Moulay Ismail. Di sekeliling dataran ini terdapat banyak kedai yang menjual pelbagai jenis barang termasuk cenderahati. Aku lalu masuk ke dalam sebuah kedai cenderahati untuk sekadar melihat-lihat. Aku bertanyakan harga sebuah lampu kecil kepada pemilik kedai itu kerana tiada tanda harga diletakkan. Akan tetapi, pertanyaan aku itu kemudiannya bertukar menjadi sessi tawar-menawar pula. Akhirnya, aku tidak jadi hendak membeli lampu itu kerana harga akhir yang ditawarkan agak tidak berpatutan. Lagipun, aku sekadar ingin bertanya sahaja. Yang peliknya, aku kemudiannya dimarahi pula oleh pemilik kedai itu kerana aku kononnya telah membuang masanya. Hahaha. Memang beginilah sifat kebanyakan penjual-penjual di bumi Morocco ini. Aku mengambilnya sebagai iktibar. Lain kali, aku hanya akan bertanyakan harga barang-barang yang aku betul-betul ingin beli sahaja. Boleh dikatakan kesemua barangan yang dijual di kedai-kedai kecil di bumi Morocco ini tidak diletakkan tanda harga. Pembeli-pembeli perlu tawar-menawar harga dengan pemilik-pemilik kedai. Inilah yang menjadi masalahnya.

Aku kemudiannya berjalan-jalan mengelilingi kawasan Place al-Hadim ini yang sememangnya dikelilingi oleh bangunan-bangunan yang unik senibinanya. Antaranya ialah sebuah pintu gerbang setinggi 16 meter yang bernama Bab al-Mansur. Ia merupakan pintu gerbang yang mempunyai senibina yang terhebat sekali di bumi Morocco. Bab al-Mansur ini mula dibina pada tahun 1672 sewaktu pemerintahan Moulay Ismail & siap sepenuhnya pada tahun 1732 sewaktu pemerintahan anaknya, iaitu Moulay Abdullah. Sewaktu aku di sini, pintu gerbang itu sedang diperbaik pulih. Sayang sekali.


Place al-Hadim, Meknes, Morocco


Place al-Hadim, Meknes, Morocco


Place al-Hadim, Meknes, Morocco


Bab al-Mansur, Meknes, Morocco

Seterusnya, aku berjalan ke Mausoleum of Moulay Ismail. Tempat ini menempatkan makam jenazah Moulay Ismail, iaitu antara Sultan Morocco yang teragung & Sultan yang bertanggungjawab menjadikan Meknes sebagai ibu kota kerajaan tersebut. Makam ini dibina pada kurun ke-17 & diubai suai pada kurun ke-18 & 20. Selain Moulay Ismail, jenazah isteri & anaknya Moulay Ahmad al-Dahbi berserta Sultan Morocco yang bernama Moulay Abdul Rahman turut disemadikan di sini. Sebinina dalaman & luaran makam ini penuh dengan ukiran-ukiran kesenian Morocco yang amat cantik, seperti di kota Alhambra di Granada. Aku menghabiskan masa lebih kurang sejam di dalamnya untuk menikmati keindahan senibinanya yang benar-benar mengagumkan, di samping menyedekahkan Al-Fatihah kepada jenazah-jenazah yang disemadikan di sini. Pelancong-pelancong dikenakan bayaran untuk masuk ke dalam makam ini. Harganya tidak mahal. Disebabkan Mausoleum of Moulay Ismail ini adalah tempat yang suci bagi penduduk di sini, hanya orang-orang beragama Islam sahaja dibenarkan masuk ke dalamnya.


Pintu Gerbang ke Mausoleum of Moulay Ismail, Meknes, Morocco


Pintu Masuk Mausoleum of Moulay Ismail, Meknes, Morocco


Pintu Masuk Mausoleum of Moulay Ismail, Meknes, Morocco


Ruang Dalaman Mausoleum of Moulay Ismail, Meknes, Morocco


Ruang Dalaman Mausoleum of Moulay Ismail, Meknes, Morocco


Ruang Dalaman Mausoleum of Moulay Ismail, Meknes, Morocco


Ruang Dalaman Mausoleum of Moulay Ismail, Meknes, Morocco


Ruang Dalaman Mausoleum of Moulay Ismail, Meknes, Morocco

Aku kemudiannya bergerak menuju ke Musee Dar Jamai, sebuah muzium yang sebelumnya merupakan istana yang siap dibina pada tahun 1882 oleh keluarga Jamai yang mempunyai pengaruh yang kuat di sini. 2 orang daripada ahli keluarga tersebut merupakan wazir Sultan Morocco yang bernama Moulay al-Hassan I. Selepas kemangkatan sultan itu, keluarga Jamai hilang pengaruhnya termasuk istana mereka itu sekali yang akhirnya jatuh ke tangan keluarga Al-Glaowi. Pada tahun 1912, sewaktu awal era penjajahan Perancis di bumi Morocco, istana ini dijadikan sebagai hospital tentera. Kemudiannya, pada tahun 1920, ianya mula dijadikan sebagai muzium. Muzium ini mempamerkan pelbagai hasil kesenian Morocco seperti barangan kayu, barangan seramik, permaidani, pakaian diraja, barang-barang kemas & bermacam-macam lagi. Harga tiket untuk masuk ke muzium ini tidak terlalu mahal.


Musee Dar Jamai, Meknes, Morocco


Bersebelahan Musee Dar Jamai, Meknes, Morocco


Ruang dalaman Musee Dar Jamai, Meknes, Morocco

Selepas menikmati keindahan kesenian Morocco di dalam Musee Dar Jamai, aku meneruskan perjalanan ke Grand Mosque, masjid yang terpenting di Meknes yang dibina pada kurun ke-12 sewaktu di era kerajaan Dinasti Almoravid. Ianya kemudian diubahsuai pada kurun ke-14. Bertentangan dengan Grand Mosque, terletak Medersa Bou Inania yang merupakan bekas sekolah al-Quran yang pernah masyhur di sini suatu ketika dahulu. Ianya diasaskan oleh Bou Inan pada kurun ke-14 sewaktu di era pemerintahan kerajaan Dinasti Merinid. Orang-orang bukan Islam tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan ini.


Menara azan Grand Mosque, Meknes, Morocco


Pintu masuk Grand Mosque, Meknes, Morocco


Ruang dalaman Grand Mosque, Meknes, Morocco

Aku kemudiannya berjalan pula menuju ke Darul Makhzan, istana diraja Morocco. Orang-orang awam tidak dibenarkan masuk ke dalamnya. Aku ke sini hanya untuk bergambar dengan salah sebuah pintu gerbangnya sahaja yang boleh dikatakan agak cantik senibinanya. Jauh juga aku perlu berjalan untuk mencari pintu gerbang itu. Nasib baik cantik.


Dalam Perjalanan ke Darul Makhzan, Meknes, Morocco


Pintu Gerbang di Darul Makhzan, Meknes, Morocco

Selepas bergambar dengan pintu gerbang Darul Makhzan, aku kembali ke Place al-Hadim untuk mencari cenderahati untuk dibawa pulang. Harga-harga cenderahati di sini agak murah harganya. Aku mengelak daripada melalui kedai yang aku masuki awal pagi tadi kerana aku tidak mahu berselisih dengan pemiliknya yang garang itu. Selepas membeli beberapa buah cenderahati, aku pun berjalan kembali semula ke hostel. Dalam perjalanan ke hostel, aku singgah dahulu di restoran MacDonald’s untuk menikmati hidangan tengah hari. Kemudian, aku pun meneruskan perjalanan aku pulang ke hostel.

Selepas berehat-rehat & mengemas barang-barang, aku pun terus menuju ke stesen keretapi yang tidak jauh dari hostel aku. Destinasi aku yang seterusnya di bumi Morocco ini ialah Fes. Selepas beberapa minit menunggu, keretapi yang aku nantikan pun tiba. Lebih kurang pukul 5.30 petang, keretapi itu pun mulai bergerak meninggalkan Meknes. Perjalanan ke Fes dari Meknes hanya mengambil masa lebih kurang 40 minit sahaja. Lebih kurang pukul 6.10 petang, aku pun tiba di stesen keretapi Fes. Dengan berpandukan buku panduan yang aku bawa, aku pun mencari lokasi hostel yang sudah pun aku pilih. Tidak berapa lama selepas mencari, aku pun menjumpai hostel tersebut. Selepas mendaftar masuk, aku dibawa ke bilik aku. Selepas mandi, solat & sebagainya, aku pun terus melelapkan mata.

Hari 8: 11 DISEMBER 2007

Awal-awal pagi lagi aku sudah bangun & bersiap-siap untuk memulakan ekspedisi mengelilingi kota Fes. Fes adalah bandar ke-4 terbesar di Morocco selepas Casablanca, Rabat & Marrakech. Ia mempunyai jumlah penduduk seramai 1,000,000 orang. Fes merupakan salah satu daripada 4 kota yang pernah menjadi kota diraja Morocco selain Marrakech, Meknes & Rabat. Kota Fes ini terbahagi kepada 3 bahagian, iaitu Fes al-Bali yang merupakan kota lama, Fes al-Jadid yang merupakan kota yang baru & Ville Nouvelle yang merupakan kawasan yang paling baru yang dibangunkan oleh Perancis.


Peta Kedudukan Fes di dalam Morocco

Menurut sejarah, Fes yang terletak di pinggiran Sungai Fes ini adalah pusat pemerintahan yang tertua di Morocco. Ia dibangunkan pada tahun 789 oleh Idris I, pengasas Dinasti Idris & seterusnya disambung oleh anaknya yang bernama Idris II. Kota ini kemudiannya didatangi oleh ramai pendatang dari Afrika Utara, Semenanjung Arab, Sepanyol & tidak kurang juga bangsa Yahudi. Sewaktu Fes berada di bawah pemerintahan kerajaan Dinasti Almohad, ianya dipercayai sebagai bandar yang terbesar di dunia dari tahun 1170 hingga 1180. Ianya menjadi tumpuan utama orang-orang Islam & juga Kristian dari Eropah yang ingin mempelajari ilmu sains & ilmu keagamaan. Kota ini kemudiannya berada di bawah kerajaan Dinasti Merinid mulai tahun 1269 hingga 1420. Dari tahun 1420 hingga 1554, muncul pula sebuah kerajaan yang diberi nama kerajaan Fes. Pada waktu inilah ramai penduduk dari Andalusia melarikan diri ke sini selepas penawanan seluruh Sepanyol oleh Raja Ferdinand & Ratu Isabella pada tahun 1492.

Fes kemudiannya jatuh ke bawah pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah pada tahun 1579. Ia hanya berjaya membebaskan diri daripada empayar tersebut pada awal kurun ke-17 & kemudiannya berada di bawah kerajaan Dinasti Saadi mulai tahun 1603 hingga tahun 1649. Selepas itu, ia jatuh pula ke tangan kerajaan Dinasti Alaowiyah. Sewaktu pemerintahan Moulay Ismail, pusat pentadbiran kerajaan dipindahkan ke Meknes & ini menyebabkan kemerosotan pengaruh Fes. Walau bagaimanapun, itu hanyalah sementara. Fes kemudian kembali kepada fungsinya sebagai pusat pentadbiran kerajaan sehinggalah kedatangan Perancis pada tahun 1912 yang memindahkan pusat pentadbiran Morocco ke Rabat & ianya kekal sebegitu sehingga ke hari ini.

Tempat pertama di Fes yang aku jejaki ialah sebuah masjid yang terletak berhampiran dengan hostel aku. Aku tidak pasti apa namanya. Namun, senibinanya amat cantik. Selepas bergambar dengan masjid tersebut, aku terus berjalan menuju ke Fes al-Bali iaitu kota lama di bandar ini yang terletak agak jauh dari hostel aku yang terletak di bahagian Ville Nouvelle. Hampir 2 km jauhnya. Setelah penat berjalan, aku akhirnya sampai juga di Fes al-Bali. Fes al-Bali ini dipercayai sebagai kawasan tanpa kenderaan yang terbesar di dunia & ianya disenaraikan dalam salah satu daripada 'UNESCO World Heritage Sites'. Kawasan ini dikelilingi oleh tembok besar seperti sebuah kubu pertahanan & mempunyai beberapa buah pintu gerbang yang menjadi jalan masuk ke dalamnya. Pintu gerbang yang paling terkenal ialah Bab Bou Jeloud, yang dibina pada tahun 1913. Bagi aku, Bab Bou Jeloud ini adalah pintu gerbang yang paling cantik sekali yang pernah aku lihat sepanjang aku berada di bumi Morocco ini.


Masjid berhampiran hostel aku, Fes, Morocco


Masjid berhampiran hostel aku, Fes, Morocco


Fes al-Bali dari jauh, Fes, Morocco


Bab Bou Jeloud di Fes al-Bali, Fes, Morocco

Aku melintas masuk melalui Bab Bou Jeloud untuk menikmati kesibukan suasana di dalam Fes al-Bali yang sememangnya sibuk dengan kegiatan menjual-beli. Terdapat beratus-ratus kedai di sini yang menjual beraneka jenis barang. Seperti biasa, aku menjadi tumpuan mereka yang ingin menawarkan diri sebagai pemandu pelancong & seperti biasa, aku menolak semua tawaran tersebut. Aku lebih selesa menggunakan peta yang terdapat di dalam buku panduan aku daripada menghabiskan wang mengupah pemandu-pemandu pelancong yang tak diiktiraf itu.


Fes al-Bali, Fes, Morocco


Fes al-Bali, Fes, Morocco

Selain kedai-kedai, terdapat juga beberapa buah bangunan penting di dalam kawasan Fes al-Bali ini. Bangunan pertama yang aku lawati ialah Bou Inania Medersa yang mempunyai pengaruh senibina Merinid & merupakan antara senibina Merinid yang teragung di bumi Morocco. Senibina dalamannya mengingatkan aku kepada senibina Alhambra. Madrasah ini dibangunkan pada dekad 1350-an oleh Abu Inan Faris, orang sama yang membangunkan madrasah Bou Inania Medersa di Meknes. Madrasah ini berfungsi sebagai pusat pendidikan & juga sebagai tempat beribadat. Ianya merupakan antara madrasah yang terpenting di bumi Morocco. Ia juga adalah satu-satunya madrasah di bumi Fes yang mempunyai menara azan. Madrasah ini adalah antara madrasah-madrasah di Morocco di mana orang-orang bukan Islam dibenarkan masuk.


Ruang dalaman Bou Inania Medersa, Fes, Morocco


Ruang dalaman Bou Inania Medersa, Fes, Morocco


Ruang dalaman Bou Inania Medersa, Fes, Morocco


Menara azan Bou Inania Medersa, Fes, Morocco

Selepas puas menikmati keindahan senibina Bou Inania Medersa, aku meneruskan ekspedisi aku ke bangunan berhampiran, iaitu University of al-Karaouine yang juga merupakan sebuah masjid yang boleh memuatkan seramai 20,000 jemaah. Menurut sejarah, universiti ini diasaskan pada tahun 859 oleh Fatima al-Fihri, anak kepada peniaga kaya yang berasal dari Kairouan, sebuah tempat yang terletak di Tunisia. Mereka kemudiannya berhijrah ke Fes. Universiti ini merupakan salah sebuah pusat yang terkenal & terpenting dalam mempelajari ilmu agama & duniawi dalam dunia Islam. Ia juga memainkan peranan penting sebagai penghubung utama antara dunia Islam & Eropah kerana ramai pendatang dari Eropah turut menimba ilmu di sini. Universiti ini telah berjaya melahirkan ramai cendakiawan-cendakiawan Islam yang terulung seperti Ibnu Rushayd, Mohammed ibn Hajj al-Abdari al-Fasi, Abu Imran Yaqub al-Fasi & ramai lagi. Universiti of al-Karaouine ini juga merupakan universiti yang masih berfungsi yang tertua di dunia yang diiktiraf dalam Guiness Book of World Records. Ia sebenarnya lebih tua daripada University Al-Azhar di Kaherah, Mesir yang hanya diasaskan pada tahun 975, lebih kurang seratus tahun selepas pengasasan University of al-Karaouine.

Di Universiti of al-Karaouine ini terdapat sebuah perpustakaan yang menyimpan manuskrip-manuskrip berharga seperti Al-Muwatta, iaitu undang-undang Islam yang dikumpulkan oleh Imam Malik & salinan asal buku Al-‘Ibar, buku yang ditulis oleh Ibnu Khaldun, seorang cendakiawan Islam yang sangat terkenal. Universiti ini telah mengalami proses pembesaran sejak ianya mula dibuka. Antara kerajaan-kerajaan yang melakukan pembesarannya ialah Bani Umayyah, Dinasti Almoravid & Dinasti Saadi.


Al-Karaouine Mosque, Fes, Morocco


Menara azan Al-Karaouine Mosque, Fes, Morocco


University of Al-Karaouine, Fes, Morocco

Seterusnya, aku ke Zaouia Moulay Idris II yang merupakan makam kepada Moulay Idris II, pengasas kedua kota Fes yang mengasaskan semula kota ini pada tahun 810. Jenazah Moulay Idris II sebenarnya dijumpai di kawasan ini pada tahun 1308 dengan keadaan yang tidak reput. Dan mulai dari saat itulah, kawasan ini dibangunkan sedikit demi sedikit menjadi makam baginda sehingga ianya siap selengkapnya sewaktu pemerintahan Moulay Ismail pada awal kurun ke-18. Tempat ini dianggap suci oleh orang-orang di sini. Pengunjung-pengunjung yang berkunjung ke sini dipercayai akan beroleh berkat. Wallahu ‘alam.


Zaouia Moulay Idris II, Fes, Morocco

Aku kemudian menuju ke Andalusian Quarter di mana terdapatnya sebuah masjid bernama Andalusian Mosque. Masjid ini diasaskan oleh Maryam al-Fihri, adik kepada Fatima al-Fihri yang mengasaskan University of al-Karaouine & juga orang-orang yang berasal dari Andalusia yang berhijrah ke sini pada kurun ke-13. Masjid ini kemudiannya diperbesarkan oleh pemerintah kerajaan Dinasti Almohad & juga Dinasti Merinid.


Andalusian Mosque, Fes, Morocco

Selepas menunaikan solat jamak Zohor & Asar di dalam Andalusian Mosque, aku berjalan pulang ke hostel. Dalam perjalanan pulang, aku bergambar dahulu di sebuah taman yang terdapat di tengah-tengah sebatang jalan di kawasan Ville Nouvelle. Agak cantik juga taman itu. Selepas puas bergambar, aku pun kembali ke hostel. Pada waktu malamnya, aku ke restoran MacDonald’s untuk makan malam. Selepas makan, aku kembali ke hostel untuk berehat-rehat sementara menanti hari esok.


Sebuah Taman di Ville Nouvelle, Fes, Morocco


Sebuah Taman di Ville Nouvelle, Fes, Morocco

Hari 9: 12 DISEMBER 2007

Awal-awal pagi lagi aku sudah bangun bersiap-siap untuk memulakan pengembaraan aku pada hari kedua di kota Fes. Selepas selesai bersiap-siap, aku pun terus keluar. Pada hari ini, aku menerokai kawasan Fes al-Jadid pula, iaitu kota Fes yang baru. Ianya tidak terlalu jauh dari hostel yang aku tumpangi. Lokasi pertama di Fes al-Jadid yang aku kunjungi ialah Darul Makhzan, istana diraja Morocco. Istana moden seluas 80 hektar ini mempunyai senibina yang sangat memukau. Pintu masuk utamanya sahaja sudah mengagumkan. Namun, pengunjung hanya boleh melihat keindahan luarannya sahaja. Orang-orang awam tidak dibenarkan masuk ke dalam istana ini. Akan tetapi, mereka dibenarkan untuk bergambar di dataran di hadapan istana ini yang bernama Place des Alaouites.


Darul Makhzan, Fes, Morocco


Pintu Darul Makhzan, Fes, Morocco


Pintu Darul Makhzan, Fes, Morocco


Pintu Darul Makhzan, Fes, Morocco


Pintu Darul Makhzan, Fes, Morocco


Pintu Darul Makhzan, Fes, Morocco

Sedang aku asyik bergambar di hadapan istana ini, tiba-tiba datang sekumpulan pelancong yang kelihatan seperti orang-orang Malaysia melalui raut-raut wajah & pakaian-pakaian yang dipakai oleh mereka. Aku lantas mencuri-curi dengar perbualan mereka. Memang sah, mereka adalah orang-orang Malaysia. Aku berasa sangat gembira kerana sudah seminggu aku tidak bertutur dalam Bahasa Melayu. Aku lantas menegur seorang makcik yang berusia 40-an. Dia pada mulanya agak terkejut apabila aku secara tiba-tiba menegurnya. Aku pun kemudiannya memperkenalkan diri aku & kami seterusnya berbual-bual panjang. Aku menceritakan tentang latar belakang aku & juga pengalaman aku selama seminggu di bumi Morocco. Dia pula menceritakan pengalaman mereka yang baru sahaja 3 hari di Morocco selepas beberapa hari menghabiskan masa di bumi Sepanyol.

Makcik itu kemudiannya memperkenalkan anak lelakinya kepada aku. Selepas itu, dia perkenalkan juga aku kepada beberapa orang ahli rombongan yang lain sambil membeli-belah di kedai-kedai yang terdapat di situ. Hampir 30 minit aku menghabiskan masa bersama mereka sebelum mereka semua menaiki semula bas rombongan untuk ke tempat lain. Aku pun mengucapkan selamat tinggal kepada mereka. Selepas itu, aku kembali keseorangan. Sedih pula rasanya. Kalau diikutkan hati, hendak sahaja aku ikut mereka. Tapi, perjalanan kami berbeza. Aku pula lebih suka mengikut perancangan sendiri daripada mengikut perancangan pemandu pelancong. Lebih bebas.


Bersama dengan Makcik, ibunya & anaknya di Fes, Morocco

Selepas berpisah dengan ahli-ahli rombongan tadi, aku kembali semula ke Darul Makhzan kerana aku belum puas bergambar di situ. Banyak kepingan gambar yang aku ambil. Hampir 15 minit lamanya aku menghabiskan masa di situ. Ini kemudiannya menimbulkan syak wasangka pengawal-pengawal di luar istana itu. Mereka lantas menghampiri aku & bertanyakan beberapa soalan & meminta aku menunjukkan passport aku. Aku pada mulanya agak gentar. Namun, aku berjaya menenangkan perasaan aku kerana aku yakin aku tidak melakukan apa-apa kesalahan serius. Aku menceritakan kepada mereka yang aku hanya ingin bergambar sahaja, tiada niat lain. Bahasa Inggeris mereka tidak berapa fasih. Namun, mujurlah mereka boleh memahami apa yang aku cuba sampaikan. Selepas disoalsiasat beberapa minit, akhirnya mereka melepaskan aku. Aku bersyukur sangat-sangat. Lega rasanya.

Selepas itu, aku terus menuju ke tempat lain. Serik pula rasanya aku hendak bergambar di hadapan istana-istana di bumi Morocco ini. Orang-orang di sini betul-betul menjaga keselamatan institusi diraja mereka. Destinasi aku yang seterusnya ialah Mechouars, iaitu sebuah kawasan di mana terdapatnya banyak gerai yang menjual beraneka jenis barang. Kawasan Mechouars ini dikelilingi oleh kubu pertahanan. Pintu masuk ke kawasan ini adalah beberapa pintu gerbang, iaitu Bab Dekaken, Bab al-Seba & Bab Segma. Kemudian, aku bergerak pula ke kawasan Kasbah Cherarda yang dibuka pada kurun ke-17. Ianya juga dikelilingi oleh kubu pertahanan.


Bab Dekaken di Mechouars, Fes, Morocco


Kasbah Cherarda, Fes, Morocco

Aku kemudiannya menghabiskan masa di kawasan Kasbah-kasbah tersebut dengan membeli beberapa barangan cenderahati untuk dibawa pulang. Selepas itu, aku kembali semula ke hostel untuk berkemas-kemas sebelum bertolak ke stesen keretapi. Aku akan bertolak ke Marrakech semula pada petang ini. Selepas selesai berkemas, aku pun terus berjalan ke stesen keretapi Fes. Lebih kurang pukul 2.40 petang, aku pun terus masuk ke dalam keretapi yang sedia menunggu di situ. 10 minit kemudian, ianya pun bergerak meninggalkan Fes. Perjalanan ke Marrakech memakan masa 7¼ jam.


Kawasan Kasbah, Fes, Morocco


Kawasan Kasbah, Fes, Morocco

Lebih kurang pukul 10.05 malam, aku pun tiba di stesen keretapi Marrakech setelah beberapa jam menghabiskan masa di dalam keretapi. Selepas turun dari keretapi, aku pun terus berjalan menuju ke hostel yang telah pun aku tempah sewaktu hari pertama aku di Marrakech dahulu. Sedang aku berjalan kaki dari stesen keretapi menuju ke hostel yang jaraknya 2 km itu, tiba-tiba datang seorang lelaki berusia 50-an mendekati aku. Rupanya amat menakutkan sekali. Gayanya seperti seorang yang sedang mabuk. Dia kemudiannya bersuara. Dia memberitahu aku jikalau aku sedang mencari hostel, dia boleh membawa aku ke hostel yang bagus. Aku kemudian memberitahunya yang aku sudah pun menempah hostel. Akan tetapi, dia tidak mempercayai kata-kata aku. Dia tetap mendesak untuk membawa aku ke hostel yang ditawarkannya. Aku dengan keras memarahinya & menyuruhnya menjauhi aku. Aku kemudian berjalan dengan pantas meninggalkan lelaki itu sehinggalah aku yakin yang dia sudah hilang dari pandangan aku.

Walau bagaimanapun, lebih kurang 10 minit kemudian, entah dari arah mana, lelaki tadi muncul semula. Aku menjadi sangat panik. Keadaannya yang mabuk & seperti orang gila itulah yang memanikkan aku. Aku takut jikalau dia mengapa-apakan aku. Aku cepat-cepat berjalan, namun lelaki itu tetap mengekori aku & tetap mendesak untuk membawa aku ke hostel yang ditawarkannya. Aku tak henti-henti memarahinya & menyuruhnya jangan mengikuti aku. Waktu itu aku hanya mampu berdoa kepada Allah SWT supaya aku tidak diapa-apakan oleh lelaki itu.

Nasib aku amat baik. Secara tiba-tiba, seorang anggota polis pelancong yang sedang membuat rondaan dengan menaiki motorsikal datang menghampiri kami. Dia bertanya kepada aku apa yang sedang berlaku. Aku pun memberitahunya yang lelaki gila itu mengekori aku & cuba mengapa-apakan aku. Polis pelancong itu lalu memarahi lelaki itu & menahannya. Aku kemudian mengucapkan terima kasih kepada polis pelancong itu & terus berjalan menuju ke tempat tujuan aku, iaitu hostel yang telah pun aku tempah minggu lalu. Aku bersyukur sangat-sangat kerana tiada kejadian buruk menimpa diri aku. Alhamdulillah. Kerajaan Morocco sememangnya telah menyediakan perkhidmatan pasukan polis pelancong untuk mengawasi keselamatan pelancong-pelancong di negara ini. Mujurlah anggota polis pelancong tadi tiba tepat pada waktunya.

Lebih kurang 20 minit kemudian, aku pun tiba di hostel tersebut. Sekali lagi, aku berjumpa dengan pemilik hostel itu & aku mengatakan kepadanya yang aku telah mengotakan janji aku. Pemilik hostel itu hanya ketawa. Selepas dia menunjukkan bilik aku, dia meninggalkan aku bersendirian. Selepas mandi & solat, aku pun terus melelapkan mata kepenatan. Tiba-tiba, aku terbayang semula wajah lelaki yang menggerunkan tadi. Mujurlah aku tidak diapa-apakannya. Menakutkan sungguh pengalaman tadi.

Hari 10: 13 DISEMBER 2007

Pada pagi ini, selepas selesai sahaja mandi & berkemas-kemas, aku pun keluar untuk menjelajahi kota Marrakech buat kali kedua. Aku telah pun menjelajahi kota ini dalam masa satu hari sewaktu hari pertama aku di bumi Morocco pada minggu lalu. Kali ini, aku akan melengkapkan penjelajahan aku di kota ini. Tempat pertama yang aku jejaki ialah Bab Doukkala Mosque. Masjid ini dibina pada pertengahan kurun ke-16 oleh ibu kepada Ahmad al-Mansor, pemerintah yang memerintah pada waktu itu. Aku tidak lama di sini. Seterusnya, aku ke Mouassine Mosque, sebuah masjid lama yang dibina antara tahun 1562 hingga 1573, sewaktu pemerintahan Sultan dari Dinasti Saadi yang bernama Moulay Abdullah.


Bab Doukkala Mosque, Marrakech, Morocco


Bab Doukkala Mosque, Marrakech, Morocco


Mouassine Mosque, Marrakech, Morocco

Selepas itu, aku meneruskan perjalanan aku ke kawasan The Souks yang bermaksud pasar. Ianya adalah antara pasar-pasar yang terkenal di seluruh rantau al-Maghreb. Kedai-kedai di sini disusun mengikut jenis barangan yang dijual. Antara barangan yang dijual adalah kain-kain fabrik, barang-barang kemas, barangan kulit, barangan kraftangan, selipar, sayur-sayuran, haiwan ternakan & pelbagai lagi. Kawasannya yang amat luas menyebabkan aku hampir sesat di dalamnya. Namun, dengan berpandukan peta yang ada di dalam buku panduan & juga dengan bantuan daripada penduduk tempatan, aku berjaya berjalan menyusuri kesibukan The Souks ini untuk menuju ke destinasi aku yang seterusnya, iaitu Musee de Marrakech.


The Souks, Marrakech, Morocco


The Souks, Marrakech, Morocco

Musee de Marrakech adalah sebuah muzium yang pada dahulunya merupakan sebuah istana yang dibina oleh wazir kepada Sultan Moulay Mehdi Hassan yang memerintah pada akhir kurun ke-19. Nama istana tersebut ialah Dar Menebhi. Muzium ini terbahagi kepada 2 bahagian. Bahagian pertama mempamerkan hasil-hasil kesenian kontemporari & lukisan-lukisan. Sementara itu, bahagian kedua pula mempamerkan koleksi syiling lama tinggalan kerajaan Dinasti Idris hingga ke kerajaan Dinasti Alaowiyah, salinan lama Al-Quran, seramik-seramik & banyak lagi. Kecantikan senibina muzium ini benar-benar memukau pandangan aku. Aku menghabiskan masa yang agak lama di dalam muzium ini.


Ruang Dalaman Musee de Marrakech, Marrakech, Morocco


Ruang Dalaman Musee de Marrakech, Marrakech, Morocco


Ruang Dalaman Musee de Marrakech, Marrakech, Morocco


Ruang Dalaman Musee de Marrakech, Marrakech, Morocco

Selepas puas melihat khazanah-khazanah yang ada di dalam Musee de Marrakech, aku ke tempat yang seterusnya, iaitu Koubba Ba’Adiyn. Tiket untuk masuk ke tempat ini disekalikan dengan tiket untuk masuk ke dalam Musee de Marrakech tadi. Koubba Ba’Adiyn ini adalah sebuah kubah kecil yang diperbuat daripada bata-bata yang merupakan satu-satunya tinggalan kerajaan Dinasti Almoravid di kota Marrakech. Ianya dibina oleh Ali bin Yusuf pada tahun 1106. Kubah ini sebenarnya adalah sebahagian daripada masjid yang dibina sewaktu pemerintahan kerajaan Dinasti Almoravid yang kemudiannya diruntuhkan oleh kerajaan Dinasti Almohad selepas mereka mengambil alih pemerintahan kota Marrakech. Kubah ini merupakan satu-satunya struktur masjid tersebut yang tidak dihancurkan. Ianya tersembunyi selama beratus-ratus tahun, sehinggalah ianya dijumpai pada tahun 1948. Di dalam kubah ini terkandung juga sebuah kolam kecil untuk berwuduk.


Koubba Ba’Adiyn, Marrakech, Morocco


Koubba Ba’Adiyn, Marrakech, Morocco


Bahagian Dalam Koubba Ba’Adiyn, Marrakech, Morocco

Sejurus selepas itu, aku terus berjalan ke tempat seterusnya, iaitu Bin Yusuf Medersa. Madrasah ini merupakan antara madrasah-madrasah yang terulung & terbesar di rantau al-Maghreb yang boleh memuatkan seramai 900 orang anak murid. Ianya diasaskan oleh pemerintah kerajaan Dinasti Merinid yang bernama Abu al-Hassan pada pertengahan kurun ke-14. Kemudian, ianya diperbesarkan oleh pemerintah kerajaan Dinasti Saadi yang bernama Moulay Abdullah pada kurun ke-16 untuk menandingi Medersa Bou Inania di Fes. Nama madrasah ini diambil bersempena dengan nama masjid yang terletak berdekatan dengannya , iaitu Bin Yusuf Mosque yang dibina sewaktu pemerintahan kerajaan Dinasti Almoravid. Selama 4 kurun lamanya masjid & madrasah ini menjadi tumpuan utama penduduk di sini untuk menunaikan ibadat & juga sebagai pusat pengajian al-Quran. Kehalusan senibina Islam yang terdapat di madrasah ini benar-benar dapat memukau pandangan sesiapa sahaja yang melihatnya. Pintu masuknya sahaja sudah mengagumkan. Rasanya seperti hendak sahaja aku tinggal di sini.


Bin Yusuf Medersa, Marrakech, Morocco


Bin Yusuf Medersa, Marrakech, Morocco


Bin Yusuf Medersa, Marrakech, Morocco


Bin Yusuf Medersa, Marrakech, Morocco


Aku kemudiannya menuju ke destinasi terakhir aku di Marrakech, iaitu Djemaa al-Fana, sebuah dataran luas yang menjadi medan pasar awam pada waktu pagi & arena pertunjukan terbuka pada waktu malam, di mana terdapatnya gerai-gerai makanan, pertunjukan ahli-ahli muzik, penari-penari, penglipur lara, pemain ular & banyak lagi. Dengan adanya gerai-gerai makanan yang menjual daging-daging panggang pada waktu malam, kawasan ini dipenuhi dengan asap-asap & bau rempah ratus yang betul-betul boleh menaikkan nafsu makan sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini. Aku juga turut mengambil kesempatan yang ada untuk menjamah makanan-makanan yang dijual di sini. Amat menyelerakan sekali.

Selama beratus-ratus tahun Djemaa al-Fana telah menjadi nadi utama Marrakech & juga simbol utama kota ini. Ianyalah yang menjadikan kota ini unik & lain daripada kota-kota yang lain. Tanpanya, Marrakech hanya akan sama seperti bandar-bandar lain di Morocco. Djemaa al-Fana ini turut diiktiraf sebagai salah satu daripada 'UNESCO World Heritage Sites'. Sebelum kurun ke-19, kawasan ini sebenarnya menyimpan sejarah yang hitam, iaitu sebagai tempat pemancungan pesalah-pesalah yang melakukan kesalahan besar. Adakalanya, seramai 45 orang pesalah dipancung dalam satu hari & kepala-kepala mereka digantung di pintu-pintu masuk kota ini.


Djemaa al-Fana Sebelum Matahari Terbenam, Marrakech, Morocco


Pemain Ular di Djemaa al-Fana, Marrakech, Morocco


Djemaa al-Fana Ketika Matahari Terbenam, Marrakech, Morocco


Gerai Buah-Buahan di Djemaa al-Fana, Marrakech, Morocco


Gerai-Gerai Makanan di Djemaa al-Fana, Marrakech, Morocco


Djemaa al-Fana Selepas Matahari Terbenam, Marrakech, Morocco

Aku menghabiskan masa yang agak lama Djemaa al-Fana, dari sebelum terbenamnya mentari, sehinggalah masuk waktu Isyak. Selepas puas menikmati makanan-makanan yang ada di Djemaa al-Fana, aku kembali ke hostel untuk mandi, menunaikan solat & kemudiannya melelapkan mata. Dengan terjejaknya Djemaa al-Fana tadi, maka berakhirlah ekspedisi aku di bumi Morocco ini. Keesokan harinya, aku akan pulang semula ke Dublin setelah 9 hari aku bermastautin di negara ini.

Hari 11: 14 DISEMBER 2007

Seawal pukul 6.00 pagi lagi aku sudah bangun untuk berkemas-kemas, mandi & menunaikan solat Subuh. Selepas semuanya selesai, aku pun terus keluar. Sebelum itu, aku mengucapkan terima kasih dahulu kepada pemilik hostel itu yang telah berjasa pada aku minggu lepas kerana sudi membenarkan aku menumpangkan beg aku di dalam hostelnya sementara aku berjalan-jalan di sekitar kota Marrakech. Selepas mengucapkan terima kasih kepadanya, aku terus menuju ke sebuah teksi di stesen teksi yang terletak di hadapan hostel tersebut & meminta pemandunya membawa aku ke lapangan terbang.

Aku bertanyakan dahulu akan harga tambang yang perlu dibayar. Jauh lebih murah berbanding harga yang aku bayar sewaktu aku datang dari lapangan terbang ke pusat bandar Marrakech pada minggu lepas. Mujurlah pemandu teksi kali ini bukan jenis yang suka mencekik darah pelancong seperti pemandu teksi di lapangan terbang itu. Aku lantas bersetuju dengan harga tambang yang dikenakan & pemandu teksi itu pun membawa aku ke lapangan terbang. Suasana pagi yang lengang menyebabkan aku tiba di lapangan terbang dalam jangka masa yang agak singkat. Pemandu teksi itu pula bukan jenis yang peramah. Kami berdua hanya senyap melayan diri masing-masing.

Setibanya aku di Lapangan Terbang Menara Marrakech, aku terus ke kaunter pendaftaran. Selepas semuanya selesai, aku pun terus melalui zon pemeriksaan keselamatan & kemudiannya ke terminal untuk menaiki pesawat Ryanair untuk ke London. Setelah lebih daripada sejam menunggu, akhirnya para penumpang pun diminta masuk ke dalam pesawat. Pesawat kemudian berlepas meninggalkan Marrakech, menuju ke London lebih kurang pada pukul 10.00 pagi. Perjalanan ke London memakan masa hampir 3¾ jam lamanya. Lebih kurang pukul 1.45 tengah hari, aku pun tiba di Lapangan Terbang Luton, London. Penerbangan Ryanair ke Dublin yang aku tempah adalah pada awal pagi esoknya. Oleh itu, aku terpaksa menghabiskan masa hampir 17 jam di Lapangan Terbang London Luton yang agak bosan itu.

Hari 12: 15 DISEMBER 2007

Setelah 15 jam menunggu di samping beberapa jam melelapkan mata, akhirnya tamat juga penantian aku. Penantian sememangnya satu penyeksaan. Lebih kurang pukul 4.30 pagi, aku pun terus ke kaunter pendaftaran & kemudiannya melalui zon pemeriksaan keselamatan. Selepas semuanya selesai, aku menunggu pula untuk dipanggil masuk ke dalam pesawat. Tidak berapa lama kemudian, para penumpang pun dijemput masuk & pesawat berlepas meninggalkan London pada pukul 6.30 pagi. Perjalanan ke Dublin mengambil masa lebih kurang sejam lamanya. Lebih kurang pukul 7.30 pagi, aku pun tiba di Lapangan Terbang Dublin dengan selamat.

Pengalaman selama hampir 10 hari di bumi Morocco adalah antara pengalaman-pengalaman yang amat berharga bagi diri aku kerana ini adalah pertama kali aku menjejakkan kaki seorang diri di negara yang penduduknya bertutur dalam Bahasa Arab. Sememangnya, terlalu banyak kenangan pahit yang telah aku lalui dengan penduduk di sini yang rata-ratanya boleh dikategorikan sebagai orang-orang yang agak kasar, mata duitan & kadangkalanya agak menakutkan. Ini mungkin kerana faktor kemunduran ekonomi penduduk-penduduk di negara ini. Dan mungkin juga kerana aku mengembara seorang diri. Maka, lebih mudah untuk aku diganggu.

Walau bagaimanapun, tidak semua penduduk Morocco berkelakuan sedemikian rupa. Masih ada antara mereka yang berkelakuan mulia & sudi menolong aku secara ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Contohnya seperti pemilik hostel di Marrakech itu & juga 2 orang lelaki peramah yang duduk bersama-sama aku di dalam keretapi dari Marrakech ke Casablanca. Tidak lupa juga beberapa orang awam yang sudi membantu aku di kala aku sesat & juga pemilik-pemilik kedai yang begitu peramah yang meluahkan kekaguman mereka terhadap negara Malaysia. Itu adalah antara kenangan-kenangan manis yang aku perolehi di sini.

Bumi Morocco sememangnya menyimpan seribu satu khazanah yang berharga, terutamanya senibinanya yang mampu memukau hati sesiapa sahaja yang memandangnya. Senibina sebegini rupa hanya boleh dijumpai di bumi Morocco & negara-negara rantau al-Maghreb sahaja. Ianya tidak dijumpai di tempat-tempat lain di dunia ini. Pencapaian mereka dalam ilmu senibina ini menyebabkan aku berasa amat bangga menjadi seorang Muslim. Inilah sebenarnya yang menjadi penyebab utama hati aku tertarik sangat ingin berkunjung ke bumi Morocco. Untuk mengamati senibinanya di samping merasai suasana Islam di bumi Afrika Utara ini.

Terlalu banyak keindahan yang tersimpan di bumi Morocco ini yang sukar diceritakan dengan kata-kata. Kesemuanya itu hanya boleh diterokai oleh mereka yang menjejakkan sendiri kaki di sini. Oleh itu, aku sangat-sangat menggalakkan pembaca blog ini supaya berkunjung ke bumi Morocco ini yang boleh diibaratkan seperti permata Islam di ufuk Barat. Namun, aku nasihatkan supaya tidak ke sini seorang diri, terutamanya golongan hawa atas faktor keselamatan. Bawalah bersama sekurang-kurangnya seorang teman.

Dengan ini, sekian sahajalah travelogue aku di bumi Morocco. Semoga pembaca semua mendapat banyak manfaat & informasi yang berguna yang boleh diaplikasikan apabila berkunjung ke negara ini nanti.

Bersambung di WiNTeR 2007 (eSToNia, LiTHuaNia, LaTVia, eNGLaND, MoRoCCo, FRaNCe, MoNaCo) (BHG III)

2 comments:

creamyfiodesi said...

salam...
travelog yang amat mencabar n menarik!
tahniah atas keberanian anda menawan bumi Maghribi seorang diri...
sememangnya masyarakat Arab tak dapat dipisahkan dengan sikap yang ganas dan keras, tapi itulah manisnya sebuah kembara, membuka mata kita untuk mengenali budaya sesuatu bangsa...
semoga perjalanan ini memberi banyak manfaat kepada anda...
salam kembara dari bumi casablanca!

Anonymous said...

slm..seronok baca travelogue awak.mengingatkn sy kembali akan holiday di morocco.org arab di sana x ganas, tp kdg2 ambil kesempatan kpd pelancong.sy sesat di Djemaa al-Fana,marrakech.semua bgn sama colour, masjid pon sama bentuk,rs nk menangis.nasib baik jupe pekan kecil n naik cab.pglmn yg sgt indah x dpt dlupakan.