4.9.08

SuMMeR 2008 (CRoaTia, BoSNia & HeRZeGoViNa, SLoVeNia, RoMaNia, BuLGaRia, MaCeDoNia, TuRKeY, iCeLaND, eNGLaND) (BHG III)



Aku sebenarnya sudah lama menyimpan keinginan untuk memijakkan kaki di bumi Iceland, bumi yang amat jarang sekali diterokai oleh orang-orang Malaysia. Malah, mungkin ada antara kita yang tidak tahu di mana kedudukan negara ini. Mungkin ada juga yang tidak tahu langsung akan kewujudannya. Negara ini seolah-olah seperti satu misteri. (Iceland & Ireland adalah dua negara berbeza. Ireland adalah negara di mana aku menuntut ilmu perubatan. Aku sekarang sedang bercerita tentang Iceland, bukannya Ireland. Jangan keliru pula ye. Heheh)

Selepas pulang dari pengembaraan selama 18 hari di rantau Balkan, aku hanya mengurungkan diri sahaja di rumah sambil mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan ulangan yang akan berlangsung pada bulan November nanti. Tidak terfikir pula aku untuk ke mana-mana kerana kepenatan mengembara di rantau Balkan masih lagi belum hilang. Walau bagaimanapun, hati kecil aku tiba-tiba sahaja tergerak untuk meninjau-ninjau harga tiket penerbangan ke Iceland, sebuah negara yang ingin benar aku terokai. Aku lalu membuka laman web Icelandair, syarikat penerbangan termurah untuk ke sana. Dan secara kebetulan, syarikat penerbangan itu sedang menawarkan harga diskaun untuk ke Iceland bagi perjalanan bulan Ogos. Aku pada mulanya berasa serba salah. Namun, apabila difikir-fikirkan secara mendalam, aku akhirnya membuat keputusan untuk membeli tiket penerbangan tersebut. Bagi aku, mungkin ini adalah satu-satunya peluang yang tinggal untuk aku menjejakkan kaki ke Iceland. Selepas ini, mungkin peluang ini tidak akan datang lagi.


Pesawat Icelandair

Walau bagaimanapun, sebelum membeli tiket tersebut, aku menghubungi dahulu sahabat-sahabat di Dublin yang lain yang tidak pulang ke Malaysia pada cuti Musim Panas ini. Aku bertanyakan sama ada mereka berminat atau tidak untuk mengikut aku ke Iceland. Berbelas-belas orang aku hubungi. Namun, yang berminat untuk mengikut aku ke sana hanya seorang sahaja, iaitu Muaz, pelajar Tahun Pertama Perubatan di Royal College of Surgeons. Sebelum ini, dia pernah mengikut aku ke French Riviera. Sementara itu, sahabat-sahabat aku yang lain tidak dapat ikut bersama memandangkan mereka mempunyai hal masing-masing. Walau apapun, pada aku, seorang pun sudah cukup. Tidaklah aku keseorangan apabila berada di sana nanti.

Sehari selepas itu, aku pun terus membeli tiket penerbangan Icelandair dari London ke Reykjavik, Iceland & juga tiket penerbangan Ryanair dari Dublin ke London untuk kami berdua. Kami akan berlepas ke London dari Dublin pada tarikh 28 Ogos 2008. Dari London, kami akan berlepas pula ke Reykjavik pada hari yang sama di waktu malam. Kami berdua akan menghabiskan masa di bumi Iceland sehingga 1 September 2008, iaitu selama lebih kurang 4 hari lamanya. Pada tarikh 1 September, kami akan berangkat pulang semula ke London.

Sebelum bertolak ke Iceland, aku menempah terlebih dahulu penginapan hostel di Reykjavik & juga segala tour yang akan kami ambil sewaktu berada di sana. Harga tour-tour tersebut sememangnya agak mahal. Namun, aku yakin bahawa kesemuanya itu akan berbaloi. Aku juga membawa bersama buku ‘Europe: On A Shoestring’ terbitan Lonely Planet untuk dijadikan panduan apabila berada di sana nanti.

Iceland adalah sebuah negara pulau yang terletak di bahagian utara Lautan Atlantik, berhampiran dengan pulau Greenland. Ia adalah salah satu daripada negara-negara Scandinavia, iaitu negara-negara Eropah Utara. Negara-negara Scandinavia yang lain ialah Denmark, Sweden, Norway & Finland. Negara Iceland ini mempunyai keluasan seluas 103,000 kilometer persegi & mempunyai jumlah penduduk seramai 320,000 orang. Sedikit sahaja bilangan penduduknya. Kurang daripada separuh juta orang.


Kedudukan Iceland dalam peta Dunia


Kedudukan Iceland dalam peta Eropah


Peta negara-negara Scandinavia


Peta Iceland


Bendera Iceland

Iceland terletak betul-betul di garisan pertemuan Plat Tektonik Eurasian & Plat Tektonik Amerika Utara. Ini menyebabkan pulau ini cenderung untuk ditimpa bencana gempa bumi. Gempa bumi terjadi apabila berlakunya pergeseran atau pergerakan antara plat-plat tektonik di garisan pertemuan plat-plat tersebut. Iceland juga turut dipenuhi dengan gunung-gunung berapi. Ada gunung berapi yang sudah mati & ada juga yang masih aktif. Selain itu, bentuk topografi pulau ini juga turut dilitupi dengan kawasan tanah tinggi, bukit-bukau, gunung-ganang yang diselaputi glasier, geysir-geysir, tasik-tasik & sungai-sungai. Pulau ini kaya dengan keindahan alam semulajadi.


Peta dunia yang menunjukkan plat-plat tektonik


Peta dunia yang menunjukkan lokasi-lokasi gunung berapi

Yang menarik tentang pulau ini adalah tidak banyak pokok-pokok besar hidup di sini. Ianya seperti kawasan tundra. Kebanyakan tumbuh-tumbuhan yang ada hanyalah rumput-rampai & pokok-pokok bersaiz kecil. Disebabkan itulah panorama bukit-bukau & gunung-ganangnya seperti saujana mata memandang. Indah sekali. Disebabkan Iceland adalah sebuah pulau yang agak kecil, maka iklimnya tidak terlampau ekstrim, walaupun pulau ini terletak amat berhampiran dengan Garisan Artik. Ini kerana iklimnya dipengaruhi oleh suhu air laut yang mengelilinginya. Musim Panasnya tidak terlampau panas & Musim Sejuknya pula tidak terlampau sejuk. Namun, ada ketikanya keseluruhan pulau ini diselaputi oleh salji atau ais sewaktu Musim Sejuk. Mungkin disebabkan itulah pulau ini dinamakan 'Iceland'.


Gambar satelit pulau Iceland sewaktu diselaputi salji pada Musim Sejuk

93% daripada penduduk Iceland adalah daripada bangsa Icelandic yang bertutur dalam Bahasa Icelandic. Yang selebihnya pula adalah daripada bangsa-bangsa lain yang kebanyakannya berasal dari negara-negara Scandinavia yang lain. 85% daripada penduduknya menganut ajaran Kristian mazhab Lutheran. Penggunaan Bahasa Inggeris amat meluas di kalangan penduduknya. Boleh dikatakan setiap orang daripada mereka boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan fasih, sama seperti negara-negara Scandinavia yang lain.

Sistem pemerintahan negara ini ialah Republik yang diketuai oleh Presiden & dibantu oleh Perdana Menteri. Mata wang yang digunakan ialah Krona. 1.00 Euro bersamaan dengan 180 Krona. 1.00 Ringgit pula bersamaan dengan 35.00 Krona. Waktu tempatannya pula kurang sejam daripada Waktu GMT. Ekonomi Iceland banyak bergantung kepada industri perikanan & pelancongan. Pada tahun 2007, Iceland telah diiktiraf sebagai negara termaju di dunia oleh United Nation’s Human Development Index.

Menurut sejarah, penempatan manusia di Iceland dikatakan bermula pada tahun 874 apabila seorang bangsawan Viking dari Norway yang bernama Ingólfur Arnarson datang berhijrah ke pulau ini pada tahun tersebut & terus menetap di sini. Tidak berapa lama kemudian, penduduk-penduduk Viking dari negara-negara Scandinavia yang lain termasuk Norway mulai berhijrah ke pulau ini juga. Kehidupan mereka bergantung kepada sumber perikanan & pertanian. Pada akhir kurun ke-10, agama Kristian dibawa ke sini & majoriti penduduknya memeluk agama tersebut.

Iceland kemudiannya berada di bawah penguasaan kerajaan Norway mulai tahun 1262 hingga kurun ke-14. Mulai kurun ke-14, ia berada pula di bawah pemerintahan Kalmar Union, iaitu penyatuan kerajaan Denmark & Norway. Semenjak itu, Iceland menjadi antara kawasan yang termiskin di Eropah. Pelbagai mala petaka menimpa pulau ini, seperti pertanian yang tidak menjadi, letupan gunung berapi & juga kejadian Black Death pada kurun ke-15 yang membunuh hampir separuh daripada jumlah penduduknya.


Peta Kalmar Union

Pada kurun ke-16, Raja Denmark yang memerintah pada waktu itu, iaitu Christian III telah memaksa kesemua penduduk Iceland untuk menukar mazhab mereka daripada Katolik kepada Lutheran. Kesemua paderi-paderi Katolik kemudiannya dibunuh. Mazhab Lutheran terus kekal menjadi pegangan penduduk Iceland sehingga kini.

Pada tahun 1814, Kalmar Union mulai berpecah & Iceland diserahkan kepada pemerintahan kerajaan Denmark. Tidak berapa lama kemudian, semangat nasionalisma mula bersemarak dalam jiwa penduduknya untuk menuntut kemerdekaan daripada kerajaan Denmark. Dan akhirnya, kemerdekaan berjaya diperolehi. Walau bagaimanapun, Iceland masih lagi berada di bawah naungan Raja Denmark. Ia hanya berjaya mengisytiharkan kedaulatannya sebagai sebuah kerajaan Republik pada tahun 1944, selepas tamatnya Perang Dunia Kedua.

Hari 1: 28 OGOS 2008

Penerbangan Ryanair ke London dijadualkan akan berlepas pada pukul 12.55 tengah hari nanti. Untuk mengelakkan daripada ditinggalkan pesawat, aku & Muaz bertolak ke Lapangan Terbang Dublin dari rumah seawal pukul 10.00 pagi dengan menaiki bas. Kami tiba di lapangan terbang tersebut sejam kemudiannya. Sesampainya sahaja kami di situ, kami terus mendaftar masuk & kemudiannya melalui zon pemeriksaan sekuriti. Apabila semuanya sudah beres, kami pun menunggu di pintu perlepasan. Setelah beberapa lama menunggu, akhirnya para penumpang dipelawa masuk ke dalam pesawat. Pesawat tersebut kemudiannya berlepas meninggalkan Dublin, menuju ke London. Penerbangan memakan masa lebih kurang 1¼ jam.

Lebih kurang pukul 2.10 petang, kami berdua pun tiba di Lapangan Terbang Stansted, London. Sesampainya kami di lapangan terbang tersebut, kami menaiki pula bas National Express untuk ke Lapangan Terbang Heathrow, London kerana penerbangan kami ke Reykjavik, Iceland akan berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow. Perjalanan dengan menaiki bas dari Lapangan Terbang Stansted ke Lapangan Terbang Heathrow mengambil masa lebih kurang 1½ jam.

Kami tiba di Lapangan Terbang Heathrow lebih kurang pada pukul 4.15 petang. Kami kemudiannya mendapatkan pas perlepasan dengan menggunakan mesin layan diri yang disediakan. Kemudian, kami mendaftar masuk beg-beg kami. Sesudah itu, kami ke surau yang terdapat di lapangan terbang itu untuk bersolat. Selesai sahaja bersolat, kami ke sebuah restoran pula untuk makan malam.

Apabila jam sudah menunjukkan pukul 8.30 malam, kami pun memasuki zon pemeriksaan sekuriti. Selepas semuanya sudah beres, kami menunggu ketibaan pesawat di pintu perlepasan. Pesawat Icelandair yang kami nantikan akhirnya tiba & kami bersama-sama dengan penumpang-penumpang yang lain dijemput masuk ke dalamnya. Lebih kurang pukul 9.10 malam, pesawat itu pun berlepas meninggalkan London menuju ke Reykjavik. Perjalanan memakan masa hampir 3 jam.

Lebih kurang pukul 11.10 malam waktu tempatan Iceland, aku & Muaz pun tiba di Lapangan Terbang Keflavik. Selepas segala urusan imigresen selesai & beg-beg pun telah diambil, kami beristirehat di tempat menunggu di dalam lapangan terbang itu sementara menunggu waktu pagi. Perkhidmatan bas ke pusat bandar Reykjavik hanya akan bermula pada lebih kurang pukul 5.30 pagi nanti. Pengangkutan awam yang ada pada lewat malam hanyalah teksi, dengan harga tambang yang agak mahal. Disebabkan itu, kami mengambil keputusan untuk bermalam sahaja di dalam bangunan lapangan terbang tersebut.

Hari 2: 29 OGOS 2008

Lebih kurang pukul 5.30 pagi, bas pertama yang dinanti-nantikan pun sudah mula dihidupkan enjinnya. Aku & Muaz lalu terus masuk ke dalam bas tersebut & tidak berapa lama kemudian, ia pun bergerak menuju ke pusat bandar Reykjavik. Pada waktu itu, hujan sedang turun dengan agak lebat. Aku berasa sedikit kecewa dengan keadaan cuaca sebegitu. Aku benar-benar berharap agar cuaca di bumi Iceland akan sentiasa cerah sepanjang aku berada di bumi Viking ini. Namun, itu semua adalah kuasa Allah SWT. Siapalah aku yang hendak melawan kekuasaan-Nya. Walau bagaimanapun, aku tetap berdoa semoga hujan akan berhenti sebaik sahaja kami berdua memulakan ekspedisi kami menjelajah kota Reykjavik nanti.

Setelah hampir 30 minit berada di dalam bas tersebut, kami akhirnya tiba di pusat bandar Reykjavik. Bas tersebut berhenti di sebuah stesen bas. Hujan masih lagi belum reda pada waktu itu. Aku & Muaz tidak mahu membuang masa. Lalu, kami meredah sahaja hujan yang lebat itu untuk tiba di hostel yang telah pun kami tempah.

Setelah lebih kurang 20 minit berjalan meredah hujan, kami akhirnya tiba hostel yang dimaksudkan. Agak jauh juga lokasinya dari stesen bas tadi. Sesampainya di hostel itu, kami berdua pun terus mendaftar masuk. Aku sudah tidak sabar-sabar lagi untuk membersihkan diri & menukar pakaian. Pakaian yang aku pakai sudah basah kuyup. Akan tetapi, pemilik hostel itu mengatakan bahawa kami hanya akan dibenarkan masuk ke dalam bilik kami pada pukul 11.00 pagi nanti. Ini kerana, bilik tersebut masih lagi berpenghuni & penghuninya hanya akan mengosongkan bilik itu pada pukul 10.00 pagi nanti. Bilik itu pula kemudiannya perlu dikemas dengan rapi sebelum kami masuk ke dalamnya. Aku & Muaz agak kecewa. Namun, kami faham akan situasi itu. Kami bagaimanapun meminta izin untuk menggunakan bilik air di luar untuk membersihkan diri. Mujurlah pemilik hostel ini membenarkan kami menggunakannya.

Selepas selesai sahaja membersihkan diri, kami berdua pun mengambil keputusan untuk menjelajahi dahulu kota Reykjavik. Kami akan pulang semula ke hostel pada waktu petang nanti. Aku sempat bertanya kepada pemilik hostel itu tentang iklim di Iceland. Dia memberitahu aku bahawa hujan adalah perkara yang biasa di sini. Adakalanya hujan tidak akan berhenti selama berhari-hari. Hmmm. Sama seperti iklim di Ireland.

Reykjavik adalah sebuah bandar yang terletak di pinggiran Lautan Atlantik. Ia merupakan ibu negara & bandar yang terbesar di Iceland. Bandar ini terletak di Garisan Latitud 64.1 darjah & amat hampir dengan Garisan Artik (66.33 darjah). Ini menjadikannya sebagai ibu kota yang paling ke utara antara kesemua ibu-ibu kota negara-negara berdaulat di seluruh dunia. Sewaktu kemuncak Musim Sejuk pada bulan Disember setiap tahun, kota ini hanya menerima cahaya matahari selama 4 jam sahaja. Sewaktu kemuncak Musim Panas pada bulan Jun pula, ia menerima sinaran cahaya matahari hampir 20 jam lamanya. Menarik bukan? Hahah. Aku ke sini pada bulan Ogos. Oleh itu, aku tidak dapat merasai perbezaan masa siang & malam yang begitu ketara. Jumlah penduduk yang menetap di Reykjavik sedikit sahaja, iaitu seramai 120,000 orang. Walau bagaimanapun, penduduk di sini hidup dalam keadaan yang penuh selesa kerana kebajikan mereka amat dijaga. Kemudahan infrastruktur pula adalah antara yang terbaik di dunia.


Peta kedudukan Reykjavik di dalam Iceland

Penempatan pertama di Iceland adalah di bumi Reykjavik, iaitu sewaktu ketibaan Ingólfur Arnarson pada tahun 874. Reykjavik kemudiannya mula menjadi pusat penghijrahan orang-orang Scandinavia yang lain di bumi Iceland. Mereka semua tertumpu di kota ini. Disebabkan itulah segala peristiwa yang berlaku di Iceland hampir kesemuanya bertumpu di Reykjavik. Apabila Iceland diisytiharkan sebagai Republik pada tahun 1944, Reykjavik dijadikan ibu kotanya.

Walaupun dalam keadaan hujan yang agak kurang menyenangkan, aku & Muaz tetap gagah keluar menjelajahi kota Reykjavik. Lokasi pertama di Reykjavik yang kami jejaki ialah Hallgrimskirkja, sebuah gereja mazhab Lutheran yang mempunyai ketinggian 74.5 meter & merupakan gereja yang terbesar di Iceland. Gereja ini dinamakan bersempena dengan nama seorang sasterawan Iceland yang bernama Hallgrimur yang hidup pada kurun ke-17.

Gereja yang mempunyai senibina unik ini direkabentuk oleh arkitek tempatan bernama Guðjón Samúelsson. Ia dibina menyerupai bentuk sebuah gunung berapi yang mempunyai beberapa lapisan lava yang telah mengeras yang merupakan antara lanskap utama yang terdapat di bumi Iceland. Kerja-kerja pembinaan gereja ini dimulakan pada tahun 1945 & hanya berjaya disiapkan sepenuhnya 45 tahun kemudian, iaitu pada tahun 1986. Gereja ini merupakan antara mercu tanda utama kota Reykjavik yang boleh diperhatikan dari seluruh pelusuk kota ini. Sayang sekali, sewaktu aku & Muaz berada di sini, gereja tersebut sedang mengalami proses pemulihan. Oleh itu, kami tidak dapat mengambil gambar penuh gereja ini kerana bahagian hadapannya ditutup dengan kayu-kayu.


Hallgrimskirkja, Reykjavik, Iceland


Hallgrimskirkja, Reykjavik, Iceland


Rupa sebenar Hallgrimskirkja, Reykjavik, Iceland


Ruang dalaman Hallgrimskirkja, Reykjavik, Iceland

Di hadapan Hallgrimskirkja terdapat sebuah monumen yang didedikasikan kepada seorang warga Iceland dari bangsa Viking yang bernama Leif Ericson. Dia hidup pada kurun ke-11 & dipercayai merupakan orang Eropah pertama yang menemui benua Amerika, 500 tahun sebelum Christopher Columbus menemui benua tersebut. Ukiran patung itu dihadiahkan oleh kerajaan Amerika Syarikat kepada kerajaan Iceland pada tahun 1930.


Monumen Leif Ericson, Reykjavik, Iceland

Kami berdua terpaksa berteduh sebentar di dalam gereja tersebut kerana hujan secara tiba-tiba menjadi semakin lebat. Beberapa minit kemudian, apabila hujan mulai reda, kami pun meneruskan perjalanan kami. Lokasi seterusnya yang kami singgahi ialah Stjornarradid, sebuah bangunan lama yang dipercayai merupakan bangunan yang tertua sekali di Reykjavik. Bangunan ini dibina pada kurun ke-18 & berfungsi sebagai penjara pada waktu itu. Pada masa kini, ianya dijadikan pejabat Presiden & Perdana Menteri Iceland. Di hadapannya terdapat 2 buah ukiran patung, iaitu ukiran patung Hannes Hafstein yang merupakan Perdana Menteri pertama Iceland & ukiran patung Raja Denmark yang bernama Christian IX yang menganugerahkan kemerdekaan separuh kepada Iceland pada tahun 1874.


Stjornarradid, Reykjavik, Iceland

Selepas bergambar di hadapan bangunan Stjornarradid & ukiran-ukiran patung di hadapannya, aku & Muaz singgah di beberapa buah kedai cenderahati untuk membeli sesuatu untuk dibawa pulang. Hujan masih lagi belum berhenti pada waktu itu. Namun, kami redah sahaja demi untuk tidak membuang masa. Kami kemudiannya menjumpai sebuah kedai yang mempunyai hiasan luaran yang agak menarik. Kami menggunakan kesempatan yang ada untuk bergambar di hadapannya.


Sebuah kedai cenderahati, Reykjavik, Iceland


Sebuah kedai cenderahati, Reykjavik, Iceland

Beberapa minit kemudian, hujan pun mulai berhenti. Kami berdua seterusnya berjalan menuju ke Reykjavik City Hall yang terletak bersebelahan sebuah tasik yang bernama Tjornin. Bangunan yang dibina pada tahun 1987 ini menempatkan pejabat Datuk Bandar Reykjavik, sebuah café & juga sebuah peta Iceland dalam bentuk 3 dimensi. Menarik sekali peta tersebut. Reykjavik City Hall ini seringkali dijadikan pusat pameran yang utama di kota ini.


Reykjavik City Hall, Reykjavik, Iceland


Peta Iceland di dalam Reykjavik City Hall, Reykjavik, Iceland

Selepas bergambar di bahagian luar & bahagian dalam Reykjavik City Hall, kami singgah di sebuah restoran untuk makan tengah hari. Kami menikmati ikan & kentang yang merupakan antara makanan ruji masyarakat tempatan. Selesai sahaja makan, kami menyambung semula pengembaraan kami. Destinasi seterusnya ialah ukiran patung Ingólfur Arnarson, manusia pertama yang tiba & menetap di bumi Iceland. Ukiran patung ini terletak di atas sebuah bukit kecil di pinggiran Lautan Atlantik. Tidak jauh dari bukit tersebut terletak pelabuhan Reykjavik yang agak besar saiz kawasannya.


Aku & Muaz menikmati makan tengah hari di Reykjavik, Iceland


Ukiran patung Ingólfur Arnarson, Reykjavik, Iceland


Pelabuhan di Reykjavik, Iceland


Pelabuhan di Reykjavik, Iceland

Selepas itu, kami bersiar-siar mengambil angin di pinggiran Lautan Atlantik sambil berjalan menuju ke sebuah monumen yang turut menjadi mercu tanda utama kota Reykjavik, iaitu Sun Craft Sculpture. Monumen yang diperbuat daripada tembaga ini berbentuk seperti sebuah bot Viking. Amat unik sekali rupa bentuknya. Angin bertiup teramat kuat sekali sewaktu kami tiba di monumen tersebut. Oleh itu, kami tidak dapat bergambar dengan lebih lama. Sejurus selepas mengambil beberapa keping gambar, kami berjalan menjauhkan diri dari pinggiran pantai.


Sun Craft Sculpture, Reykjavik, Iceland


Sun Craft Sculpture, Reykjavik, Iceland

Kami kemudiannya berjalan menuju ke sebatang jalan yang merupakan jalan membeli-belah yang utama & antara yang tertua di Reykjavik. Nama jalan tersebut ialah Laugavegur. Terdapat banyak kedai yang eksklusif di sini. Kami berhajat juga untuk membeli sesuatu. Akan tetapi, kami terpaksa melupakan hasrat tersebut kerana harga-harga yang ditawarkan amatlah mahal. Reykjavik, sama seperti bandar-bandar lain di negara-negara rantau Scandinavia, amat terkenal dengan harga-harga barang yang mahal. Walau bagaimanapun, kuasa membeli penduduk tempatan agak tinggi kerana hasil pendapatan mereka bersesuaian dengan kos hidup di sini. Selain kedai-kedai eksklusif, terdapat juga beberapa buah restoran di kiri kanan jalan ini.


Laugavegur, Reykjavik, Iceland

Selepas melalui jalan tersebut, kami kembali semula ke Tjornin, tasik yang terletak bersebelahan dengan Reykjavik City Hall yang kami singgah tadi. Ia adalah tasik yang paling terkenal di kota ini. Suasana di sekelilingnya amat mententeramkam sekali. Subhanallah. Indah sekali ciptaan-Nya. Tasik ini sememangnya menjadi lokasi kegemaran para ibu-bapa untuk membawa anak-anak mereka bersiar-siar menikmati kesegaran udara petang. Kehadiran itik-itik & burung-burung camar menambah lagi kedamaian & keindahan tasik ini. Aku berkesempatan untuk memberi makan haiwan-haiwan itu dengan bekalan roti yang aku bawa di dalam beg galas kepunyaan aku. Lapar benar mereka semua. Setiap kali tibanya Musim Sejuk, seluruh permukaan tasik ini membeku. Entah bagaimanalah itik-itik & burung-burung camar tersebut hendak mendapatkan sumber air. Mungkin mereka semua akan berhijrah ke tempat lain apabila Musim Sejuk mulai tiba. Wallahu 'alam. Berhampiran dengan tasik tersebut, terdapat juga sebuah gereja kecil berbumbung hijau yang kelihatan agak comel bentuknya.


Tasik Tjornin, Reykjavik, Iceland


Tasik Tjornin, Reykjavik, Iceland


Tasik Tjornin, Reykjavik, Iceland

Kami berdua kemudiannya meneruskan ekspedisi kami melalui kawasan tepi tasik itu untuk menuju ke kawasan University of Iceland. Universiti ini diasaskan pada tahun 1913. Ia kini mempunyai 11 buah fakulti dengan jumlah pelajar seramai 13,650 orang. University of Iceland pada mulanya bertempat di bangunan Parlimen selama 29 tahun. Ia kemudiannya dipindahkan ke lokasinya sekarang pada tahun 1940. Senibina bangunan utama universiti itu direkabentuk oleh arkitek sama yang merekabentuk Hallgrimskirkja.


University of Iceland, Reykjavik, Iceland

Tidak jauh dari University of Iceland, terletak sebuah bangunan yang diberi nama Nordic House. Bangunan ini digunakan oleh ‘Nordic Council’ untuk mempromosikan kebudayaan Nordic atau Scandinavia. Di hadapan bangunan ini terdapat tiang-tiang bendera yang mengibarkan bendera-bendera negara-negara Scandinavia. Bangunan Nordic House ini direkabentuk oleh seorang arkitek dari Finland & ia siap dibina pada tahun 1968. Bangunan ini seringkali menjadi hos dalam pelbagai aktiviti seperti ceramah, konferens, menyuarat, konsert & pameran. Sewaktu aku & Muaz berada di sini, Nordic House sedang menganjurkan sebuah pameran berkaitan dengan sains & teknologi. Agak menarik juga pameran tersebut.


Nordic House, Reykjavik, Iceland


Pameran di bahagian dalam Nordic House, Reykjavik, Iceland

Selesai sahaja menyaksikan pameran di Nordic House, kami berdua pun pulang semula ke hostel. Kami sudah boleh masuk ke dalam bilik kami. Selepas solat & mandi, aku & Muaz berehat-rehat di dalam bilik. Apabila tiba waktu malam, aku keluar seorang diri untuk mengambil gambar-gambar suasana malam di kota ini. Muaz tidak mahu keluar kerana kepenatan. Selepas puas menikmati suasana malam di luar, aku pun kembali semula ke hostel. Selepas solat, kami berdua pun melelapkan mata.

Hari 3: 30 OGOS 2008

Pada hari ini, aku & Muaz mengambil pakej bas tour syarikat Reykjavik Excursions untuk mengelilingi Golden Circle, satu kawasan di Iceland yang amat popular di kalangan pelancong. Kami telah menempahnya awal-awal melalui internet sewaktu di Dublin lagi. Harga tiketnya agak mahal. Namun, aku yakin ianya pasti berbaloi.

Bas tour itu akan mulai bergerak dari stesen bas Reykjavik pada pukul 9.00 pagi. Pakej bas tour tersebut turut menyediakan perkhidmatan pengambilan peserta-peserta tour dari hostel-hostel penginapan masing-masing untuk ke stesen bas. Para peserta diambil dengan menggunakan van. Kami berdua diambil oleh van tersebut dari hostel kami pada pukul 8.30 pagi, 30 minit sebelum bas mulai bergerak dari stesen bas. Sebelum itu, kami bersarapan pagi terlebih dahulu di dalam hostel. Sarapan pagi disediakan secara percuma oleh pihak hostel kepada semua penginap-penginapnya.

Setibanya di stesen bas, kami & para peserta tour yang lain menunggu masa untuk dipanggil masuk ke dalam bas tour yang sudah pun berada di situ. Beberapa minit kemudian, kami semua pun dijemput masuk. Ramai juga pelancong-pelancong yang menyertai tour ini bersama-sama dengan kami. Hampir penuh bas itu. Tour ini akan berlangsung selama 8 jam, iaitu dari pukul 9.00 pagi sehingga pukul 5.00 petang. Tidak sabar rasanya untuk melihat keindahan alam semulajadi di bumi Iceland.


Bas tour Reykjavik Excursions


Stesen bas, Reykjavik, Iceland

Tepat pukul 9.00 pagi, bas tour yang kami naiki pun mulai bergerak menuju ke destinasinya, iaitu Golden Circle. Golden Circle sebenarnya terletak tidak jauh dari bandar Reykjavik. Hanya beberapa jam perjalanan sahaja. Ianya adalah satu lingkaran jalan yang melalui 3 buah pusat pelancongan yang terkenal, iaitu Gullfoss Waterfall, Geysir & Thingvellir National Park. Di samping 3 tempat tersebut, tour ini juga akan singgah di beberapa lagi tempat yang tidak kurang menariknya.


Peta menunjukkan lingkaran jalan Golden Circle di Iceland

Pemandu bas merangkap pemandu pelancong memberi penerangan kepada setiap tempat yang kami lalui. Laluan yang dilalui oleh bas tour ini sememangnya amat menakjubkan. Walaupun keadaan cuaca tidak begitu baik kerana hujan, tetapi aku masih dapat menghargai keindahan alam semulajadi ciptaan Allah SWT di bumi Iceland ini. Belum pernah aku melihat lanskap yang sebegitu indah seperti mana yang aku lihat di bumi Iceland. Seperti yang telah aku katakan sebelum ini, di seluruh pulau ini tidak terdapat banyak pokok-pokok yang besar. Yang banyak cuma rumput-rumput & pokok-pokok kecil. Disebabkan itulah kawasan bukit-bukau, gunung-ganang, sungai-sungai & tasik-tasiknya jelas kelihatan walaupun dari jauh. Saujana mata memandang. Subhanallah.


Panorama dari dalam bas di sepanjang Golden Circle, Iceland


Panorama dari dalam bas di sepanjang Golden Circle, Iceland


Panorama dari dalam bas di sepanjang Golden Circle, Iceland


Panorama dari dalam bas di sepanjang Golden Circle, Iceland


Panorama dari dalam bas di sepanjang Golden Circle, Iceland


Panorama dari dalam bas di sepanjang Golden Circle, Iceland

Persinggahan pertama kami ialah sebuah kedai cenderahati. Kami diberi masa 20 minit oleh pemandu bas tour tersebut untuk membeli-belah di dalamnya. Aku & Muaz tidak membeli apa-apa. Kami sekadar melihat-lihat sahaja. Rupa bahagian luar bangunan ini agak menarik. Begitu juga dengan rupa ruang dalamannya. Di luar bangunan ini terdapat sebuah ‘hot spring’ kecil yang ditutup dengan batu-batu. Asap sulfur yang keluar dari celah-celah batu tersebut teramatlah kuat baunya sehingga menyebabkan aku terasa pening-pening sedikit. Ramai pelancong mengambil gambar dengan ‘hot spring’ tersebut termasuklah kami berdua.


Ruang dalaman kedai cenderahati, Golden Circle, Iceland


Ruang dalaman kedai cenderahati, Golden Circle, Iceland


Hot Spring di bahagian luar kedai cenderahati, Golden Circle, Iceland


Hot Spring di bahagian luar kedai cenderahati, Golden Circle, Iceland

20 minit kemudian, kesemua peserta tour masuk kembali ke dalam bas untuk meneruskan perjalanan. Persinggahan yang seterusnya ialah sebuah kawasan air terjun yang sangat-sangat cantik. Tak dapat hendak digambarkan dengan kata-kata. Kami cuma diberi masa 15 minit sahaja untuk bergambar dengan air terjun tersebut. Kemudian, kami pun menyambung semula perjalanan kami.


Sebuah air terjun di Golden Circle, Iceland


Sebuah air terjun di Golden Circle, Iceland

Destinasi yang seterusnya adalah Gullfoss Waterfall yang merupakan destinasi utama yang pertama dalam tour ini. Gullfoss Waterfall adalah air terjun yang mengalir melalui Sungai Hvita yang terletak di sebuah kawasan kanyon. Air terjun ini adalah antara pusat pelancongan yang terkenal di Iceland. Ia mempunyai keluasan yang besar, tinggi & bertingkat-tingkat. Purata kelajuan air yang melalui air terjun ini ialah 140 meter padu persaat.

Sebelum pertengahan kurun ke-20, kawasan Gullfoss Waterfall ini adalah hak milik peribadi seorang warga tempatan. Dia kemudiannya menyewakan air terjun ini kepada pelabur-pelabur asing untuk membina kawasan empangan penjanaan kuasa elektrik. Walau bagaimanapun, rancangan tersebut gagal kerana pelabur-pelabur itu kekurangan modal. Akhirnya, kawasan air terjun ini dibeli oleh kerajaan Iceland.

Keadaan cuaca masih lagi tidak begitu baik sewaktu kami di tiba Gullfoss Waterfall. Hujan turun mencurah-curah. Keadaan cuaca sebegitu menyebabkan kawasan sekitar air terjun ini menjadi agak berkabus. Walau bagaimanapun, aku tetap berpuas hati kerana dapat melihat keindahan alam ciptaan Allah SWT itu. Tiada kalimah yang mampu aku ucapkan selain Subhanallah.


Gullfoss Waterfal, Golden Circle, Iceland


Gullfoss Waterfal, Golden Circle, Iceland


Gullfoss Waterfal, Golden Circle, Iceland


Gullfoss Waterfal, Golden Circle, Iceland


Aku & Muaz di Gullfoss Waterfal, Golden Circle, Iceland


Gullfoss Waterfal, Golden Circle, Iceland


Gullfoss Waterfal, Golden Circle, Iceland

Apabila sudah puas mengambil gambar dengan Gullfoss Waterfall, kami berdua pun masuk semula ke dalam bas untuk mengeringkan pakaian kami yang agak basah akibat terkena air hujan. Tidak berapa lama kemudian, penumpang-penumpang lain pun turut masuk & kami seterusnya menyambung semula ekspedisi tour kami.

Destinasi utama kami yang seterusnya dalam tour Golden Circle ini ialah Geysir, sebuah geyser yang terletak di Lembah Haukadalur. Geyser membawa maksud kolam 'hot spring' yang mengeluarkan wap putih yang panas pada setiap masa & memancutkan air panasnya setiap beberapa minit atau beberapa jam. Perubahan aktiviti geyser-geyser amat dipengaruhi oleh aktiviti gempa bumi di persekitarannya. Geyser Geysir di Golden Circle ini merupakan geyser tertua yang diketahui kewujudannya di bumi Iceland & juga merupakan geyser pertama yang diketahui oleh penduduk Eropah. Perkataan 'geyser' juga diambil daripada nama geyser tersebut. Geyser Geysir ini sudah agak dorman pada masa kini. Ia hanya memancutkan air panasnya 4 atau 5 kali sahaja dalam masa sehari. Sebelum ini, geyser tersebut boleh memancutkan air panasnya dengan kekerapan yang berkali ganda & ketinggian setiap pancutannya boleh mencecah sehingga 70 meter. Menakjubkan sungguh.


Geyser Geysir, Golden Circle, Iceland

Geyser yang aktif pada masa kini adalah sebuah lagi geyser yang terletak berhampiran dengannya, iaitu geyser Strokkur. Geyser Strokkur ini memancutkan airnya yang sepanas 120 darjah celcius setiap 5-10 minit. Ketinggian pancutannya boleh mencecah sehingga 30 meter. Aku berkesempatan untuk menyaksikan sendiri pancutan air panas dari geyser tersebut yang setinggi hampir 30 meter. Agung sekali fenomena alam ciptaan Allah SWT ini. Di sekeliling geyser Strokkur ini terdapat hampir 30 buah lagi geyser-geyser kecil & kolam-kolam hot spring. Kawasan ini sememangnya amat menakjubkan sekali. Kepulan-kepulan wap putih yang keluar dari setiap kolam hot spring & geyser di kawasan ini dapat dilihat dari jauh.


Kawasan Geysir, Golden Circle, Iceland


Kawasan Geysir, Golden Circle, Iceland


Geyser Strokkur di Geysir, Golden Circle, Iceland


Geyser Strokkur di Geysir, Golden Circle, Iceland


Geyser Strokkur masih tenang, Geysir, Golden Circle, Iceland


Geyser Strokkur mula memancutkan air panasnya, Geysir, Golden Circle, Iceland


Geyser Strokkur memancutkan air panasnya setinggi hampir 30 meter, Geysir, Golden Circle, Iceland


Geyser Strokkur memancutkan air panasnya setinggi hampir 30 meter, Geysir, Golden Circle, Iceland


Geyser Strokkur memancutkan air panasnya, Geysir, Golden Circle, Iceland


Sebuah kolam hot spring di Geysir, Golden Circle, Iceland


Berhampiran kawasan Geysir, Golden Circle, Iceland

Berhampiran dengan kawasan Geysir, terdapat sebuah restoran yang dibina untuk kemudahan para pelancong menjamu selera. Pemandu bas tour memberi masa sejam kepada kami semua untuk makan tengah hari & melihat-lihat kawasan Geysir. Aku & Muaz hanya membeli makanan ringan sahaja kerana makanan-makanan yang dijual di restoran itu rata-ratanya tidak halal & mahal-mahal belaka. Lebih kurang sejam kemudian, kesemua peserta tour pun masuk kembali ke dalam bas untuk meneruskan ekspedisi tour Golden Circle.


Restoran di Geysir, Golden Circle, Iceland

Kami dibawa ke destinasi utama kami yang seterusnya & yang terakhir, iaitu Thingvellir National Park. Taman negara ini terletak di kawasan gunung berapi Hengill, sebuah gunung berapi yang masih aktif. Kawasan Thingvellir National Park adalah tapak sejarah, kebudayaan & geologi yang amat penting di Iceland. Pada masa kini, ia merupakan antara tempat tumpuan utama pelancong di negara ini. Taman negara ini telah dinobatkan sebagai salah satu daripada ‘UNESCO World Heritage Sites’ pada tahun 2004.

Thingvellir National Park adalah taman negara yang pertama di Iceland. Kawasan taman negara ini sangat penting dalam sejarah Iceland kerana di sinilah bermulanya perkembangan kebudayaan & politik mereka. Thingvellir National Park diasaskan pada tahun 1928. Ia dibuka bertujuan untuk memelihara tapak peninggalan parlimen lama Iceland yang terletak di sini yang merupakan pusat perkembangan politik & kebudayaan masyarakat Iceland pada zaman dahulu. Parlimen tersebut diasaskan pada tahun 930M & memainkan peranannya sehingga tahun 1799. Penggunaannya kemudian dihentikan setelah parlimen Iceland dipindahkan ke Reykjavik pada tahun 1844. Kawasan taman negara ini kemudiannya diperluaskan lagi untuk memelihara keindahan alam semulajadi yang terdapat di sekeliling parlimen tersebut.

Selain merupakan tempat yang bersejarah, kawasan taman negara ini juga terkenal sebagai kawasan yang kerapkali berlakunya kejadian gempa bumi & letupan gunung berapi. Ini kerana kawasan ini terletak betul-betul di garisan pertemuan dua plat tektonik, iaitu Plat Tektonik Amerika Utara & Plat Tektonik Eurasian. Garisan pertemuan dua plat tektonik tersebut boleh dilihat dengan jelas melalui rekahan-rekahan batu yang terdapat di sini yang terbentuk akibat pergerakan kedua-dua plat tektonik itu dalam beberapa siri kejadian gempa bumi di sini. Rekahan-rekahan batu itu menjadikan kawasan ini kelihatan seperti sebuah kanyon dengan panorama yang amat menakjubkan.


Thingvellir National Park, Golden Circle, Iceland


Thingvellir National Park, Golden Circle, Iceland


Thingvellir National Park, Golden Circle, Iceland


Thingvellir National Park, Golden Circle, Iceland


Thingvellir National Park, Golden Circle, Iceland


Rekahan batu hasil pergerakan Plat Tektonik Amerika Utara & Plat Tektonik Eurasian di Thingvellir National Park, Golden Circle, Iceland


Rekahan batu hasil pergerakan Plat Tektonik Amerika Utara & Plat Tektonik Eurasian di Thingvellir National Park, Golden Circle, Iceland


Rekahan batu hasil pergerakan Plat Tektonik Amerika Utara & Plat Tektonik Eurasian di Thingvellir National Park, Golden Circle, Iceland

Di kawasan Thingvellir National Park ini juga terdapat sebuah tasik cantik yang diberi nama Thingvallavatn. Dengan keluasan seluas 84 kilometer persegi, tasik ini adalah tasik semulajadi yang terluas di pulau Iceland. Kedalamannya pula mencecah sehingga 114 meter.


Tasik Thingvallavatn di Thingvellir National Park, Golden Circle, Iceland


Tasik Thingvallavatn di Thingvellir National Park, Golden Circle, Iceland


Tasik Thingvallavatn di Thingvellir National Park, Golden Circle, Iceland


Tasik Thingvallavatn di Thingvellir National Park, Golden Circle, Iceland

Keindahan alam ciptaan Allah SWT yang aku saksikan di Thingvellir National Park ini memang tiada tandingannya dengan tempat-tempat lain yang pernah aku jejaki sebelum ini. Begitu besar sekali kekuasaan Allah SWT yang mampu mencipta alam seindah kawasan Thingvellir National Park ini. Subhanallah.

Setelah puas mengamati keindahan alam ciptaan Allah SWT di taman negara tersebut, aku, Muaz & peserta-peserta tour yang lain kembali semula ke dalam bas. Dengan terjejaknya kaki kami di Thingvellir National Park tadi, maka berakhirlah tour kami. Kami akan dibawa pulang semula ke Reykjavik.

Setelah lebih kurang 2 jam perjalanan, kami semua akhirnya tiba semula di Reykjavik lebih kurang pada pukul 5.00 petang. Setiap peserta tour diturunkan di kawasan berdekatan dengan hostel masing-masing. Begitu juga dengan aku & Muaz. Selepas kami diturunkan, kami pun berjalan ke hostel kami yang terletak tidak jauh dari tempat kami diturunkan. Apabila sampai di hostel, kami pun berehat-rehat untuk menghilangkan penat. Sejam kemudian, kami berdua keluar semula untuk mengambil angin di sekitar kota Reykjavik memandangkan hari masih panjang. Kami kembali semula ke Sun Craft Sculpture untuk bergambar dengan monumen tersebut. Gambar-gambar yang kami ambil semalam tidak begitu cantik kerana keadaan cuaca yang tidak baik.


Sun Craft Sculpture, Reykjavik, Iceland


Sun Craft Sculpture, Reykjavik, Iceland

Selepas itu, kami ke Thjodmenningarhus, sebuah bangunan yang berfungsi sebagai perpustakaan negara dari tahun 1908 hingga 1994. Pada masa kini, ianya dijadikan sebagai pusat pameran warisan kebudayaan Viking & Icelandic. Berhampiran dengannya adalah bangunan National Theatre of Iceland, bangunan yang direkabentuk oleh arkitek tempatan yang ternama, iaitu Guðjón Samúelsson.


Thjodmenningarhus, Reykjavik, Iceland


National Theatre of Iceland, Reykjavik, Iceland

Apabila malam mula menjelma, aku berjalan bersendirian. Muaz sudah kepenatan & kembali semula ke hostel. Aku menuju semula ke Sun Craft Sculpture tadi untuk mengambil gambarnya dalam suasana malam pula. Seterusnya, aku berjalan-jalan mengambil angin di persisiran pantai. Apabila malam sudah larut, aku pun kembali semula ke hostel. Selepas membersihkan diri & solat, kami berdua masing-masing melelapkan mata.


Sun Craft Sculpture, Reykjavik, Iceland


Sun Craft Sculpture, Reykjavik, Iceland

Hari 4: 31 OGOS 2008

Hari ini adalah Hari Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia yang ke-51. Aku & Muaz tidak dapat meraikannya bersama-sama dengan warganegara Malaysia yang lain di Dublin kerana kami sedang berada di bumi Iceland. Namun, kami tidaklah begitu terkilan kerana ianya boleh diraikan di mana-mana & dengan sesiapa sahaja asalkan semangat patriotik itu tetap bertakhta di hati.

Pada hari ini, kami berdua akan mengikuti satu lagi tour bersama-sama dengan syarikat tour yang sama, iaitu Reykjavik Excursions. Kali ini kami akan mengikuti tour ke tempat yang lebih jauh berbanding tour semalam. Tour kali ini akan membawa kami ke kawasan Gunung Snæfellsjökull yang terletak di Semenanjung Snæfellsnes di bahagian barat daya negara Iceland. Nama Gunung Snæfellsjökull sememangnya amat sinonim dengan novel 'Journey To The Center Of The Earth', hasil karya penulis novel Perancis yang terkenal yang bernama Jules Verne.


Peta kedudukan Semenanjung Snæfellsnes di Iceland & perjalanan tour kami

Tour kami pada hari ini diberi nama 'The Wonders of Snæfellsjökull', bersempena dengan nama Gunung Snæfellsjökull yang menjadi destinasi utama tour ini. Tiketnya juga sudah kami tempah awal-awal melalui internet sewaktu kami di Dublin. Harganya lebih mahal berbanding harga tiket tour Golden Circle yang kami ikuti semalam. Namun, aku pasti, tour pada hari ini akan lebih menarik berbanding tour semalam kerana jarak perjalanannya yang lebih jauh & tempoh masanya yang lebih lama.

Sama seperti tour semalam, kami berdua akan dijemput oleh van syarikat tour tersebut di hadapan hostel kami. Akan tetapi, pada hari ini, kami akan dijemput seawal pukul 7.30 pagi kerana tour kami akan bermula pada pukul 8.00 pagi dari stesen bas. Oleh itu, kami berdua terpaksa bersiap-siap & bersarapan lebih awal pada hari ini. Selesai sahaja bersarapan, kami pun menunggu di hadapan hostel. Tepat pukul 7.30 pagi, van tersebut pun tiba untuk membawa kami ke stesen bas.

Tour kami pada hari ini menggunakan bas mini & bukannya bas besar seperti tour semalam kerana peserta-peserta tour 'The Wonders of Snæfellsjökull' ini tidaklah begitu ramai. Cuma lebih kurang 10 orang sahaja. Ini mungkin kerana harga tiket tour yang agak mahal. Bas mini yang kami naiki mulai bergerak tepat pukul 8.00 pagi dari stesen bas. Tour ini bermula pada pukul 8.00 pagi & akan berakhir pada pukul 7.00 petang. 11 jam lamanya. Destinasi utamanya ialah Gunung Snæfellsjökull. Walau bagaimanapun, pemandu bas itu turut menurunkan kami di beberapa buah lokasi pilihan yang cantik untuk bergambar di sepanjang perjalanan. Pemandunya yang juga merangkap pemandu pelancong itu tersangatlah ramah. Dia begitu tekun menceritakan kisah setiap tempat yang kami lalui.


Bas mini Reykjavik Excursions

Selepas beberapa minit memulakan perjalanan, kami dibawa singgah ke sebuah stesen minyak terlebih dahulu untuk membeli bekalan makanan kerana tour ini bakal memakan masa yang lama & tidak banyak kedai yang akan kami temui sepanjang perjalanan nanti. Selepas bekalan makanan telah dibeli, kami semua pun menyambung semula perjalanan kami.


Panorama indah berhampiran stesen minyak di Reykjavik, Iceland


Panorama indah berhampiran stesen minyak di Reykjavik, Iceland

Sepanjang perjalanan menaiki bas tour ini, aku dapat menyaksikan keindahan alam semulajadi yang amat mengagumkan. Bukit-bukau, gunung-ganang, kawah-kawah gunung berapi, lava-lava gunung berapi yang telah mengeras, tasik-tasik, sungai-sungai & banyak lagi fenomena alam semulajadi ciptaan yang Maha Esa begitu indah terbentang di hadapan mata aku. Aku cuma mampu mengucapkan kalimah Subhanallah.


Panorama indah di Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Panorama indah di Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Panorama indah di Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Panorama indah di Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Panorama indah di Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Panorama lava-lava gunung berapi yang telah mengeras di Semenanjung Snæfellsnes, Iceland

Perhentian pertama kami adalah sebuah kawasan tanah lapang yang berdekatan dengan sebuah gunung berapi yang telah mati. Pemandu bas berhenti di situ supaya kami semua dapat melihat sendiri & bergambar dengan gunung berapi tersebut & juga kawasan di sekitarnya. Saiz gunung berapi itu tidaklah sebesar mana. Mungkin saiznya lebih besar sebelum ia meletus. Keindahan lanskap di tempat kami berhenti ini teramatlah memukau hati. Tiada perkataan yang layak aku ucapkan untuk menggambarkan keindahan panorama yang sedang aku amati selain kalimah Subhanallah. Selepas masing-masing sudah puas bergambar, kami menyambung semula perjalanan kami.


Sebuah gunung berapi di Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Sebuah gunung berapi di Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Panorama indah di Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Panorama indah di Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Panorama indah di Semenanjung Snæfellsnes, Iceland

Dari jauh, Gunung Snæfellsjökull yang diselaputi glacier di bahagian puncaknya sudah kelihatan. Cantik sekali pemandangannya. Untuk pengetahuan anda, glacier adalah selaput ais di puncak atau lembah sesebuah gunung yang telah mengeras selepas suatu tempoh masa yang lama. Ia berbeza dengan salji. Salji cuma ada di sesebuah gunung pada Musim Sejuk sahaja. Sementara glacier pula sentiasa ada tanpa mengira musim, sama ada Musim Sejuk ataupun Musim Panas.

Pemandu bas itu memberitahu kami bahawa kami amat bertuah kerana keadaan cuaca pada hari ini tersangatlah baik. Langit berwarna biru & cerah. Awan pula cuma ada beberapa tompok sahaja. Menurut pemandu bas itu lagi, kawasan ini selalunya mendung & hujan. Dan gunung tersebut juga amat jarang sekali dapat dilihat dari jarak sejauh ini. Alhamdulillah. Aku berasa bersyukur tersangat-sangat kerana diberi peluang sebegini. Gunung Snæfellsjökull kelihatan begitu cantik sekali walaupun dari jauh. Tidak sabar pula aku untuk tiba di kakinya. Panorama di sekeliling kawasan yang sedang kami lalui juga begitu menakjubkan sekali.


Gunung Snæfellsjökull dari jarak jauh, Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Gunung Snæfellsjökull dari jarak jauh, Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Gunung Snæfellsjökull dari jarak jauh, Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Gunung Snæfellsjökull dari jarak jauh, Semenanjung Snæfellsnes, Iceland

Tidak berapa lama kemudian, kami pun tiba di kaki Gunung Snæfellsjökull. Kami tidak dibawa mendaki gunung ini. Tetapi, kami cuma dibawa mengelilingi kawasan sekitarnya sahaja yang terletak di pinggiran Lautan Atlantik. Gunung ini & kawasan persekitarannya telah dijadikan sebuah taman negara dengan nama Snæfellsjökull National Park. Ia adalah satu-satunya taman negara di Iceland yang terletak di pinggiran laut. Gunung Snæfellsjökull yang berlitupkan glacier di bahagian puncaknya walau bagaimanapun tidak dapat dilihat dengan jelas dari kawasan tempat meletak kenderaan kerana ia terlindung di sebalik sebuah gunung lain yang tidak kurang cantiknya.


Gunung yang melindungi Gunung Snæfellsjökull di Snæfellsjökull National Park, Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Gunung yang melindungi Gunung Snæfellsjökull di Snæfellsjökull National Park, Semenanjung Snæfellsnes, Iceland

Gunung Snæfellsjökull yang setinggi 1,446 meter ini sebenarnya adalah sebuah gunung berapi jenis strato yang telah lama mati. Jikalau cuaca baik, gunung ini dikatakan dapat dilihat dari bandar Reykjavik yang terletak beratus-ratus kilometer jauhnya dari sini. Kawasan di sekelilingnya merupakan perkampungan nelayan yang telah wujud sejak kurun ke-13 lagi. Industri perikanan adalah kegiatan ekonomi yang terpenting di sini.

Seperti yang telah aku katakan sebelum ini, nama Gunung Snæfellsjökull ini amat sinonim dengan novel 'Journey To The Center Of The Earth' yang diterbitkan pada tahun 1864. Novel sains fiksyen tersebut dikarang oleh penulis novel Perancis yang popular yang bernama Jules Verne. Nama Gunung Snæfellsjökull amat sinonim dengan novel tersebut kerana nama gunung ini ada disebut di dalam novel yang terkenal di seluruh dunia itu. Melalui kawah gunung inilah watak protagonis di dalam novel itu memulakan pengembaraannya ke pusat bumi. Di pusat bumi, dia menjumpai pelbagai makhluk-makhluk aneh yang sepatutnya telah pupus berjuta-juta tahun dahulu. Pengembaraannya itu berakhir di kawah Gunung Berapi Stromboli di Itali. Novel 'Journey To The Center Of The Earth' telah banyak kali diadaptasikan ke bentuk filem. Yang terbaru sekali adalah filem keluaran tahun ini yang dilakonkan oleh Brendan Fraser sebagai watak utama.


Novel Journey To The Center Of The Earth


Jules Verne


Filem Journey To The Center Of The Earth lakonan Brendan Fraser

Suasana di Snæfellsjökull National Park ini sememangnya amat menakjubkan. Terdapat banyak lagi sebenarnya tarikan utama di sini selain daripada Gunung Snæfellsjökull. Berdekatan dengan tempat meletak kenderaan, terdapat sebuah binaan yang diperbuat daripada batu yang diberi nama Bardur Snæfellsas. Menarik sekali rekabentuknya. Bardur Snæfellsas adalah satu watak yang terdapat di dalam kisah mistik penduduk-penduduk tempatan.


Bardur Snæfellsas di Snæfellsjökull National Park, Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Bardur Snæfellsas di Snæfellsjökull National Park, Semenanjung Snæfellsnes, Iceland

Kawasan Djúpalónssandur merupakan satu lagi daya tarikan utama yang terdapat di dalam taman negara ini. Ia terletak di pinggiran Lautan Atlantik. Tebing-tebing tinggi yang terdapat di sini mempunyai rupa bentuk yang pelbagai & amat menakjubkan. Kawasan ini dikatakan terbentuk hasil daripada pembekuan lava-lava gunung berapi yang mengalir ke laut. Aku benar-benar mengagumi pemandangan di kawasan Djúpalónssandur ini. Belum pernah aku melihat bentuk muka bumi yang sedemikian rupa cantiknya. Subhanallah.


Kawasan Djúpalónssandur di Snæfellsjökull National Park, Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Kawasan Djúpalónssandur di Snæfellsjökull National Park, Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Kawasan Djúpalónssandur di Snæfellsjökull National Park, Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Aku & Muaz di kawasan Djúpalónssandur di Snæfellsjökull National Park, Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Kawasan Djúpalónssandur di Snæfellsjökull National Park, Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Kawasan Djúpalónssandur di Snæfellsjökull National Park, Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Kawasan Djúpalónssandur di Snæfellsjökull National Park, Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Kawasan Djúpalónssandur di Snæfellsjökull National Park, Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Kawasan Djúpalónssandur di Snæfellsjökull National Park, Semenanjung Snæfellsnes, Iceland

Di kawasan Snæfellsjökull National Park ini juga terdapat beberapa ekor kuda yang diternak oleh penduduk tempatan. Kuda-kuda tersebut adalah daripada baka tulen yang telah hidup di pulau ini sejak beratus-ratus tahun dahulu. Saiz kuda baka tulen Iceland agak kecil berbanding kuda daripada baka-baka lain.


Kuda Iceland di Snæfellsjökull National Park, Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Kuda Iceland di Snæfellsjökull National Park, Semenanjung Snæfellsnes, Iceland

Aku & Muaz kemudiannya terus bersiar-siar di sekitar kawasan taman negara ini & mengambil beberapa keping gambar berlatar belakangkan gunung yang melindungi Gunung Snæfellsjökull itu. Indah sekali panorama dalam gambar-gambar yang kami ambil. Terutama sekali gambar panorama gunung tersebut bersama pantulan imejnya yang terlihat di permukaan air sebuah kolam. Panorama tersebut merupakan satu keindahan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Terasa seperti di syurga pula kelihatannya. Subhanallah.


Snæfellsjökull National Park, Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Snæfellsjökull National Park, Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Snæfellsjökull National Park, Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Snæfellsjökull National Park, Semenanjung Snæfellsnes, Iceland

Setelah hampir 2 jam kami semua dibawa berjalan-jalan di sekitar kawasan Snæfellsjökull National Park, kami akhirnya kembali semula ke dalam bas. Destinasi seterusnya ialah sebuah restoran untuk makan tengah hari. Sepanjang perjalanan ke restoran itu, kami dibawa melalui kaki Gunung Snæfellsjökull yang dipenuhi dengan batu-batu yang terbentuk daripada lava-lava yang telah membeku beratus-ratus tahun dahulu. Banyak sekali bilangannya. Tidak berapa lama kemudian, kami pun tiba di restoran yang dimaksudkan. Aku tidak makan kerana masih lagi kenyang. Muaz sahaja yang makan. Aku kemudiannya berjalan-jalan seorang diri untuk bergambar lagi bersama-sama dengan Gunung Snæfellsjökull yang masih lagi kelihatan. Aku masih belum puas sebenarnya bergambar dengan gunung itu.


Kaki Gunung Snæfellsjökull yang dipenuhi dengan batu-batu yang terbentuk daripada lava-lava yang telah membeku, Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Kaki Gunung Snæfellsjökull yang dipenuhi dengan batu-batu yang terbentuk daripada lava-lava yang telah membeku, Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Gunung Snæfellsjökull di Semenanjung Snæfellsnes, Iceland

Setelah semuanya selesai makan, kami semua masuk ke dalam bas. Akan tetapi, bas yang kami naiki tiba-tiba mengalami masalah teknikal pula. Enjinnya tidak dapat dihidupkan. Kami semua mulai panik. Pemandu bas itu meminta kami semua bertenang. Dia kemudiannya kembali ke restoran tadi untuk mendapatkan pertolongan. Seketika kemudian, dia datang kembali bersama seorang lelaki. Aku sendiri tidak pasti apa masalah bas tersebut & apa yang lelaki itu telah lakukan. Selepas beberapa ketika, enjin bas tersebut berjaya dihidupkan semula. Kami semua mengucapkan terima kasih kepada lelaki itu. Kemudian, kami pun meneruskan perjalanan pulang semula ke Reykjavik. Dalam perjalanan pulang, pemandu bas itu membawa kami mengelilingi Gunung Snæfellsjökull yang terletak di tengah-tengah Semenanjung Snæfellsnes itu. Hanya mereka yang berada di dalam bas tersebut sahajalah yang tahu betapa indahnya panorama yang kami saksikan sepanjang perjalanan mengelilingi gunung itu. Subhanallah.

Dalam perjalanan mengelilingi gunung tersebut, kami singgah sebentar di sebuah persisiran pantai. Ombak Lautan Atlantik yang memukul pinggiran pantai ini teramatlah kuat sekali. Yang menarik tentang pantai ini adalah rupa bentuk batu-batunya yang unik. Selepas mengambil beberapa keping gambar untuk diabadikan, kami kembali semula ke dalam bas.


Persisiran sebuah pantai di Semenanjung Snæfellsnes, Iceland


Persisiran sebuah pantai di Semenanjung Snæfellsnes, Iceland

Beberapa ketika kemudian, hujan tiba-tiba turun dengan lebat sekali. Mujurlah kami sempat menikmati keindahan Snæfellsjökull National Park sebelum hujan mulai turun. Walau bagaimanapun, hujan itu sebenarnya cuma turun di satu kawasan sahaja. Tidak berapa lama kemudian, kami melalui kawasan yang cerah pula.

Kami tiba semula di kota Reykjavik lebih kurang pukul 6.30 petang. Kami dibawa singgah ke stesen minyak terlebih dahulu untuk mengisi perut-perut yang sedang lapar. Aku hanya membeli roti kosong sahaja. Selepas perut telah diisi, kami pun mulai bergerak. Kesemua peserta tour ini kemudiannya dihantar pulang ke hostel masing-masing termasuklah aku & Muaz. Sesampainya kami di hostel, kami terus menelentangkan badan kami kepenatan. Setelah hilang penat, kami menunaikan solat jamak Asar & Zohor.

Selepas solat, aku keluar semula untuk menikmati pemandangan kota Reykjavik pada waktu senja. Cantik juga pemandangannya. Kemudian, aku & Muaz singgah di sebuah kedai menjual pizza untuk membeli beberapa potong pizza untuk dibawa pulang ke hostel. Sekembalinya kami ke hostel, kami pun menjamu selera dengan menikmati pizza yang enak itu. Selepas solat jamak Maghrib & Isyak, kami pun bersedia untuk melelapkan mata. Belum sempat kami dibuai mimpi, kami menerima sms daripada rakan-rakan di Dublin yang menyatakan bahawa 1 Ramadhan jatuh pada hari esok. Hampir terlupa pula kami bahawa hari ini adalah 29 Sya'aban. Pada malam ini juga, aku & Muaz melafazkan niat puasa sebulan dalam bulan Ramadhan.


Senja di Reykjavik, Iceland


Senja di Reykjavik, Iceland


Senja di Reykjavik, Iceland

Hari 5: 1 SEPTEMBER 2008

Hari ini bersamaan dengan 1 Ramadhan 1429H, hari pertama umat Islam di sesetengah negara termasuk Ireland menunaikan ibadah puasa Ramadhan pada tahun ini. Dan hari ini juga adalah hari terakhir aku & Muaz di bumi Iceland. Kami akan meninggalkan negara ini pada waktu petang nanti. Akan tetapi, sebelum berpijak di Lapangan Terbang Keflavik, kami akan singgah dahulu di Blue Lagoon, sebuah lagun yang berunsurkan ‘geothermal spa’ yang terletak dalam perjalanan ke lapangan terbang tersebut. Kami mengambil pakej tour Reykjavik Excursions untuk ke Blue Lagoon. Pakej tersebut termasuk sekali dengan pengangkutan terus ke Lapangan Terbang Keflavik dari lagun itu selepas lebih kurang 2 jam menghabiskan masa di situ. Kami menempah pakej itu melalui internet sewaktu di Dublin.


Peta kedudukan Blue Lagoon di dalam Iceland

Selepas selesai mengemaskan diri & beg-beg, aku & Muaz pun terus mendaftar keluar dari hostel yang kami tumpangi & berjalan kaki menuju ke stesen bas Reykjavik. Setibanya kami di stesen bas itu, bas yang kami nantikan sudah sedia ada di situ. Lalu, kami pun terus masuk ke dalamnya. Bas tersebut bertolak tepat pada pukul 11.00 pagi. Ia tiba di Blue Lagoon 45 minit kemudian.

Apabila sudah tiba di Blue Lagoon, kami meninggalkan beg-beg kami di dalam bas kerana kami akan menaiki bas yang sama untuk ke lapangan terbang nanti. Kami cuma membawa bersama-sama kami barang-barang berharga sahaja seperti dompet, passport & kamera. Tiket untuk masuk ke dalam Blue Lagoon termasuk sekali dalam pakej yang kami ambil. Oleh itu, kami tidak perlu lagi membayar apa-apa.

Aku & Muaz kemudiannya menyewa seluar mandi. Sebelum boleh mandi di dalam lagun tersebut, semua pengunjung dikehendaki membersihkan badan terlebih dahulu dengan mandi di dalam bilik air yang disediakan. Kami mengikut sahaja peraturan yang dikenakan. Selepas mandi di dalam bilik air tersebut, kami menyimpan barang-barang berharga kami di dalam loker yang disediakan. Kami cuma membawa kamera sahaja ke kawasan lagun. Sesampainya kami di kawasan lagun, kami pun terus melompat masuk ke dalamnya. Hahaha.

Aku & Muaz mandi sepuas yang mungkin di dalam Blue Lagoon tersebut yang sememangnya agak panas & menyegarkan. Kami sempat juga menyapu muka & badan kami dengan lumpur-lumpur yang terdapat di dalam lagun ini. Ia dikatakan boleh menyihatkan kulit badan & muka. Ramai sekali pengunjung yang bermandi-manda di dalam lagun ini. Di tengah-tengahnya, kelihatan kepulan-kepulan wap putih. Kami cuba ke kawasan tersebut. Ternyata, air di situ lebih panas berbanding air di pinggir lagun.

Blue Lagoon adalah antara daya tarikan utama pelancong di Iceland. Air panas yang terkandung di dalam lagun ini mempunyai suhu setinggi 40 darjah celcius. Air panas tersebut disalurkan dari kilang janakuasa elektrik berhampiran. Kilang itu menggunakan lava yang terhasil dari perut bumi untuk memanaskan air bagi menjana kuasa elektrik. Air tersebutlah yang kemudiannya disalurkan ke Blue Lagoon. Maka, air tersebut amat kaya dengan kandungan mineral seperti silika & sulfur. Ia dikatakan mampu mengubati penyakit-penyakit kulit seperti psoriasis.

Kami menghabiskan masa hampir 2 jam lamanya di dalam lagun tersebut. Kami sempat mengambil beberapa keping gambar untuk dijadikan kenangan & untuk ditunjukkan kepada rakan-rakan. Kepanasan air di dalam lagun ini menyebabkan kami berasa amat selesa & jikalau boleh, kami tidak mahu keluar dari dalamnya. Walau bagaimanapun, kami tetap perlu mengejar masa kerana bas yang sedang menunggu kami di luar akan bertolak ke lapangan terbang pada pukul 2.15 petang nanti.


Pintu masuk Blue Lagoon, Iceland


Blue Lagoon, Iceland


Blue Lagoon, Iceland


Blue Lagoon, Iceland


Blue Lagoon, Iceland


Blue Lagoon, Iceland


Blue Lagoon, Iceland


Menyapu lumpur di muka di Blue Lagoon, Iceland

Lebih kurang pukul 1.45 tengah hari, iaitu selepas hampir 2 jam kami bermandi-manda di dalam lagun tersebut, kami pun terus melangkah menuju ke bilik mandi utk membersihkan diri & kemudiannya menyalin pakaian. Selepas barang-barang kami diambil dari loker, kami pun terus keluar & menunggu berhampiran dengan bas. Tidak berapa lama kemudian, pintu bas pun dibuka & semua penumpang masuk ke dalamnya. Beberapa ketika selepas itu, bas pun mulai bergerak menuju ke Lapangan Terbang Keflavik. Lebih kurang pukul 2.35 petang, kami pun tiba di lapangan terbang tersebut.

Kami kemudiannya terus mendaftar masuk, melalui zon pemeriksaan sekuriti & menunggu di pintu perlepasan. Penerbangan Icelandair kami ke London dijadualkan berlepas pada pukul 4.10 petang. Walau bagaimanapun, seketika kemudian, satu pengumuman telah dibuat. Penerbangan kami terpaksa ditunda ke pukul 5.10 petang kerana terdapat masalah teknikal. Ramai penumpang mengeluh, termasuklah kami berdua. Kami tiada pilihan lain selain daripada menunggu. Sambil kami berdua menunggu, kami berbual-bual dengan seorang lelaki warganegara United Kingdom yang pernah menetap di Sarawak selama beberapa tahun. Dia menceritakan tentang keseronakannya tinggal di Sarawak. Kami yang tengah bosan menunggu berasa terhibur pula mendengar ceritanya.

Tidak berapa lama kemudian, kesemua penumpang pun dipanggil masuk ke dalam pesawat. Lebih kurang pukul 5.45 petang, barulah penerbangan Icelandair itu berlepas menuju ke London. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 3 jam lamanya. Kami berbuka puasa di dalam pesawat. Lebih kurang pukul 9.45 malam waktu tempatan United Kingdom, kami pun tiba di Lapangan Terbang Heathrow dengan selamat.

Pengalaman selama lebih kurang 4 hari di bumi Iceland adalah antara pengalaman unik yang amat sukar untuk aku lupakan. Ini adalah pengalaman pertama aku menjejakkan kaki di sebuah negara yang mempunyai gunung-gunung berapi yang masih lagi aktif & juga yang seringkali dilanda kejadian gempa bumi. Mujurlah tiada kejadian buruk menimpa kami sewaktu berada di sana. Syukur kepada Allah SWT. Ini juga adalah pengalaman pertama aku ke negara yang kedudukan geografinya terletak di barat negara Ireland & juga yang amat hampir dengan Garisan Artik.

Secara jujurnya, Iceland adalah negara yang mempunyai lanskap yang paling cantik sekali yang pernah aku kunjungi. Ianya mungkin sama dengan New Zealand, walaupun aku belum pernah ke negara Kiwi itu. Ternyata, Allah SWT itu Maha Adil. Walaupun negara Iceland, New Zealand & beberapa lagi negara lain yang seangkatan dengannya seringkali ditimpa bencana letusan gunung berapi & gempa bumi, negara-negara tersebut mempunyai lanskap yang bersih, indah & menakjubkan. Tidak hairanlah ramai pelancong berpusu-pusu berkunjung ke Iceland walaupun kos pengangkutan untuk ke negara itu & kos perbelanjaan di situ agak mahal. Mereka semua datang semata-mata untuk menyaksikan sendiri kecantikan alam semulajadi yang ada di bumi tersebut.

Walaupun banyak wang aku telah dihabiskan untuk merealisasikan hajat aku untuk menjejakkan kaki di Iceland, aku tidak pernah menyesal. Sesungguhnya, setiap pengalaman yang aku kutip sewaktu berada di sana lebih tinggi nilainya daripada berbillion wang yang ada di muka bumi ini.

TAMAT.


Hari 1: 1 SEPTEMBER 2008

Setibanya aku & Muaz di Lapangan Terbang Heathrow, London pada pukul 9.45 malam dari Iceland, kami terus melalui kaunter imigresen & seterusnya mengambil semula beg-beg kami. Kami kemudiannya bergegas untuk ke stesen bas Victoria yang terletak jauh di pusat bandar London. Kami akan menaiki bas dari stesen bas tersebut untuk ke Manchester. Kami telah pun menempah tiket melalui internet. Bas tersebut dijadualkan bertolak pada pukul 11.30 malam.

Kami berdua sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Heathrow pada pukul 8.10 malam. Namun, disebabkan kelewatan yang berlaku di Lapangan Terbang Keflavik, Iceland, kami tiba lewat 1½ jam. Proses imigresen & pengambilan beg sahaja sudah memakan masa 30 minit. Oleh itu, kami cuma tinggal 1¼ jam sahaja lagi untuk ke stesen bas Victoria dari lapangan terbang tersebut sebelum jam menunjukkan pukul 11.30 malam. Sesudah dikira-kira, kami telah mencapai kata putus bahawa kami tidak akan sempat untuk tiba di stesen bas tersebut sebelum pukul 11.30 malam sekiranya kami menggunakan perkhidmatan Underground. Oleh itu, kami tiada pilihan lain selain menaiki teksi sahaja. Itu sahajalah cara pengangkutan yang paling laju yang ada. Kami lantas terus menahan sebuah teksi & meminta pemandunya membawa kami ke stesen bas Victoria. Walaupun tambangnya mahal, kami lebih rela daripada terkandas di London.

Kami tiba di stesen bas Victoria tepat pukul 11.15 malam. Kami masih ada 15 minit untuk mengejar bas ke Manchester. Alhamdulillah. Sedang kami berlari-lari ke tempat menunggu bas tersebut, kami sempat membeli bekalan makanan untuk dimakan di dalam bas. Lapar sungguh rasanya. Selepas itu, kami cepat-cepat masuk ke dalam bas. Tidak berapa lama selepas itu, bas pun mulai bergerak meninggalkan London menuju ke Manchester. Lega rasanya kerana kami sempat mengejar bas tersebut. Syukur kepada Allah SWT. Perjalanan ke Manchester dari London memakan masa lebih kurang 6¼ jam.

Hari 2: 2 SEPTEMBER 2008

Aku & Muaz tiba di stesen bas Manchester Central lebih kurang pukul 5.45 pagi. Kami sebenarnya perlu ke Lapangan Terbang Manchester untuk menjemput Hadi, rakan serumah kami yang juga merupakan pelajar Tahun Pertama Perubatan di Royal College of Surgeons, sama seperti Muaz. Dia dijangka akan tiba di lapangan tersebut tidak lama lagi. Dia akan menyertai kami untuk berjalan-jalan di Manchester & Liverpool. Walau bagaimanapun, kami akhirnya mengambil keputusan untuk terus ke hostel dahulu untuk berehat-rehat. Kami akan ke lapangan terbang itu sesudah membersihkan diri & sebagainya.

Hostel yang kami tempah tidak susah untuk dicari. Selepas mendaftar masuk, kami pun berehat-rehat. Tidak berapa lama kemudian, aku mendapat sms daripada Hadi. Dia menyatakan yang dia terpaksa membatalkan rancangannya untuk menyertai kami berjalan-jalan di Manchester & Liverpool. Budak bertuah. Saat-saat terakhir baru dia hendak memberitahu aku. Mujurlah aku belum berangkat ke lapangan terbang. Aku kemudiannya mandi & bersiap-siap. Muaz sedang lena tidur. Aku mengajaknya untuk bergerak memulakan pengembaraan kami. Akan tetapi, dia berkata dia hendak tidur dahulu. Kami kemudiannya mengambil keputusan untuk bergerak berasingan.

Ini sebenarnya adalah kali kedua aku memijakkan kaki di bumi Manchester setelah hampir 6 tahun lamanya. Kali pertama aku ke sini adalah sewaktu Musim Sejuk tahun 2002. Aku ke sini seorang diri pada waktu itu untuk melawat sahabat-sahabat aku yang belajar di sini. Manchester adalah tempat di luar pulau Ireland yang pertama aku kunjungi. Di bumi inilah aku memulakan pengembaraan aku yang kini sudah pun mencecah 44 buah negara. Di sinilah aku mengenali & belajar erti pengembaraan. Hahaha. Sememangnya bumi Manchester berada di tempat yang istimewa dalam jiwa aku. Disebabkan itulah aku teringin untuk kembali ke sini semula untuk mengutip nostalgia-nostalgia lama.


Peta kedudukan Manchester dalam England, UK

Lokasi pertama di Manchester yang aku kunjungi ialah Chinatown. Ianya adalah Chinatown yang kedua terbesar di United Kingdom & yang ketiga terbesar di benua Eropah. Ianya mula dibuka pada tahun 1987. Di sini bukan sahaja terdapat kedai-kedai kepunyaan bangsa Cina dari negara China, malah dari Malaysia, Singapura & Thailand pun ada.


Chinatown, Manchester, UK


Chinatown, Manchester, UK

Seterusnya, aku menuju ke bangunan Manchester Art Gallery untuk bergambar di hadapannya. Bangunan ini dahulunya merupakan bangunan Royal Manchester Institution yang dibina pada tahun 1824. Ia kini berfungsi sebagai galeri yang mempamerkan koleksi lukisan-lukisan yang terkenal. Selepas itu, aku ke Manchester Town Hall yang menempatkan majlis perbandaran bandar ini. Bangunan ini siap dibina pada tahun 1877 & terletak berhampiran Albert Square. Pada bangunan tersebut terdapat menara jam setinggi 85 meter. Di hadapan bangunan tersebut pula terdapat 12 buah ukiran patung orang-orang yang terkenal di England. Antaranya ialah Henry III, Elizabeth I & St George.


Manchester Art Gallery, Manchester, UK


Manchester Town Hall, Manchester, UK


Manchester Town Hall, Manchester, UK

Aku kemudiannya berjalan menuju ke Manchester Central Library yang berbentuk bulatan. Lokasinya berhampiran dengan Manchester Town Hall. Di hadapannya ialah St Peter’s Square. Ianya adalah ibu pejabat kepada Manchester Library & Information Service. Bangunan yang berbentuk seakan-akan seperti bangunan Pantheon di Rome ini dibina antara tahun 1930 & 1934. Di dalam bangunan ini juga terdapat beberapa dewan seperti Great Hall & Shakespeare Hall. Library Theatre juga terdapat di dalamnya.


Manchester Central Library, Manchester, UK


St Peter’s Square, Manchester, UK

Destinasi seterusnya ialah Manchester Central yang pernah dikenali dengan nama G-Mex & Manchester International Convention Centre. Ia adalah pusat pameran & konferens yang dibina di bangunan bekas stesen keretapi Manchester. Ia dibina antara tahun 1875 hingga 1880 sebagai stesen keretapi. Ia kemudiannya ditutup pada tahun 1969. Selepas itu, kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan pada tahun 1982 untuk menukarkan fungsinya kepada fungsinya sekarang ini. Pelbagai acara sukan pernah diadakan di sini. Antaranya ialah acara sukan gimnastik, angkat berat, judo & gusti Sukan Komanwel di Manchester tahun 2002.


Manchester Central, Manchester, UK

Selepas itu, aku ke St Ann’s Church pula, iaitu gereja lama yang dibina pada tahun 1712. Selepas bergambar di hadapan & di dalam gereja itu, aku berjalan menuju ke sebuah lagi gereja, iaitu Manchester Cathedral. Dibina antara tahun 1421 & 1882, ia adalah gereja yang terpenting di Manchester. Ia pernah dibom oleh tentera Nazi Jerman sewaktu Perang Dunia Kedua & oleh tentera IRA pada tahun 1996.


St Ann’s Church, Manchester, UK


Ruang dalam St Ann’s Church, Manchester, UK


Manchester Cathedral, Manchester, UK

Kemudian, aku menuju ke kompleks membeli-belah bernama Manchester Arndale yang terletak di Market Street. Bangunan ini siap dibina pada tahun 1970-an & merupakan cawangan Arndale Centres yang terbesar di United Kingdom pada dekad tersebut. Bangunan setinggi 3 tingkat ini mempunyai lebih kurang 210 buah kedai di dalamnya. Kompleks membeli-belah ini juga turut dibom oleh tentera IRA pada tahun 1996. Aku tidak membeli apa-apa di sini. Sekadar ingin melihat-lihat sahaja.


Manchester Arndale, Manchester, UK


Manchester Arndale, Manchester, UK

Lokasi seterusnya yang aku jejaki ialah Piccadilly Gardens yang terletak betul-betul di tengah kota Manchester. Selama bertahun-tahun kawasan ini menjadi hab utama sistem pengangkutan awam di Manchester seperti bas & tram. Stesen keretapi juga terletak tidak jauh dari sini. Di sekeliling taman ini terdapat beberapa bangunan pencakar langit yang terkenal seperti Piccadilly Plaza, Thistle Hotel & Brittania Hotel. Terdapat juga beberapa ukiran patung orang-orang ternama di sini seperti James Watt & Duke of Wellington. Piccadilly Gardens seringkali dipenuhi oleh orang ramai yang lalu-lalang & tidak kurang juga yang beriadah bersama rakan-rakan & keluarga. Ia juga menjadi tempat tumpuan burung-burung merpati.


Piccadilly Gardens, Manchester, UK


Piccadilly Gardens, Manchester, UK


Piccadilly Gardens, Manchester, UK

Selepas bergambar di Piccadilly Gardens, aku terus ke kawasan University of Manchester pula yang dibentuk pada tahun 2004 selepas percantuman Victoria University of Manchester yang diasaskan pada tahun 1851 & UMIST yang diasaskan pada tahun 1824. Universiti ini menampung seramai lebih daripada 60,000 orang pelajar termasuklah pelajar Malaysia yang mengambil bidang perubatan & kejuruteraan. Ramai rakan aku pernah belajar di sini. University of Manchester adalah university yang ketiga terbesar di United Kingdom dari segi jumlah pelajar selepas Oxford & Cambridge. Ia juga adalah antara universiti-universiti di negara tersebut yang menjadi rebutan oleh pelajar-pelajar tempatan mahupun luar.


University of Manchester, Manchester, UK

Selepas bergambar dengan nama universiti itu, aku meneruskan pengembaraan aku ke Old Trafford Stadium, stadium yang amat terkenal di seluruh pelusuk dunia. Inilah stadium yang menjadi ‘rumah’ kepada kelab bola sepak Manchester United. Walaupun aku bukanlah peminat kelab itu, aku sengaja ke stadium itu supaya rakan-rakan aku yang meminati kelab tersebut akan berasa cemburu dengan aku. Hahaha.

Aku ke stadium tersebut dengan menaiki tram. Sewaktu aku menaiki tram, secara tiba-tiba tram ini berhenti. Mujurlah aku tidak mengalami apa-apa kecederaan. Terdapat sedikit masalah teknikal. Tidak berapa lama kemudian, tram itu pun menyambung perjalanannya. Beberapa ketika kemudian, aku pun turun di stesen yang paling hampir dengan Old Trafford Stadium. Jauh juga aku perlu berjalan dari stesen tersebut untuk ke stadium itu. Lebih kurang 20 minit.

Aku sebenarnya telah pun menempah pakej tour stadium tersebut. Tour aku akan bermula pada pukul 3.15 petang. Aku tiba di stadium itu 15 minit sebelum tour bermula. Tidak berapa lama kemudian, aku pun dipanggil untuk mengikuti tour tersebut. Kumpulan tour itu disertai oleh lebih kurang 10 orang. Kami dibawa mengelilingi stadium tersebut sambil diberi penerangan oleh ketua tour tersebut. Boleh dikatakan semua tempat & bilik di dalam stadium itu kami masuk. Antaranya ialah bilik persalinan & juga kawasan tempat duduk. Tercapai juga hajat aku untuk masuk ke dalam Old Trafford Stadium. Aku tidak sempat untuk masuk ke dalam stadiuim ini sewaktu aku pertama kali di Manchester 6 tahun lepas kerana kesuntukan masa. Mujurlah kali ini aku mempunyai kesempatan masa untuk masuk ke dalamnya.

Old Trafford Stadium ini mula dibuka pada tahun 1910 yang menelan belanja sebanyak £90,000 untuk membinanya. Dengan keupayaannya yang boleh menampung sebanyak 76,212 penonton, stadium ini adalah stadium bola sepak yang kedua terbesar di United Kingdom selepas Wembley Stadium di London. Stadium ini turut digelar 'Theatre of Dreams' oleh bekas pemain kelab Manchester United yang bernama Bobby Charlton. Stadium ini seringkali digunakan untuk perlawanan bola sepak seperti FA Cup, World Cup 1966, Euro Cup 1996 & EUFA Champions League 2003. Stadium ini juga turut digunakan untuk perlawanan ragbi seperti Rugby League World Cup 2000.

Selepas puas dengan tour yang mengambil masa hampir sejam itu, aku ke kedai cenderahati pula untuk membeli sesuatu untuk dibawa pulang. Selepas itu, aku keluar untuk bergambar berlatarbelakangkan stadium itu. Gambar tersebut sudah pastinya membuatkan rakan-rakan aku di Malaysia cemburu. Hahaha. Selepas itu, aku pun berjalan kembali ke stesen tram. Selepas beberapa minit menunggu, tram yang dinantikan pun tiba & aku terus masuk ke dalamya.


Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Ruang dalam Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Ruang dalam Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Ruang dalam Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Ruang dalam Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Ruang dalam Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Bilik persalinan di ruang dalam Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Bilik persalinan di ruang dalam Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Ruang dalam Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Ruang dalam Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Ruang dalam Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Ruang dalam Old Trafford Stadium, Manchester, UK

Apabila tiba di pusat bandar Manchester, aku berjalan pulang ke hostel untuk berehat-rehat & menunaikan solat. Muaz tiada dalam bilik. Mungkin dia sedang seronok menjelajahi kota Manchester ini seorang diri. Apabila waktu Maghrib sudah hampir, aku pun keluar untuk mencari makanan untuk berbuka puasa. Aku ke restoran halal yang menjual kebab. Aku berbuka puasa di situ. Kemudian, aku mengambil angin malam di Manchester. Apabila malam sudah larut, aku pun kembali semula ke hostel. Muaz waktu itu sudah pun berada di dalam hostel. Selepas mandi & solat, kami pun terus melelapkan mata.

Hari 3: 3 SEPTEMBER 2008

Apabila kami sudah selesai membersihkan diri & mengemaskan barang-barang, kami terus menuju ke stesen bas Manchester Central. Kami akan ke Liverpool pagi ini. Bas National Express ke Liverpool dijadualkan bertolak pada pukul 8.00 pagi. Setelah beberapa minit menunggu, bas yang dinantikan pun tiba. Kami berdua lantas masuk ke dalamnya. Lebih kurang pukul 8.00 pagi, bas itu pun mulai bergerak meninggalkan Manchester menuju ke Liverpool. Jarak antara Manchester & Liverpool tidak sejauh mana. Perjalanan dengan bas mengambil masa hanya selama 1¼ jam sahaja. Lebih kurang pukul 9.15 pagi, kami pun tiba di stesen bas Liverpool.

Setibanya kami di stesen bas itu, kami terus mencari lokasi stesen keretapi Liverpool Lime Street untuk menyimpan barang-barang kami. Kami akan terus pulang ke Dublin pada waktu malam nanti. Kami tidak menginap di mana-mana hostel di Liverpool. Oleh itu, kami perlu mencari tempat untuk menyimpan barang. Stesen bas Liverpool tidak terdapat kemudahan menyimpan barang. Disebabkan itulah kami terpaksa ke stesen keretapi tersebut kerana di situ sahajalah adanya kemudahan menyimpan barang.

Setelah menyimpan barang di stesen keretapi Liverpool Lime Street, kami pun memulakan ekspedisi pengembaraan kami. Kami berdua tidak berjalan-jalan bersama juga di Liverpool kerana masing-masing lebih selesa mengembara bersendirian. Oleh itu, kami menetapkan waktu & lokasi untuk berjumpa semula pada waktu petang nanti. Kami menetapkan pukul 5.30 petang di tempat penyimpanan beg. Kami kemudiannya pun berpecah mengikut haluan masing-masing.


Stesen Keretapi Liverpool Lime Street, Liverpool, UK


Stesen Keretapi Liverpool Lime Street, Liverpool, UK

Ini adalah kali pertama aku menjejakkan kaki aku di bumi Liverpool. Liverpool adalah bandar pelabuhan yang penting di England. Ia terletak di dalam daerah Merseyside, di bahagian barat laut England, di pinggir Laut Irish. Populasi penduduk di Liverpool adalah seramai 435,000 orang. Penduduk-penduduk di sini dipanggil ‘Scousers’ yang mempunyai loghat Bahasa Inggeris mereka yang tersendiri. Liverpool juga amat sinonim dengan kumpulan muzik The Beatles yang pernah popular di seluruh dunia ketika era 1960-an. Bandar ini adalah bandar kelahiran kumpulan itu. 6 lokasi di Liverpool telah disenaraikan dalam ‘UNESCO World Heritage Sites’. Keenam-enam lokasi itu digabungkan & diberi nama Liverpool Maritime Merchantile City. Enam lokasi tersebut ialah Pier Head, Albert Dock, Stanley Dock Conservation Area, Duke Street Conservation Area, Castle Steet Conservation Area & William Brown Street Conservation Area.


Kedudukan Liverpool dalam peta England, UK


The Beatles

Menurut sejarah, Liverpool diasaskan pada tahun 1207, sewaktu England diperintah oleh Raja yang bernama John. Perkembangan Liverpool agak lembap sebelum kurun ke-17. Mulai kurun ke-17, barulah ianya mulai berkembang dengan adanya urus niaga penjualan hamba. Ia menjadi pusat penjualan hamba yang terbesar di United Kingdom pada waktu itu & juga antara yang terbesar di Eropah. Pada tahun 1830, landasan keretapi antarabandar yang pertama di dunia telah dibina menghubungkan Liverpool & Manchester.

Populasi Liverpool meningkat secara mendadak pada tahun 1840-an akibat penghijrahan besar-besaran orang-orang Irish disebabkan kebuluran yang sedang melanda Ireland ketika itu. Pada tahun 1851, ¼ daripada penduduk Liverpool adalah orang-orang Irish. Serangan bom yang dilakukan oleh tentera Nazi Jerman di kota ini sewaktu Perang Dunia II telah membunuh seramai 2,500 orang & hampir separuh daripada kota ini termusnah. Selepas tamatnya perang tersebut, barulah kerja-kerja membaik pulih dimulakan.

Sewaktu aku keluar daripada stesen keretapi Liverpool Lime Street, aku terlihat sesuatu benda yang menarik yang digantung pada bangunan Concourse House, berhampiran dengan stesen keretapi itu. Ianya adalah labah-labah mekanikal yang diberi nama La Princesse, yang telah direka & dioperasikan oleh sebuah syarikat Perancis. Labah-labah mekanikal tersebut direka untuk meraikan perayaan penghormatan bandar Liverpool sebagai European Capital of Culture tahun 2008, bersama-sama dengan sebuah lagi bandar di Norway yang bernama Stavanger. Menurut kata penduduk tempatan, hari ini adalah hari pertama labah-labah tersebut dilihat. Terasa bangga pula aku kerana melihatnya pada hari pertama ia dipasang. Labah-labah ini kemudiannya dikatakan akan digerakkan ke seluruh kota Liverpool melalui jalan-jalan utama dari tarikh 5 September hingga 7 September. Hahaha. Menarik betul. Malang sekali, aku tidak dapat menyaksikannya.


Labah-Labah Mekanikal, Liverpool, UK


Labah-Labah Mekanikal, Liverpool, UK


Logo Liverpool, European Capital of Culture 2008

Berhampiran dengan stesen keretapi Lime Street Liverpool juga terletak sebuah menara yang bernama St John’s Tower. Ia juga turut dipanggil Radio City Tower. Menara setinggi 138 meter ini dirasmikan oleh Ratu Elizabeth II pada tahun 1969. Ia pada mulanya dibina bertujuan untuk membantu sistem pengudaraan St John’s Market yang terletak di bawahnya, namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana terdapat masalah tertentu. Mulai tahun 2000, menara ini dijadikan pejabat Radio City 96.7. Pada masa kini, terdapat restoran berputar & platform tinjau di atas puncak menara tersebut.


St John’s Tower, Liverpool, UK

Bertentangan dengan stesen keretapi Lime Street Liverpool, terletak sebuah bangunan besar yang diberi nama St George’s Hall. Bangunan yang bercirikan senibiba neo-klasikal ini mempunyai dewan-dewan konsert & bilik-bilik mahkamah di dalamnya. Bangunan ini terletak di dalam kawasan William Brown Street Conservation Area yang merupakan salah satu lokasi di Liverpool yang tersenarai dalam UNESCO World Heritage Sites. Kerja-kerja pembinaan bangunan ini telah dimulakan pada tahun 1841 & berakhir pada tahun 1854. Di hadapan St George’s Hall terdapat sebuah kaki lima yang diberi nama St George’s Plateau. Di sini terdapat ukiran 4 ekor patung singa & juga ukiran patung equestrian Putera Albert & Ratu Victoria. Di lokasi inilah peminat-peminat The Beatles berkumpul sewaktu meratapi kematian 2 orang anggota kumpulan tersebut, iaitu John Lennon & George Harrison.


St George’s Hall, Liverpool, UK


Patung-patung Singa di St George’s Plateau, Liverpool, UK


Ukiran Patung Equestrian Ratu Victoria di St George’s Plateau, Liverpool, UK


St George’s Plateau, Liverpool, UK

Seterusnya, aku berjalan menuju ke Walker Art Gallery yang terletak berdekatan dengan St George’s Hall. Galeri ini mempamerkan antara koleksi lukisan-lukisan yang terbesar di England. Bangunan ini mula dirasmikan pada tahun 1877 & dinamakan bersempena dengan nama bekas Datuk Bandar Liverpool yang bernama Sir Andrew Barclay Walker. Ia juga turut terletak di dalam lokasi William Brown Street Conservation Area. William Brown Street adalah satu-satunya jalan di England yang tidak mempunyai apa-apa bangunan lain selain daripada muzium, galeri & perpustakaan.


Walker Art Gallery, Liverpool, UK

Sebuah lagi bangunan yang terletak dalam kawasan William Brown Street Conservation Area ialah bangunan William Brown Library & Museum. Bangunan yang dibina pada pertengahan kurun ke-19 ini menempatkan World Museum Liverpool & Liverpool Central Library, perpustakaan yang terbesar di kota ini.


World Museum Liverpool & Liverpool Central Library, Liverpool, UK


World Museum Liverpool & Liverpool Central Library, Liverpool, UK

Selepas bergambar dengan bangunan-bangunan yang terletak di kawasan William Brown Street Conservation Area, aku meneruskan perjalanan ke lokasi yang seterusnya, iaitu Municipal Offices yang terletak di Water Street. Aku sendiri kurang pasti apa fungsi sebenarnya bangunan ini. Selepas bergambar di sini, aku terus berjalan ke Liverpool Town Hall yang merupakan kediaman rasmi Datuk Bandar Liverpool. Bangunan yang elegan & berunsurkan gothic ini siap dibina pada tahun 1754. Walau bagaimanapun, kawasan dalaman bangunan ini mengalami kerosakan yang teruk sewaktu kebakaran yang berlaku pada tahun 1795. Ia diperbaiki semula selepas kejadian itu. Bersebelahan dengan Liverpool Town Hall, terletak sebuah monumen yang diberi nama Nelson Monument. Monumen yang dirasmikan pada tahun 1813 ini dibina sempena memperingati Horation Nelson, seorang tentera laut England yang banyak berjasa.


Municipal Offices, Liverpool, UK


Liverpool Town Hall, Liverpool, UK


Liverpool Town Hall & Nelson Monument, Liverpool, UK

Selepas itu, aku meneruskan langkah menuju ke Queen Victoria Monument, sebuah monumen yang cantik & klasik. Monumen ini terletak di tapak Liverpool Castle yang telah dirobohkan pada tahun 1725 untuk digantikan dengan St George’s Church. Gereja tersebut akhirnya turut dirobohkan pada tahun 1889 & digantikan dengan Queen Victoria Monument ini.


Queen Victoria Monument, Liverpool, UK

Selepas bergambar denan Queen Victoria Monument, aku ke destinasi yang seterusnya, iaitu 3 buah deretan bangunan yang terletak di pinggir laut yang diberi jolokan Liverpool’s Three Graces, iaitu Port of Liverpool Building, Cunard Building & Liver Building. Ketiga-tiganya terletak dalam lokasi Pier Head yang tersenarai dalam UNESCO World Heritage Sites. Port of Liverpool Building turut dikenali sebagai Dock Office. Bangunan yang siap dibina pada tahun 1907 ini adalah ibu pejabat kepada Mersey Docks and Harbour Board sehingga tahun 1994, sebelum ia dijual kepada syarikat pembangunan hartanah Downing pada tahun 2001.

Cunard Building yang terletak di tengah-tengah antara Liverpool’s Three Graces itu dibina antara tahun 1914 & 1917. Bangunan ini merupakan bangunan ibu pejabat syarikat perkapalan Cunard Steamship Company sehingga tahun 1960-an, sebelum ianya dimiliki oleh Merseyside Pension Fund.


Port of Liverpool & Cunard Building, Liverpool, UK

Royal Liver Building pula adalah bangunan yang dibina pada tahun 1911 & merupakan pejabat kepada Royal Liver Assurance Group. Bangunan ini merupakan bangunan tertinggi di Liverpool sehingga tahun 1965, sebelum St John’s Tower dibina pada tahun tersebut. Ia kini merupakan bangunan kedua tertinggi di Liverpool & merupakan antara mercu tanda utama bandar ini. Bangunan ini mempunyai 2 buah menara & terdapat sebuah jam pada setiap menara. Jam tersebut yang masing-masingnya berdiameter 7.6 meter merupakan sepasang jam yang terbesar di United Kingdom, mengalahkan jam pada Big Ben di London. Di puncak kedua-dua buah menara itu pula terdapat sebuah patung burung di kedua-duanya yang diberi nama Liver Birds.


Royal Liver Building, Liverpool, UK


Royal Liver Building, Liverpool, UK

Berdekatan dengan ketiga-tiga bangunan tadi, terdapat sebuah gereja kecil yang diberi nama Church of Our Lady and Saint Nicholas. Tidak jauh dari ketiga-tiga bangunan itu juga, iaitu di Pier Head, terletak Titanic Memorial, sebuah monumen yang dibina bagi mengenangkan jasa-jasa kru-kru kapal Titanic yang kekal dengan tugasan mereka untuk sedaya-upaya melambatkan penenggelaman kapal tersebut bagi menyelamatkan nyawa penumpang-penumpangnya. Kru-kru kapal tersebut, termasuk ketua pegawai, ketua jurutera & lain-lain kebanyakannya berasal dari Liverpool. Kapal Titanic yang tenggelam di tengah-tengah Lautan Atlantik pada bulan April 1912 itu adalah kepunyaan White Star Line yang beribu pejabat di Liverpool. Ia adalah kapal penumpang berkuasa stim yang terbesar yang pernah dibina di dunia. Ia dibina di Belfast & mula belayar dari Southampton untuk menuju ke New York.


Church of Our Lady and Saint Nicholas, Liverpool, UK


Royal Liver Building & Titanic Memorial, Liverpool, UK


Titanic Memorial, Liverpool, UK


Titanic

Aku kemudiannya bergambar di kawasan sekitar Pier Head yang menghadap Laut Irish. Pada masa dahulu, kawasan ini berfungsi sebagai jeti bagi kapal-kapal yang menuju ke benua Amerika. Walau bagaimanapun, fungsinya tersebut ditamatkan pada tahun 1973. Pada masa kini, kawasan Pier Head ini hanya menyediakan kemudahan kapal-kapal untuk ke Isle of Man & beberapa tempat lain sahaja. Sewaktu aku sedang bergambar di sini, hujan turun dengan lebat. Aku terpaksa berteduh dahulu sebelum menyambung ekspedisi aku.


Pier Head, Liverpool, UK

Apabila hujan sudah reda, aku pun menyambung semula ekspedisi aku ke Liverpool One, sebuah kawasan membeli-belah & hiburan yang besar & terkenal di Liverpool. Sewaktu aku di sini, cuma kawasan fasa pertama sahaja yang telah dibuka. Ia telah dibuka pada bulan May 2008. Kawasan fasa kedua pula akan dibuka pada bulan Oktober nanti. Liverpool One dibahagikan kepada 6 zon, iaitu Hanover Street, Peter’s Lane, New Manesty’s Lane, Paradise Street, South John’s Street & The Park. Terdapat banyak kedai-kedai pakaian & restoran ternama di kawasan membeli-belah ini. Antaranya ialah Top Shop, Tie Rack, JD Sports, Nike, Starbucks, Gap, Zara, Adidas, Esprit & banyak lagi. Aku menghabiskan masa yang agak lama di sini. Aku sempat membeli beberapa helai baju.

Selepas membeli-belah di Liverpool One, aku berjalan ke Albert Dock, sebuah kompleks bangunan & gudang yang terletak di sebuah kawasan parkir kapal. Di kawasan inilah kapal-kapal kargo melabuh untuk dimasukkan barang atau untuk dipunggah pada zaman dahulu. Albert Dock mula dibuka & dirasmikan pada tahun 1846 oleh Putera Albert & merupakan bangunan-bangunan pertama di Britain yang diperbuat daripada besi & batu-bata tanpa menggunakan sebarang kayu. Selepas peristiwa pengeboman di Liverpool sewaktu Perang Dunia Kedua, Albert Dock turut menerima kesannya. Ia akhirnya terpaksa ditutup pada tahun 1972 kerana masalah kewangan dalam kos untuk memperbaikinya. Walau bagaimanapun, kerja-kerja pembaikan dimulakan semula pada tahun 1981 & pada tahun 1988, Albert Dock dibuka semula. Pada masa kini, ianya adalah antara tempat tumpuan utama pelancong-pelancong & turut disenaraikan dalam UNESCO World Heritage Sites.


Albert Dock, Liverpool, UK


Albert Dock, Liverpool, UK


Albert Dock, Liverpool, UK


Albert Dock, Liverpool, UK


Albert Dock, Liverpool, UK


Albert Dock, Liverpool, UK


Albert Dock, Liverpool, UK


Albert Dock, Liverpool, UK

Antara bangunan-bangunan penting & terkenal yang terdapat di dalam kawasan Albert Dock ini ialah The Beatles Story, Merseyside Maritime Museum & Tate Liverpool. The Beatles Story adalah sebuah pusat pameran & muzium yang didedikasikan kepada kumpulan muzik yang terkenal di seluruh dunia ketika era 1960-an dahulu, iaitu The Beatles. Muzium ini mempamerkan kisah-kisah berkaitan dengan kumpulan tersebut dari saat ia ditubuhkan pada tahun 1960, sehingga saat perpecahan mereka pada tahun 1970. Keempat-empat anggota kumpulan tersebut iaitu John Lennon, Paul McCartney, George Harrison & Ringo Starr adalah anak jati Liverpool. Kumpulan itu sendiri ditubuhkan & memulakan kerjaya mereka di kota ini. The Beatles Story ini mula dibuka pada tahun 1990. Antara khazanah-khazanah berharga yang dipamerkan dalam muzium tersebut ialah cermin mata bulat yang menjadi ikon kepada John Lennon & gitar pertama George Harrison. Selain itu, terdapat juga kedai cenderahati di sini yang menjual pelbagai jenis cenderahati yang berkaitan dengan kumpulan tersebut. Aku membeli 2 helai baju untuk aku & untuk ayah aku yang merupakan peminat kumpulan tersebut.


The Beatles Story, Liverpool, UK


Ruang dalam The Beatles Story, Liverpool, UK


Ruang dalam The Beatles Story, Liverpool, UK

Merseyside Maritime Museum pula adalah muzium yang mempamerkan kisah-kisah Liverpool yang pernah menjadi pusat urus niaga hamba, pusat emigrasi & pusat perdagangan laut. Sejarah tentang kapal Titanic juga turut diceritakan di sini. Muzium ini mula dibuka pada tahun 1980. Tate Liverpool yang juga turut terletak di kawasan Albert Dock ini adalah muzium yang menyimpan koleksi lukisan British dari tahun 1500 hingga sekarang. Ia mula dibuka pada tahun 1988.


Merseyside Maritime Museum, Liverpool, UK

Selepas melawat kawasan Albert Dock, aku berjalan pula ke kawasan Chinatown yang terletak agak jauh dari Albert Dock. Sedang aku berjalan ke sana, hujan turun semakin lebat. Aku terpaksa berteduh buat seketika. Selepas hujan semakin reda, aku menyambung perjalanan aku.

Tidak berapa lama kemudian, aku pun tiba di Chinatown tersebut. Chinatown di Liverpool ini adalah kawasan komuniti orang-orang Cina yang tertua di benua Eropah. Pintu gerbang yang terdapat di sini juga adalah pintu gerbang Chinatown di luar negara China yang terbesar di dunia. Di Liverpool ada lebih kurang 7,100 orang Cina yang merupakan 1.7% daripada jumlah penduduknya. Kedatangan mereka ke Liverpool dari negara China sudah bermula sejak kurun ke-19 lagi. Ramai antara mereka telah berkahwin dengan penduduk tempatan & melahirkan anak-anak kacukan Eurasian.


Chinatown , Liverpool, UK

Selepas melalui kawasan Chinatown, aku meneruskan perjalanan aku ke Liverpool Cathedral, sebuah gereja Anglikan yang dibina di atas puncak St James’s Mount. Gereja ini dibina antara tahun 1904 hingga 1978. Ia adalah gereja Anglikan yang terpenting di Liverpool. Dengan keluasan 9,687 meter persegi, ia merupakan gereja yang kelima terbesar di dunia. Menara locengnya adalah yang terbesar di dunia & juga merupakan antara yang tertinggi, dengan ketinggian 100/6 meter. Loceng yang terdapat di dalam menara tersebut adalah yang terberat di dunia dengan berat 31,000 kg.


Liverpool Cathedral, Liverpool, UK


Ruang dalam Liverpool Cathedral, Liverpool, UK

Selepas bergambar di dalam & di luar Liverpool Cathedral yang besar itu, aku menyambung ekspedisi aku ke sebuah lagi gereja yang terkenal di sini, iaitu Liverpool Metropolitan Cathedral. Ia adalah gereja Roman Katolik yang terpenting di Liverpool. Penduduk beragama Kristian Roman Katolik ini kebanyakannya berasal dari Ireland, yang berhijrah ke sini pada kurun ke-19 dahulu. Gereja ini mempunyai senibina yang menarik. Pembinaannya bermula pada tahun 1962 & siap sepenuhnya 5 tahun kemudian. Disebabkan tempoh pembinaannya yang terlalu cepat, pelbagai kerosakan berlaku kemudiannya. Akhirnya, gereja ini terpaksa diperbaiki semula pada tahun 1990-an.


Liverpool Metropolitan Cathedral, Liverpool, UK


Ruang dalam Liverpool Metropolitan Cathedral, Liverpool, UK

Berhampiran dengan Liverpool Metropolitan Cathedral adalah University of Liverpool. Universiti ini diasaskan pada tahun 1903. Jumlah pelajarnya adalah seramai 20,000 orang, termasuklah berpuluh-puluh pelajar Malaysia yang belajar dalam bidang perubatan & kejuruteraan.


University of Liverpool, Liverpool, UK

Selepas bergambar di hadapan universiti tersebut, aku pun kembali semula ke stesen keretapi Liverpool Lime Street. Jam pada waktu itu sudah menunjukkan pukul 5.00 petang. Tepat pukul 5.30 petang, aku pun tiba di tempat penyimpanan beg di dalam stesen keretapi tersebut, seperti yang dijanjikan dengan Muaz pagi tadi. Tidak berapa lama kemudian, Muaz pun muncul. Setelah mengeluarkan beg-beg kami, kami pergi menunggu bas untuk ke Lapangan Terbang John Lennon, Liverpool.

Hampir setengah jam kami berdua menunggu, namun bas untuk ke lapangan terbang masih belum muncul-muncul. Aku bertanya kepada pekerja syarikat bas awam yang sedang bertugas tentang status bas tersebut. Dia memberitahu aku bas tersebut akan tiba dalam masa beberapa minit sahaja lagi. Kami pun terus menunggu. Lebih kurang 15 minit kemudian, bas masih belum muncul juga. Kami berdua mulai risau. Begitu juga dengan 4 lagi orang yang sedang menunggu bas tersebut bersama-sama kami berdua. Disebabkan takut jikalau terlepas penerbangan, kami berenam berpakat untuk menaiki teksi sahaja. Kami berpecah kepada 2 kumpulan. Kami menahan 2 buah teksi untuk membawa kami ke lapangan terbang tersebut. Ini sahajalah pilihan yang ada. Mungkin bas yang kami nantikan sedang terperangkap dalam kesibukan lalu lintas yang teruk.

Seketika kemudian, kami semua pun tiba di Lapangan Terbang John Lennon, Liverpool. Aku & Muaz mengucapkan terima kasih kepada 4 orang tersebut kerana sudi berkongsi teksi dengan kami. Kami berdua kemudiannya terus ke kaunter pendaftaran untuk mendaftar masuk. Selepas itu, kami melalui zon pemeriksaan sekuriti & kemudiannya, kami menunggu ketibaan pesawat Ryanair untuk ke Dublin.

Tidak berapa lama selepas menunggu, pesawat yang dinantikan pun tiba & para penumpang dijemput masuk. Lebih kurang pukul 9.30 malam, pesawat pun mulai berlepas. Perjalanan ke Dublin mengambil masa 50 minit sahaja. Lebih kurang pukul 10.20 malam, kami pun tiba di Lapangan Terbang Dublin.

Pengalaman selama 2 hari di Manchester & Liverpool sememangnya menarik walaupun tempoh masa kami di sana terlampau singkat. 2 hari tersebut memang cukup padat dengan pengalaman-pengalaman yang cukup berharga. Walaupun kami mengembara berasingan, namun aku yakin kami masing-masing mendapat pengalaman yang sama banyak & sama nilainya yang akan sentiasa dikenang hingga ke akhir hayat kami. Manchester & Liverpool adalah kota-kota yang wajib dikunjungi oleh sesiapa sahaja yang memijakkan kaki di bumi England.

TAMAT.

4 comments:

Thani Mardiana said...

salam,salam hamba dari tanah malaya..semoga maju dan jaya.

Aina@Azila said...

Coming soon??? cefat laa update, Akak dah tak sabar nak baca.

Cik Kham & Co said...

salam...sgt menarik ..travelling nyer blog...well i try to view your blog daily..key.....salam dari malaysia....bye....

katak_78 said...

hi bro..next year katak_ayu nak g ireland kalo jadik la...apa yg best kat sana??