4.9.08

SuMMeR 2008 (CRoaTia, BoSNia & HeRZeGoViNa, SLoVeNia, RoMaNia, BuLGaRia, MaCeDoNia, TuRKeY, iCeLaND, eNGLaND) (BHG II)



Hari 9: 19 MEI 2008

Lebih kurang pukul 5.30 pagi, aku bangun untuk menunaikan solat Subuh. Aku cuba memulas kepala pili air di dalam bilik air. Aku berasa teramat lega apabila air sejuk sudah mulai ada. Selesai sahaja solat Subuh & membersihkan diri, barulah aku berasa segar & bersedia untuk memulakan pengembaraan aku di negara Romania ini.

Romania adalah negara rantau Balkan keempat yang aku jejaki selepas Croatia, Bosnia & Herzegovina & Slovenia. Ia adalah negara yang terbesar di rantau Balkan. Negara ini disempadani oleh Hungary & Serbia di bahagian barat, Ukraine & Moldova di bahagian timur laut & Bulgaria di bahagian selatan. Bahagian timurnya pula adalah persisiran pantai Laut Hitam. Romania adalah salah satu negara anggota Kesatuan Eropah.


Peta kedudukan Romania dalam Eropah


Peta negara Romania


Bendera Romania

Negara ini mempunyai jumlah penduduk seramai 21,500,000 orang. 90% daripadanya adalah daripada bangsa Romania. Penduduk minoriti yang teramai di negara ini pula adalah daripada bangsa Hungary & Roma (Gypsy). Negara Romania merupakan negara kedua yang mempunyai paling ramai bilangan penduduk berbangsa Roma, selepas Sepanyol. Orang-orang bangsa Roma ini memberi banyak masalah kepada masyarakat Eropah terutamanya masalah sosial kerana kebanyakan daripada mereka hidup dalam keadaan nomad, iaitu berpindah-randah. Mereka sebenarnya berasal dari utara India. Mereka dikatakan telah dihalau dari sana beratus-ratus tahun dahulu kerana memberi banyak masalah kepada kerajaan yang memerintah di sana pada waktu itu. Mereka ini kemudiannya berhijrah ke Eropah. Kebanyakan daripada mereka bertumpu di rantau Balkan.


Peta penghijrahan orang-orang bangsa Roma (Gypsy)


Orang-orang bangsa Roma (Gypsy)


Orang-orang bangsa Roma (Gypsy)

85% daripada jumlah penduduk Romania adalah penganut ajaran Kristian Orthodox. Yang selebihnya adalah penganut ajaran Kristian Katolik & Kristian Protestant. Bahasa rasmi negara ini adalah Bahasa Romania. Matawang yang digunakan ialah Leu. 1 Euro bersamaan dengan 4.00 Leu. 1 Ringgit pula bersamaan dengan 0.85 Leu. Romania menggunakan sistem pemerintahan Republik. Ketua negaranya ialah Presiden, yang dibantu oleh Perdana Menteri. Antara tarikan utama yang terdapat di negara ini adalah pergunungan Carpathia, Delta Sungai Danube, iaitu sungai yang terpanjang di benua Eropah & lagenda Drakula.

Menurut sejarah, sebuah kerajaan yang bernama kerajaan Dacia telah wujud di bumi Romania sekitar kurun pertama Sebelum Masihi & ia mencapai kegemilangannya sekitar tahun 82 SM. Kerajaan ini menjadi pencabar kepada Empayar Rom. Akhirnya, selepas beberapa siri peperangan, kerajaan Dacia telah tewas & bumi Romania jatuh ke tangan Empayar Rom. Pada waktu inilah lahirnya Bahasa Romania yang seakan-akan sama seperti Bahasa Latin. Walau bagaimanapun, sekitar kurun ke-3, Empayar Rom mula menerima serangan daripada orang-orang Visigoth dari Eropah Utara. Wilayah Romania akhirnya terpaksa dilepaskan oleh empayar tersebut pada tahun 271 M, menjadikannya sebagai wilayah pertama yang terpaksa dilepaskan. Bumi Romania ini kemudiannya diserang pula oleh bangsa-bangsa lain seperti Huns, Avar, Bulgar & banyak lagi. Ini menyebabkan berlakunya percampuran budaya di sini.

Sewaktu Zaman Pertengahan Eropah, orang-orang Romania hidup di dalam 3 buah wilayah, iaitu Wallachia, Transylvania & Moldavia. Pada kurun ke-11, Transylvania menjadi sebahagian daripada kerajaan Hungary. Kemudian, pada tahun 1571, kerajaan Transylvania telah dibentuk. Kerajaan ini kemudiannya diletakkan di bawah kekuasaan Empayar Turki Uthmaniyah yang telah berjaya menewaskan kerajaan Hungary & mengambil alih Transylvania. Pada masa yang sama, Wallachia & Moldavia telah bersatu menentang pencerobohan tentera Empayar Turki Uthmaniyah. Walau bagaimanapun, usaha pertahanan mereka gagal. Kedua-dua wilayah ini turut mengalami nasib yang sama seperti Transylvania. Walaupun ketiga-tiga wilayah tersebut berada di bawah kekuasaan Empayar Turki Uthmaniyah, kuasa autonomi masih dimiliki oleh penduduk tempatan di setiap wilayah.


Pembahagian wilayah di dalam Romania

Pada tahun 1699, Transylvania jatuh ke tangan Empayar Austria selepas kekalahan Empayar Turki Uthmaniyah dalam peperangan dengan Empayar Austria. Walau bagaimanapun, Moldavia & Wallachia masih tetap berada di bawah naungan Empayar Turki Uthmaniyah. Sewaktu Transylvania berada di bawah pemerintahan Empayar Austria-Hungary & sewaktu Moldavia & Wallachia berada di bawah naungan Empayar Turki Uthmaniyah, orang-orang Romania dianggap sebagai golongan kelas kedua. Hal inilah yang kemudiannya mencetuskan revolusi pada tahun 1848. Walau bagaimanapun, revolusi tersebut menemui kegagalan. Beberapa tahun kemudian, Wallachia & Moldavia bersatu kembali menentang Empayar Turki Uthmaniyah & akhirnya, usaha mereka membuahkan hasil. Mereka berjaya membebaskan tanahair mereka daripada naungan Empayar Turki Uthmaniyah. Penyatuan kedua-dua wilayah ini kemudiannya membentuk negara Romania yang diiktiraf pada tahun 1878. Walau bagaimapun, Transylvania pada waktu itu masih lagi berada di bawah jajahan Empayar Austria-Hungary.

Sewaktu Perang Dunia Pertama, kerajaan Romania pada mulanya mengisytiharkan keneutralannya. Walau bagaimanapun, atas desakan negara-negara lain, ia akhirnya telah bersatu dengan Kuasa Berikat bagi menentang Empayar Austria-Hungary & sekutu-sekutunya. Empayar Austria-Hungary & sekutu-sekutunya akhirnya mengalami kekalahan. Dengan tertewasnya Empayar Austria-Hungary dalam perang tersebut, wilayah Transylvania kemudiannya disatukan dengan wilayah Wallachia & Moldavia, membentuk kerajaan Romania yang baru pada tahun 1918.

Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua yang berlaku antara tahun 1942 hingga 1945, pengaruh Komunis mula bertapak di hati penduduk Romania. Dalam sebuah pilihanraya yang diadakan tidak berapa lama selepas tamatnya perang, Parti Komunis telah memenangi 80% daripada jumlah kerusi parlimen Romania. Raja Romania pada waktu itu yang bernama Michael telah diminta turun dari takhta & keluar dari Romania buat selama-lamanya. Sistem beraja Romania kemudiannya digantikan dengan sistem Republik yang berhaluan Komunis yang dibentuk pada tahun 1947. Kerajaan Republik tersebut diletakkan di bawah pemerhatian Soviet Union sehingga tahun 1950-an.

Dari tahun 1947 hingga tahun 1965, rakyat Romania hidup dalam penderitaan kerana kekejaman Presidennya. Penderitaan tersebut berakhir pada tahun 1965, apabila Romania mulai diperintah oleh Presiden baru yang bernama Nicolae Ceausescu yang tidak begitu mengikut telunjuk Soviet Union. Walau bagaimanapun, polisi-polisi barunya akhirnya telah melingkupkan ekonomi Romania. Hal ini kemudiannya telah mencetuskan Revolusi Romania pada tahun 1989. Nicolae Ceausescu telah ditangkap & dihukum bunuh pada Hari Krismas tahun tersebut. Selepas itu, secara rasminya tamatlah pengaruh Komunis di negara Romania. Dari tahun tersebut sehingga ke hari ini, Romania ditadbir oleh pemimpin-pemimpin berhaluan Demokratik.


Nicolae Ceausescu

Selepas keluar sahaja dari hostel di Bucharest, aku terus menuju ke stesen keretapi untuk menaiki keretapi ke Brasov, sebuah bandar kecil yang terletak agak jauh dari Bucharest. Aku akan menghabiskan masa aku pada hari ini di Brasov & sebuah pekan kecil yang terletak berhampiran dengannya, iaitu Bran. Kota Bucharest pula akan aku jelajahi pada keesokan harinya memandangkan aku mempunyai masa 2 hari di Romania. Kota Brasov & Bran yang akan aku jejaki ini terletak di dalam wilayah Transylvania yang amat terkenal dengan lagenda Drakula. Watak Drakula ini terdapat di dalam novel seram berjudul ‘Dracula’ yang diterbitkan pada tahun 1897. Novel ini adalah hasil karya penulis novel terkenal dari Ireland yang bernama Bram Stoker. Hasil karyanya ini telah mendapat sambutan yang amat hebat & telah berulangkali diadaptasikan ke dalam bentuk filem.


Peta kedudukan Bucharest, Brasov & Bran di dalam Romania

Keretapi ke Brasov yang aku naiki bertolak pada pukul 7.30 pagi. Perjalanan dari Bucharest ke Brasov memakan masa selama 2¾ jam. Aku menggunakan tiket pas Interrail. Keretapi yang aku naiki ini melalui pergunungan Carpathia, pergunungan yang memisahkan wilayah Transylvania dengan Wallachia. Pemandangan di sini teramatlah cantik. Subhanallah.


Panorama kawasan pergunungan Carpathia, Romania


Panorama kawasan pergunungan Carpathia, Romania

Lebih kurang pukul 10.15 pagi, aku pun tiba di stesen keretapi Brasov. Sesampainya aku di stesen keretapi tersebut, aku menaiki teksi pula untuk ke stesen bas yang terletak agak jauh dari stesen keretapi itu. Tujuan aku ke stesen bas tersebut adalah untuk menaiki bas dari situ untuk ke Bran Castle yang terletak di Bran. Bran adalah sebuah pekan yang kecil & tidak dihubungkan dengan perkhidmatan keretapi. Disebabkan itulah aku terpaksa menaiki bas untuk ke sana. Sewaktu dalam perjalanan dari stesen keretapi ke stesen bas yang dimaksudkan, aku & pemandu teksi berbual-bual tentang keadaan cuaca Brasov yang pada waktu itu sedang menerima hujan yang agak lebat. Pemandu teksi itu kemudiannya menawarkan diri untuk membawa aku terus ke Bran. Akan tetapi, bayaran yang dikenakannya agak mahal. Oleh itu, aku terpaksa menolak tawarannya dengan cara yang baik.

Setibanya aku di stesen bas Brasov dengan menaiki teksi, aku menunggu pula ketibaan bas untuk ke Bran. Tidak berapa lama kemudian, bas yang aku nantikan pun tiba. Aku lantas terus menaikinya. Aku meminta pemandu bas supaya membuat pengumuman apabila bas sudah tiba berhampiran Bran Castle. Mujurlah pemandu bas itu memahami Bahasa Inggeris. Perjalanan dengan menaiki bas tersebut melalui kawasan bukit-bukau yang cantik. Dari jauh, aku dapat melihat sebuah gunung yang diselaputi salji di pergunungan Carpathia. Cantik sekali.


Panorama kawasan pergunungan Carpathia, Romania

Apabila sudah tiba di kawasan Bran Castle, pemandu bas itu pun membuat pengumuman. Aku lantas terus turun dari bas & mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas tersebut. Kemudian, aku berjalan kaki menuju ke pintu masuk perkarangan Bran Castle. Untuk ke istana tersebut, pelancong-pelancong perlu mendaki bukit yang agak curam kerana istana itu terletak di atas puncak bukit. Setibanya aku di istana itu selepas penat lelah mendaki bukit, istana itu rupa-rupanya masih ditutup & akan dibuka sejam lagi. Geram pula rasanya. Aku kemudiannya turun semula untuk ke kedai-kedai cenderahati yang terdapat di kaki bukit tersebut. Setelah menghabiskan masa hampir sejam membeli beberapa buah cenderahati, aku pun kembali semula mendaki bukit untuk ke Bran Castle tadi. Mujurlah ianya sudah pun dibuka.

Bran Castle adalah antara monumen penting & mercu tanda utama negara Romania. Istana ini terletak betul-betul di garis sempadan wilayah Transylvania & Wallachia. Ia juga turut dikenali sebagai Dracula’s Castle. Ianya adalah salah satu daripada beberapa buah istana yang dikaitkan dengan lagenda Dracula. Akan tetapi, Bran Castle ini adalah yang paling terkenal sekali kerana nama istana inilah yang disebut di dalam novel Dracula, hasil karya Bram Stoker. Walau bagaimanapun, Bram Stoker dikatakan sebenarnya tidak mengetahui langsung tentang sejarah sebenar Bran Castle ini. Istana ini hanya dijadikan lokasi fiksyennya sahaja. Putera Wallachia yang kejam yang bernama Vlad Tepes (Vlad III) yang turut digelar dengan nama Dracula juga dikatakan tidak pernah tinggal di istana ini. Oleh itu, kaitan antara Drakula & Bran Castle ini hanyalah fiksyen rekaan Bram Stoker semata-mata di dalam novelnya. Namun, populariti novel tersebut akhirnya secara tidak langsung turut menaikkan nama istana ini.


Bran Castle (Dracula's Castle), Bran, Romania


Bran Castle (Dracula's Castle), Bran, Romania


Bran Castle (Dracula's Castle), Bran, Romania


Di dalam Bran Castle (Dracula's Castle), Bran, Romania


Di dalam Bran Castle (Dracula's Castle), Bran, Romania


Di dalam Bran Castle (Dracula's Castle), Bran, Romania


Panorama Transylvania dari Bran Castle (Dracula's Castle), Bran, Romania


Bram Stoker


Drakula


Vlad Tepes

Bran Castle dikatakan dibina pada tahun 1377 & digunakan sebagai kubu pertahanan untuk menghalang pencerobohan tentera Empayar Turki Uthmaniyah. Kemudiannya, mulai tahun 1920, istana ini dijadikan kediaman diraja Romania. Ia menjadi kediaman utama Permaisuri Romania pada waktu itu yang bernama Marie. Selepas itu, istana ini diwariskan kepada puteri mereka, iaitu Ileana. Apabila Romania jatuh ke tangan pemerintahan Komunis, istana ini dirampas oleh pihak pemerintah & keluarga diraja diusir keluar dari Romania pada tahun 1948.


Permaisuri Marie

Pada tahun 2006, kerajaan Romania telah mengembalikan semula hak milik Bran Castle kepada waris Puteri Ileana yang bernama Dominic von Habsburg, seorang arkitek yang kini menetap di Amerika Syarikat. Setahun kemudian, Dominic von Habsburg telah memulakan perlelongan istana tersebut dengan harga asas 40 Juta Dolar. Kerajaan Romania bagaimanapun tidak bersetuju dengan tindakan tersebut yang dikatakan salah di sisi undang-undang Romania. Isu tersebut sehingga kini masih lagi dibincangkan. Buat masa sekarang, Bran Castle ini dijadikan muzium yang mempamerkan khazanah-khazanah tinggalan Permaisuri Marie.

Selepas menghabiskan masa hampir sejam di dalam Bran Castle, aku berjalan kembali ke tempat menunggu bas yang terdapat di luar perkarangan istana tersebut untuk kembali semula ke stesen bas Brasov. Tidak berapa selepas menunggu, bas pun tiba & aku terus masuk ke dalamnya. Setibanya aku di stesen bas Brasov, aku menaiki teksi pula untuk ke pusat bandarnya. Seperti yang telah aku katakan, Brasov adalah sebuah bandar kecil yang terletak di dalam wilayah Transylvania. Bandar ini terletak di tengah-tengah negara Romania & dikelilingi oleh pergunungan Carpathia. Penduduknya berjumlah 280,000 orang.

Antara tahun 1141 & 1162, iaitu sewaktu Brasov di bawah jajahan kerajaan Hungary, Raja Hungary telah mempelawa orang-orang dari Jerman untuk membangunkan Brasov. Kubu pertahanan kemudiannya dibina di sekeliling kota ini. Bandar ini seterusnya didominasi oleh orang-orang Jerman sehinggakan orang-orang Romania sendiri dipinggirkan. Walau bagaimanapun, selepas Perang Dunia Kedua, iaitu apabila Romania mula menjadi negara Komunis, kebanyakan orang-orang Jerman ini berhijrah kembali ke Jerman Barat, tempat asal mereka. Pada masa kini, orang-orang Jerman hanya menjadi penduduk minoriti di sini.

Lokasi pertama di Brasov yang aku kunjungi ialah Council Square, sebuah dataran kecil yang merupakan kawasan tumpuan utama penduduk tempatan. Kawasan ini dahulunya merupakan sebuah medan pasar yang mula dibuka pada tahun 1520. Ia kemudiannya digunakan sebagai tempat untuk menghukum pesalah-pesalah. Ahli-ahli sihir juga dikatakan turut dibakar di sini pada zaman dahulu. Bangunan di sekeliling dataran ini kaya dengan sejarah masing-masing. Salah satu daripadanya ialah Council House yang dibina pada tahun 1420. Bangunan ini pada waktu dahulu digunakan sebagai penjara untuk menyiksa banduan-banduan.


Council Square & Council House, Brasov, Romania

Tempat seterusnya yang aku jejaki ialah Black Church, gereja mazhab Lutheran yang dibina oleh komuniti Jerman yang menetap di sini pada zaman dahulu. Ianya siap dibina pada tahun 1477 & mendapat namanya selepas kebakaran yang berlaku di gereja ini pada tahun 1689, iaitu sewaktu pencerobohan tentera Empayar Austria ke sini dalam peperangannya dengan Empayar Turki Uthmaniyah.


Black Church, Brasov, Romania

Aku kemudiannya berjalan-jalan di sekitar bandar Brasov ini. Aku singgah di sebuah kedai menjual selipar untuk membeli selipar baru kerana selipar yang aku pakai sudah pun haus. Kemudian, aku singgah di restoran MacDonald’s untuk makan tengah hari. Selepas makan, aku menyambung bersiar-siar di bandar Brasov. Apabila sudah puas, aku menaiki teksi untuk ke stesen keretapi Brasov.


Sebuah bangunan unik di Brasov, Romania

Keretapi ke Bucharest yang aku naiki bertolak pada pukul 5.10 petang. Perjalanan ke Bucharest dari Brasov mengambil masa selama 3¼ jam. Lebih kurang pukul 8.30 malam, aku pun tiba di stesen keretapi Bucharest. Setibanya aku di situ, aku terus kembali semula ke hostel aku. Selepas mandi & solat, aku pun terus melelapkan mata kepenatan.

Hari 10: 20 MEI 2008

Selepas menunaikan solat Subuh & membersihkan diri, aku pun terus keluar untuk memulakan pengembaraan di kota Bucharest. Bucharest adalah ibu kota & bandar terbesar di Romania. Bandar ini terletak di pinggiran Sungai Dambovita, di dalam wilayah Wallachia. Penduduknya berjumlah 1,900,000 orang.


Peta kedudukan Bucharest di dalam Romania

Menurut sejarah, kota ini pernah menjadi kediaman Vlad Tepes yang turut dikenali dengan nama Dracula yang merupakan pemerintah kerajaan Wallachia sekitar pertengahan kurun ke-15. Bandar ini kemudiannya berada di bawah naungan Empayar Turki Uthmaniyah. Sewaktu Bucharest berada di bawah naungan empayar tersebut, terdapat beberapa percubaan daripada Empayar Austria & Empayar Russia untuk menawan kota ini, tetapi usaha mereka tidak menemui kejayaan. Walau bagaimanapun, Bucharest akhirnya berjaya ditawan oleh Empayar Russia pada tahun 1828. Namun, pada tahun 1857, Empayar Austria pula berjaya mengambil alih pemerintahannya.

Selepas penyatuan Moldavia & Wallachia membentuk kerajaan Romania pada tahun 1878, Bucharest dijadikan ibu kota kerajaan ini. Mulai dari saat itulah, Bucharest mula membangun dengan begitu rancak sekali sehingga ia mendapat gelaran ‘Paris of the East’. Dari tahun 1916 hingga 1918, iaitu sewaktu Perang Dunia Pertama, Bucharest jatuh ke tangan pemerintahan Empayar Jerman. Selepas kekalahan Empayar Jerman dalam perang tersebut, Bucharest dikembalikan kepada Romania. Perang Dunia Kedua yang berlaku dari tahun 1941 hingga 1945 juga turut memberi impak kepada bandar ini.

Sewaktu pemerintahan Presiden Nicolae Ceausescu, kebanyakan bangunan lama yang bersejarah di kota Bucharest telah diruntuhkannya & diganti dengan bangunan-bangunan yang bercirikan senibina Komunis. Ini adalah antara penyebab utama tercetusnya Revolusi Romania yang berlaku pada tahun 1989, bertujuan untuk menggulingkan pemerintahan Nicolae Ceausescu.

Aku mengelilingi kota Bucharest dengan menaiki metro. Jaringan metro di kota ini adalah antara jaringan metro yang terbesar di benua Eropah. Arcul de Triumf adalah lokasi pertama yang aku jejaki di bandar ini. Ia merupakan antara mercu tanda utama Bucharest. Lokasinya dari stesen metro terdekat agak jauh jaraknya. Lebih kurang 2 kilometer. Aku terpaksa berjalan kaki sejauh itu untuk ke monumen tersebut. Sesampainya aku di situ, aku agak kecewa kerana ianya sedang dalam proses pembaikan. Walau apapun, aku tetap bergambar dengannya. Arcul de Triumf ini mempunyai bentuk seakan-akan Arc de Triumph yang terdapat di Paris, Perancis. Cuma saiznya mungkin lebih kecil berbanding yang di Paris.

Arcul de Triumf yang asal pada mulanya diperbuat daripada kayu. Ia dibina selepas pembentukan negara Romania hasil daripada penyatuan wilayah Wallachia & Moldavia yang berjaya mendapat kemerdekaan daripada Empayar Turki Uthmaniyah pada tahun 1878. Kemudian, pada tahun 1922, selepas tamatnya Perang Dunia Pertama, monumen baru telah dibina bagi menggantikan monumen yang diperbuat daripada kayu itu. Pada tahun 1936, monumen yang dibina pada tahun 1922 itu digantikan pula dengan yang lebih baru yang kekal sehingga ke hari ini. Arcul de Triumf ini mempunyai ketinggian setinggi 27 meter.


Arcul de Triumf, Bucharest, Romania


Arcul de Triumf, Bucharest, Romania

Seterusnya, aku meneruskan langkah ke Museum of the Romanian Peasant, muzium yang mempamerkan koleksi tekstil, ikon, seramik & banyak lagi artifak yang berkaitan dengan kehidupan hamba-hamba abdi di Romania pada zaman dahulu. Ianya adalah antara muzium yang terkenal di benua Eropah & pernah menerima anugerah ‘Museum of the Year’ pada tahun 1996. Muzium ini diasaskan pada tahun 1930-an. Sewaktu era pemerintahan Komunis di Romania, muzium ini dijadikan muzium yang mewakili kerajaan Komunis. Hanya selepas kejatuhan Presiden Nicolae Ceausescu pada tahun 1990, barulah muzium ini dibuka semula kepada orang ramai. Aku hanya bergambar di bahagian luar muzium ini. Tidak berminat pula aku untuk masuk ke dalamnya.


Museum of the Romanian Peasant, Bucharest, Romania


Museum of the Romanian Peasant, Bucharest, Romania

Selepas itu, aku menuju ke destinasi yang seterusnya, iaitu Union Square (Piata Unirii) yang merupakan antara dataran yang terbesar di Bucharest. Dataran ini terbahagi kepada 2 bahagian yang dipisahkan oleh sebatang jalan raya yang bernama Unirii Boulevard. Jalan raya tersebut dibina sewaktu era pemerintahan Komunis di Romania & diberi nama Boulevard of the Victory of Socialism. Hanya selepas Revolusi Romania 1989, barulah namanya ditukar ke Unirii Boulevard.

Dataran ini merupakan hab yang penting bagi sistem pengangkutan awam di Bucharest. Di sini terdapat stesen metro, tempat menunggu bas & juga stesen tram. Di sekelilingnya juga terdapat banyak bangunan yang menarik. Antaranya ialah Unirea Shopping Center yang merupakan pusat membeli-belah moden yang pertama di Bucharest & Hanul lui Manuc yang merupakan sebuah hotel yang ternama di kota ini. Di tengah-tengah dataran ini pula terdapat taman kecil berserta air pancut yang unik. Kawasan Union Square ini sememangnya cantik & sesuai untuk aktiviti riadah.


Union Square, Bucharest, Romania


Union Square, Bucharest, Romania


Union Square, Bucharest, Romania


Unirii Boulevard, Bucharest, Romania

Aku kemudiannya berjalan sejauh 1 kilometer menyusuri Unirii Boulevard untuk menuju ke Palace of the Parliament, bangunan yang menempatkan Parlimen, Presidensi, Kabinet Kerajaan & juga Mahkamah Keadilan negara Romania. Menurut Guinness Book of World Records, bangunan Palace of the Parliament ini adalah bangunan pentadbiran kerajaan yang terbesar, termahal & terberat di dunia. Ianya dibina sewaktu era pemerintahan Presiden Nicolae Ceausescu yang sememangnya tidak disukai oleh rakyat Romania kerana keborosannya menghabiskan wang negara.

Beliau pada mulanya menamakan bangunan tersebut dengan nama House of the Republic. Namun, rakyat Romania kemudiannya menggelarkan bangunan tersebut dengan nama People’s House, kerana wang yang digunakan untuk membina bangunan ini adalah hasil daripada titik peluh & wang rakyat. Bangunan setinggi 12 tingkat di atas tanah berserta 4 tingkat di bawah tanah ini mempunyai 1,100 buah bilik di dalamnya.

Bangunan Palace of the Parliament ini sebenarnya dibina di atas tapak sebuah bukit yang telah diratakan semata-mata untuk projek pembinaan bangunan tersebut. Sebelum bangunan ini dibina, kawasan bukit ini merupakan kawasan yang bersejarah di Bucharest, di mana terdapatnya 19 buah gereja Orthodox, 6 buah Sinagog, 3 buah gereja Protestant & 30,000 buah rumah di sekitarnya. Kesemuanya itu telah dirobohkan untuk pembinaan bangunan Palace of the Parliament. Inilah yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat.

Pembinaan bangunan tersebut dimulakan pada tahun 1983. Ia hampir siap sepenuhnya sewaktu Presiden Nicolae Ceausescu digulingkan pada tahun 1989. Terdapat beberapa bahagian bangunan ini yang tidak sempat disiapkan, seperti 3 lagi tingkat bawah tanah & juga menara jam.

Aku sememangnya berhajat untuk masuk ke dalam bangunan Palace of the Parliament tersebut yang sememangnya dibuka kepada orang awam. Malangnya, wang yang ada di dalam dompet aku tidak mencukupi untuk membeli tiket untuk masuk ke dalamnya. Di sekitar kawasan bangunan itu pula tiada terdapat mesin ATM. Mesin ATM yang terdekat pun mungkin terletak 1 kilometer jauhnya dari bangunan tersebut. Akhirnya, terpaksalah aku melupakan sahaja hajat aku. Kecewa pula rasanya kerana tidak dapat masuk ke dalam bangunan pentadbiran kerajaan yang terbesar di dunia itu.


Palace of the Parliament, Bucharest, Romania


Palace of the Parliament, Bucharest, Romania


Palace of the Parliament, Bucharest, Romania

Aku kemudiannya berjalan kaki semula ke Union Square untuk ke Unirea Shopping Center. Tujuan aku ke kompleks membeli-belah tersebut adalah untuk mencari sandal baru kerana sandal yang aku baru sahaja beli di Brasov semalam sudah pun haus. Nampak sangat ianya berkualiti rendah. Setelah puas mencari, aku akhirnya menjumpai sandal yang aku ingini. Harganya agak mahal. Harap-harapnya ianya akan bertahan lebih lama. Aku kemudian singgah di restoran McDonald’s untuk makan tengah hari.

Selepas makan, aku pun menyambung semula pengembaraan aku di kota Bucharest. Lokasi seterusnya ialah Radu Voda Monastery. Nasib aku kurang baik kerana gereja Orthodox ini sedang dalam proses pembaikan. Bangunan gereja ini dibina antara tahun 1568 hingga 1577 oleh Putera Raja Wallachia yang bernama Alexandru II Mircea. Kawasan di sekitarnya dipercayai merupakan kawasan penempatan terawal di negara Romania.


Radu Voda Monastery, Bucharest, Romania

Aku kemudiannya meneruskan langkah ke Revolution Square, yang sebelum ini dikenali dengan nama Palace Square, sebelum berlakunya Revolusi Romania pada tahun 1989. Di lokasi inilah tercetusnya Revolusi Romania yang akhirnya menamatkan rejim pemerintahan Komunis di negara ini. Di kawasan dataran inilah terletaknya bangunan Central Committee of the Romanian Communist Party yang merupakan ibu pejabat rejim Komunis di Romania sewaktu era pemerintahan Komunis. Di sinilah Presiden Nicolae Ceausescu & isterinya menaiki helikopter dalam percubaan mereka untuk menyelamatkan diri daripada Revolusi Romania yang berlaku di sekitar kawasan bangunan ini. Mereka berdua akhirnya berjaya ditangkap & dihukum bunuh 3 hari kemudian.


Bangunan Central Committee of the Romanian Communist Party di Revolution Square, Bucharest, Romania

Tidak jauh dari Revolution Square, terdapat sebuah bangunan yang bernama National Museum of Art of Romania. Bangunan ini merupakan istana diraja Romania pada suatu masa dahulu. Pada masa kini, ianya berfungsi sebagai muzium yang mempamerkan koleksi kesenian Romania yang lama & yang baru, berserta koleksi-koleksi peribadi keluarga diraja Romania. Bangunan ini mengalami kerosakan yang teruk sewaktu Revolusi Romania pada tahun 1989. Ianya kemudian melalui proses pembaikan & hanya dibuka semula pada tahun 2000.


National Museum of Art of Romania, Bucharest, Romania

Aku seterusnya meneruskan ekspedisi aku ke National Museum of Romanian History. Muzium ini mempamerkan khazanah-khazanah berharga di Romania dari zaman prasejarah sehingga ke zaman moden. Selepas itu, aku menuju pula ke Stavropoleos Monastery, sebuah gereja Orthodox kecil yang pernah ditutup selama lebih daripada satu kurun. Gereja ini dibina pada tahun 1724 sewaktu era pemerintahan Putera Wallachia yang bernama Nicolae Mavrocordat. Gereja ini akhirnya terpaksa ditutup pada akhir kurun ke-19 kerana mengalami kerosakan yang teruk. Sewaktu era pemerintahan Komunis, keadaan gereja ini menjadi bertambah teruk. Ianya hanya dibuka semula pada tahun 1991 selepas tamatnya era pemerintahan Komunis di Romania.


National Museum of Romanian History, Bucharest, Romania


Stavropoleos Monastery, Bucharest, Romania

Lokasi terakhir aku di bumi Bucharest & Romania ialah Old Princely Court. Tempat ini merupakan kediaman Vlad Tepes, putera Wallachia yang terkenal dengan kekejamannya. Baginda juga turut digelar dengan nama Dracula. Baginda menetap di sini sekitar kurun ke-15, ketika Bucharest menjadi pusat pentadbiran kerajaan Wallachia. Tempat ini kini dijadikan muzium. Terdapat sebuah ukiran patung Vlad Tepes di kawasan ini.


Old Princely Court, Bucharest, Romania


Ukiran patung Vlad Tepes (Dracula) di Old Princely Court, Bucharest, Romania

Dengan terjejaknya kaki aku di Old Princely Court tadi, maka berakhirlah pengembaraan aku di bumi Bucharest khasnya & bumi Romania amnya. Pada malam ini, aku akan menaiki keretapi untuk ke destinasi aku yang seterusnya, iaitu Sofia, Bulgaria. Selepas makan malam, aku pun terus kembali ke hostel untuk mengemas barang-barang aku. Lebih kurang pukul 7.15 petang, aku menaiki metro untuk ke stesen keretapi Bucharest Nord. Keretapi yang aku ingin naiki sudah pun berada di terminalnya sewaktu aku tiba di stesen keretapi tersebut. Lalu, aku pun terus masuk ke dalamnya. Lebih kurang pukul 7.50 petang, keretapi itu pun mulai bergerak meninggalkan Bucharest. Perjalanan dari Bucharest ke Sofia memakan masa selama 10¼ jam. Aku menggunakan tiket pas Interrail.

Untuk menghilangkan rasa bosan, aku menyambung semula membaca novel 'The Kite Runner'. Selang beberapa jam kemudian, aku akhirnya berjaya menghabiskan pembacaan aku sehingga ke muka surat akhir. Novel tersebut benar-benar memberi kesan mendalam dalam diri aku. Antara novel terbaik yang pernah aku baca. Selepas selesai membacanya, aku cuba untuk melelapkan mata. Walaupun berada dalam keadaan yang kurang selesa, aku akhirnya berjaya juga melelapkan mata untuk beberapa jam.

Hari 11: 21 MEI 2008

Lebih kurang pukul 6.05 pagi, aku pun tiba di stesen keretapi Sofia. Setibanya aku di stesen keretapi tersebut, aku perhatikan kesemua papan tanda yang terdapat di dalamnya ditulis dengan menggunakan huruf-huruf Cyrillic. Cuma ada beberapa papan tanda sahaja yang dipadankan dengan perkataan Bahasa Inggeris yang menggunakan huruf-huruf Rumi. Negara Bulgaria, sama seperti Russia, Serbia, Montenegro, Macedonia & beberapa buah lagi negara Eropah Timur & juga Asia Tengah menggunakan huruf-huruf Cyrillic dalam sistem tulisan bahasa mereka. Bulgaria adalah negara pertama yang menggunakan sistem tulisan Cyrillic yang aku jejaki. Mujurlah aku sudah pun belajar mengenali huruf-huruf Cyrillic sebelum aku tiba di Bulgaria. Ianya tidaklah sesusah mana. Tulisan Cyrillic ini sebenarnya lahir di bumi Bulgaria pada akhir kurun ke-9.


Peta menunjukkan negara-negara yang menggunakan sistem tulisan Cyrillic


Huruf-huruf Cyrillic dipadankan dengan sebutannya dengan menggunakan huruf-huruf Rumi


Contoh papan tanda berhuruf Cyrillic

Aku kemudiannya melangkah keluar dari stesen keretapi itu untuk mencari lokasi hostel yang sudah pun aku rujuk di dalam buku panduan aku. Seperti yang aku jangkakan, kesemua nama jalan di bandar Sofia ini ditulis dengan menggunakan huruf-huruf Cyrillic. Pelancong-pelancong yang tidak tahu membaca dengan menggunakan huruf-huruf tersebut, pasti akan menghadapi masalah besar. Aku sekali lagi berasa bersyukur kerana telah belajar mengenali huruf-huruf tersebut. Aku akhirnya berjaya menjumpai hostel yang aku cari walaupun lokasinya agak tersorok. Pemilik hostel tersebut adalah seorang yang agak peramah. Aku memberitahunya bahawa aku adalah pelajar perubatan di Dublin. Dia kemudian dengan gembiranya memberitahu aku bahawa ayahnya adalah seorang doktor. Akan tetapi, ayahnya telah lama bersara. Seketika kemudian, ayahnya tiba-tiba sahaja muncul. Aku berkesempatan untuk berbual-bual dengan orang tua itu yang sama peramah seperti anaknya.

Selepas berbual-bual, aku dibawa ke bilik tumpangan aku. Aku kemudiannya berehat-rehat sebentar untuk menghilangkan penat. Setelah hilang penat, aku pun membersihkan diri & bersiap-siap untuk keluar. Apabila sudah bersedia, aku pun memulakan pengembaraan aku di kota Sofia, Bulgaria.

Bulgaria adalah negara ke-5 yang aku jejaki dalam pengembaraan aku di rantau Balkan ini. Negara ini disempadani oleh Romania di bahagian utara yang dipisahkan oleh Sungai Danube, Serbia & Macedonia di bahagian barat & Greece & Turki di bahagian selatan. Bahagian timur negara ini pula adalah persisiran pantai Laut Hitam. Bulgaria adalah salah sebuah negara anggota Kesatuan Eropah. Penduduk negara ini berjumlah 7,600,000 orang. 84% daripadanya adalah daripada bangsa Bulgaria yang menganut ajaran Kristian Orthodox. Yang selebihnya adalah bangsa Turki yang beragama Islam, bangsa Roma (Gypsy) & bangsa-bangsa minoriti yang lain. Bahasa yang digunakan adalah Bahasa Bulgaria yang menggunakan sistem tulisan Cyrillic. Bulgaria mengamalkan sistem pemerintahan Republik yang diketuai oleh Presiden & dibantu oleh Perdana Menteri. Matawang yang digunakan ialah Lev. 1.00 Euro bersamaan dengan 2.00 Lev. Sementara 1.00 Ringgit pula bersamaan dengan 0.40 Lev.


Peta kedudukan Bulgaria di dalam Eropah


Peta Bulgaria


Bendera Bulgaria

Menurut sejarah, orang-orang bangsa Thracia adalah antara penghuni terawal di bumi Bulgaria. Mereka disatukan pada tahun 500SM di bawah pemerintahan kerajaan Odrysian yang kemudiannya bernaung di bawah Empayar Macedonia yang dipimpin oleh Philip II of Macedon & anaknya, Alexander The Great. Pada tahun 188 SM, tentera Empayar Rom telah mencerobohi tanah orang-orang Thracia di Bulgaria. Empayar tersebut akhirnya berjaya menawan bumi Bulgaria pada tahun 45 M. Percampuran kebudayaan Thracia & Rom kemudiannya mulai berlaku sejak itu. Pada kurun ke-4, orang-orang Thracia di Bulgaria ini memeluk agama Kristian, sejajar dengan pemerintah & seluruh rakyat Empayar Rom.

Orang-orang bangsa Slav dari Asia Tengah mulai berhijrah secara beramai-ramai ke bumi Bulgaria pada kurun ke-6. Mereka kemudiannya menggelarkan diri mereka sebagai bangsa Bulgar. Empayar Bulgaria Pertama ditubuhkan oleh mereka pada tahun 632. Ibu kotanya bertukar-tukar. Terdapat 4 buah bandar yang pernah dijadikan ibu kota empayar tersebut, iaitu Pliska, Preslav, Skopje & Ohrid. Sekitar tahun 717 & 718, Empayar Bulgaria Pertama telah membantu jirannya, Empayar Byzantine untuk mengalahkan tentera Arab yang cuba menawan Constantinople & usaha mereka menemui kejayaan.

Mulai tahun 864, rakyat Empayar Bulgaria Pertama telah mula menganuti agama Kristian Orthodox sewaktu di bawah pemerintahan Boris I. Huruf-huruf Cyrillic juga mula diperkenalkan sewaktu era pemerintahannya. Empayar tersebut kemudiannya menjadi salah sebuah empayar terhebat di benua Eropah sekitar kurun ke-9 & 10. Walau bagaimanapun, empayar ini terpaksa berebut dengan Empayar Byzantine untuk menguasai wilayah-wilayah jajahan di rantau Balkan. Empayar Bulgaria Pertama seterusnya mengecapi puncak kegemilangannya sewaktu di bawah pemerintahan Simeon The Great. Namun, empayar ini lama-kelamaan mula menjadi lemah akibat peperangan dengan Croatia & juga pencerobohan orang-orang Magyar. Akhirnya, Empayar Bulgaria Pertama ini runtuh pada tahun 971. Empayar Byzantine mengambil peluang yang ada dengan menawan kesemua wilayah jajahan Empayar Bulgaria Pertama. Sejak dari tahun itu, Bulgaria berada di bawah pemerintahan Empayar Byzantine.


Peta Empayar Bulgaria Pertama

Pemerintahan Empayar Byzantine di bumi Bulgaria berakhir pada tahun 1185, apabila Empayar Bulgaria Kedua berjaya dibentuk. Maharajanya yang pertama ialah Peter IV. Ibu kotanya pula ialah Veliko Ternovo. Sejak dari penubuhannya, empayar ini semakin hari menjadi semakin kuat. Walau bagaimanapun, mulai tahun 1257, Empayar Bulgaria Kedua ini menjadi semakin lemah akibat serangan dari orang-orang Tatar, Byzantine, Hungary & Turki Uthmaniyah. Ia juga mengalami masalah konflik dalaman. Akhirnya, pada tahun 1393, ibu kotanya iaitu Veliko Ternovo telah berjaya ditawan oleh tentera Empayar Turki Uthmaniyah. Secara tidak langsung, seluruh tanah Bulgaria juga jatuh ke tangan empayar tersebut. Sejak dari tahun itulah ramai penduduk Bulgaria mula memeluk agama Islam.


Peta Empayar Bulgaria Kedua

Pada tahun 1876, setelah hampir 500 tahun Bulgaria berada di bawah pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah, berlaku satu rusuhan besar yang memperjuangkan kemerdekaan Bulgaria. Rusuhan tersebut bagaimanapun berjaya dipatahkan. Namun, pada tahun 1908, Bulgaria akhirnya berjaya mendapatkan kemerdekaan penuh daripada Empayar Turki Uthmaniyah dengan bantuan daripada Empayar Russia & Romania. Ferdinand I merupakan raja yang memerintah wilayah Bulgaria pada waktu itu. Baginda ditabalkan sebagai Raja Bulgaria yang pertama selepas kemerdekaan Bulgaria daripada Empayar Turki Uthmaniyah.

Bulgaria seterusnya menyertai beberapa siri peperangan seperti Perang Balkan, Perang Dunia Pertama & Perang Dunia Kedua. Sewaktu Perang Dunia Pertama & Kedua, Bulgaria bersekutu dengan Jerman & mengalami kekalahan dalam kedua-dua perang tersebut. Pada tahun 1944, Soviet Union telah menceroboh Bulgaria. Seterusnya, pada tahun 1946, Republik Bulgaria yang berhaluan Komunis telah ditubuhkan. Walau bagaimanapun, republik berhaluan Komunis itu akhirnya menemui kehancuran pada tahun 1989, sama seperti negara-negara Komunis di Eropah Timur yang lain, termasuklah Soviet Union sendiri yang merupakan pengasasnya. Seterusnya, barulah Republik Bulgaria seperti yang wujud pada hari ini ditubuhkan.

Sofia terletak di kaki Gunung Vitosha & merupakan ibu negara & bandar terbesar di Bulgaria. Penduduknya berjumlah 1,400,00 orang. Sofia pada zaman dahulunya diduduki oleh orang-orang Thracia. Seterusnya, kota ini menerima kedatangan Odrysi yang menubuhkan kerajaan di sini sekitar tahun 500 SM. Kemudian, sewaktu kurun ke-4 SM, Sofia bernaung di bawah pemerintahan Philip II of Macedon & anaknya, Alexander the Great. Selepas itu, Empayar Rom berjaya menawan kota ini pada tahun 29 SM.

Selepas runtuhnya Empayar Rom, pentadbiran Sofia diambil alih oleh Empayar Byzantine. Sofia memainkan peranan sebagai pusat kegiatan politik & ekonomi yang penting sewaktu ia berada di bawah jajahan Empayar Rom & Empayar Byzantine. Pembangunannya amat pesat dengan terbinanya bangunan-bangunan seperti rumah-rumah mandi, bangunan-bangunan pentadbiran, gereja-gereja & banyak lagi infrastruktur awam.

Walau bagaimanapun, pada tahun 447, kota ini musnah akibat diserang oleh orang-orang Hun. Namun, ia berjaya dibangunkan semula oleh Maharaja Byzantine yang bernama Justinian selepas kota ini ditawan semula oleh empayar tersebut. Pada tahun 809, Sofia berjaya dirampas oleh Empayar Bulgaria Pertama. Walau bagaimanapun, Empayar Byzantine berjaya mengambil alih semula kota ini pada tahun 1018, selepas kejatuhan Empayar Bulgaria Pertama. Akan tetapi, setelah Empayar Bulgaria Kedua ditubuhkan, Sofia berjaya dirampas semula dari Empayar Byzantine.

Pada tahun 1382, Sofia akhirnya jatuh ke tangan Empayar Turki Uthmaniyah & terus berada di bawah pemerintahan empayar tersebut sehingga ke tahun 1878 apabila ianya ditawan oleh Empayar Russia. Seterusnya, apabila Bulgaria berjaya mendapat kemerdekaan penuh daripada Empayar Turki Uthmaniyah, Sofia dijadikan ibu kotanya. Sewaktu Perang Dunia Kedua, Sofia telah dibom oleh tentera Pakatan Berikat & kemudiannya ditawan oleh tentera Soviet Union. Selepas tamatnya perang tersebut, bermulalah era Sofia sebagai ibu kota kepada Republik Bulgaria yang berhaluan Komunis sehinggalah ke zaman kejatuhan Komunis pada tahun 1989.


Peta kedudukan Sofia di dalam Bulgaria

Lokasi pertama di Sofia yang aku jejaki selepas keluar dari hostel ialah stesen bas Sofia. Tujuan aku ke stesen bas tersebut adalah untuk membeli tiket bas untuk ke Skopje, Macedonia pada pagi esok. Stesen bas itu terletak bersebelahan dengan stesen keretapi. Selesai sahaja membeli tiket, aku terus berjalan menuju ke restoran McDonald’s untuk bersarapan pagi. Setelah kenyang, aku mengatur langkah ke Banya Bashi Mosque yang terletak betul-betul di hadapan restoran tersebut. Banya Bashi Mosque merupakan masjid yang terpenting di Sofia & antara masjid yang tertua di benua Eropah. Masjid ini dibina sekitar tahun 1576, sewaktu Sofia berada di bawah pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah. Ia dibina mengikut citarasa senibina Turki Uthmaniyah. Ianya masih lagi berfungsi sehingga ke hari ini. Oleh itu, aku menggunakan kesempatan yang ada untuk mengamati keindahan luaran & dalaman masjid tinggalan Empayar Turki Uthmaniyah di bumi Sofia ini. Senibinanya amat sama seperti senibina masjid-masjid di Istanbul. Begitu cantik sekali.


Restoran McDonald's di Sofia, Bulgaria


Banya Bashi Mosque, Sofia, Bulgaria


Ruang dalaman Banya Bashi Mosque, Sofia, Bulgaria


Ruang dalaman Banya Bashi Mosque, Sofia, Bulgaria

Bersebelahan dengan Banya Bashi Mosque, terletak bangunan Public Mineral Baths yang berfungsi sebagai tempat mandi awam. Ianya adalah antara mercu tanda utama Sofia. Bangunan ini dibina sekitar awal kurun ke-20 & dibuka kepada orang ramai sehingga tahun 1986. Ia mulai ditutup pada tahun 1986 atas faktor kebersihan. Di ruang di antara Banya Bashi Mosque & Public Mineral Baths, terdapat kawasan air mata air yang sehingga kini masih lagi digunakan oleh penduduk tempatan.


Public Mineral Baths, Sofia, Bulgaria


Kawasan air mata air, Sofia, Bulgaria

Seterusnya, aku bergerak menuju ke Sofia Synagogue, sinagog yang terbesar di rantau Balkan & antara yang terbesar di benua Eropah. Ia juga adalah salah satu daripada 2 buah sinagog yang masih lagi berfungsi di bumi Bulgaria. Sinagog ini dibina pada tahun 1909, sewaktu pemerintahan Ferdinand I. Ianya boleh memuatkan seramai 1,300 orang. Walau bagaimanapun, pada masa kini, sinagog ini hanya dihadiri oleh 50-60 orang penganut Yahudi sahaja pada sesuatu masa kerana ramai antara mereka telah berhijrah ke tanah haram Israel & tidak kurang juga yang sudah berfahaman sekular. Mulai tahun 1992, sinagog ini turut berfungsi sebagai muzium yang menceritakan kisah-kisah penduduk Yahudi di Bulgaria & juga peristiwa Holocaust yang menimpa mereka.


Sofia Synagogue, Sofia, Bulgaria

Aku kemudiannya menuju ke Party House, bangunan yang bercirikan senibina Soviet yang dibina pada tahun 1950-an, sewaktu era pemerintahan Komunis di Bulgaria. Bangunan ini merupakan ibu pejabat kepada Parti Komunis pada waktu itu. Pada masa kini, bangunan ini berfungsi sebagai pejabat kerajaan.


Party House, Sofia, Bulgaria

Seterusnya, aku ke Sveta Nedelya Cathedral, antara gereja Orthodox yang terpenting di Sofia. Gereja ini pada mulanya diperbuat daripada kayu & dibina pada kurun ke-10. Ia kemudiannya diganti dengan binaan konkrit mulai tahun 1856 & siap sepenuhnya pada tahun 1867. Bangunan gereja ini kemudiannya diubahsuai lagi pada tahun 1898 dengan tambahan kubah-kubah baru. Pada tahun 1925, gereja ini telah diletupkan oleh pengganas Komunis & telah mengorbankan seramai 150 nyawa. Ia kemudiannya dibaik pulih sekali lagi pada tahun 1927 & siap sepenuhnya 4 tahun kemudian. Ianya kekal berbentuk sedemikian rupa sehingga ke hari ini.


Sveta Nedelya Cathedral, Sofia, Bulgaria


Ruang dalaman Sveta Nedelya Cathedral, Sofia, Bulgaria

Selepas bergambar dengan Sveta Nedelya Cathedral, aku meneruskan perjalanan aku ke President’s Building yang merupakan kediaman rasmi Presiden Bulgaria. Aku hanya sekadar bergambar di hadapannya sahaja. Berhampiran dengannya, terletak sebuah gereja kecil bernama Church of St George. Gereja ini diperbuat daripada bata-bata merah yang dibina oleh penganut-penganut awal ajaran Kristian sewaktu pemerintahan Empayar Rom di bumi Sofia. Ianya dipercayai sebagai bangunan tertua yang masih wujud di kota ini. Sewaktu pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah di Sofia, gereja ini ditukar fungsinya menjadi masjid & segala fresco yang terdapat di dalamnya ditampal. Selepas kemerdekaan Bulgaria, tampalan yang dibuat di atas fresco-fresco tersebut dikikis semula untuk dipamerkan.


President’s Building, Sofia, Bulgaria


Church of St George, Sofia, Bulgaria

Aku kemudiannya mengorak langkah menuju ke Aleksander Nevski Church. Dalam perjalanan ke gereja itu, aku singgah di Ethnographical Museum untuk bergambar di hadapannya. Aku kurang pasti mengenai sejarah bangunan itu. Kemudian, aku berhenti pula di hadapan St Nikolai Russian Church. Gereja kecil ini adalah kepunyaan komuniti penganut ajaran Kristian Russian Orthodox di bumi Sofia. Gereja ini sebenarnya dibina di atas tapak Saray Mosque yang telah dirobohkan pada tahun 1882, sewaktu pendudukan Empayar Russia di Bulgaria. Pembinaan gereja ini dimulakan pada tahun 1907, setahun sebelum kemerdekaan Bulgaria & ia siap sepenuhnya pada tahun 1914. Ia dibina sebagai membalas jasa Empayar Russia yang telah membantu Bulgaria mendapatkan kemerdekaan daripada Empayar Turki Uthmaniyah. Nama gereja ini diambil bersempena dengan nama Tsar Russia yang memerintah sewaktu gereja ini dibina, iaitu Nicholas II. Sewaktu era pemerintahan Komunis di Bulgaria, gereja ini masih tetap dibuka. Walau bagaimanapun, paderi-paderinya sentiasa diawasi. Gereja ini mempunyai 5 buah kubah yang disalut emas. Itulah yang menjadi daya tarikannya.


Ethnographical Museum, Sofia, Bulgaria


St Nikolai Russian Church, Sofia, Bulgaria

Selepas itu, aku singgah pula di Tsar Osvoboditel Statue, sebuah monumen patung berkuda yang terletak di tengah-tengah sebuah dataran di Tsar Osvoboditel Boulevard. Monumen patung ini dibina sebagai memberi penghormatan kepada Tsar Russia yang bernama Alexander II atas jasanya membantu membebaskan Bulgaria daripada jajahan Empayar Turki Uthmaniyah pada tahun 1878. Monumen patung ini siap dibina & diletakkan di lokasinya pada tahun 1903. Ianya dirasmikan oleh Raja Bulgaria pada waktu itu, iaitu Ferdinand I.


Tsar Osvoboditel Statue di Tsar Osvoboditel Boulevard, Sofia, Bulgaria


Tsar Osvoboditel Statue di Tsar Osvoboditel Boulevard, Sofia, Bulgaria

Kemudiannya, barulah aku tiba di Aleksander Nevski Church. Gereja ini adalah sebuah gereja Orthodox yang bercirikan senibina Byzantine. Bentuknya seakan-akan Hagia Sophia di Istanbul, cuma saiznya lebih kecil. Gereja ini adalah antara gereja Orthodox yang terbesar di dunia & merupakan mercu tanda utama Sofia yang menjadi tumpuan utama para pelancong. Ianya boleh memuatkan seramai 5,000 orang pada satu masa. Kubahnya yang paling besar disalut dengan emas & mempunyai ketinggian 45 meter dari paras permukaan bumi. Pembinaan gereja ini dimulakan pada tahun 1882 & siap sepenuhnya pada tahun 1912. Ia dibina sebagai memberi penghormatan kepada tentera Empayar Russia yang telah berjuang memerangi tentera Empayar Turki Uthmaniyah yang akhirnya berjaya membebaskan Bulgaria daripada penjajahan Empayar Turki Uthmaniyah.


Aleksander Nevski Church, Sofia, Bulgaria


Aleksander Nevski Church, Sofia, Bulgaria

Seterusnya, aku berjalan menuju ke National Palace of Culture yang terletak berdekatan dengan Yuzhen Park. National Palace of Culture ini atau nama singkatannya, NDK adalah bangunan serbaguna yang terbesar di rantau Balkan. Bangunan ini mempunyai 13 buah dewan. Ianya digunakan untuk perjumpaan rasmi, kongres, konvensyen & pameran. Festival Filem Sofia juga turut diadakan di sini. National Palace of Culture ini dibuka pada tahun 1981. Pada tahun 2005, ia dianugerahkan sebagai pusat kongres terbaik dunia oleh International Organisation of Congress Centres.


National Palace of Culture, Sofia, Bulgaria

Selepas melawat National Palace of Culture, aku singgah di sebuah gerai yang menjual pizza dengan harga yang amat murah. Aku membeli pizza tomato & keju kerana itu sahaja yang halal untuk dimakan. Saiz pizza tersebut amat berbaloi dengan harganya. Selepas makan, aku kembali semula ke hostel untuk solat & berehat-rehat. Apabila malam sudah menjelma, aku menunaikan solat jamak Maghrib & Isyak. Kemudian, aku keluar untuk menikmati suasana malam di Sofia yang sememangnya cantik di bawah sinaran bulan. Aku sempat bergambar di beberapa monumen penting di sini. Selepas puas menikmati keindahan malam di kota ini, aku pun kembali semula ke hostel untuk melelapkan mata.


Aleksander Nevski Church, Sofia, Bulgaria


Aleksander Nevski Church, Sofia, Bulgaria


Banya Bashi Mosque, Sofia, Bulgaria

Hari 12: 22 MEI 2008

Selepas solat Subuh & membersihkan diri, aku pun keluar dari hostel yang aku tumpangi seawal pukul 8.00 pagi. Aku terus menuju ke stesen bas Sofia untuk menanti ketibaan bas ke Skopje, Macedonia. Tidak lama kemudian, bas yang dinantikan pun tiba. Aku lalu terus masuk ke dalamnya. Lebih kurang pukul 8.30 pagi, bas itu pun mulai bergerak meninggalkan Sofia menuju ke Skopje. Perjalanan mengambil masa selama lebih kurang 6 jam lamanya. Aku memilih untuk menaiki bas kerana perkhidmatan keretapi dari Sofia ke Skopje agak jarang. Mujurlah harga tiket bas tidak terlampau mahal.

Lebih kurang pukul 1.30 tengah hari waktu tempatan Macedonia, aku pun tiba di stesen bas Skopje. Sesampainya aku di stesen bas tersebut, aku tercari-cari mesin ATM kerana aku perlu mengeluarkan wang dalam matawang negara Macedonia. Setelah penat mencari, aku akhirnya berjaya menjumpainya. Aku pun terus memasukkan kad ATM aku ke dalam mesin tersebut. Belum sempat aku menaip nombor pin aku, skrin mesin ATM tersebut tiba-tiba terpadam. Aku terus menjadi panik. Aku menekan-nekan butang ‘cancel’ untuk mengeluarkan semula kad ATM aku, tetapi tiada apa yang berlaku. Aku menjadi semakin cemas. Itu sahajalah sumber kewangan yang aku ada. Tanpa kad ATM itu, bagaimana hendak aku keluarkan wang sepanjang aku berada di perantauan ini? Pengembaraan aku di bumi Balkan masih lagi tinggal beberapa hari. Walau bagaimanapun, aku masih mempunyai kad kredit. Aku boleh sahaja mengeluarkan wang dengan menggunakan kad kredit tersebut. Cuma penggunaannya akan dikenakan caj tambahan.

Aku kemudiannya terus berlari ke sebuah bilik pejabat berdekatan di mana terdapat seorang pekerja wanita di dalamnya. Aku cuba memberitahunya tentang masalah yang aku hadapi & aku cuba meminta pertolongannya. Wanita yang sedang dalam keadaan mood yang tidak begitu baik itu kemudiannya menyuruh aku pergi ke bank di pusat bandar untuk membuat laporan. Aku lantas memberitahunya bahawa ini adalah pertama kali aku tiba di Skopje & aku tidak tahu selok-belok bandar ini. Wanita itu kemudiannya dengan nada suara yang tinggi mengulangi arahannya menyuruh aku pergi mencari bank di pusat bandar. Aku dikatakan seolah-olah membuang masanya.

Aku tidak tahu lagi bagaimana untuk memberi respon. Wanita itu benar-benar tidak memahami situasi yang sedang aku alami. Aku agak terkejut dengan apa yang sedang berlaku. Rasa seperti hendak menangis pun ada. Aku benar-benar cemas. Bagaimana aku hendak mengambil semula kad ATM aku yang tersangkut di dalam mesin ATM itu? Aku benar-benar buntu. Aku harapkan apa yang sedang berlaku ini hanya sekadar sebuah mimpi ngeri. Namun, ianya adalah kenyataan pahit yang perlu aku terima. Yang termampu aku lakukan pada waktu itu hanyalah berdoa kepada Allah SWT agar aku diberi petunjuk oleh-Nya.

Secara tiba-tiba, muncul seorang lelaki tempatan berusia 40-an di pejabat itu yang kelihatan seperti bekerja sebagai tukang sapu di stesen bas tersebut. Dia bertanyakan kepada wanita itu apa yang sedang berlaku. Wanita itu pun menceritakan tentang hal yang berlaku dalam bahasa mereka. Lelaki itu kemudiannya menarik tangan aku ke mesin ATM tadi. Dia kemudian menekan butang ‘cancel’ itu selama lebih kurang seminit. Setelah itu, dengan tidak semena-mena, kad ATM aku yang tersangkut itu pun keluar. Ya Allah. Adakah lelaki itu malaikat yang diutuskan oleh-Mu? Aku bersyukur sangat-sangat. Tiada kalimah lain yang mampu aku ucapkan selain Alhamdulillah.

Lelaki itu kemudiannya membawa aku ke sebuah mesin ATM berdekatan & cuba menerangkan kepada aku bahawa mesin ATM tersebut berfungsi dengan baik. Walaupun Bahasa Inggerisnya tidak begitu fasih, aku tetap boleh memahami apa yang cuba dikatakannya. Aku lalu mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepadanya. Syukur kepada Allah SWT kerana telah mengutuskan lelaki itu untuk membantu aku. Mungkin ini adalah ujian kecil daripada-Nya untuk melihat sejauh mana kesabaran aku. Wallahu ‘alam. Apa-apa pun, aku benar-benar bersyukur kerana aku telah mendapat semula kad ATM aku.

Selepas mengeluarkan wang, aku pun terus berjalan mencari lokasi hostel yang aku rujuk di dalam buku panduan aku. Aku menggunakan peta yang terdapat di dalam buku tersebut. Sedang aku berusaha untuk mencari hostel itu, secara tiba-tiba hujan turun dengan begitu lebat sekali. Ini adalah pertama kali aku merasai hujan sepanjang aku berada di rantau Balkan. Aku lantas terus berlari ke sebatang pokok untuk berteduh di bawahnya. Hujan turun semakin lebat. Pokok tempat aku berlindung sudah tidak mampu lagi menahan titisan air hujan daripada membasahi aku. Aku kemudiannya mendapat idea untuk berteduh di bawah kolong sebuah rumah berdekatan dengan pokok itu. Hahaha. Mujurlah tuan rumah tidak perasan akan kehadiran aku. Agak lama juga aku berteduh di situ, sementara menanti hujan reda. Akhirnya, setelah hampir 20 minit menunggu, hujan pun mulai reda. Aku pun kemudiannya meneruskan perjalanan mencari hostel tersebut. Baju, seluar & beg aku basah sedikit akibat terkena air hujan. Tidak selesa rasanya.

Hampir 20 minit lamanya aku tercari-cari hostel yang aku rujuk di dalam buku panduan aku itu. Namun, ianya masih belum dijumpai. Adakah aku tersalah membaca peta? Aku berulang-alik melalui sebatang jalan raya untuk mencari lokasi hostel itu. Hampir semua orang yang lalu-lalang di situ aku tegur untuk bertanyakan tentang lokasi hostel itu. Namun, kesemuanya memberi jawapan yang menghampakan. Aku akhirnya berputus asa. Aku lantas terus menahan sebuah teksi yang lalu di jalan raya tersebut. Kemudian, aku menunjukkan alamat hostel itu kepada pemandunya. Pemandu teksi itu berkata bahawa hostel itu terletak tidak jauh dari situ. Aku yang sedang dalam kepenatan hanya meminta pemandu teksi itu membawa aku ke hostel itu. Aku tidak terdaya lagi untuk berjalan. Dan aku tidak kisah berapa tambang yang akan dikenakannya. Aku cuma hendak tiba di hostel itu sahaja.

Lebih kurang 5 minit kemudian, aku pun tiba di hostel yang dimaksudkan. Rupa-rupanya, memang dekat seperti yang dikatakan oleh pemandu teksi itu tadi. Cuma ianya agak tersorok. Aku lalu mengucapkan terima kasih kepada pemandu teksi tadi & bertanya akan tambang yang dikenakannya. Ianya tidaklah terlampau mahal. Tetapi, malangnya aku tidak mempunyai wang kecil. Akhirnya, aku terpaksa membayarnya dengan wang Euro. Mujurlah dia bersetuju untuk menerimanya. Selepas itu, aku terus masuk ke dalam hostel tersebut. Nasib aku seperti jatuh ditimpa tangga. Satu demi satu masalah datang menimpa diri aku. Kali ini, aku diberitahu oleh pemilik hostel itu yang hostel itu sudah pun penuh. Ya Allah. Hebat sekali ujian-ujian yang diberi oleh-Mu kepada hamba-Mu di bumi Skopje ini. Baru sahaja aku menjejakkan kaki di kota ini, sudah bermacam-macam masalah yang timbul.

Walau bagaimanapun, pemilik hostel itu kemudiannya memberitahu aku bahawa dia mempunyai kenalan yang juga merupakan seorang pemilik hostel. Hostel kepunyaan kenalannya itu besar kemungkinan masih terdapat kekosongan. Dia bertanya sama ada aku bersetuju jikalau dia hendak menghantar aku ke hostel tersebut. Aku dengan serta-merta bersetuju tanpa berfikir panjang. Ya Allah. Aku bersyukur sangat-sangat. Tidak berapa lama selepas itu, datang sebuah teksi untuk membawa aku ke hostel yang dimaksudkan itu. Lebih kurang 10 minit perjalanan, aku pun tiba di hostel tersebut. Pemilik hostel itu datang menjemput aku & membayar tambang teksi itu dengan menggunakan wangnya sendiri. Selepas itu, dia membawa aku masuk ke dalam hostelnya untuk mendaftar masuk. Kemudian, aku dibawa ke bilik aku. Bilik tersebut agak besar & selesa. Lengkap dengan peti televisyen, bilik air & sebagainya.

Aku berehat-rehat dahulu di dalam bilik hostel yang aku tumpangi sebelum keluar untuk menjelajahi kota Skopje. Penat sungguh rasanya selepas melalui banyak sungguh dugaan sejak aku mula-mula menjejakkan kaki di stesen bas tadi sehinggalah aku tiba di hostel ini. Walau apa pun, aku bersyukur kepada Allah SWT kerana telah membantu aku menyelesaikan setiap masalah yang menimpa. Benarlah kata orang. Jikalau niat kita baik, Allah SWT akan membantu memudahkan segalanya buat kita.

Selepas membersihkan diri, solat & sebagainya, aku pun keluar untuk memulakan ekspedisi aku. Aku menaiki teksi ke pusat bandar kerana aku sendiri tidak pasti di mana lokasi hostel yang aku tumpangi ini. Ianya tidak terdapat di dalam buku panduan aku. Setibanya di pusat bandar, aku pun memulakan pengembaraan aku di kota Skopje, Macedonia ini.

Macedonia adalah negara ke-6 yang aku kunjungi dalam ekspedisi aku mengelilingi rantau Balkan. Negara ini disempadani oleh Serbia & Kosovo di bahagian utara, Bulgaria di bahagian timur, Greece di bahagian selatan & Albania di bahagian barat. Nama Macedonia sememangnya amat sinonim dengan nama Alexander the Great yang berkemungkinan kecil sama orangnya dengan Iskandar Zulkarnaen yang disebut namanya oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Di bumi Macedonialah lahirnya manusia yang pernah menguasai hampir suku daripada keluasan dunia itu.


Peta kedudukan Macedonia di dalam Eropah


Peta Macedonia


Bendera Macedonia


Alexander the Great

Macedonia mendapat kemerdekaannya daripada Republik Sosialis Yugoslavia pada tahun 1991. Walau bagaimanapun, penggunaan nama ‘Macedonia’ oleh negara bekas jajahan Yugoslavia ini telah dipertikaikan oleh negara Greece kerana menurut orang-orang Greek, kerajaan Macedonia yang pernah wujud pada zaman dahulu mengamalkan kebudayaan Greek & menggunakan Bahasa Greek dalam kehidupan seharian mereka. Sementara penduduk negara Macedonia bekas jajahan Yugoslavia ini pula bukanlah daripada bangsa Greek & mereka tidak menggunakan Bahasa Greek dalam kehidupan seharian. Oleh itu, mereka dikatakan tidak layak menamakan negara mereka dengan nama 'Macedonia'. Di dalam negara Greece sendiri pun sebenarnya sudah terdapat sebuah wilayah yang dinamakan wilayah Macedonia. Sebagai jalan penyelesaian & mengelakkan kekeliruan, nama rasmi negara Macedonia ini terpaksa ditukar menjadi Former Yugoslav Republic of Macedonia & ianya kekal sebegitu sehingga sekarang. Walau bagaimanapun, kehangatan isu tersebut sebenarnya masih lagi belum reda.


Peta wilayah Macedonia di dalam negara Greece

Penduduk negara ini berjumlah 2,100,000 orang. Majoritinya adalah daripada bangsa Macedonia. Penduduk minoriti pula kebanyakannya daripada bangsa Albania yang menetap di bahagian barat negara ini. Bahasa rasmi negara ini adalah Bahasa Macedonia yang menggunakan sistem tulisan Cyrillic. 65% daripada penduduk Macedonia menganut ajaran Kristian Orthodox. 33% pula adalah penganut agama Islam yang kebanyakannya daripada bangsa Albania, Turki & Bosniak. Macedonia menduduki tangga ke-5 selepas Turki, Kosovo, Albania & Bosnia & Herzegovina dalam senarai negara-negara yang mempunyai peratusan penduduk Islam tertinggi di benua Eropah. Sementara itu, baki 2% daripada penduduknya pula adalah penganut ajaran Kristian daripada mazhab-mazhab lain. Terdapat lebih daripada 1,200 buah gereja & lebih daripada 400 buah masjid di seluruh negara ini.


Peta demografi penduduk Macedonia

Macedonia mengamalkan sistem pemerintahan Republik yang diketuai oleh Presiden & dibantu oleh Perdana Menteri. Mata wang yang digunakan di negara ini ialah Denar. 1.00 Euro bersamaan dengan 60.00 Denar. 1.00 Ringgit pula bersamaan dengan 12.00 Denar.

Pada zaman dahulu, bumi Macedonia ini berada di bawah kerajaan Paeonia & ia menjadi penempatan orang-orang Thrace & Illyria. Kemudian, pada tahun 336 SM, Raja Macedonia berbangsa Greek yang bernama Philip II of Macedon telah berjaya menawannya. Pemerintahan Philip II of Macedon kemudiannya diwarisi oleh anaknya, iaitu Alexander the Great. Beliau ditabalkan menjadi Raja Macedonia yang baru ketika usianya baru mencecah 20 tahun. Walau bagaimanapun, dalam usia semuda itu, Alexander the Great dengan mudahnya menyatukan seluruh bangsa Greek & kemudiannya memperluaskan wilayah jajahan empayarnya sehingga berjaya membentuk salah sebuah empayar yang terbesar di dunia dalam jangkamasa 13 tahun. Empayarnya menjangkau dari bumi Macedonia sehingga ke barat India.


Peta kerajaan Macedonia sebelum perluasan empayar oleh Alexander the Great


Peta Empayar yang dibentuk oleh Alexander the Great

Beberapa ratus tahun kemudian, selepas kemerosotan tamadun Greek, bumi Macedonia jatuh pula ke tangan Empayar Rom. Selepas kejatuhan Empayar Rom, kerajaan Bulgaria mengambil alih pemerintahannya. Pada waktu itulah orang-orang Slav dari Ukraine mula berhijrah ke sini secara beramai-ramai. Merekalah yang kemudiannya mewujudkan bangsa Macedonia di sini. Mereka memeluk agama Kristian pada kurun ke-9, sewaktu pemerintahan Raja Bulgaria yang bernama Boris I.

Pada tahun 1018, Macedonia berjaya ditawan oleh Empayar Byzantine sewaktu pemerintahan Maharajanya yang bernama Basil II. Walau bagaimanapun, pada awal kurun ke-13, Macedonia berjaya diambil alih semula oleh kerajaan Bulgaria. Namun, selepas kejatuhan kerajaan tersebut pada kurun ke-14, Macedonia dikembalikan kepada Empayar Byzantine buat beberapa ketika sebelum ianya jatuh pula ke tangan Empayar Serbia pada kurun yang sama. Tidak berapa lama selepas itu, Macedonia ditawan oleh Empayar Turki Uthmaniyah & kekal berada di bawah pemerintahan empayar tersebut selama hampir 500 tahun. Dalam jangka masa itulah sinar Islam menerangi bumi Macedonia.

Sewaktu kurun ke-19, berlaku beberapa rusuhan menentang penjajahan Empayar Turki Uthmaniyah di Macedonia. Namun, semua rusuhan tersebut berjaya dipatahkan. Walau bagaimanapun, selepas kekalahan Empayar Turki Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama, Macedonia berjaya dibebaskan & dijadikan sebahagian daripada kerajaan Yugoslavia yang baru dibentuk. Sewaktu Perang Dunia Kedua, Macedonia telah ditawan oleh Kuasa Paksi & dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama diserahkan kepada kerajaan Bulgaria & bahagian kedua diserahkan kepada Albania yang pada waktu itu berada di bawah kekuasaan Itali.

Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, Macedonia sekali lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan Yugoslavia. Akan tetapi, pada kali ini, kerajaan tersebut mengubah sistem pemerintahannya kepada sistem pemerintahan Republik berhaluan Sosialis. Macedonia kekal berada di bawah republik tersebut sehingga ke tahun 1991 apabila republik itu berpecah. Negara Macedonia yang baru kemudiannya dibentuk dengan menjadikan Skopje sebagai ibu negaranya. Tidak berapa lama selepas itu, terjadi beberapa pertelingkahan antara penduduk bangsa Macedonia yang beragama Kristian Orthodox & penduduk bangsa Albania yang beragama Islam. Ketegangan antara kedua-dua bangsa itu masih lagi dirasai sehingga ke hari ini walaupun tiada pertumpahan darah berlaku.

Skopje adalah ibu negara Macedonia & juga merupakan bandar yang terbesar di negara ini. Jumlah penduduknya adalah seramai 506,000 orang, iaitu hampir ¼ daripada jumlah keseluruhan penduduk di Macedonia. Ia terletak di pinggiran Sungai Vardar, sungai yang terpanjang di negara ini.


Peta kedudukan Skopje di dalam Macedonia

Bumi Skopje telah menjadi penempatan manusia sejak Zaman Neolitik lagi. Pada tahun 148 SM, Skopje telah jatuh ke tangan Empayar Rom selepas kejatuhan kerajaan Macedonia akibat kekalahannya dalam peperangan dengan Empayar Rom. Kemudian, pada tahun 395 M, sewaktu perpecahan Empayar Rom kepada Empayar Rom Barat & Empayar Rom Timur, kota ini diserahkan ke bawah pemerintahan Empayar Rom Timur yang kemudiannya dikenali sebagai Empayar Byzantine.

Skopje kemudiannnya jatuh pula ke tangan Kerajaan Bulgaria Pertama & dijadikan ibu kota kerajaan tersebut dari tahun 972 hingga 992. Selepas kejatuhan kerajaan itu pada tahun 1018, Skopje kembali menjadi tanah jajahan Empayar Byzantine. Namun, ia jatuh pula ke bawah jajahan Empayar Serbia pada tahun 1282. Tidak berapa lama selepas itu, iaitu pada tahun 1392, Skopje akhirnya menjadi sebahagian daripada Empayar Turki Uthmaniyah & terus berada di bawah pemerintahan empayar tersebut selama lebih kurang 520 tahun. Sewaktu di bawah pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah, Islam tersebar dengan meluas di bumi Skopje. Boleh dikatakan majoriti daripada penduduknya menganut agama Islam pada waktu itu. Bangunan-bangunan seperti masjid, hamam & madrasah tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Gereja-gereja juga banyak ditukar fungsinya menjadi masjid.

Seterusnya, pada tahun 1689, Skopje telah ditawan oleh tentera Empayar Austria. Akan tetapi, penawanan tersebut tidak lama. Selepas kerosakan dibuat di bumi Skopje, mereka keluar meninggalkan bandar tersebut. Hal ini berlaku kerana dendam Empayar Austria terhadap Empayar Turki Uthmaniyah yang telah cuba menceroboh Vienna, ibu kota empayar tersebut pada tahun 1683.

Pada akhir kurun ke-19, berlaku beberapa rusuhan menentang pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah di Skopje. Namun, kesemuanya berjaya dipatahkan. Kemudian, sewaktu tercetusnya Perang Balkan sekitar tahun 1912, pemerintah-pemerintah Turki Uthmaniyah di Skopje telah dihalau keluar oleh penduduk-penduduk bangsa Albania di sini. Tentera Serbia yang tiba kemudiannya telah berjaya menghalau kesemua pemerintah-pemerintah empayar tersebut keluar dari seluruh bumi Macedonia. Skopje kemudiannya berada di bawah pentadbiran kerajaan Serbia buat sementara waktu sebelum pemerintahannya diambil alih oleh kerajaan Bulgaria pada tahun 1914.

Selepas Perang Dunia Pertama, Skopje menjadi sebahagian daripada kerajaan Yugoslavia yang baru dibentuk. Ia kemudiannya jatuh ke tangan tentera Jerman sewaktu Perang Dunia Kedua. Selepas tamatnya perang tersebut, Skopje berada pula di bawah pemerintahan Republik Sosialis Yugoslavia. Kemudian, pada tahun 1991, Skopje dijadikan ibu negara Macedonia selepas negara itu mendapat kemerdekaan daripada republik tersebut.

Lokasi pertama di Skopje yang aku jejaki ialah Sveti Kliment Ohridski, sebuah gereja Orthodox yang mempunyai senibina yang moden & unik. Gereja ini dibina pada tahun 1972. Ianya kelihatan seakan-akan seperti sebuah masjid jikalau dilihat dari jauh. Seterusnya, aku melalui bangunan Pejabat Pos Skopje yang mempunyai senibina yang agak menarik. Pejabat pos ini dibina sewaktu era pemerintahan Republik Sosialis Yugoslavia.


Sveti Kliment Ohridski, Skopje, Macedonia


Pejabat Pos Skopje, Skopje, Macedonia

Selepas bergambar dengan bangunan pejabat pos itu, aku berjalan menuju ke pinggir Sungai Vardar. Di sini terdapat sebuah monumen bersejarah yang bernama Liberation of Skopje Monument. Monumen ini dibina bersempena dengan pembebasan Macedonia daripada cengkaman penjajah sewaktu Perang Dunia Kedua. Di seberang Sungai Vardar, terletak Kale Fortress, sebuah kubu pertahanan yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Selepas bergambar dengan Liberation of Skopje Monument & juga dengan Kale Fortress yang terletak di seberang sungai tersebut, aku mengorak langkah melalui jambatan yang dibina merentangi sungai itu.


Liberation of Skopje Monument, Skopje, Macedonia


Kale Fortress dari seberang Sungai Vardar, Skopje, Macedonia


Kale Fortress dari seberang Sungai Vardar, Skopje, Macedonia, Skopje, Macedonia

Destinasi aku yang seterusnya ialah Daut Pasha Hamam, rumah mandi awam yang dibina pada akhir kurun ke-15 oleh Daut Pasha, wazir Sultan Empayar Turki Uthmaniyah di Skopje pada waktu itu. Ianya pada masa kini digunakan sebagai galeri yang mempamerkan koleksi kesenian kurun ke-19 & 20. Aku kemudiannya berjalan menuju ke Kale Fortress yang terletak di puncak yang tertinggi di kota ini. Untuk ke situ, aku perlu mendaki sebuah bukit yang agak curam. Kubu pertahanan ini dipercayai dibina sewaktu pemerintahan Maharaja Byzantine yang bernama Justinian I. Ia kemudiannya turut digunakan sewaktu era pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah. Walau bagaimanapun, kubu pertahanan ini mengalami kerosakan teruk sewaktu berlakunya kejadian gempa bumi di sini pada tahun 1963. Ianya tidak diperbaiki untuk sekian lama sehinggalah ada usaha untuk memperbaikinya baru-baru ini. Dari atas Kale Fortress ini, aku dapat menikmati panorama kota Skopje yang sungguh menakjubkan. Besar & cantik juga kota Skopje ini sebenarnya.


Daut Pasha Hamam, Skopje, Macedonia


Kale Fortress, Skopje, Macedonia


Kale Fortress, Skopje, Macedonia


Panorama kota Skopje dari Kale Fortress, Skopje, Macedonia

Setelah menghabiskan masa yang agak lama di Kale Fortress, aku meneruskan perjalanan ke Mustafa Pasha Mosque, sebuah masjid yang terletak di kawasan Bazaar. Masjid ini adalah antara masjid yang tercantik & terkenal di negara Macedonia. Ianya dibina pada tahun 1492 oleh Mustafa Pasha, wazir kepada Sultan Selim I yang memerintah Empayar Turki Uthmaniyah pada waktu itu. Nasib aku agak kurang baik kerana masjid tersebut sedang dalam proses pembaikan. Jikalau tidak, sudah tentu aku dapat masuk ke dalamnya & mengamati senibina dalamannya yang sudah pastinya memukau.


Mustafa Pasha Mosque, Skopje, Macedonia

Aku kemudiannya berjalan menuju ke Stone Bridge. Jambatan ini dibina merentangi Sungai Vardar, menghubungkan Old Town dengan Macedonian Square. Jambatan bersejarah sepanjang 214 meter ini merupakan antara mercu tanda utama Skopje. Jambatan asal dikatakan telah dibina sewaktu era pemerintahan Maharaja Justinian I pada kurun ke-6. Kemudian, pada kurun ke-15, sewaktu era pemerintahan Sultan Turki Uthmaniah yang bernama Mehmed II yang turut dikenali dengan nama Sultan Muhammad al-Fatih, jambatan ini diperbaiki semula. Beberapa kejadian gempa bumi yang berlaku selepas itu telah merosakkan struktur jambatan ini, terutamanya kejadian gempa bumi yang berlaku pada tahun 1555. Oleh itu, ianya terpaksa diperbaiki sebanyak beberapa kali. Sewaktu Perang Dunia Kedua, Stone Bridge ini cuba untuk diletupkan oleh pakatan tentera Nazi Jerman & Fasis Itali, tetapi percubaan mereka berjaya digagalkan.


Stone Bridge, Skopje, Macedonia


Stone Bridge, Skopje, Macedonia


Di atas Stone Bridge, Skopje, Macedonia


Sebuah monumen di tengah-tengah Stone Bridge, Skopje, Macedonia

Aku seterusnya berjalan melalui Stone Bridge untuk ke Macedonian Square, dataran utama yang terdapat di kota Skopje ini. Ianya seringkali dijadikan lokasi untuk aktiviti-aktiviti kebudayaan, politik & lain-lain lagi. Festival perayaan Krismas juga turut diadakan di dataran ini. Macedonian Square juga merupakan tempat yang bersejarah bagi rakyat Macedonia kerana di sinilah kemerdekaan Macedonia daripada Yugoslavia diumumkan oleh Presiden pertamanya, iaitu Kiro Gligorov. Pada masa kini, di sekeliling dataran ini terdapat banyak bangunan-bangunan yang bercirikan senibina moden.


Macedonian Square, Skopje, Macedonia

Selepas menyusuri Macedonian Square, aku meneruskan ekspedisi aku ke Memorial House of Mother Teresa. Rumah memorial ini dibina sebagai memberi penghormatan kepada Mother Teresa, pemenang anugerah Nobel Prize Keamanan tahun 1979. Beliau adalah anak kelahiran Skopje. Beliau merupakan seorang rahib Roman Katolik berbangsa Albania yang mula menjalankan tugasnya di Skopje. Beliau kemudiannya berhijrah ke Calcutta, India & akhirnya meninggal dunia di sana. Sepanjang beliau di Calcutta, beliau telah banyak membuat kerja-kerja amal dengan membantu orang-orang yang susah & memerlukan. Rumah memorial tersebut sebenarnya masih lagi dalam proses pembinaan sewaktu aku berada di situ. Ianya dijangka akan siap dibina sepenuhnya pada tahun 2009. Di hadapannya terdapat ukiran patung Mother Teresa. Aku hanya bergambar dengan ukiran patung tersebut sahaja.


Mother Teresa


Ukiran patung Mother Teresa, Skopje, Macedonia

Selepas itu, aku meneruskan perjalanan ke City Museum yang dahulunya merupakan stesen keretapi yang dibina pada tahun 1938. Separuh daripada bangunan ini telah roboh sewaktu kejadian gempa bumi yang berlaku pada tahun 1963 yang telah mengorbankan seramai 1,066 nyawa & memusnahkan hampir seluruh kota ini. Bangunan ini dibiarkan sebegitu rupa & kini ianya dijadikan sebagai sebuah muzium. Jam yang terdapat pada bangunan ini dibiarkan tidak bergerak & ia menunjukkan pukul 5.17 pagi, iaitu waktu berlakunya kejadian gempa bumi tersebut. Aku hanya bergambar di hadapan bangunan ini sahaja kerana tidak berkesempatan untuk masuk ke dalamnya.


City Museum, Skopje, Macedonia

Seterusnya, aku kembali berjalan melalui Stone Bridge untuk kembali ke kawasan Bazaar yang mempunyai banyak lorong-lorong kecil. Bazaar di Skopje ini adalah antara bazaar yang terbesar di rantau Balkan. Sewaktu era pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah dahulu, kawasan ini menjadi tumpuan peniaga-peniaga Islam & Kristian yang sama-sama menjalankan urusan perniagaan secara aman. Pada waktu itu, kawasan bazaar ini dibahagikan kepada kawasan Kristian & kawasan Islam. Saiz kedai-kedai mereka lebih kurang sama. Pada masa kini, antara barangan yang dijual di sini ialah barang kemas, kasut, pasu & pakaian. Di dalam kawasan bazaar ini juga terdapat masjid, gereja, hamam & hotel. Kawasan ini sememangnya antara tempat tumpuan utama para pelancong di Skopje.


Kawasan Bazaar, Skopje, Macedonia


Sebuah masjid di kawasan Bazaar, Skopje, Macedonia

Aku singgah sebentar di Cifte Hamam, sebuah rumah mandi awam zaman Empayar Turki Uthmaniyah yang terletak di kawasan Bazaar ini. Ia dibina sekitar kurun ke-15 & digunakan sehingga tahun 1915. Hamam ini kemudiannya mengalami kerosakan akibat kejadian gempa bumi tahun 1963. Selepas kejadian tersebut, ianya diperbaiki & dijadikan muzium.


Cifte Hamam, Skopje, Macedonia

Setelah puas mengelilingi kawasan Bazaar, aku pun mengambil keputusan untuk pulang ke hostel memandangkan matarahi sudah hampir terbenam. Aku berjalan menuju ke sebatang jalanraya yang dilalui oleh banyak teksi. Lalu, aku menahan sebuah teksi & meminta pemandunya membawa aku ke hostel yang aku tumpangi. Setelah tiba di hostel, aku berehat-rehat sambil menonton televisyen. Selepas menunaikan solat, aku pun terus melelapkan mata.

Hari 13: 23 MEI 2008

Selepas selesai solat Subuh & membersihkan diri, aku terus keluar dari hostel & menaiki teksi untuk ke stesen bas Skopje. Pada hari ini, aku akan ke Ohrid, sebuah bandar kecil yang terletak di barat daya Macedonia. Selepas membeli tiket, aku pun menunggu ketibaan bas yang sepatutnya bertolak pada pukul 10.00 pagi. Akan tetapi, disebabkan masalah kelewatan, ia mulai bertolak pada pukul 11.00 pagi, lewat sejam berbanding waktu sepatutnya. Perjalanan dari Skopje ke Ohrid memakan masa selama lebih kurang 3 jam.

Sesampainya aku di stesen bas Ohrid lebih kurang pada pukul 2.00 petang, aku berjalan kaki ke pusat bandarnya yang terletak agak jauh dari stesen bas tersebut. Setibanya di pusat bandar, aku pun memulakan pengembaraan aku di kota ini.

Ohrid adalah antara bandar pelancongan yang utama di Macedonia. Ianya turut digelar sebagai Jerusalem of Macedonia kerana terdapat beratus-ratus buah gereja di sini, iaitu hampir 365 buah kesemuanya. Penduduknya berjumlah 42,000 orang. Ohrid sangat terkenal dengan tasiknya yang turut dinamakan bersempena dengan nama bandar ini. Ohrid & Lake Ohrid telah dinobatkan sebagai salah satu daripada ‘UNESCO World Heritage Sites’ pada tahun 1980.


Peta kedudukan Ohrid di dalam Macedonia

Dalam sejarahnya, Ohrid pernah berada di dalam kerajaan Macedonia pimpinan Philip II of Macedon & anaknya, Alexander the Great. Seterusnya, ia menjadi sebahagian daripada Empayar Rom. Kemudian, kota ini ditawan pula oleh kerajaan Bulgaria & dijadikan ibu kota kerajaan tersebut. Selepas itu, ia jatuh ke tangan Empayar Byzantine pada tahun 1018. Akhirnya, pada akhir kurun ke-14, Ohrid berjaya ditawan oleh Empayar Turki Uthmaniyah & kekal berada di bawah pemerintahan empayar tersebut sehingga tahun 1912. Penduduk yang beragama Kristian Orthodox yang merupakan penduduk majoriti kota ini mulai berkurangan sewaktu kurun pertama pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah. Dan pada akhir kurun ke-19, 45% daripada penduduk Ohrid merupakan penganut agama Islam.

Lokasi pertama di Ohrid yang menjadi tumpuan aku ialah kawasan Old Bazaar. Saiz kawasannya agak kecil & cuma terdiri daripada beberapa buah lorong kecil sahaja. Terdapat beberapa buah kedai di sekitarnya, terutamanya restoran-restoran. Selain itu, terdapat juga beberapa buah masjid. Antara yang paling besar & cantik ialah Zejnal Abedin Mosque & Ali Pasha Mosque. Kebanyakan penduduk yang tinggal di kawasan ini adalah penganut agama Islam. Di tengah-tengah kawasan Old Bazaar ini terdapat sebuah air pancut & sebatang pokok yang dikatakan berusia 1,000 tahun.


Zejnal Abedin Mosque & air pancut di kawasan Old Bazaar, Ohrid, Macedonia


Pokok berusia 1,000 tahun & air pancut di kawasan Old Bazaar, Ohrid, Macedonia


Ali Pasha Mosque di kawasan Old Bazaar, Ohrid, Macedonia

Aku seterusnya berjalan menuju ke kawasan Old Town yang dikelilingi oleh kubu pertahanan yang dinamakan Ohrid Fortifications. Kubu pertahanan yang dilihat pada masa kini adalah kubu pertahanan baru yang dibina sekitar kurun ke-10. Kubu pertahanan yang asal telah dibina sejak kurun ke-5 SM lagi. Terdapat 4 buah pintu masuk ke dalam kawasan Old Town ini, iaitu Lower Gate, Upper Gate, Front Gate & Water Gate. Aku masuk ke dalamnya melalui Upper Gate.


Ohrid Fortifications, Ohrid, Macedonia


Pintu masuk Upper Gate di Ohrid Fortifications, Ohrid, Macedonia

Apabila aku masuk sahaja ke dalam kawasan Old Town, aku sudah dapat melihat keindahan Lake Ohrid yang sememangnya antara tasik-tasik yang paling cantik yang pernah aku lihat. Subhanallah. Tasik ini adalah tasik yang memisahkan Macedonia & Albania. Bumi Albania yang terletak di bahagian barat tasik ini dapat dilihat dengan jelas dari tempat aku berdiri. Lake Ohrid adalah tasik yang terdalam di rantau Balkan, dengan kedalaman 288 meter. Keluasannya pula adalah 358 kilometer persegi. Tasik ini merupakan tasik yang tertua di benua Eropah. Terdapat lebih 200 juta spesis haiwan laut yang unik hidup di dalamnya. Kawasan tasik ini juga turut menjadi tumpuan para nelayan. Terdapat beberapa perkampungan nelayan di sekelilingnya.


Peta Lake Ohrid, Ohrid, Macedonia


Pemandangan Lake Ohrid dari kawasan Old Town, Ohrid, Macedonia


Bumi Albania di seberang Lake Ohrid, Ohrid, Macedonia

Aku kemudiannya singgah di sebuah gereja yang bernama St Panteleimon Monastery. Ianya adalah gereja yang paling suci bagi penganut ajaran Kristian Orthodox di Macedonia & menjadi tempat tumpuan utama mereka sewaktu perayaan Krismas & Easter. Gereja ini dipercayai dibina oleh St Panteleimon sewaktu pemerintahan Raja Bulgaria yang bernama Boris I. Pembinaan gereja ini didedikasikan kepada St Clement yang kemudiannya menggunakan gereja ini sebagai pusat untuk mengajar sistem tulisan Cyrillic. Selepas kematiannya pada tahun 916, jasad St Clement disemadikan di dalam gereja ini. St Panteleimon Monastery ini kemudiannya ditukar fungsinya menjadi masjid pada kurun ke-15, sewaktu Ohrid berada di bawah pegangan Empayar Turki Uthmaniyah. Walau bagaimanapun, pada kurun ke-16, ianya berfungsi semula sebagai sebuah gereja. Pada masa kini, gereja ini sedang menjalani proses pemulihan yang telah bermula sejak tahun 2000.


St Panteleimon Monastery, Ohrid, Macedonia

Selepas bergambar di hadapan St Panteleimon Monastery, aku meneruskan perjalanan ke Church of St John at Kaneo, sebuah gereja Orthodox kecil yang terletak di atas sebuah tebing tinggi di pinggiran Lake Ohrid. Pembinaan gereja ini didedikasikan kepada penulis Gospel of John, salah satu daripada 4 buah Gospel yang terdapat di dalam kitab Injil Perjanjian Baru. Gereja ini dipercayai dibina sebelum kedatangan Empayar Turki Uthmaniyah di Ohrid. Tahun sebenar ianya dibina masih belum diketahui. Church of St John at Kaneo ini adalah antara mercu tanda utama Ohrid kerana keunikan lokasinya yang terletak di tebing tinggi di pinggiran Lake Ohrid. Pemandangan di sekitarnya amatlah menakjubkan. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Pemandangan inilah yang menjadi penyebab utama aku ingin berkunjung ke Ohrid. Tercapai juga hajat aku.


Church of St John at Kaneo, Ohrid, Macedonia


Church of St John at Kaneo, Ohrid, Macedonia


Church of St John at Kaneo, Ohrid, Macedonia


Church of St John at Kaneo, Ohrid, Macedonia

Selepas menghabiskan masa yang agak lama di sekitar Church of St John at Kaneo, aku menyambung perjalanan aku ke sebuah hotel yang terletak betul-betul di pinggiran Lake Ohrid. Tujuan aku ke situ adalah untuk merasai air tasik tersebut yang sememangnya amat menyegarkan. Setelah itu, aku ke destinasi yang seterusnya, iaitu Church of St Sophia. Gereja ini adalah salah satu daripada monumen terpenting di Ohrid. Ianya dibina sewaktu Ohrid berada di bawah pemerintahan Kerajaan Bulgaria Pertama, iaitu sewaktu penduduk di sini baru menganuti ajaran Kristian. Sewaktu di bawah pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah, gereja ini ditukar fungsinya menjadi masjid. Ia kemudiannya diubah menjadi gereja semula. Church of St Sophia ini menyimpan khazanah fresco kurun ke-11 yang terbesar di dunia. Gereja ini juga turut menjalani proses pemulihan sewaktu aku berada di sini.


Lake Ohrid, Ohrid, Macedonia


Lake Ohrid, Ohrid, Macedonia


Church of St Sophia, Ohrid, Macedonia


Church of St Sophia, Ohrid, Macedonia

Seterusnya, aku menuju ke sebuah dataran kecil yang terletak di pinggiran Lake Ohrid. Pemandangan tasik yang dilihat dari sini teramat menakjubkan. Aku sempat mengabadikan beberapa keping gambar di sini. Di sekeliling dataran ini terdapat banyak kedai yang menjual beraneka jenis barangan termasuklah cenderahati. Selepas membeli beberapa cenderahati untuk dibawa pulang, aku pun berjalan kaki kembali ke stesen bas Ohrid. Setelah penat berjalan, aku pun akhirnya tiba di stesen bas itu. Aku sudah pun membeli tiket pulang ke Skopje sewaktu aku tiba di stesen bas itu pagi tadi. Oleh itu, apabila bas tiba sahaja, aku pun terus masuk ke dalamnya. Lebih kurang pukul 5.30 petang, bas tersebut pun mula bergerak meninggalkan Ohrid menuju ke Skopje. Perjalanan memakan masa selama 3 jam.


Lake Ohrid, Ohrid, Macedonia


Dataran kecil, Ohrid, Macedonia


Kedai-kedai, Ohrid, Macedonia

Sesampainya aku di stesen bas Skopje pada pukul 8.30 malam, aku terus menaiki teksi untuk ke hostel tumpangan aku. Setelah tiba di hostel, aku berehat-rehat dahulu untuk menghilangkan penat. Seterusnya, aku pun membersihkan diri & menunaikan solat. Selepas itu, barulah aku melelapkan mata.

Hari 14: 24 MEI 2008

Aku bangun awal pada pagi ini, iaitu lebih kurang pukul 6.00 pagi. Selesai sahaja bersolat Subuh, membersihkan diri & mengemas barang-barang, aku terus melangkah keluar dari hostel & menaiki teksi untuk ke stesen keretapi Skopje. Aku akan ke destinasi seterusnya dalam ekspedisi aku menjelajah rantau Balkan, iaitu Istanbul, Turki. Disebabkan tiadanya perkhidmatan keretapi dari Skopje terus ke Istanbul, aku terpaksa menukar keretapi di Thessaloniki, Greece. Oleh itu, pada pagi ini, aku akan menaiki keretapi dari Skopje ke Thessaloniki terlebih dahulu. Keretapi tersebut dijadualkan bertolak dari stesen keretapi Skopje pada pukul 7.55 pagi. Akan tetapi, ianya agak lewat tiba di stesen keretapi itu. Lebih kurang pukul 8.25 pagi, barulah ia tiba. Setibanya keretapi itu di terminalnya, aku pun terus masuk ke dalamnya. Seketika kemudian, ia pun bergerak meninggalkan Skopje. Perjalanan ke Thessaloniki memakan masa selama 4¼ jam. Aku menggunakan tiket pas Interrail.


Peta perjalanan Skopje-Thessaloniki-Istanbul dengan keretapi

Apabila tiba di sempadan Macedonia & Greece, aku & penumpang-penumpang lain terkandas buat sementara waktu. Pihak imigresen Greece sedang menghadapi masalah teknikal & kami semua diminta menunggu dengan penuh sabar. Kami terpaksa menghabiskan masa hampir sejam menunggu masalah teknikal mereka untuk pulih seperti sediakala. Mujurlah kami tidak perlu menunggu terlalu lama. Setelah semua urusan imigresen selesai, keretapi yang aku naiki pun mulai bergerak menuju ke Thessaloniki. Lebih kurang pukul 2.40 petang, aku pun tiba di stesen keretapi Thessaloniki.

Setibanya aku di stesen keretapi tersebut, aku terus membeli tiket keretapi Dostluk/Filia Express untuk ke Istanbul. Aku mendapat harga diskaun dengan adanya tiket pas Interrail. Keretapi tersebut dijadualkan bertolak pada pukul 8.00 malam. Oleh itu, aku mempunyai masa yang agak lama di Thessaloniki. Ini sebenarnya adalah kali kedua aku memijakkan kaki di Thessaloniki. Aku telah pun ke sini sewaktu Musim Panas tahun 2006 yang lalu. Oleh itu, pada kali ini, aku hanya menghabiskan masa aku di dalam stesen keretapi itu sahaja sementara menunggu waktu untuk bertolak ke Istanbul.

Apabila jam sudah menunjukkan pukul 7.30 petang, aku pun terus ke terminal di mana keretapi ke Istanbul itu dijadualkan akan bergerak. Sewaktu aku berada di terminal tersebut, aku berbual-bual dengan seorang lelaki warganegara Australia berusia 50-an yang turut akan ke Istanbul. Menurutnya, ini adalah kali pertama dia ke Istanbul. Aku lalu memberitahunya bahawa ini adalah kali kedua aku ke sana. Terasa bangga pula aku. Hahaha. Selepas beberapa minit berbual, keretapi yang dinantikan pun tiba. Aku & lelaki tadi masing-masing mengucapkan selamat jalan & kami kemudiannya masuk ke kabin masing-masing. Kabin-kabin di dalam keretapi itu amat selesa sekali. Sebab itulah harga tiketnya agak mahal. Mujurlah aku menggunakan tiket pas Interrail.

Tepat pukul 8.00 malam, keretapi Dostluk/Filia Express itu pun mulai bergerak meninggalkan Thessaloniki menuju ke Istanbul. Perjalanan dengan keretapi itu mengambil masa selama 12½ jam.


Keretapi Dostluk/Filia Express yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan Thessaloniki-Istanbul

Hari 15: 25 MEI 2008

Aku akhirnya tiba di stesen keretapi Istanbul Sirkeci lebih kurang pada pukul 8.30 pagi. Setibanya aku di stesen keretapi tersebut, aku pun terus mengatur langkah mencari lokasi hostel yang aku rujuk melalui buku panduan aku. Alhamdulillah. Hostel tersebut mudah dicari & masih terdapat kekosongan. Selepas mendaftar masuk, aku berehat-rehat & kemudiannya membersihkan diri. Setelah itu, aku pun keluar untuk menjelajahi kota Istanbul.

Ini sebenarnya adalah kali kedua aku menjejakkan kaki di kota Istanbul. Kali pertama adalah pada bulan Julai tahun 2006, iaitu lebih kurang dua tahun lalu. Namun, terdapat beberapa buah lokasi yang tidak sempat aku singgahi sewaktu kali pertama aku di kota ini. Itulah yang menjadi penggerak utama yang memanggil aku untuk kembali semula ke sini pada kali ini.

Lokasi pertama di Istanbul yang aku jejaki pada hari ini ialah Dolmabahce Palace. Untuk ke sana, aku menaiki feri dari jeti Eminonu ke jeti Uskudar yang terletak di bahagian Asia kota ini. Kemudian, dari jeti Uskudar, aku menaiki feri yang lain pula untuk ke jeti Besiktas. Aku terpaksa berbuat demikian kerana tiada perkhidmatan feri terus dari jeti Eminonu ke jeti Besiktas.


Panorama Dolmabahce Palace dari Selat Bosphorus, Istanbul, Turki

Sesampainya aku di jeti Besiktas, iaitu jeti yang paling hampir sekali dengan Dolmabahce Palace, aku pun terus mengatur langkah menuju ke istana tersebut. Hampir 20 minit lamanya aku berjalan dari jeti tadi untuk ke istana itu. Apabila tiba sahaja di perkarangan istana tersebut, aku pun terus mendapatkan tiket & kemudiannya beratur untuk masuk ke dalamnya.


Pintu masuk utama Dolmabahce Palace, Istanbul, Turki

Dolmabahce Palace terbahagi kepada dua seksyen, iaitu Selamlik & Harem. Pentadbir istana ini mewajibkan semua pengunjungnya untuk mengikuti pemandu pelancong yang telah disediakan. Setiap pemandu pelancong akan membawa seramai lebih kurang 20 orang pengunjung dalam sesuatu masa untuk mengelilingi ruang dalaman istana tersebut yang memakan masa lebih kurang dua jam lamanya.

Barisan pengunjung yang sedang beratur menunggu giliran untuk memasuki ruang dalaman istana itu teramatlah panjang. Naik bosan aku dibuatnya. Setelah lebih kurang 30 minit beratur, barulah aku tiba di pintu masuk istana itu. Aku bersama-sama lebih kurang 20 orang pengunjung lain pun kemudiannya dibawa mengelillingi ruang dalaman Dolmabahce Palace yang mempunyai senibina yang sungguh menakjubkan.


Dolmabahce Palace, Istanbul, Turki

Dolmabahce Palace adalah istana yang terbesar sekali di negara Turki. Ia terletak di pinggiran Selat Bosphorus. Ianya telah digunakan sebagai kediaman rasmi oleh enam Sultan Turki Uthmaniyah dari tahun 1856 hingga tahun kehancuran empayar tersebut, iaitu tahun 1923. Walau bagaimanapun, dalam tempoh 20 tahun, iaitu dari tahun 1889 hingga 1909, Sultan Abdul Hamid II yang memerintah pada waktu itu tidak menetap di dalam istana tersebut. Baginda & keluarganya tinggal di istana yang sederhana saiznya, iaitu Yildiz Palace yang terletak tidak jauh dari Dolmabahce Palace. Baginda berbuat demikian kerana tidak tergamak untuk menetap di dalam istana yang telah membazirkan wang negara & rakyat itu. Sultan Abdul Hamid II sememangnya seorang sultan yang benar-benar berjiwa sederhana & bencikan pembaziran. Baginda adalah antara contoh terbaik seorang pemerintah.


Sultan Abdul Hamid II

Senibina Dolmabahce Palace ini direkabentuk oleh seorang arkitek dari Armenia yang bernama Garabet Balyan. Senibina istana ini menggabungkan unsur-unsur senibina Eropah & Turki Uthmaniyah. Ia dibina dari tahun 1843 hingga tahun 1856 di bawah titah perintah Sultan Abdul Mecid I yang memerintah pada waktu itu. Tujuan baginda mengarahkan pembinaan istana ini adalah kerana baginda tertarik hati melihat keindahan senibina Versailles Palace di Paris sewaktu lawatannya ke Perancis.


Sultan Abdul Mecid I

Pembinaan Dolmabahce Palace yang seluas 45,000 meter persegi ini menelan belanja sebanyak hampir 5 juta Pound Emas Uthmaniyah, bersamaan dengan 35,000 kilogram emas. 14,000 kilogram daripadanya sahaja telah digunakan untuk perhiasan ruang dalaman istana ini. Bayangkanlah betapa banyak pembaziran yang telah dilakukan semata-mata untuk memuaskan nafsu keinginan seorang pemerintah untuk menetap di dalam sebuah istana yang cantik lagi mewah yang bercirikan senibina Eropah. Sesungguhnya, pembinaan istana inilah yang menjadi antara punca utama kejatuhan Empayar Turki Uthmaniyah pada awal kurun ke-20, setelah hampir 600 tahun empayar itu bertahan.

Sebelum terbinanya Dolmabahce Palace, kesemua Sultan-sultan Turki Uthmaniyah menetap di Topkapi Palace, iaitu istana yang dibina sejurus selepas Sultan Mehmed II atau Sultan Muhammad al-Fatih berjaya menawan Constantinople atau Istanbul daripada Maharaja Byzantine pada tahun 1453. Istana tersebut mungkin belum cukup mewah lagi sehingga Sultan Abdul Mecid I sanggup mengarahkan pembinaan istana baru yang lebih mewah, elegan & bercirikan senibina Eropah. Suatu pembaziran yang tidak berasas.

Selepas sistem kesultanan Turki Uthmaniyah dihapuskan oleh Mustafa Kamal Ataturk, Dolmabahce Palace ini dijadikan sebagai hak milik kerajaan Republik Turki yang baru ditubuhkan. Istana ini dijadikan kediamannya pada Musim Panas. Mustafa Kamal Ataturk juga menghabiskan hari-hari terakhirnya di dalam istana ini sehingga dia menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tarikh 10 November 1938 di atas katilnya di sini.

Dolmabahce Palace terdiri daripada tiga bahagian utama, iaitu bahagian yang dikhaskan untuk golongan lelaki sahaja, bahagian dewan untuk upacara-upacara rasmi kerajaan & bahagian harem yang dikhaskan untuk kaum kerabat sultan sahaja. Di dalamnya terdapat 285 buah bilik, 44 buah dewan, 6 buah hamam atau bilik mandi & 68 buah tandas.

Apabila aku memasuki sahaja ruang dalaman istana ini, aku sudah dapat melihat pembaziran yang amat ketara sekali. Segala apa yang terkandung di dalam istana ini kelihatan amat mahal sekali harganya. Dan senibinanya juga hampir 100% bercirikan senibina Eropah & tiada langsung terdapat potongan ayat-ayat Al-Quran di dalamnya.

Antara yang menarik di dalam Dolmabahce Palace ialah Crystal Staircase, iaitu tangga yang diperbuat daripada kristal, tembaga & kayu mahogani. Kagum juga aku melihatnya. Kemahalannya benar-benar terserlah. Selain itu, terdapat juga sebuah lampu chandelier yang dikatakan sebagai lampu chandelier yang terbesar di dunia, yang diperbuat daripada kristal Bohemia. Lampu chandelier seberat 4,500 kilogram itu mempunyai 750 buah lampu kecil yang tergantung di sebuah dewan besar di dalam istana ini. Aku sekali lagi berasa kagum.


Crystal Staircase di ruang dalaman Dolmabahce Palace, Istanbul, Turki


Lampu Chandelier di ruang dalaman Dolmabahce Palace, Istanbul, Turki


Lampu Chandelier di ruang dalaman Dolmabahce Palace, Istanbul, Turki


Ruang dalaman Dolmabahce Palace, Istanbul, Turki


Ruang dalaman Dolmabahce Palace, Istanbul, Turki


Ruang dalaman Dolmabahce Palace, Istanbul, Turki


Ruang dalaman Dolmabahce Palace, Istanbul, Turki


Ruang dalaman Dolmabahce Palace, Istanbul, Turki


Ruang dalaman Dolmabahce Palace, Istanbul, Turki


Ruang dalaman Dolmabahce Palace, Istanbul, Turki


Ruang dalaman Dolmabahce Palace, Istanbul, Turki

Satu lagi daya tarikan utama di dalam Dolmabahce Palace ialah Ataturk’s Room, iaitu bilik tidur Mustafa Kamal Ataturk yang terletak di bahagian Harem. Di dalam bilik ini terdapat sebuah katil yang dibaluti dengan bendera negara Turki. Di atas katil inilah Mustafa Kamal Ataturk menghabiskan hari-hari terakhirnya & menghembuskan nafasnya yang terakhir. Semoga Allah SWT memberi balasan yang setimpal ke atas manusia yang membuat kerosakan di bumi Khalifah ini.


Ataturk’s Room di ruang dalaman Dolmabahce Palace, Istanbul, Turki


Ataturk’s Room di ruang dalaman Dolmabahce Palace, Istanbul, Turki

Hampir dua jam lamanya kami dibawa mengelilingi ruang dalaman Dolmabahce Palace yang sememangnya teramat besar itu. Setelah tamat sahaja tour, aku bergambar di bahagian luar istana ini. Bahagian luarnya juga tidak kurang cantiknya kerana terdapatnya taman-taman bunga yang luas.


Taman bunga di bahagian luar Dolmabahce Palace, Istanbul, Turki


Taman bunga di bahagian luar Dolmabahce Palace, Istanbul, Turki


Taman bunga di bahagian luar Dolmabahce Palace, Istanbul, Turki

Selesai sahaja bergambar di taman di bahagian luar Dolmabahce Palace, aku pun kembali semula ke jeti Besiktas. Sesampainya aku di jeti tersebut, aku singgah sebentar di sebuah gerai yang menjual minuman yang terletak berhampiran dengan jeti itu untuk menghilangkan rasa haus. Aku meletakkan tripod kepunyaan aku di bahagian tepi gerai tersebut sewaktu aku sedang meneguk air yang dibeli. Atas kelalaian aku, aku terlupa untuk mengambil semula tripod tersebut & terus berlalu meninggalkan gerai itu. Aku hanya teringat akannya lima minit kemudian. Dan apabila aku kembali semula untuk mendapatkan tripod kepunyaan aku itu, ianya telah tiada di situ.

Aku lalu bertanyakan kepada pemilik gerai itu jikalau dia ada ternampak sesiapa yang mengambil harta kepunyaan aku itu. Namun, pemilik gerai itu tidak memahami soalan yang aku tujukan kepadanya. Dia tidak tahu berbahasa Inggeris rupa-rupanya. Aku akhirnya terpaksa menerima kenyataan bahawa tripod kesayangan aku telah dicuri atas kelalaian aku sendiri.

Tripod itulah satu-satunya teman yang aku ada dalam pengembaraan aku kali ini. Tripod itulah yang aku gunakan untuk mengambil gambar-gambar aku sepanjang pengembaraan aku di rantau Balkan ini. Tripod itu jugalah yang telah aku gunakan dalam pengembaraan-pengembaraan aku di negara-negara lain di benua Eropah sejak enam bulan yang lalu. Nampaknya sudah tiada jodoh antara aku & tripod aku itu. Hahaha. Selepas ini, terpaksalah aku menggunakan cara yang kreatif untuk mengambil gambar aku sendiri. Contohnya seperti meletakkan kamera di atas tong sampah, di atas kereta & sebagainya. Hahaha.

Dari jeti Besiktas, aku menaiki feri ke jeti Uskudar. Dari situ, aku menaiki pula feri lain untuk ke jeti Eminonu. Sesampainya sahaja aku di jeti Eminonu, aku meneruskan juga ekspedisi aku untuk melengkapkan penjelajahan kota Istanbul ini walaupun tanpa kehadiran tripod kesayangan aku. Aku tetap gagahkan diri aku. Lokasi seterusnya yang aku jejaki ialah Birbindirek Cistern yang merupakan tempat penyimpanan air bawah tanah yang terletak di antara Forum of Constantine & Hippodrome. Ianya dibina sekitar kurun ke-5. Permukaan bumi di atas Birbindirek Cistern ini pada zaman dahulunya merupakan tapak sebuah istana yang bernama Lausus Palace.

Birbindirek Cistern mempunyai keluasan seluas 3,640 meter persegi yang boleh menyimpan sebanyak 40,000 meter padu air. Ianya disokong oleh 224 batang tiang yang panjang setiap satunya berukuran antara 14 hingga 15 meter tinggi & diperbuat daripada batu marmar. Pada kurun ke-6, Maharaja Byzantine yang bernama Maharaja Justinian I telah mengarahkan pemulihan tempat penyimpanan air ini setelah istana yang terletak di atasnya termusnah akibat kebakaran yang berlaku pada tahun 475 M.

Selepas kota Constantinople ditawan oleh Empayar Turki Uthmaniyah pada tahun 1453, Birbindirek Cistern ini dibiarkan begitu sahaja & tidak digunakan lagi sehingga kewujudannya terus dilupakan. Kewujudannya hanya disedari semula pada kurun ke-17 sewaktu pembinaan Istana Fazli Pasha di atas tapak istana lama yang telah terbakar itu. Nasib aku tidak begitu baik kerana sewaktu aku berkunjung ke sini, Birbindirek Cistern sedang dalam proses pembaikan. Oleh itu, aku tidak dapat bergambar sepenuhnya di dalam tempat yang bersejarah ini.


Birbindirek Cistern, Istanbul, Turki


Birbindirek Cistern, Istanbul, Turki

Aku kemudiannya meneruskan perjalanan ke sebuah lagi tempat penyimpanan air bawah tanah yang terdapat di kota Istanbul, iaitu Basilica Cistern. Ia sebenarnya lebih terkenal berbanding Birbindirek Cistern tadi. Sebenarnya, terdapat beratus-ratus lagi tempat penyimpanan air bawah tanah di kota Istanbul ini. Namun, Basilica Cistern adalah yang terbesar & yang paling terkenal sekali. Basilica Cistern ini terletak berdekatan dengan Hagia Sophia. Ia juga turut dibina pada kurun ke-6 sewaktu era pemerintahan Maharaja Justinian I.

Basilica Cistern membekalkan air kepada Great Palace of Constantinople & beberapa lagi bangunan berhampiran dengannya. Ianya terus digunakan sewaktu era pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah bagi membekalkan air ke Topkapi Palace & masih lagi terus digunakan sehingga kini untuk membekalkan air kepada penduduk tempatan kota ini. Basilica Cistern mempunyai keluasan seluas 9,800 meter persegi yang berkeupayaan untuk menyimpan air sebanyak 80,000 meter padu. Ia disokong oleh 336 batang tiang yang diperbuat daripada batu marmar dengan ketinggian 9 meter setiap satunya. Di satu sudut di dalam Basilica Cistern ini terdapat dua batang tiang yang agak istimewa. Terdapat ukiran patung yang digelar ‘Medusa’ yang diukir pada pangkal bawah di setiap satu daripada tiang-tiang tersebut.


Pintu masuk Basilica Cistern, Istanbul, Turki


Ruang dalaman Basilica Cistern, Istanbul, Turki


Ruang dalaman Basilica Cistern, Istanbul, Turki


Ruang dalaman Basilica Cistern, Istanbul, Turki


'Medusa' di ruang dalaman Basilica Cistern, Istanbul, Turki


'Medusa' di ruang dalaman Basilica Cistern, Istanbul, Turki

Selepas puas bergambar di dalam Basilica Cistern, aku menuju ke Blue Mosque untuk menunaikan solat. Selepas itu, aku menghabiskan sisa-sisa petang yang tinggal dengan berjalan-jalan di sekitar kawasan Sultanahmet Square. Aku mengambil gambar Blue Mosque & Hagia Sophia yang sememangnya merupakan dua buah binaan yang amat-amat aku kagumi. Apabila malam telah tiba, aku menunaikan solat Maghrib berjemaah di dalam Blue Mosque. Begitu juga dengan solat Isyak. Tenang sungguh rasanya apabila berada di dalam masjid itu.


Blue Mosque, Istanbul, Turki


Hagia Sopphia, Istanbul, Turki

Selesai sahaja solat Isyak, aku kembali bersiar-siar di kawasan Sultanahmet Square. Dan apabila sudah kepenatan, aku pun kembali semula ke hostel. Sesampainya di hostel, aku ternampak satu notis tentang kereta sewa untuk ke lapangan terbang. Aku kemudiannya terus memberitahu pemilik hostel itu yang aku ingin menempah kereta sewa untuk ke Lapangan Terbang Sabiha Gokcen pada pukul 1.30 tengah hari pada hari Selasa nanti. Pemilik hostel itu lalu mencatatkannya di dalam buku catatannya. Aku kemudian kembali ke bilik aku untuk membersihkan diri & melelapkan mata.

Hari 16: 26 MEI 2008

Selesai sahaja membersihkan & mengemaskan diri, aku pun mulai keluar dari hostel yang aku tumpangi untuk menyambung penjelajahan aku di kota Istanbul. Lokasi pertama aku pada hari ini ialah Eyup Sultan Mosque, sebuah lagi masjid yang mempunyai nilai sejarah yang tersendiri di kota Istanbul ini. Untuk ke sana, aku berjalan kaki terlebih dahulu ke jeti Eminonu. Dari jeti tersebut, aku menaiki feri untuk menuju ke jeti Eyup, jeti yang paling hampir sekali dengan lokasi masjid itu.

Sewaktu aku menunggu ketibaan feri di jeti Eminonu, aku menjadi tumpuan lelaki-lelaki berusia 50-an yang bekerja di situ. Mereka cuba untuk berbual-bual dengan aku walaupun penguasaan Bahasa Inggeris mereka tidak begitu baik. Mereka nampaknya begitu berbangga dapat berkenalan dengan orang Malaysia. Hahaha. Sempat juga mereka menjamu aku dengan secawan teh atau ‘cay’ dalam Bahasa Turki. Terharu aku dibuatnya.

Tidak berapa lama selepas menunggu di samping melayan karenah pekerja-pekerja yang bekerja di jeti tersebut, feri yang aku nantikan pun tiba. Aku mengucapkan terima kasih & selamat tinggal kepada mereka semua atas layanan yang diberi & terus masuk ke dalam feri tersebut. Feri yang aku naiki itu kemudiannya menyusuri air laut Golden Horn menghala ke bahagian utara.

Lebih kurang 20 minit kemudian, aku pun tiba di jeti Eyup. Aku terus berjalan dari jeti tersebut untuk mencari lokasi Eyup Sultan Mosque yang terletak tidak jauh dari situ. Aku akhirnya berjaya menjumpainya. Eyup Sultan Mosque adalah masjid pertama yang dibina di Istanbul & merupakan tempat suci bagi penganut agama Islam. Di sinilah letaknya kubur Sahabat Rasulullah SAW yang juga salah seorang perawi Hadis baginda, iaitu Abu Ayyub al-Ansari. Beliau terkenal kerana jasanya menumpangkan Rasulullah SAW di rumahnya selama tujuh bulan selepas penghijrahan baginda dari Mekah ke Madinah.


Panorama jeti Eyup & Eyup Sultan Mosque dari Golden Horn, Istanbul, Turki


Eyup Sultan Mosque, Istanbul, Turki


Eyup Sultan Mosque, Istanbul, Turki


Eyup Sultan Mosque, Istanbul, Turki


Perkarangan Eyup Sultan Mosque, Istanbul, Turki

Sewaktu tentera Bani Umayyah yang diketuai oleh Yazid bin Muawiyah berjuang untuk menawan Constantinople (Istanbul) pada tahun 674 M, Abu Ayyub al-Ansari yang pada waktu itu sudah pun lanjut usianya, tetap turut serta dalam perjuangan tersebut. Walau bagaimanapun, tentera umat Islam itu menemui kegagalan & Abu Ayyub al-Ansari telah syahid & dikuburkan di kota itu. Beliau sebenarnya telah meninggalkan wasiat kepada tentera Bani Umayyah. Sekiranya beliau terkorban dalam peperangan menawan Constantinople, beliau ingin jenazahnya dikuburkan di situ. Ini kerana beliau ingin mendengar sendiri bunyi tapak kaki kuda-kuda tentera yang bakal menawan kota tersebut suatu hari nanti.

Kubur Abu Ayyub al-Ansari itu hanya ditemui 784 tahun kemudian, iaitu pada tahun 1458, 5 tahun selepas penawanan kota Constantinople oleh tentera Turki Uthmaniyah pimpinan Sultan Muhammad al-Fatih. Baginda pada suatu malam telah bermimpi tentang sebuah pokok di mana letaknya lokasi kubur Abu Ayyub al-Ansari. Dan apabila pokok seperti yang digambarkan dalam mimpinya itu ditemui, baginda mengarahkan supaya dibina masjid & makam untuk Sahabat Rasulullah SAW itu di situ.

Eyup Sultan Mosque adalah masjid yang pertama dibina di Constantinople selepas penawanan kota ini oleh umat Islam. Masjid itu kemudiannya roboh akibat kejadian gempa bumi pada tahun 1766. Ia dibina semula selepas itu & kekal berbentuk sedemikian rupa sehingga ke hari ini. Makam Abu Ayyub al-Ansari juga turut dibina di kawasan persemadiannya. Makam tersebut sering diziarahi oleh umat-umat Islam yang ingin mendapatkan keberkatan daripadanya di samping menyedekahkan Al-Fatihah kepadanya. Aku juga turut tidak mahu ketinggalan. Aku menghabiskan masa yang agak lama merenung & mengelilingi makam itu. Semoga aku mendapat keberkatan dengan penziarahan aku di makam sahabat rapat Rasulullah SAW itu. Abu Ayyub al-Ansari sememangnya adalah antara sahabat-sahabat yang disayangi baginda.


Makam Abu Ayyub al-Ansari di Eyup Sultan Mosque, Istanbul, Turki


Pokok yang dimimpikan oleh Sultan Muhammad al-Fatih berhampiran Makam Abu Ayyub al-Ansari di Eyup Sultan Mosque, Istanbul, Turki


Makam Abu Ayyub al-Ansari di Eyup Sultan Mosque, Istanbul, Turki


Makam Abu Ayyub al-Ansari di Eyup Sultan Mosque, Istanbul, Turki


Makam Abu Ayyub al-Ansari di Eyup Sultan Mosque, Istanbul, Turki

Selepas melawat makam tersebut, aku masuk ke dalam masjidnya pula untuk menunaikan solat Tahyatul Masjid. Kemudian, aku duduk beristirehat di dalamnya, mengamati senibina dalaman masjid itu yang sememangnya amat mengagumkan. Selepas beberapa ketika, aku pun melangkah keluar untuk kembali ke jeti Eyup. Selepas beberapa minit menunggu di jeti tersebut, feri yang dinantikan pun tiba & aku terus masuk ke dalamnya. Feri itu lalu bergerak menyusuri air laut Golden Horn menuju ke jeti Eminonu. Apabila tiba di jeti Eminonu, aku berjalan meneruskan pengembaraan aku.


Ruang dalaman Eyup Sultan Mosque, Istanbul, Turki


Ruang dalaman Eyup Sultan Mosque, Istanbul, Istanbul, Turki


Ruang dalaman Eyup Sultan Mosque, Istanbul, Istanbul, Turki

Destinasi yang seterusnya ialah Valens Aqueduct. Agak jauh juga aku berjalan untuk menuju ke tempat itu. Sambil aku berjalan, aku perhatikan di tiang-tiang lampu tergantung banner-banner yang mengkhabarkan tentang sambutan ulangtahun ke-555 Istanbul berada di bawah panji Islam yang bakal berlangsung pada tarikh 29 Mei nanti, iaitu tiga hari sahaja lagi. Malangnya, aku akan meninggalkan Istanbul pada hari esok. Sayang pula rasanya kerana tidak berkesempatan untuk meraikan perayaaan tersebut bersama-sama dengan saudara seIslam aku di kota bersejarah ini. Sudah 555 tahun rupanya Sultan Muhammad al-Fatih & tenteranya berjaya menawan kota ini.


Banner sambutan ulangtahun ke-555 Istanbul ditawan oleh Sultan Muhammad al-Fatih, Istanbul, Turki

Sesampainya aku di Valens Aqueduct, aku berasa amat kagum melihat senibinanya. Ianya pernah memainkan peranan sebagai sistem penyaluran air yang penting di kota ini sewaktu era pemerintahan Empayar Byzantine. Ianya juga turut digunakan sewaktu era pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah. Ia dipercayai dibina pada tahun 368 M sewaktu pemerintahan Maharaja Valens. Kini, Valens Aqueduct yang mempunyai kepanjangan sejauh 921 meter ini hanya berfungsi sebagai antara mercu tanda utama Istanbul. Terdapat sebatang jalanraya melalui bawahnya pada masa kini.


Valens Aqueduct, Istanbul, Turki


Valens Aqueduct, Istanbul, Turki


Valens Aqueduct, Istanbul, Turki


Valens Aqueduct, Istanbul, Turki

Selepas bergambar dengan Valens Aqueduct, aku meneruskan perjalanan aku ke kawasan Fatih di mana terletaknya Fatih Mosque. Masjid ini dibina antara tahun 1463 & 1470 atas arahan Sultan Muhammad al-Fatih. Ianya dibina di atas tapak runtuhan gereja yang bernama Church of the Holy Apostles yang telah diruntuhkan untuk pembinaan masjid ini. Gereja tersebut merupakan gereja kedua terpenting dalam Empayar Byzantine selepas Hagia Sophia. Sisa-sisa batu runtuhan gereja tersebut kemudiannya digunakan untuk pembinaan masjid ini. Arkiteknya bernama Atik Sinan.

Di sekeliling kawasan masjid ini dahulunya terdapat lapan buah madrasah, perpustakaan, hospital, pasar, hamam & sekolah. Kompleks tersebut dahulunya merangkumi keluasan seluas 325 meter persegi. Walau bagaimanapun, masjid yang siap dibina pada tahun 1470 itu mengalami beberapa kali kerosakan & akhirnya roboh sewaktu kejadian gempa bumi yang berlaku pada tahun 1766. Fatih Mosque yang kita lihat pada masa kini adalah masjid yang dibina pada tahun 1771 sewaktu pemerintahan Sultan Mustafa III. Senibinanya berlainan sama sekali daripada masjid yang telah roboh itu. Arkiteknya ialah Mimar Mehmet Tahir.


Fatih Mosque, Istanbul, Turki

Di kawasan masjid ini jugalah letaknya makam Sultan Muhammad al-Fatih yang seringkali dikunjungi oleh umat-umat Islam yang berkunjung ke kota Istanbul. Bagindalah sebaik-baik pemimpin atas kejayaannya menawan kota Constantinople atau Istanbul. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:

“Sesungguhnya umatku akan menawan kota Constantinople. Pemimpinnya adalah sebaik-baik pemimpin & tenteranya adalah sebaik-baik tentera.”

Bertuah rasanya diri aku kerana dapat menziarahi makam pejuang Islam yang sangat tersohor itu. Baginda adalah antara contoh teladan yang patut diikuti oleh anak-anak muda belia pada masa kini. Dalam usia 21 tahun, baginda telah berjaya melakukan sesuatu yang di luar jangkaan, iaitu menawan sebuah kota yang amat sukar sekali untuk ditembusi oleh pihak musuh. Selama 800 tahun lamanya umat Islam telah berusaha untuk menawan kota Constantinople. Berpuluh-puluh orang pemimpin telah berkali-kali mencuba untuk menembusi tembok pertahanan kota itu. Namun, kejayaan akhirnya dimiliki oleh seseorang yang baru berusia semuda 21 tahun seperti baginda. MasyaAllah.


Sultan Muhammad al-Fatih


Makam Sultan Muhammad al-Fatih, Istanbul, Turki


Makam Sultan Muhammad al-Fatih, Istanbul, Turki

Selepas menziarahi makam Sultan Muhammad al-Fatih & menyedekahkan al-Fatihah kepadanya, aku masuk pula ke dalam Fatih Mosque yang sedang dalam proses pemulihan. Walaupun kerja-kerja bertukang sedang dijalankan, jemaah masih boleh menunaikan solat di dalamnya. Aku menunaikan solat jamak Zohor & Asar di dalam masjid yang bersejarah itu.


Ruang dalaman Fatih Mosque, Istanbul, Turki


Ruang dalaman Fatih Mosque, Istanbul, Turki

Selepas menunaikan solat, aku menyambung perjalanan aku ke destinasi yang seterusnya, iaitu Beyazid Square di mana terletaknya Beyazid II Mosque. Masjid ini dibina atas arahan Sultan Beyazid II. Pembinaannya siap pada tahun 1506 & merupakan masjid kedua terbesar di Istanbul pada waktu itu selepas Fatih Mosque. Di kompleks masjid ini pada zaman dahulunya terdapat kemudahan madrasah, sekolah & hamam. Gempa bumi yang berlaku pada tahun 1509 telah merosakkan kubahnya. Ia kemudian diperbaiki oleh arkitek terkenal, iaitu Mimar Sinan pada tahun 1574. Berhampiran dengan masjid tersebut, terletak makam Sultan Beyazid II. Senibina masjid ini juga tidak kurang hebatnya, setanding dengan masjid-masjid lain di kota ini.


Beyazid II Mosque, Istanbul, Turki


Perkarangan Beyazid II Mosque, Istanbul, Turki


Perkarangan Beyazid II Mosque, Istanbul, Turki

Di kawasan Beyazid Square ini juga terletak pintu masuk utama Istanbul University, iaitu institusi pengajian yang paling terkenal di kota Istanbul. Institusi pengajian ini sebenarnya telah wujud sejak tahun 1453 lagi, iaitu sejurus selepas penawanan kota Constantinople oleh Sultan Muhammad al-Fatih. Walau bagaimapun, pada waktu itu, ia hanyalah sebuah madrasah. Ia kemudiannya semakin berkembang & mula diiktiraf sebagai institusi pengajian tinggi pada tahun 1846. Namanya pada waktu itu ialah Darul Funun. Namanya hanya ditukar menjadi Istanbul University pada tahun 1933 sewaktu pemerintahan Mustafa Kamal Ataturk.

Istanbul University mempunyai 17 buah fakulti & lima buah kampus di seluruh Istanbul. Kampus utamanya terletak di Beyazid Square. Buat masa sekarang, pelajar-pelajar wanita di universiti ini dilarang daripada memakai tudung. Oleh itu, kebanyakan pelajar wanita yang benar-benar menitik beratkan soal aurat terpaksa memakai rambut-rambut palsu bagi menutup rambut sebenar mereka. Sehingga begitu sekali kesanggupan mereka demi memelihara aurat & demi menuntut ilmu pengetahuan. Semoga satu hari nanti hak untuk menutup aurat akan dikembalikan kepada pelajar-pelajar wanita di Istanbul University ini.


Pintu masuk utama Istanbul University, Istanbul, Turki


Pintu masuk utama Istanbul University, Istanbul, Turki

Dengan terjejaknya kaki aku di Beyazid Square, maka tamatlah siri penjelajahan aku di kota Istanbul. Memandangkan hari masih lagi panjang, aku mengambil keputusan untuk ke Topkapi Palace. Aku sebenarnya sudah pun menjejakkan kaki di kompleks istana tersebut sewaktu kali pertama aku di kota Istanbul dua tahun yang lalu. Tetapi, pada waktu itu, aku mungkin kurang menghayati khazanah-khazanah yang disimpan di sini kerana sibuk bergambar di dalamnya. Maka, pada kali ini, aku akan menggunakan kesempatan yang ada untuk menghayati betul-betul setiap khazanah yang dipamerkan. Aku menghabiskan masa yang agak lama di kompleks istana tersebut. Lebih kurang dua jam lamanya.


Pintu masuk utama Topkapi Palace, Istanbul, Turki

Selesai sahaja mengunjungi Topkapi Palace, aku berjalan-jalan pula di sekitar kawasan Sultanahmet Square. Sekadar untuk mengambil angin & mengambil beberapa keping gambar lagi. Kemudian, apabila masuknya waktu Maghrib, aku pun mengatur langkah ke Blue Mosque untuk berjemaah bersama jemaah-jemaah lain. Aku duduk di dalamnya sehingga selesai solat Isyak. Kemudian, aku menyambung bersiar-siar di sekitar Sultanahmet Square. Lebih kurang pukul 9.00 malam, terdapat pertunjukan bersuara & berlampu yang diadakan di luar Blue Mosque. Pertunjukan tersebut mengisahkan tentang sejarah pembinaan masjid itu. Ia cuma berlangsung selama lebih kurang 20 minit sahaja & diadakan pada setiap malam.


Blue Mosque, Istanbul, Turki


Perkarangan Blue Mosque, Istanbul, Turki


Blue Mosque, Istanbul, Turki

Selepas puas berlegar-legar menikmati keindahan malam di Sultanahmet Square, aku berjalan pula menuju ke kawasan Eminonu untuk menghirup udara malam di perairan Golden Horn. Menenangkan sungguh. Apabila malam sudah larut, aku pun kembali semula ke hostel untuk melelapkan mata.

Hari 17: 27 MEI 2008

Selepas selesai membersihkan diri, aku pun mendaftar keluar dari bilik tumpangan aku & membawa beg-beg aku untuk disimpan di ruang khas yang disediakan oleh pihak hostel. Selepas itu, aku keluar untuk mengisi hari ketiga & hari terakhir aku di Istanbul pada kali ini.

Satu-satunya destinasi aku pada hari ini ialah Hagia Sophia. Aku sekadar ingin mengisi kelapangan masa yang ada sebelum aku ke lapangan terbang pada waktu tengah hari nanti. Ini sebenarnya adalah kali kedua aku memijakkan kaki di dalam bangunan yang berusia hampir 1,500 tahun itu, selepas memijakkan kaki di dalamnya buat kali pertama dua tahun yang lalu. Hagia Sophia sememangnya antara bangunan yang paling aku kagumi. Disebabkan itulah aku berhajat untuk mengunjunginya lagi.

Selesai sahaja melawat Hagia Sophia, aku singgah di beberapa buah kedai cenderahati berdekatan dengan Kaiser Wilhelm Fountain untuk membeli sesuatu untuk dibawa pulang. Kemudian, barulah aku kembali semula ke hostel.

Sekembalinya aku di hostel, aku mengemas barang-barang sementara menanti ketibaan kereta sewa untuk ke Lapangan Terbang Sabiha Gokcen yang telah pun aku tempah. Setelah beberapa ketika menanti, iaitu lebih kurang pukul 1.40 tengah hari, kereta sewa itu pun tiba. Ia rupa-rupanya adalah sebuah van. Aku lantas terus masuk ke dalamnya. Pemandu van itu mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk mengambil penumpang-penumpang lain di hostel-hostel sekitar Istanbul yang telah membuat tempahan untuk ke lapangan terbang yang sama. Selepas itu, barulah kami semua dibawa terus ke Lapangan Terbang Sabiha Gokcen yang terletak agak jauh dari pusat bandar Istanbul. Lebih daripada 1 jam perjalanan.

Setibanya aku di lapangan terbang yang dimaksudkan, aku pun terus mendaftar masuk & kemudiannya melalui zon pemeriksaan sekuriti. Selepas semuanya sudah beres, aku menunggu di pintu perlepasan. Aku akan menaiki pesawat EasyJet ke London. Tidak berapa lama selepas menunggu, aku & penumpang-penumpang lain pun dijemput masuk ke dalam pesawat. Lebih kurang pukul 4.10 petang, pesawat yang kami naiki pun mulai berlepas meninggalkan Istanbul menuju ke London. Penerbangan mengambil masa lebih kurang 4 jam.

Lebih kurang pukul 6.10 petang waktu tempatan United Kingdom, aku pun tiba di Lapangan Terbang Luton, London. Aku terpaksa bermalam di sini kerana penerbangan aku ke Dublin akan berlepas pada esok pagi.


Hari 18: 28 MEI 2008

Penerbangan Ryanair ke Dublin akan berlepas pada pukul 6.30 pagi ini. Aku sempat melelapkan mata selama buat beberapa jam. Lebih kurang pukul 4.30 pagi, aku pun mulai bangun untuk mendaftar masuk. Selepas selesai semua urusan termasuk pemeriksaan sekuriti, aku pun menunggu ketibaan pesawat di balai perlepasan. Beberapa ketika selepas menunggu, penumpang-penumpang pun dijemput masuk ke dalam pesawat. Lebih kurang pukul 6.30 pagi, pesawat Ryanair yang dinaiki pun mulai berlepas meninggalkan London menuju ke Dublin. Penerbangan memakan masa selama sejam. Lebih kurang pukul 7.30 pagi, aku pun tiba di Lapangan Terbang Dublin dengan selamat. Alhamdulillah.

Seperti yang telah aku katakan di bahagian awal travelog ini, pengembaraan aku di rantau Balkan adalah pengembaraan solo yang paling lama dalam sejarah hidup aku. Belum pernah lagi aku mengembara seorang diri selama tempoh masa sepanjang 18 hari seorang diri tanpa teman. Oleh itu, sudah tentulah bermacam-macam pengalaman pahit & manis yang telah aku tempuh. Sukar untuk diceritakan kesemuanya. Aku cuba mampu menceritakan yang penting-penting sahaja. Walau apa pun, pengalaman selama 18 hari di rantau Balkan ini sudah pastinya akan terpahat dalam ingatan aku buat selama-lamanya.

Rantau Balkan sememangnya merupakan satu rantau yang penuh dengan kesan sejarah & juga keindahan alam ciptaan yang Maha Esa. Yang menjadikan rantau ini unik & lain daripada yang lain adalah kerana lokasinya yang terletak di antara Asia Barat & Eropah, yang secara tidak langsung melayakkannya digelar sebagai Jambatan Antara Islam & Eropah. Oleh itu, aku menyeru pembaca-pembaca blog ini supaya meluangkan masa & wang untuk berkunjung ke rantau Balkan ini. Terlalu banyak rahsia yang tersimpan di sini yang hanya mampu diterokai oleh mereka yang berpijak sendiri di sini.

Dengan ini, tamatlah sudah travelog aku di rantau Balkan. Semoga hasil penulisan aku ini sedikit sebanyak dapat membuka minda para pembaca mengenai rantau yang istimewa ini. Sekian, terima kasih.

TAMAT. Untuk Travelog seterusnya, iaitu Travelog ICELAND, MANCHESTER & LIVERPOOL, sila klik di link ini: SuMMeR 2008 (CRoaTia, BoSNia & HeRZeGoViNa, SLoVeNia, RoMaNia, BuLGaRia, MaCeDoNia, TuRKeY, iCeLaND, eNGLaND) (BHG III)